Kepada saudari Nur saya tujukan,
Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya masih tetap berpegang dengan pendirian saya bahawa Demontrasi membantah ISA pada 1 Ogos yang lalu adalah wajar dan bukanlah satu kesilapan. Saya berani mempertahankan pendirian ini kerana saya sendiri terlibat dalam demontrasi tersebut dan oleh kerna itu, saya punya "locus standi" untuk bercakap di pihak demonstran. Saya tahu apa yang benar dan apa yang tidak benar. Saya tahu situasi sebenar keadaan ketika itu berbanding dengan mereka yang merumuskannya hanya melalui "hearsay" atau khabar angin yang belum tentu kebenarannya. Dan saya tahu apa yang berlaku dan apa yang dipropagandakan oleh pihak media.
Jangan menafikan bahawa anti juga turut terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan jahat daripada pihak media serta pemimpin-pemimpin UMNO mengenai perkara ini, kerana apa yang anti utarakan sebenarnya merupakan naqalan episod lakonan yang telah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelumnya. Saya faham dan saya tahu keadaannya sekiranya saya juga tidak turut terlibat dalam demontrasi tersebut. Mungkin saya juga akan turut terpengaruh dalam menganalisa perhimpunan ISA tempoh hari daripada "cerita-cerita" akhbar tempatan atau drama bersiri yang dimainkan di kaca tv negara kita.
Ingin saya jelaskan bahawa huru hara yang berlaku tempoh hari bukanlah disebabkan oleh kami, sebaliknya ia berpunca daripada tindakan jahat FRU dan pihak polis yang gagal memainkan peranan mereka sebagai pengawal keselamatan. Ingin saya tegaskan di sini bahawa kami tidak akan sesekali melakukan sesuatu tindakan di luar batasan undang-undang.
Ini pendirian kami.
Akan tetapi, UMNO dan Barisan Nasional yang sering dilihat mengkhianati undang-undang dan Perlembagaan Negara. Untuk pengetahuan saudari, Demontrasi yang dianjurkan tempoh hari dilakukan berdasarkan kepada semangat Demokrasi dan kebebasan yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sila rujuk Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Bukankah ia menjamin kebebasan Bercakap, Berkumpul dan Berpesatuan kepada seluruh rakyat? Apakah UMNO/BN serta pihak Polis yang menjadi kuda tunggangan mereka tidak membaca Artikel ini?
Menghormati kedaulatan Undang-undang yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan ini, kami berpendirian bahawa penganjuran Demontrasi juga termasuk di dalam pengertian kebebasan Bercakap dan Berkumpul, bahkan seluruh dunia juga telah sebulat suara mengiktiraf ianya sebagai salah satu platform yang sihat untuk rakyat menyuarakan pendirian mereka terhadap satu-satu isu besar samada yang berkait dengan krisis dalam dan luar negara. Oleh itu, atas alasan apakah kami perlu dihalang dan dihalau?
