Salam perjuangan ...
Tiada kata terindah yang mampu saya dan seluruh pendokong PAS luahkan melainkan mengucap rasa syukur kepada Allah SWT di atas permuwafakatan ini. Menunjukkan kasih sayang Allah SWT masih tetap bersama-sama dengan kita.
Permuwafakatan yang diputuskan semalam (22 Jun '09) merupakan tarikh bersejarah yang ditunjukkan oleh PAS, PKR dan DAP bahawa kami akan terus bersama berjuang di dalam Pakatan Rakyat di atas satu matlamat yang sama untuk memerangi kezaliman dan politik puak yang disembah oleh UMNO-Barisan Nasional.
Hakikatnya, sebelum berakhirnya krisis ini, saya mengambil masa yang agak lama untuk berfikir. Apakah perlu saya memberi respon atau sekadar diam menunggu keputusan dari pimpinan PAS dan PR.
Saya buntu.
Saya sedar pandangan saya tidaklah memberi kesan yang besar kepada jemaah kerana saya bukanlah orang yang berpengaruh di dalamnya. Saya hanya seorang anak muda daripada ratusan ribu anak muda PAS yang lain yang tidak dikenal orang melainkan oleh segelintirnya sahaja. Tetapi disebabkan oleh sensitiviti dan kecintaan kepada PAS, saya juga terkena tempias untuk turut sama meluahkan sesuatu yang terbuku di hati.
Akhirnya pada hari Jumaat lepas, saya bertanyakan pandangan Ustaz Khairil Azhar selaku naqib usrah kami berkenaan dengan perkara ini, "Ustaz, selaku ahli jemaah atau orang bawah, apakah yang patut kami lakukan dengan polemik yang melanda jemaah kita sekarang? Apakah kita perlu memberi respon atau bagaimana?". Lama ustaz mendiam, mungkin sedang memikirkan apakah jawapan yang terbaik perlu beliau kemukakan. "Apa yang berlaku sekarang ni adalah untuk menguji sejauh mana tarbiah kita selama ni. Imam Hasan al-Banna ada menyebut bahawa salah satu rukun bai'ah itu faham. Betulkan? Jadi dalam konteks sekarang ni, setiap ahli jemaah perlu faham di manakah keputusan terakhir yang perlu kita berikan keta'atan. Kalau di dalam Ikhwan, Mursyidul 'Am merupakan jawatan tertinggi yang mempunyai kata putus. Tetapi dalam PAS, perlembagaan menyebut Presiden sebagai jawatan tertinggi parti ...".
"Semua orang berhak memberikan nasihat dan pandangan masing-masing sebelum sebarang keputusan dikeluarkan, tetapi apabila pimpinan telah bermesyuarat dan Presiden mengumumkan suatu kata putus, maka waktu tu kita mesti memberikan keta'atan walaupun ia bertentangan dengan pendirian kita. Kalau AJK telah putuskan dan Presiden mengisytiharkan kita tidak akan menerima konsep Unity Government, maka kita mesti ikut keputusan itu. Sama juga kalau Presiden isytiharkan yang kita bersetuju dengan Unity Government, kita juga kena akur dan berlapang dada kerana ia telah dianggap sebagai keputusan jemaah", ujar beliau lagi.
"Apa yang paling penting sekarang ni, kita yang berada di bawah ni, Imam Hasan al-Banna kata kita mesti menyiapkan Janah Az-Zad Was Thabat iaitu luaskan sayap bekalan dan penetapan. Kuatkan bekalan dan thabat dengan perjuangan Islam ..."
Allah menjamin keberkatan bergerak di dalam jemaah. Barangsiapa yang menggunakan jemaah untuk kepentingan peribadi atau untuk menjadi perosak dan anai-anai, suatu hari nanti mereka pasti akan disisir oleh Allah SWT. Semua memberikan penumpuan ketika Ustaz memberikan nasihat. Ternyata inzar yang diberikan oleh beliau seolah-olah telah memberikan tenaga yang baru kepada saya. Saya merasa sangat lega saat beliau mengingatkan kami agar sentiasa memperhatikan adab-adab dalam berjemaah.
Terus terang saya nyatakan, saya sendiri amat ragu dengan Unity Government yang diwar-warkan, dan punya keinginan untuk mempersoalkan sejauh manakah praktikalitinya untuk memenangkan Islam. Tapi nasihat Ustaz membuatkan saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan apa-apa respon terhadap isu ini, walaupun saya berhak. Daripada tersalah cakap mengenai sesuatu yang saya sendiri belum pasti dan tidak tahu secara mendalam mengenainya, lebih baik saya diam dan menunggu keputusan muktamad daripada pimpinan.
Benar, terdapat sesetengah ahli yang tampak begitu marah dan berang dengan idea Unity Government ini. Tetapi saya yakin, kritikan-kritikan yang dilontarkan itu semuanya disebabkan oleh perasaan kasih dan sayang terhadap jemaah dan Islam yang PAS perjuangkan.
Namun Alhamdulillah, berkat doa semua ahli jemaah, segala polemik yang berlegar selama ini mampu diselesaikan dengan cara yang amat baik. Apa yang diharapkan, tautkan kembali ukhuwwah dan mahabbah yang selama ini kita bina dan pulanglah ke tempat masing-masing menjalankan tanggungjawab sebagai sebahagian dari pemikul beban dakwah dan perjuangan PAS yang kita layari sebelum ini dengan penuh keikhlasan dan kesetiaan. Campakkan sebarang kekhilafahan yang tercetus dan buangkan segala buruk sangka yang pernah bersarang di dalam hati.
Sesungguhnya kita semua adalah satu badan yang satu. Apabila peha kanan sakit, seluruh tubuh badan akan demam dan merasa kesakitannya. Insyallah kita akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT di atas kesabaran kita thabat bersama perjuangan ini sementara mereka-mereka yang menggoncangkan ukhuwwah kita pasti akan mendapat kecelakaan oleh Allah SWT kelak.
Tahniah kepada pimpinan PAS & PR
________________________________________________________
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
No comments:
Post a Comment