Tuesday, June 9, 2009

Manhaj Penulisan Saya



Salam perjuangan ...

Pertamanya, selamat datang saya ucapkan kepada para pengunjung yang sudi mengunjung blog ini. Pembikinan blog ini merupakan suatu kesinambungan dari blog saya yang lama ((Satu Jalan Satu Arah Tujuan)) yang menghadapi beberapa masalah. Walaupun sudah mempunyai blog ini, namun saya tidak berhasrat untuk memansuhkan blog terdahulu untuk menghargai segala penulisan-penulisan yang pernah saya catatkan dulu kerana setiap penulisan ilmiah akan tetap mempunyai nilai walau masa terus berjalan dan berlalu. Oleh itu, anda masih boleh mengunjungi blog lama saya untuk menemukan berbagai penulisan-penulisan lama saya demi manfaat bersama.

Setiap penulisan samada berbentuk pembukuan atau blog tidak lengkap sekiranya ia tidak menjelaskan manhaj di sebalik penulisan yang dilakukan. Ia bertujuan untuk memastikan para pembaca dapat memahami objektif, matlamat dan bentuk penulisan yang cuba disampaikan oleh si penulis sebagai kerangka awal sebelum terjun ke dalam penulisan-penulisannya.

Bagi blog ini, saya akan mengekalkan manhaj penulisan sepertimana yang telah saya lakukan pada blog saya sebelumnya. Tidak banyak perubahan yang cuba saya lakukan.

Secara umumnya, objektif utama kewujudan blog ini adalah bertujuan untuk melebarluaskan lagi jaringan dakwah ke khalayak umum. Ia merupakan salah satu peluang emas yang perlu dibolot oleh umat Islam hari ini sebagai medan dakwah moden yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya. Melaluinya juga, saya mengharapkan agar ia dapat menjadi sebahagian dari kebun-kebun tanaman untuk hasil akhirat saya nanti, insyallah.

Saya tidak berminat untuk menjadikan blog sebagai tempat untuk mensensasikan diri sendiri sepertimana yang dilakukan oleh segelintir bloggers yang kandungannya tidak mampu untuk dimanfaatkan oleh para pembaca. Namun sekiranya perkongsian pengalaman peribadi itu mampu menerapkan unsur-unsur nasihat dan teguran yang berguna, ia merupakan suatu initiatif yang patut diberikan pujian.

Hakikatnya, Blog ini berhasrat untuk membawa para pembaca berbicara tentang alam. Dalam erti kata lain, ia akan cuba menyentuh berbagai sudut perbincangan yang tidak memfokuskan kepada satu-satu sudut tertentu sahaja seperti isu semasa & siasah, ketamadunan Islam, syariah, tazkiah, pemuda, wanita dan kekeluargaan. Dengan berkonsepkan separa ilmiah iaitu dengan menggabungjalinkan diantara ilmiah dan santai, Blog ini diharapkan akan berjaya menjadi medan ilmu dan dakwah moden yang berguna kepada para pembaca serta tidak beku dan bosan untuk dibaca serta diterima.

Di samping itu, di antara ciri-ciri manhaj yang saya jadikan pedoman adalah konsisten kepada sikap moderat dan berimbang antara yang kurang dan lebih, antara pendapat-pendapat cendekiawan Islam yang ingin menghalalkan hukum-hukum yang telah pasti dengan alasan harus sesuai dengan perkembangan zaman, dengan mereka yang berkeras terhadap fatwa-fatwa dan perkataan ulama dahulu kerana konsisten menjaga setiap yang lama.

Inilah pendekatan terbaik yang saya pilih saat ini.

Saya pernah memilih manhaj yang sempit .. melihat Islam dan pembawanya dari sisi tepi saja. Namun, manhaj tersebut menyeksa hidup saya dan ia mengikat leher saya daripada memahami keluasan dan keindahan Islam yang hakiki. Ia secara tidak langsung membenihkan rasa "memilih-milih" dan "melabel-label" golongan tertentu secara berlebih-lebihan sehingga menafikan peranan besar mereka di dalam agama. Ia sudah tentu amat merugikan Islam dan diri saya sendiri. Alhamdulillah setelah itu saya bertemu dengan Kesederhanaan Islam. Saya mula melihat Islam dari atas, seperti melihat bumi dari langit yang luas. Guru saya, Maulana Fakhrurrazi adalah di antara insan yang banyak memberikan kefahaman ini kepada saya di samping Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Saya kira, inilah manhaj terbaik yang perlu dihayati oleh setiap pemilik blog Muslim dalam menyampaikan pandangan agar ia sampai kepada masyarakat dengan penerimaan yang ringan dan tidak membebankan. Moderat yang saya maksudkan bukanlah dengan mengabaikan Nash yang jelas Haram dan mengharuskan semua perkara untuk mengembirakan masyarakat. Akan tetapi, inilah manhaj Islam yang sebenar. Kemudahan merupakan suatu keharusan dalam syariat Islam dan bukan sekadar untuk memenuhi tekanan realiti kehidupan atau kerana ingin sejalan dengan waktu sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian orang. Syariat Islam dibangun di atas kemudahan, bukan kesulitan dan ajarannya yang disampaikan kepada manusia juga didasarkan kepada kemudahan dan bukan kesulitan, bahkan dakwah juga dilakukan untuk memberikan khabar gembira dan bukan membuat orang lari dan jauh dari Islam. Kemudahan yang menjadi pedoman saya ialah prinsip yang tidak bertentangan dan mengabaikan nash yang tetap (tsabit) dan muhkam, dan juga tidak bertentangan dengan kaidah Islam yang putus (qat'ie) melainkan kemudahan tersebut merupakan kemudahan yang sejalan dengan nash, kaidah dan spirit yang bersifat umum dalam Islam.

Itulah pandangan-pandangan ulama yang akan saya pilih sebagai tatapan perkongsian para pembaca.

Seterusnya, saya juga tidak berhasrat untuk mengheret para pembaca kepada perbincangan "buang masa" yang merugikan. Soal cabang agama (furu'iyyah) seperti Qunut, lafaz niat solat, pembahagian air dan sebagainya tidak menjadi fokus saya kerana ia bukanlah prioriti umat Islam pada hari ini. Namun sekiranya ia dibicarakan, ia hanyalah sekadar sebuah perkongsian ilmiah bagi memperluaskan lagi "coverage" pemahaman kita terhadap satu-satu masalah .. bukan untuk menghentam, menafi dan menghina pendapat-pendapat yang bertentangan, dan tidak memaksa para pembaca untuk memilih pandangan baru yang mungkin dikemukakan.

Oleh itu, inilah manhaj yang menjadi kerangka sepanjang penulisan saya di dalam blog ini nanti. Saya mengalu-alukan sebarang pandangan, komen, nasihat, teguran dan pertanyaan daripada para pembaca, semoga blog ini mampu memberikan info yang berguna kepada kita semua.

Wallahu a'lam


No comments:

Post a Comment