"Malam Jumaat ni anta free tak?", saya bertanya kepada Shahir.
"Erm, setakat ni tak ada apa-apa lagi la. Kenapa?", beliau menjawab
"Kalau anta tak ada apa-apa hal malam tu, ana nak ajak anta ikut pergi usrah", jelas saya
"Usrah Wahabi ke!?", tanya beliau. Wajahnya berkerut semacam je, seoalah-olah ada perkara pelik akan berlaku.
Waktu itu, kami baru saja selesai menjamu nasi ayam di rumah ibu abang Zairol selepas selesai menganjurkan program Munajat H1N1 dan memberikan "face mask" kepada penduduk kampung Manjoi yang datang ke pasar malam, malam itu. Sepatutnya yang menjadi tetamu utama abang Zairol malam itu adalah Dr Ahmad (bukan nama sebenar), Pakar Pesakit Am yang dijemput khas daripada Jabatan Kesihatan Perak untuk memberikan taklimat berkenaan dengan wabak H1N1. Namun setelah selesai memberikan taklimat kepada hampir 300 penduduk kampung, beliau terpaksa pulang awal untuk mengambil anaknya. Jadi, kami la yang menjadi tetamu utama beliau bersama ramai lagi sahabat-sahabat yang lain.
"Ish, kenapa anta cakap macam tu pula?", terbeliak mata saya dengan soalan peluru beliau. Ketika sedang santai duduk bersila bersandarkan dua tapak tangan di atas karpet, terduduk tegak saya dibuatnya dek terkejut dengan soalan "pelik" si Shahir.
"Dulu ana pernah ikut usrah Wahabi sebulan sekali di Tambun, tapi ana macam tak boleh ikut sebab pengisiannya berat sangat", ujar Shahir yang baru berjinak-jinak dengan PAS
"Berat yang macam mana tu Shahir?", saya mohon penjelasan
"Entah la, tapi pengisiannya memang berat la. Ini tak boleh, itu tak boleh. Sampai-sampai doa makan pun mereka kata bid'ah", kata beliau dalam nada serius
Saya tersenyum saja saat mendengar ceritanya.
Beginilah keadaannya. Tatkala ummah sedang berhadapan dengan pelbagai tribulasi dan kekeliruan mengenal identiti, masih ada lagi segolongan umat Islam yang masih mahu terus mengheret ummah ke dalam kepeningan. Sudah lah masih ramai lagi yang merangkak-rangkak membaca Fatihah, keliru akan tertib berwudhuk serta jahil pula tentang cara nak bermandi hadas, mereka disumbat-sumbat pula lagi dengan isu-isu "berat" seumpama itu.
Saya tidak berhasrat untuk mengheret anda agar membenci mereka, kerana saya tahu, saya juga akan turut sama terperangkap di dalam peperangan salaf dan khalaf sekiranya saya memasuki medannya. Namun, persoalan yang ditanyakan oleh sahabat saya itu benar-benar membuatkan saya tersentak, lalu terfikir akan kesudahannya jika ia sampai kepada orang awam yang baru hendak mengenal kesyumulan dan keindahan Islam yang sebenar. Saya bimbang ia akan melahirkan satu "pandemik" baru yang menular di dalam kelompok masyarakat yang hanya tahu membid'ahkan orang tetapi tidak tahu bagaimana membaca kalimah "Bid'ah". Ia bahaya.
Saya sangat menyokong sebarang usaha ke arah pemurnian sunnah yang sahih, juga bersama dengan sesiapa saja yang menyeru ke arah manhaj Salaf as-Soleh. Namun begitu, satu persoalan penting yang ingin saya tanyakan kepada mereka, apakah golongan yang mendakwa memperjuangkan sunnah nabi Sallallahu 'alaihi wasallam serta menyeru ke arahnya ini BENAR dalam mempersembahkan manhaj dakwah sebenar baginda Sallallahu 'alaihi wasallam kepada masyarakat sehingga ummah mampu tenang menerimanya di atas nama baginda Sallallahu 'alaihi wasallam?
Saya khuatir suatu hari nanti, kegopohan mereka itu bukan saja akan merugikan dakwah mereka, malah yang lebih membimbangkan lagi, ia akan membuatkan masyarakat tersilap justifikasi terhadap corak dakwah Rasulillah Sallallahu 'alaihi wasallam yang sebenar disebabkan oleh wajah-wajah negatif yang mereka tonjolkan di hadapan masyarakat serta sandaran-sandaran yang sering mereka paculkan di atas ketidakwujudan perbuatan tersebut di zaman nabi Sallallahu 'alaihi wasallam sebagai cukup untuk mereka mengatakannya sebagai bid'ah.
