Saturday, June 20, 2009

Belajar dari Generasi Para Sahabat (1)



"Wahai Rasulullah, saudara kami dari kalangan orang kaya telah mendapat pahala yang lebih banyak daripada kami. Mereka solat seperti solat kami, berpuasa seperti puasa kami dan bersedekah dengan harta-harta mereka ...", bertemu sekumpulan sahabat Rasulullah SAW dengan baginda bertanyakan apakah yang layak mereka lakukan dengan keterbatasan yang mereka miliki untuk membantu dan memberi sumbangan kepada Islam.

"Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu yang boleh kamu sedekahkan?", soal Rasulullah SAW mencuri perhatian mereka.

"Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan tiap-tiap tahmid itu sedekah, dan tiap-tiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh melakukan kebaikan itu sedekah dan melarang melakukan kejahatan itu sedekah, dan pada kemaluan kamu itu pun juga sedekah", jelas Rasulullah SAW lagi.

"Rasulullah, adakah sekiranya salah seorang daripada kami yang menggunakan syahwatnya akan turut juga diberikan pahala terhadap perbuatannya itu?", soal mereka sekali lagi untuk mendapatkan kepastian.

"Apakah pendapat kamu kalau ia digunakan pada yang haram, adakah ia akan berdosa? Maka begitu lah juga keadaannya sekiranya ia digunakan pada tempat yang halal, maka baginya pahala"

Perbualan diantara sahabat Rasulullah dengan Baginda SAW di atas adalah intisari perbualan sekumpulan fuqara' dari kalangan Muhajirin yang telah berhijrah bersama-sama dengan Rasulullah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah disebabkan oleh tekanan yang maha hebat daripada golongan kafir Quraish kepada mereka. Mereka datang mengadukan masalah yang sedang mereka hadapi. Tetapi yang peliknya, pengaduan itu bukanlah pengaduan untuk menyatakan ketidakcukupan makanan atau bekalan sehari-hari mereka, tetapi untuk menyatakan kekhuatiran mereka terhadap sumbangan yang boleh mereka berikan untuk Islam lantaran kemiskinan serta kedhaifan mereka.

Kisah ini telah dirakamkan oleh Muslim di dalam Sahihnya melalui jalur periwayatan yang telah diriwayatkan oleh Abu Zar radhiallahu 'anhu. Ia juga merupakan salah satu hadis yang telah diletakkan oleh Imam An-Nawawi di dalam himpunan Arba'in Nawawiyyah beliau di dalam bilangan hadis yang ke-25.

Di dalam riwayat lain yang telah direkodkan di dalam Shahihain (Bukhari & Muslim) melalui jalur periwayatan yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, setelah mendengar Rasulullah SAW mengatakan bahawa tidak ada yang lebih baik daripada saranan tersebut melainkan dengan amalan yang menyamai dengan amalan itu, maka orang-orang kaya dari kalangan Ansar juga tidak mahu melepaskan peluang emas tersebut. Lalu mereka mengambil peluang tersebut untuk menambahkan lagi kelebihan-kelebihan yang sudah mereka miliki dengan memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir kepada Allah SWT. Namun setelah golongan fuqara' dari kalangan Muhajirin mendengar berita bahawa golongan Ansar juga turut melakukannya, maka mereka bersegera bertemu dengan Rasulullah SAW sekali lagi dan menceritakannya kepada baginda.

"Itulah kelebihan yang Allah SWT berikan kepada sesiapa yang Ia kehendaki", jawab Rasulullah SAW kepada mereka.

KELEBIHAN PARA SAHABAT & BERLUMBA-LUMBA KE ARAH KEBAIKAN:

~ Sahabat Rasulullah SAW adalah sebaik-baik generasi umat Islam yang pernah dilahirkan di dalam sejarah tamadun manusia. Mereka adalah ikon generasi Rabbani & Insani yang luhur dengan akhlak dan kepimpinan. Keimanan mereka juga merupakan keimanan yang terbaik di kalangan generasi-generasi umat Muhammad. Tamadun yang dibina oleh mereka juga merupakan semurni-murni tamadun yang pernah dibina oleh manusia sejagat.

Mereka adalah generasi madrasah Muhammad SAW yang mendapat bimbingan langsung daripada batang tubuh baginda SAW. Mereka adalah murabbi serta qudwah bagi generasi tabi'in, tabi' tabi'in dan generasi-generasi selepasnya. Mereka juga adalah guru bagi para ulama dan fuqaha yang kita kenali hebat dengan ilmuan dan sumbangan mereka kepada dunia Islam.

