Ini adalah sebuah lagi buku terbaru Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi bertajuk "Fiqh al-Jihad" cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah. Kehadiran buku ini pasti sangat ditunggu-tunggu oleh dunia Islam khususnya dan keberadaannya sangat bertepatan dengan kehendak semasa memandangkan ramai di kalangan umat Islam yang masih keliru tentang pemahaman dan pengaplikasian sebenar Jihad di dalam konteks semasa.
Sebenarnya persoalan jihad ini telahpun dikupas secara mendalam oleh para ulama terdahulu di dalam kitab-kitab Feqah. Para ulama hadis juga telah menyusun satu bab khusus berkenaan dengan Jihad di dalam kitab-kitab hadis mereka. Ia bukanlah bab baru di dalam agama. Akan tetapi, oleh kerana ramai di kalangan umat Islam yang masih keliru dan salah faham tentang pemahaman sebenar Jihad ini, maka Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi merasa bertanggungjawab untuk mengupas kembali persoalan ini dalam sebuah buku khas dengan mengambil kira konteks semasa agar ia tidak disalah tafsir oleh sebahagian pecinta Islam yang berjuang di jalan Allah. Tanpa mengabaikan prisip asas yang diwahyukan di dalam al-Quran dan as-Sunnah, beliau cuba mengembalikan ruh jihad itu bersesuaian dengan masa dan zaman yang sentiasa berubah-ubah. Saya kira ia merupakan suatu usaha murni dan ijtihad baru yang sangat terpuji kerana ada di antara penjelasan yang dikemukakan oleh para ulama terdahulu tidak lagi sesuai untuk diaplikasikan di dalam konteks semasa pada hari ini. Apa yang mereka kemukakan dahulu mungkin bersesuaian dengan suasana mereka pada ketika itu, namun ia tidak lagi sesuai untuk diadaptasikan di dalam masyarakat kita hari ini disebabkan oleh faktor masa dan zaman yang telah berubah. Maka perlu ada di antara para alim ulama yang bangun untuk mengemaskinikan kembali pemahaman Jihad ini agar ia sentiasa segar dan mampu memandu ummah ke arah pengaplikasian jihad yang sebenar.
Bagi mereka yang berkemampuan dalam membaca penulisan-penulisan arab, saya mengharapkan agar anda mampu memilikinya kerana saya percaya, buku ini pasti memberikan manfaat yang besar kepada kita. Saya sendiri tidak sabar-sabar untuk memilikinya dan nak tahu sangat apakah persoalan yang beliau bincangkan dalam buku tersebut sehingga boleh mencecah sehingga 1400 muka surat. Untuk mendapatkannya, mungkin saya terpaksa menunggu kerana saya rasa buku ini masih belum berada di dalam pasaran Malaysia atau saya terpaksa meminta sahabat di Mesir untuk membelinya. Bagi sesiapa yang tidak berkemampuan membaca teks-teks arab pula, saya kira anda perlu menungga masa yang lebih lama kerana sudah tentu ia mengambil masa yang panjang untuk diterjemahkan.
Kadang-kadang saya terfikir juga, bila la masa beliau menulis sedangkan beliau sibuk dengan pelbagai seminar, forum, ceramah di samping berbagai-bagai jawatan penting yang beliau pikul. Tetapi bila difikir-fikirkan balik, inilah "karomah" yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Apapun, sepanjang pengalaman saya memiliki dan membaca buku-buku karangan beliau sebelum ini, saya dapat simpulkan bahawa beliau memang merupakan seorang "muhaqqiq" dan "mujaddid" di zaman ini. Beliau bukan saja mempunyai pemahaman yang mendalam terhadap al-Quran dan hadis, malah mempunyai ketajaman fikiran sehingga mampu menyelesaikan beberapa persoalan agama secara kontemporari selari dengan kehendak semasa (Fiqh al-Waqi') dan maqasid as-Syari'ah.
Pengolahan yang sistematik dan tidak terburu-buru adalah salah satu keistimewaan beliau berbanding dengan kitab-kitab semasa lain yang saya temui membuatkan saya tidak jemu membacanya. Sebelum memberikan kesimpulan, beliau sering memulainya dengan menjelaskan hikmah kewajipan atau keharaman persoalan itu serta maqasid as-Syariah di sebaliknya menerusi dalil-dalil umum yang berkaitan dengan persoalan yang dibangkitkan untuk membuka kaca mata si pembaca terlebih dahulu. Setelah itu barulah beliau datangkan penjelasan yang mendalam mengenai isu sebenar yang diutarakan dengan dalil-dalil dari sumbernya yang asal, kemudian dikemukakan pandangan para ulama dari pelbagai mazhab dan aliran tanpa terikat kepada satu atau empat mazhab yang muktabar saja. Setelah itu, beliau cuba memberikan pandangan serta mentarjih atau memilih pandangan-pandangan yang lebih hampir dengan maksud Syari'ah serta meneliti maslahah-maslahah di sebaliknya.