Alangkah malangnya sekiranya masyarakat sudah terfikir sampai ke tahap itu, dan fitnahnya sudah tentu buruk untuk Islam.
Saya masih percaya bahawa perkara ini masih berada di dalam perkara khilafiyyah yang diizinkan selagimana ia masih tercakup di dalam lingkungan nash-nash yang benar dan sahih. Saya juga tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan yang begitu keras terhadap mereka kerana ia secara tidak langsung menampakkan ketidakmatangan kita terhadap erti kebebasan berfikir dan memberi pandangan.
Saya melihat, kelemahannya cuma pada soal SIKAP.
Alasannya, kalau kita perhatikan dengan teliti, sebenarnya pandangan yang mereka pertahankan kebanyakkannya telahpun termuat di dalam pandangan para imam-imam mazhab. Ertinya, ia bukanlah perkara baru. Cuma, perbezaannya adalah dari segi sikap dan penerimaan mereka terhadap sesetengah pandangan yang menyelisihi mereka. Sebagai contoh, mereka membid'ahkan pengamalan tahlil bagi si mati dengan alasan ia tidak pernah dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, sedangkan pandangan ini juga selari dengan pendirian beberapa mazhab fiqh Islam selain daripada mazhab as-Syafi'i dan sebahagian Hanbali. Perbezaannya cuma, pengikut mazhab lain menganggap perselisihan ini sebagai sebahagian daripada perkara furu' yang perlu dihormati, manakala mereka pula beranggapan bahawa ianya sebagai perkara bid'ah yang wajib diperangi. Begitu juga dengan amalan zikr berjemaah, ia bukanlah perkara baru yang mereka perjuangkan tetapi ia sebenarnya menjadi pegangan bagi sebahagian pengikut mazhab Hanafi contohnya di benua India, dan beberapa mazhab yang lain lagi, bahkan sebahagian umat Islam di Syria, Yaman dan Jordan lebih banyak mengamalkan zikir secara menyendiri dan senyap(Sirriyyah). Begitulah juga halnya dengan pengamalan Qunut di dalam solat subuh, bacaan basmalah dengan nyaring di awal surah al-Fatihah di dalam solat jahar, lafaz niat solat, masalah pembahagian air, pahala bacaan al-Quran kepada si mati dan banyak lagi masalah-masalah furu' yang lain, semua ini telahpun dibincangkan oleh para fuqaha terdahulu dan pegangan mereka pula sebenarnya tidak lari dari salah satu pandangan hukum yang telah dikeluarkan oleh mereka. Cuma beberapa masalah saja yang berbeza yang boleh kita senaraikan di samping beberapa isu aqidah yang jelas ketara perbezaannya.
Para fuqaha tidak sekadar menyandarkan pendirian mereka kepada literasi al-Quran dan al-Hadis begitu saja. Sesungguhnya Siyasah Syar'iyyah memainkan peranan yang sangat penting kepada mereka sebagai alat dan neraca sebelum menyimpulkan sesuatu permasalahan hukum daripada sumber al-Quran dan as-Sunnah. Lapangannya sangat luas, sehingga mengakibatkan berlakunya perbezaan pendapat dan pandangan, antara yang berwawasan sempit dan berwawasan luas. Bahkan dalam menentukan sesuatu "maslahah" juga kadang-kala boleh menimbulkan perbezaan yang ketara kerana sesetengahnya melihat maslahah dari sudut pandang yang dekat, manakala yang lainnya pula memadangnya dari sudut pandang yang jauh. Sebagai contoh, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya "al-Mustasfa" sangat memperketat penggunaannya tertentu kepada beberapa keadaan saja, sedangkan As-Syatibi di dalam "al-Muwafaqat", dari satu sudut memperingankannya pula. Walaupun kedua-duanya menggunakan neraca dan timbangan yang sama, tetapi perbezaannya tetap ketara. Kita lihat juga para ulama berbeza pendapat dengan para imamnya disebabkan oleh perbezaan zaman. Ini dapat kita ketahui dengan jelas dalam sejarah fiqh seperti yang berlaku di antara Abu Hanifah dengan kedua muridnya, Abu Yusuf dan Muhammad. Begitu juga dengan penyusun kitab al-Risalah, Ibnu Abi Zaid al-Qairawani yang terkenal dalam mazhab al-Maliki, di mana beliau berani memelihara seekor anjing untuk keperluan penjagaan keselamatan. Perbuatan tersebut tentu sekali bertentangan dengan Imam Malik yang memfatwakan makruh memelihara anjing. Tetapi ketika ditanya dan dikecam oleh orang-orang kerana menyalahi pendapat Imam mazhab, beliau dengan tegas menjawab, "Seandainya Malik masih hidup di zaman ini, tentu beliau akan memelihara singa yang buas !"