Benar, tidak dinafikan bahawa Perlembagaan juga turut memperuntukan kuasa menyekat kebebasan-kebebasan tersebut di atas alasan "Public order" dan "Morality". Namun, sepertimana yang diulas oleh Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari:
"Walaupun kita mengakui bahawa pihak polis perlu diberi kuasa untuk mengawal perhimpunan awam, kita mempersoalkan kuasa mutlak mereka untuk melulus atau menarik balik permit perhimpunan awam tanpa sebab. Kita juga mempersoalkan cara polis memberikan permit berkenaan. Yang sering kita lihat ialah pihak parti pemerintah kelihatan begitu mudah untuk mendapat permit berkenaan, manakala pihak-pihak lain khususnya yang dianggap pengkritik kerajaan didapati sukar untuk mendapatkan permit tersebut. Alasan yang sering dikemukakan ialah keselamatan dan huru hara; sesuatu yang kelihatannya menjadi monopoli pihak berkuasa. Dari satu sudut, ia seolah-olah menekankan betapa kita tidak mempunyai kematangan. Ia membayangkan bahawa masyarakat Malaysia kurang waras, mudah emosional dan seumpamanya" (Perlembagaan Malaysia; Asas-asas dan Masalah, m.s 186)
Beliau menyambung lagi: "Sekatan yang terlalu banyak akan menyukarkan perkembangan pemikiran yang sihat dan kritikal di kalangan rakyat. Selain itu, kerajaan juga tidak dapat menerima maklumat dan maklum balas untuk menilai keberkesanan dasar-dasarnya. Pihak polis juga perlu bertindak lebih terbuka dan enlightened. Mereka perlu lebih berani untuk mempertahankan tindakan secara matang, bukan berselindung di sebalik kuasa yang ada di dalam undang-undang. Mereka perlu sedar bahawa kewujudan mereka adalah untuk memupuk dan menyemarakkan kedaulatan undang-undang. Mereka perlu menyedari bahawa mereka wujud untuk rakyat, menggunakan wang rakyat" (Ibid, m.s 187)
Namun apa yang kita perhatikan, FRU dan pihak Polis telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka. Kuasa menyekat yang diberikan tidak dipertimbangkan dengan adil, bahkan dipengaruhi oleh campur tangan UMNO/BN. Mereka kelihatan tidak "transparent" dan telus dalam menjalankan tanggungjawab yang dipikul. Mereka yang sepatutnya menjadi badan bebas kerajaan seharusnya bertindak mengawal keselamatan rakyat, bukan bertindak untuk menjaga kepentingan UMNO dan Barisan Nasional. Namun apa yang berlaku tempoh hari jelas menunjukkan betapa pihak Polis khianat terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Rakyat seolah-olahnya dilihat sebagai musuh dan bukannya pelanggan.
Bukan sekadar itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) juga turut melahirkan rasa kekecewaan mereka terhadap tindakan polis dalam meleraikan perhimpunan Anti-ISA tempoh hari. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusinya mengatakan bahawa mereka tetap berpendirian tegas bahawa rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman. Autoriti-autoriti ini jelas menjadi bukti betapa tindakan kami mengadakan Demontrasi 1 Ogos lalu adalah bertepatan dengan semangat Demokrasi dan kebebasan Bersuara serta Berkumpul sepertimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan.
DEMONTRASI ADALAH ALTERNATIF TERAKHIR
Anti perlu memahami isu ini dengan lebih luas. Jangan begitu mudah "melatah" semata-mata kerana melihat keadaan huru hara yang berlaku tempoh hari. Fahami situasi ini dengan melihat kepada rentetan perjuangan menghapuskan ISA. Penganjuran Demontrasi pada 1 Ogos lalu bukanlah dijalankan secara terburu-buru dan bukan juga berhasrat untuk menimbulkan huru hara. Sebaliknya, ia dilakukan di atas kegagalan pihak kerajaan untuk mendengar desakan rakyat dan GMI agar dihapuskan akta Zalim ini melalui beberapa langkah dan pertemuan yang pernah sebelum ini dilakukan. Dalam erti kata lain, rakyat telah lama bersabar dan rakyat juga sudah berkali-kali memberikan peringatan agar akta Zalim ini dihapuskan daripada bumi Malaysia. Justeru itu, Demontrasi ini merupakan alternatif terakhir yang dipilih untuk mendesak pihak kerajaan agar menghapuskan akta zalim ini.
Bahkan kalau diperhatikan dari sudut pandangan Islam sekalipun, ia tidak bertentangan dengan syara'.
Islam sebagai sebuah agama nasihat sering menasihati umatnya agar menjauhi kejahatan seperti mencuri, berzina dan sebagainya. Namun sekiranya semua bentuk nasihat tidak diendahkan, malah kita pula begitu berani melakukannya di tengah-tengah masyarakat, maka layaklah kita dikenakan hukuman yang setimpal sebagai ganjaran daripada kejahatan yang kita lakukan. Dalam situasi kita, kita telah beberapa kali memberikan teguran dan merayu agar akta Zalim ini dikuburkan.