Sebarang kesilapan yang mereka lakukan, mereka akan terus diperbetulkan serta-merta oleh sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT dengan pakaian maksum yang dipakaikan kepadanya. Perkara ini tidak menjatuhkan kedudukan mereka selaku sebaik-baik generasi umat Muhammad, tetapi untuk menggambarkan bahawa mereka adalah manusia biasa yang dipilih oleh Allah SWT untuk dibentuk oleh rasulullah SAW sebagai As-Sofwah al-Mukhtarah (generasi yg terpilih). Pernah suatu ketika di dalam perang Hunaian, sekumpulan kaum Ansar memperkatakan sesuatu tentang Rasulullah SAW yang tidak mengagihkan harta rampasan perang secara adil kepada semua sahabat dan pejuang yang berperang di jalan Allah.

"Hairan sungguh. Nabi memberikan semua harta rampasan kepada orang-orang Quraish sedangkan kita tidak mendapat apa-apa. Padahal pedang-pedang kita telah bercucuran dengan darah-darah mereka", kata Sa'ad bin Ubadah yang merupakan pemimpin Ansar.

Mereka merasa pelik kerana baginda SAW memberikan kepada para muallaf (orang yang berjinak-jinak hatinya dengan Islam) dengan pemberian yang begitu banyak, sementara mereka tidak mendapat sedikit bahagianpun daripada ghanimah tersebut.

Berita itu kemudiannya sampai kepada Rasulullah SAW, lalu mereka dikumpulkan secara khusus oleh baginda rasul dalam satu pertemuan.

"Apakah tidak boleh kamu menikmati harta yang sedikit yang dengannya aku boleh memaut hati-hati orang untuk memeluk Islam, sementara aku lebih menyandarkan kamu dengan keislamanmu? Apakah kamu tidak redha wahai kaum Ansar untuk orang-orang itu membawa unta dan kambing-kambing mereka sementara kamu akan membawa Rasulullah kembali ke negerimu? Maka demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya tidak ada perintah hijrah, sungguh aku akan dilahirkan sebagai golongan Ansar, dan seandainya orang-orang berjalan di sebuah jalan bukit dan kaum Ansar pula berjalan di sebuah jalan bukit yang lain, nescaya aku akan berjalan di jalan bukit yang dilalui oleh orang-orang Ansar"

Kemudian nabi pun berdoa, "Ya Allah, berikanlah rahmat bagi kaum Ansar, anak-anak kaum Ansar, dan cucu-cucu kaum Ansar".

Setelah mendengar hal tersebut, mereka pun menangis sehingga air mata yang mengalir membahasi janggut-janggut mereka. Lalu mereka berkata, "Kami redha dengan pemberian dan pembahagian itu wahai Rasulullah". (Ruj: Mubarakfuri, Ar-Rahiq Al-Makhtum, m.s 383-384)

Setelah itu Rasulullah SAW beredar bersama-sama dengan mereka.

Kita adalah anak-anak generasi para sahabat yang telah mengikat janji (bai'ah) untuk terus berada di bawah naungan panji risalah Muhammad SAW. Kita mesti melaksanakan janji-janji itu sepertimana bapa-bapa kita telah melaksanakannya bersama-sama dengan Muhammad SAW. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Jabir radhiallahu 'anhu berkata, "Wahai Rasulullah ! Apakah yang perlu kami nyatakan kepadamu dalam perjanjian ini?".

Jawab Rasulullah SAW, "Bahawasanya kamu berjanji taat setia denganku samada dalam keadaan semangat ataupun malas ataupun dalam keadaan sibuk mahupun lapang untuk berinfaq samada dalam keadaan susah ataupun senang, untuk menunaikan amar makruf dan nahi mungkar, untuk beristiqamah membela agama Allah tanpa rasa takut dicela orang, tetap membantuku dan akan tetap membelaku apabila aku berada di tengah-tengah kamu sebagaimana kamu membela diri kamu sendiri dan anak isteri kamu. Dengan demikian, kamu akan beroleh syurga" (Muhammad Munir al-Ghatban, Al-Manhaj Al-Haraki Lis Sirah An-Nabawiyyah, m.s 172)

Tidak lama setelah itu, Al-Abbas bin Ubadah bangun dan berkata, "Apakah kamu semua tahu untuk apa kamu semua membai'ah dengan lelaki ini?", soal beliau kepada mereka yang berada di situ.

"Kamu berbai'ah dengannya untuk berjihad dengan manusia, baik yang berkulit merah atau hitam. Maka jika kamu menganggap bahawa musnahnya harta-harta kamu merupakan musibah dan matinya orang-orang mulia di antara kamu merupakan pembunuhan, maka mulai sekarang hal ini merupakan kehinaan di dunia dan akhirat. Namun jika kamu berpendapat bahawa kamu menanggung lelaki ini dengan risiko habisnya harta dan terbunuhnya orang-orang mulia di antara kamu, maka lakukanlah. Demi Allah, itulah perkara yang terbaik di dunia dan akhirat", jelas beliau lagi.

Sejurus selepas mendengar ucapan Al-Abbas itu, mereka pun berkata, "Kami benar-benar akan melakukannya dengan risiko musnahnya harta dan terbunuhnya orang-orang mulia kami ! Tetapi, apakah balasannya wahai Rasulullah?"

