Wednesday, June 10, 2009

Tema "Islam Memimpin Perubahan"



Salam perjuangan ...

"Islam Memimpin Perubahan"

Inilah tema blog saya pada kali ini. Kalau dulunya saya pernah menggunakan "Masanya" dan "Satu Jalan Satu Arah Tujuan" sebagai tema blog saya yang terdahulu, kini saya berubah kepada satu tema yang lebih segar dan sejalan dengan semangat kebangkitan Islam yang semakin memuncak.

Ternyata apa yang kita saksikan hari ini sudah menjadi bukti bahawa hanya Islam saja yang layak menerajui sebuah ketamadunan yang cemerlang. Samada kita bersetuju atau tidak dengan premis ini, keadaan sedang dan akan senantiasa menjadi saksi akan kenyataan ini.

Buktinya, dunia sedang menghadapi krisis ekonomi global yang amat meruncing sehingga menjejaskan pelbagai sektor pembangunan dan kemajuan, banyak perniagaan yang perlu ditutup, pertambahan jumlah pekerja yang perlu diberhentikan, sumber makanan yang semakin berkurangan dan sebagainya. Selain dari itu, kita juga sedang menyaksikan bagaimana kadar jenayah dari hari ke hari, dan tahun ke tahun semakin meningkat, sehingga manusia gagal lagi mengenal siapakah diri mereka yang sebenarnya. Si ayah tidak lagi mengenal anaknya sehingga sanggup merogol dan membunuh zuriatnya sendiri. Si anak pula tidak punya harga diri sehingga ada yang sanggup merogol ibu kandngnya sendiri. Abang berzina dengan adik, berleluasanya hubungan sejenis di antara perempuan dengan perempuan, lelaki dengan lelaki. Bertambahnya peratusan pembunuhan, kecurian, rompakan dan ragut. Dari segi sosialnya pula, maklumat rasmi yang saya terima dari Jabatan Kesihatan memaklumkan bagaimana bertambahnya jumlah peratusan wanita merokok kepada 12.5% daripada 6% pada tahun ini. Ia merupakan peratusan yang lebih tinggi daripada golongan lelaki yang menurun daripada 47% kepada 45%. Selain itu, kita juga dapat melihat keadaan remaja masa kini yang terperangkap di dalam pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang sukar untuk dibendung lagi. Kes pergaduhan di kalangan remaja dan pelajar juga semakin menjadi-jadi serta peningkatan para pelajar yang semakin berani memonteng sekolah. Penagihan dadah juga bertambah. Judi juga tidak kurang teruknya. Amalan rasuah di kalangan pemimpin melata sehingga ke rakyat jelata. Begitu juga dengan masalah kekeluargaan yang semakin kronik serta kes penceraian yang semakin bertambah disebabkan oleh kecurangan salah seorang pasangan serta kejahilan si suami atau isteri terhadap tanggungjawab berumah tangga.

Ini adalah antara beberapa contoh yang mampu saya kemukakan, dan saya pasti masih terdapat banyak lagi krisis yang sarat berlaku jika diteliti dan dikaji dengan detail.

Justeru itu, melihat kepada pelbagai kepincangan yang berlaku mutaakhir ini dari segi politik, ekonomi, kehidupan sosial dan kemasyarakatan, ternyata dunia hari ini telah gagal untuk membuktikan sesuatu keajaiban yang lebih baik daripada apa yang pernah direkodkan oleh tamadun Islam suatu masa dahulu.

Benar, kita tidak menafikan selama hampir seabad ini, Barat telah berjaya menemukan pelbagai penemuan baru di dalam kemajuan sains dan teknologi, serta memberi kemudahan kepada kehidupan manusia untuk meneruskan sistem jaringan global melalui sistem teknologi yang canggih dan sofistikated. Akan tetapi, kecanggihan teknologi yang mereka bangunkan tidak beriringan dengan pembangunan sumber manusia yang menjadi asasnya. Manusia disediakan dengan pelbagai kelengkapan dan kemudahan, namun jiwa mereka kosong dan lompong dari ruh keagamaan sehingga kemajuan sains dan teknologi yang dibangga-banggakan itu akhirnya memakan serta memusnahkan diri mereka sendiri.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah mengapa dari hari ke hari semakin ramai orang mula "celik" dan ingin berjinak-jinak dengan Islam. Walaupun musuh-musuh Islam bersatu dan bersungguh-sungguh mengatur pelbagai stratergi untuk menjatuh dan menjauhkan manusia daripada Islam, namun ternyata ia hampir menemui kegagalan. Musuh-musush Islam sudah tentu meyakini bahawa masyarakat dunia akan lebih trauma dengan nama "Islam" selepas Selepas tragedi 11 September 2001 apabila umat Islam dituduh menjadi dalang utamanya. Amerika dan sekutu-sekutunya pula telah mengisytiharkan perang besar-besaran terhadap negara berdebu Afganistan di atas nama memerangi "terrorisme" kononnya merekalah "master-mind" di sebalik tragedi keruntuhan bangunan WTC tersebut. Begitu juga dengan perang Iraq-US yang dilancarkan selepas itu di atas tujuan memerangi kezaliman Saddam Hussein serta berbagai lagi bentuk peperangan di atas nama kemanusiaan seperti di Palestin, namun semua perancangan tersebut ternyata menemui kegagalan. Tragedi tersebut rupa-rupanya telah membuka hati-hati manusia untuk lebih mengenali Islam. Manusia mula bersimpati terhadap apa yang sedang diperlakukan kepada masyarakat Islam. Demontrasi jalanan yang dijalankan di seluruh dunia tidak lagi disambut oleh golongan umat Islam sahaja, bahkan dihujani oleh golongan bukan Islam yang sensitif terhadap isu kemanusiaan.

Inilah kekuasaan Allah SWT !! Dia tidak akan membiarkan agama-Nya malap dengan kegelapan jahiliah manusia. Pasti di sana terdapat segolongan manusia yang akan terus bangkit menyahut seruan Allah demi memperjuangkan kalimah Allah dan Rasul-Nya yang tinggi walau di mana-mana sahaja seperti lahirnya Musa AS di celah-celah kezaliman Fir'aun La'natullah. Inilah yang berlaku saat ini. Barat begitu bersungguh-sungguh memerangi Islam, namun di situlah lahirnya cahaya-cahaya Islam, bahkan tidak mustahil khilafah Islam yang ke-5 juga bakal bertapak di sana.

Keadaan ini boleh berlaku bukanlah disebabkan oleh adanya unsur-unsur paksaan daripada Islam, tetapi manusia sendiri ingin dekat dengannya dan sudah mula menyedari bahawa apa yang dilaung-laungkan oleh Barat dan sekutu-sekutunya selama ini hanyalah sebuah "kosmetik" dan lakonan semata, manakala mereka melihat Islam adalah sebuah agama yang benar, lurus dan mampu memimpin manusia ke arah ketamadunan hakiki dan perubahan yang sebenar.

Justeru itu, jangan tunggu lagi ... Ayuh bersama Islam memimpin perubahan.


____________________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

No comments:

Post a Comment