Jadi, apakah rakyat perlu dipersalahkan kerana berdemontrasi sekiranya segala langkah baik yang dikemukakan tidak langsung diendahkan? Di mana yang dikatakan "Rakyat didahulukan, Prestasi Diutamakan"?
KEDAI TUTUP, RUGI DAN HURU HARA
Saya yakin sekiranya pihak polis dan FRU bertindak adil dalam mengawal keselamatan demonstran, pasti keadaan huru hara tidak akan berlaku. Ketakutan di kalangan pekedai dan orang awam juga pasti takkan berlaku sekiranya perhimpunan berjalan secara aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak polis dan FRU. Lagipun, ia bukanlah sikap kami untuk menimbulkan sebarang huru hara, bahkan kami telah diberikan garis panduan yang terperinci dan ditegah daripada menimbulkan sebarang kemudaratan dan huru hara. Baca
Para pimpinan juga telah beberapa kali memberikan peringatan sebelum berarak dan semasa bersurai agar perhimpunan dijalankan serta bersurai dalam keadaan aman tanpa menimbulkan sebarang huru hara.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa kami tidak pernah menimbulkan sebarang huru hara dalam apa bentuk pertemuan yang dilakukan samada di dalam ceramah, kempen piliharan raya dan sebagainya. Akan tetapi, yang sering menimbulkan huru hara adalah UMNO/BN serta pihak polis yang sengaja ingin mengganggu kelicinan program yang dianjurkan supaya kami dilihat sebagai punca kepada huru hara.
Apa yang dilaporkan media tempoh hari merupakan satu pembohongan dan tindakan jahat UMNO/BN kepada kami. Ia bukan berpunca daripada kami. Logiknya, apakah selayaknya kami menimbulkan huru hara sedangkan ia bermula sejurus selepas solat zohor di masjid Jamek dan masjid Negara? Namun, belum sempat kami keluar dari kawasan Masjid Jamek, kami telah ditembak dengan gas pemedih mata bahkan sudah ada seorang lelaki yang tercedera. Bukan sekadar itu, tidak mungkin perhimpunan itu bertujuan untuk menimbulkan huru hara dan kemudaratan sedangkan kami hanya datang dengan berbekalkan sebotol air mineral dan garam sebagai persediaan untuk mengurangkan rasa sesak nafas dan gatal disebabkan oleh sembuhan gas pemediah mata dan air berkimia?
Apa yang berlaku pada hari tersebut, pancutan gas pemedih mata dan air berkimia bukan saja dikenakan ke atas kami .. penjual buah di tepi jalan, para pekedai bersama kedai-kedai mereka juga turut sama ditembak oleh FRU. Penutupan premis-premis perniagaan tersebut juga sebenarnya merupakan arahan yang dikeluarkan oleh KDN. Akan tetapi, UMNO/BN telah mempergunakan media dan pihak-pihak tertentu untuk mengalihkan pandangan rakyat dengan mendakwa bahawa semua itu berpunca daripada kami, sedangkan semua ini merupakan satu propaganda dan tindakan jahat yang diada-adakan untuk menimbulkan huru hara dan ketakutan di kalangan orang awam. Baca
PERPADUAN & PECAH BELAH
Perpaduan itu ada hadnya.