Kembali kepada persoalan SIKAP, saya suka mengambil satu contoh popular yang berlaku di zaman sahabat di antara Saidina Abu Bakr As-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab radhiallahu 'anhu. Kedua tokoh besar sahabat ini seringkali berbeza pendapat dalam memandang dan menyelesaikan masalah. Abu Bakr sentiasa menampakkan kelembutan dan kasih sayang, sementara Umar pula senantiasa mencerminkan kekuatan dan ketegasan. Hal ini mempengaruhi pendapat masing-masing dari keduanya dalam menentukan sikap dan menyelesaikan masalah. Contoh yang paling menonjol dalam hal ini ialah ketika dua tokoh sahabat ini diminta pendapat berkenaan dengan tawanan Badr.
Ketika mentafsirkan surah al-Anfal ayat 67-69, al-Hafiz Ibn Kathir berkata, "Imam Ahmad berkata: Telah menceritakan kepada kami Ali bin Hisyam dari Ahmad dari Anas RA, ia berkata: Pada peristiwa Badr, nabi Sallallahu 'alaihi wasallam meminta pendapat para sahabat tentang tawanan Badr. Baginda bersabda,"Sesungguhnya Allah telah memberikan kemenangan kepada kamu atas mereka!". Serentak dengan itu, Umar berkata, "Wahai Rasulallah, bunuh saja mereka !". Kemudian Rasulullah berpaling darinya, lalu kembali berkata, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah memberikan kemenangan kepada kamu atas mereka. Mereka itu adalah saudara-saudara kamu". Umar berdiri lagi dengan berkata, "Wahai Rasulallah, bunuh saja mereka!". Untuk kedua kalinya Rasulullah berpaling darinya, kemudian baginda mengulangi sabdanya buat kali ketiga. Setelah itu barulah Abu Bakr berkata, "Wahai Rasulallah, kami berpendapat sebaiknya Engkau memaafkan saja mereka dan menerima tebusan dari mereka". Anas radhiallahu 'anhu melanjutkan: Kemudian keengganan yang tadi nampak di wajah baginda itu hilang, lalu baginda mengampuni mereka dan menerima tebusan dari mereka. Anas berkata lagi: Kemudian Allah menurunkan ayat, "Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa siksa yang besar kerana tebusan yang kamu ambil" (al-Anfal: 68)
Walaupun kelihatan perbezaan yang ketara berlaku di antara keduanya, tetapi mereka tidak pernah saling bercakaran dan bermusuhan, malah masing-masing mengasihi sahabatnya dan memujinya kerana iman. Saidina Jabir radhiallahu 'anhu berkata bahawa Umar berkata kepada Abu Bakr, "Wahai sebaik-baik insan selepas Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam!". Setelah mendengarnya, Saidina Abu Bakr pula berkata, "Sekiranya engkau mengatakan sedemikian, sesungguhnya aku pula pernah mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidaklah terbitnya kepada lelaki sebaik-baik mentari melainkan kepada Umar" (Riwayat at-Tirmizi, beliau berkata: Hadis ini Gharib, no. 4684)
Di dalam hadis yang lain, Saidina Umar juga pernah memuji Abu Bakr dengan berkata, "Abu Bakr adalah ketua kami, sebaik-baik insan di kalangan kami dan sekasih-kasih orang di kalangan kami ke atas Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam". (Riwayat Tarmizi, no. 3656)
Inilah sikap sebenar yang ditonjolkan oleh salaf as-Soleh ketika berdepan dengan perbezaan pendapat dikalangan mereka, kerana boleh jadi pendapat mereka salah dan pendapat orang lain pula betul, ataupun sebaliknya kerana kebenarannya yang hakiki hanya diketahui oleh Allah SWT saja. Bahkan boleh jadi juga kedua-dua pendapat yang diperselisihkan itu benar belaka di sisi Allah SWT seperti yang boleh kita perhatikan di dalam Qira'at al-Quran yang semuanya diriwayatkan secara sahih dari nabi Sallallahu 'alaihi wasallam melalui beberapa sanad yang mencapai darjat mutawatir. Perbezaan pendapat ini dapat kita lihat pengaruhnya pada Qira'at Sab'ah (Qira'at tujuh) atau Qira'at 'Asharah (Qira'at sepuluh) yang sudah sangat terkenal di kalangan umat Islam di setiap penjuru dunia seperti Qira'at Hafsh, Warsy dan sebagainya. Namun sebelum itu terdapat juga para sahabat yang menolaknya kerana berkemungkinan mereka tidak tahu bahawa