Di dalam kesempatan ini, saya juga ingin menyarankan agar anda memiliki beberapa lagi buku-buku beliau yang baik untuk dibaca:
- Al-Halal Wal Haram Fil Islam
- Fatawa Al-Mu'asarah
- Fiqh Az-Zakat
- Nahwa Fiqh Muyassir Mu'asir
- Fiqh At-Thoharah
- Min Fiqh Ad-Daulah Fil Islam
- As-Sabru Fil Qur'an
- Al-'Aqlu wal Ilmu Fil Qur'an Al-Kareem
- Ar-Rasul Wal Ilmu
- Al-Waqt Fi Hayatil Muslim
- Fi Fiqhil Aulawiyyat
- Al-Islam Wal 'Ilmaniyyah
- Syari'atul Islam Solihatun LitTatbiq Fi Kulli Zaman Wa Makan
- As-Sohwatul Islamiyyah Bainal Ikhtilaf Al-Mashru' Wat Tafarruq Al-Mazmum
- As-Siyasah As-Syar'iyyah
- Al-Iman Wal Hayah
- Ibadah Fil Islam
- Nisa' Al-Mu'minat
- An-Niqab Lil Mar'ah Bainal Qaul Bi Bid'iyyatihi Wal Qaul Bi Wujubihi
- Ad-Dhowabitul As-Syari'ah Li Bina'il Masajid
- Wajib As-Shabab Al-Muslim
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
Salam alaik...
ReplyDeletemabruk..
pendedahan tentang kepentingan ilmu dalam proses pembacaan dan kajian serta kupasan sesebuah buku amat kurang dijalankan di Malaysia..
Alhamndulillah, dgn kemunculan hasil2 tulisan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi amat membantu para gerakan islam untuk memandu masyarakat kembali kepada Islam dlm konteks negara moden sekarang.Persoalannya...berapa ramai di kalangan bangsa melayu islam yang menterjemah tulisan2 ulama ke dlm bahasa Melayu sendiri??Kdg2 ramai di kalangan kita yg ingin membaca tetapi maslaah penguasaan dlm bahasa Arab sendiri membantutkan niat mereka utk membaca...Justeru, ana menyeru diri ana dan shbt2 yg lain utk mempelajari dn menguasai bahasa Arab krn masih banyak lagi khazanah2 dan karya2 tulisan ulama2 terkemuka yg belum diterjemah..InshaAllah, usaha menterjemah tulisan2 seumpama ini dapat memberi manfaat yg maksima kpd pembaca.InshaAllah..
Teruskan membaca dan berkongsi...
Waalaikum salam w.b.t
ReplyDeleteJazakillah dgn pandangan anti. Alhamdulillah kitab Fiqh Jihad telah berjaya ana tempah dari sahabat yg sekarang sedang berada di Mesir. Harganya dlm RM80 tp kalau beli di M'sia, mahu juga cecah sampai beratus ringgit tu.
Benar, proses penterjemahan kitab2 arab ke dalam bahasa Melayu di negara kita masih lagi di tahap yang rendah, tidak sebanding dengan saudara kita di Indonesia. Di sana, ia menjadi sebahagian daripada usaha mendapatkan sumber pendapatan yang lebih bg para pelajar2 memandangkan kehidupan mereka yang serba keda'ifan, di samping penguasaan mereka terhadap bahasa arab itu sendiri. Menterjemah itu mudah, tetapi menterjemah dengan tepat dan tidak jauh lari dari kehendak asal penulis itu yang payah.
Saya berminat untuk "membedah buku" di dalam blog ini tetapi ia memerlukan kesungguhan serta kemampuan untuk mendigestkan isi2 penting yang disampaikan oleh si penulis.Namun kekangan masa membuatkan hasrat ini terpaksa ditangguhkan, bahkan masih banyak lagi buku2 baru yg dibeli belum habis dibaca.
Itu pun suatu yg merunsingkan juga