Islam mengajar perpaduan itu adalah wajib selagi mana ia tidak bertentangan dengan persoalan agama dan kebenaran. Abu Jahal sendiri pernah memfitnah nabi SAW sebagai pemecah belah di kalangan bangsa Arab Quraish. Bukan sekadar itu, baginda nabi juga pernah difitnah dengan pelbagai lagi bentuk tuduhan seperti gila, ahli sihir dan sebagainya. Tetapi semua tuduhan itu dinafikan oleh Allah SWT. Mana tidaknya, kerna dakwah Islam yang dilaksanakan oleh baginda, seorang anak sanggup melihat ibu menderita, si hamba ingkar kepada perintah tuannya dan si suami sanggup meninggalkan isteri semata-mata untuk bersama dengan seruan baginda SAW. Kalaulah perpecahan menjadi alasan untuk kita berdiam diri dengan kezaliman sehingga membiarkan si mangsa terus tersiksa, kezaliman dan penindasan terus bermaharaja lela, maka nabi SAW adalah insan yang lebih layak untuk digelar sebagai pemecah belah. Bukat sekadar Muhammad SAW, nabi-nabi lain juga patut digelar pemecah belah bangsa kerana kewujudan mereka pasti akan menimbulkan ketidakpuasan orang terhadap mereka.
Akan tetapi, salah faham dan kejahilan telah membuatkan ramai orang terpedaya dengan dakyah jahat musuh-musuh Islam kononnya gerakan Islam inilah punca berlakunya pecah belah di dalam masyarakat.
Saya harap anti jelas dengan pendirian saya. Terpulang kepada anti untuk bersetuju dengan pendirian saya atau tidak. Tepuk dada, tanya iman masing-masing.
Bandingkan Perhimpunan di London dan di Malaysia
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
wktu sy menyuarakan bahawa sy membantah demonstrasi jalanan diadakan, saya sedar ttg kepayahan aktivis politik yg menyokong agar ISA dimansuhkan memohon permit utk perhimpunan awam, saya juga sedar tentang kebebasan bercakap, berkumpul & berpersatuan seperti yg termaktub dlm Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, saya juga sedar bahawa setiap huru hara yg berlaku bilamana aktivis pembangkang mengadakan perhimpunan secara besar2an @ kecil2an..itu bukan berpunca drpd para demonstran sebaliklah pihak polis & FRU yg cenderung kpd suara kerajaan...kesedaran saya terhadap perkara2 yg sy sebutkan ini bukan melalui pembacaan saya dalam surat khabar melayu, tapi melalui pemerhatian & buah fikiran saya sendiri kerana saya sendiri pernah terlibat dalam beberapa demonstrasi sebelum ini...
ReplyDeleteSeperti kata saudara, demonstrasi jalanan adalah alternatif terakhir yg kita mampu buat. Jujur saya katakan, "alternatif terakhir" bunyinya terlalu lemah. Bunyinya seolah2 lepas ni cuma "demonstrasi jalanan" sajalah yg mampu kita lakukan setelah pertemuan dgn kerajaan. memorandum,dan petition tak mampu ubah keputusan kerajaan. Yang berita akhir kita dengar..kerajaan akn kaji balik akta tersebut.
Saya pasti demonstrasi jalanan bukan alternatif terakhir yg kita mampu buat. Ingat tak apa yg berlaku sewaktu kegawatan ekonomi yg berlaku di negara Asia pada tahun 1997 dulu? Waktu tu Dr. Mahathir yg autokratik menolak cadangan Anwar memijam wang drpd IMF, sebaliknya beliau mengumumkan kpd seluruh dunia bahawa wang kita tak laku lagi kata seluruh dunia kecuali di Malaysia sahaja. Dengan idea beliau, waktu tu kita dapat balik hampir RM300juta duit kita yg hilang akibat spekulasi matawang yg dilakukan oleh George Soros.
Pokoknya setiap masalah ada penyelesaian. Dan demonstrasi jalanan bukan jalan terakhir. Sebab tiada jalan terakhir lagi selepasnya kecuali jalan mati. Kalau sudah sampai ke jalan mati, bermakna kita perlu patah balik..untuk keluar dari jalan mati tu..dan cari jalan lain.Insya Allah..sampai destinasi dan matlamat