Jawab nabi dengan tegas, "Syurga !".

Selepas itu, bergegaslah mereka semua menghulurkan tangan-tangan mereka untuk berbai'ah dengan Rasulullah SAW. (Ruj: Ar-Rahiq Al-Makhtum, m.s 167-168)

Inilah contoh kesungguhan generasi sahabat yang saya nyatakan.

Sejarah telah mencatatkan bahawa mereka terbukti merupakan pengikut yang taat setia kepada baginda SAW. Mereka tidak seperti pengikut nabi Musa 'alaihis salam yang mengkhianati bai'ah dengan baginda Musa 'alaihis salam di dalam senang dan susah. Di dalam satu peristiwa, Miqdad bin Amru radhiallahu 'anhu pernah berkata kepada nabi Muhammad SAW:

يا رسول الله : إمض لما أمرك الله فنحن معك
والله لا نقول لك كما قالت بنوا اسرائيل لموسى إذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون
ولكن إذهب أنت وربك فقاتلا إنا معاكما مقاتلون

"Wahai Rasulullah, pergilah kamu melaksanakan perintah Tuhanmu dan kami akan bersama-sama kamu. Demi Allah ! Kami tidak akan sesekali mengatakan sepertimana yang pernah dikatakan oleh Bani Israil kepada Musa, "Pergilah kamu berperang bersama Tuhan kamu sementara kami hanya akan duduk di sini", tetapi kami akan katakan wahai Rasulullah, "Pergilah kamu berperang bersama Tuhan kamu dan kami akan ikut bersama-sama dengan kamu !"

Maka dengan kesungguhan itulah, Allah SWT memuji dan meredhai mereka sepertimana yang telah disebutkan di dalam beberapa ayat di dalam Al-Quran.

Pengaduan yang dibuat oleh golongan Muhajirin ke atas golongan Ansar itu bukanlah disebabkan oleh perasaan buruk sangka dan hasad dengki mereka dengan kelebihan yang dimiliki oleh saudaranya dari kaum Ansar. Ia juga bukan atas dasar perkauman antara dua puak tersebut. Bahkan mereka saling punya rasa cinta dan mahabbah diantara satu dengan yang lain di atas dasar iman dan Islam. Golongan Ansar begitu senang menyambut kedatangan kaum Muhajirin yang berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bahkan ada di kalangan kaum Ansar yang sanggup untuk membantu kaum Muhajirin yang berhijrah dalam keadaan papa dan faqir. Suatu ketika saat Sa'ad bin Rabi' (Ansar) bertemu dengan Abdul Rahman bin 'Auf (Muhajirin), beliau mengatakan kepada Abdul Rahman, "Wahai Abrul Rahman, apa kata sekiranya aku membahagikan hartaku kepada dua iaitu sebahagiannya untuk kau. Aku juga mempunyai dua isteri, maka pilihlah diantara duanya yang memikat hatimu dan katakanlah kepadaku. Aku akan menceraikannya. Jika ia telah tamat tempoh iddahnya, maka kahwinilah ia". Namun Abdul Rahman menolak tawaran tersebut dengan cara yang baik, lantas bertanya kepada Sa'ad, "Di manakah letaknya pasar? Tunjukkan padaku". (Ruj: Mubarakfuri, m.s 196)

Namun pengaduan itu tidak lebih sekadar perasaan ingin mendapatkan kelebihan di sisi Allah SWT dengan anugerah yang diberikan kepada mereka, dan perkara seperti ini merupakan suatu tuntutan yang sihat di dalam agama supaya kita sentiasa berlumba-lumba untuk memperbaiki diri demi mendapat keredhaan Allah SWT. Daripada Ibn Mas'ud radhiallahu 'anhu bahawasanya nabi SAW pernah bersabda:

لا حسد إلا في اثنتين : رجل اتاه الله مالا فسلطله على هلكته في الحق , ورجل اتاه الله الحكمة فهو يقضي بها ويعلمها

"Tidak ada kecemburuan kecuali pada dua perkara: Seseorang yang diberikan harta oleh Allah kemudian dia membelanjakannya ke jalan yang benar, dan seseorang yang diberikan kebijaksanaan kemudian dia mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain" (Muttafaqun 'Alaih)

Allah SWT telah berfirman:

"Dan yang demikian itu supaya orang berlumba-lumba" (al-Mutaffifin: 26)

Maka sebab itulah ada di kalangan mereka yang bersegera bertemu dengan baginda Rasul sekiranya ada sebahagian daripada mereka yang memiliki kelebihan daripada sebahagian yang lain.

Bukan atas dasar untuk kepentingan peribadi, tetapi demi untuk meraih kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT serta masa depan Islam yang terus gemilang.

Bersambung ...




________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

No comments:

Post a Comment