perbezaan qira'at yang didengarnya itu juga berasal daripada nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Hal ini pernah berlaku kepada Ibn Mas'ud radhiallahu 'anhu ketika mana beliau mendengar seorang lelaki membaca sebuah ayat yang berbeza qira'atnya dengan yang pernah didengarnya daripada Rasulillah Sallallahu 'alaihi wasallam. Lalu beliau mengkhabarkannya kepada baginda mengenai hal itu. Menceritakan kejadian itu, Ibn Mas'ud berkata, "Maka aku melihat kebencian di wajah baginda Sallallahu 'alaihi wasallam". Cuba perhatikan jawapan baginda selepas itu kepada Ibn Mas'ud, "Kedua-dua bacaan itu baik. Janganlah kamu berselisih" (Diriwayatkan oleh Bukhari di dalam bab Tafsir dan keutamaan al-Qur'an)
Daripada contoh di atas, jika di kalangan para sahabat sendiri pun berlakunya perbezaan pendapat dalam melakukan sesuatu urusan yang diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, maka mengapa pula kita harus bertelingkah atau memusnahkan perbezaan pendapat yang tidak berkait mengenai masalah prinsip ini? Bukankah mereka generasi yang hidup bersama dengan baginda, dan mereka pula merupakan generasi yang paling faham tentang al-Quran dan hadis, begitu juga dengan imam-imam mazhab yang seterusnya yang lebih arif kefahamannya daripada kita hari ini, namun perselisihan tetap juga berlaku dan mereka mampu pula melalui perselisihan tersebut dengan sifat keterbukaan dan kasih sayang. Tetapi mengapa kita tidak mampu melakukannya? Sebab itu saya katakan, ia kembali kepada persoalan Sikap.
Daripada hadis Ibn Mas'ud di atas menunjukkan kepada kita betapa Islam meraikan perbezaan pendapat. Bagaimana kita boleh katakan yang semua perselisihan itu dianggap tercela sedangkan Allah SWT sendiri mengiktiraf akan kewujudannya, bahkan diciptakan kita dengan kepelbagaian akal fikiran, pemahaman, kepandaian, bahasa, masa dan tempat itupun sudah memadai untuk menjadi bukti betapa perbezaan itu suatu tabi'at kehidupan yang pasti wujud, bukan sekadar dalam persoalan hidup, persoalan agama juga tidak terlepas dari tabi'at semula jadi ini. Allah SWT berfirman: "Jikalau Tuhan-Mu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhan-Mu" (Hud: 118-119). Di dalam ayat yang lain, Allah SWT telah berfirman, mafhumnya, "Jika berlaku pertikaian diantara kamu tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul" (An-Nisa': 59). Memahami keharusannya, khalifah Islam kelima Umar Abdul Aziz diriwayatkan pernah berkata, "Aku tidak suka jika para sahabat Muhammad tidak berselisih pendapat kerana jika mereka hanya berada di dalam satu pendapat, nescaya manusia akan mengalami kesempitan". Di dalam kisah yang lain, tatkala Imam Malik diminta oleh Abu Ja'far Al-Manshur, Khalifah II Empayar Abbasiyyah agar fatwanya dijadikan sistem perundangan negara, beliau menjawab, "Sesungguhnya para sahabat Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah tersebar ke berbagai kota dan negeri, dan masing-masing pula mempunyai kepakaran tertentu. Jadi, bila engkau hendak memaksa umat manusia bersatu padu pada satu pendapat, maka yang akan terjadi adalah pertelingkahan dan fitnah yang berat".
Melalui penjelasan ini telah membawa kita kepada satu keyakinan bahawa mencapai suatu kesepakatan dalam satu persoalan furu' agama adalah suatu keinginan yang mustahil. Bahkan hal itu berlawanan dengan karekter agama itu sendiri. Sebenarnya Allah mengkehendaki keberkekalan agama ini dengan kemampuan pengaplikasiannya dengan pelbagai macam zaman. Kerana itu, ia bersifat mudah, anjal, luas dan tidak beku.
Sekiranya kita semua sudah memahami bahawa perselisihan pendapat itu merupakan sebahagian daripada tabi'at kehidupan, yang tinggal kepada kita sekarang hanyalah persoalan SIKAP. Di sinilah Sikap kita memainkan peranan tatkala berdepan dengan perselisihan pendapat dan pandangan, bukan menghapuskan dan mencelanya kerana ia sungguh suatu usaha yang amat mustahil. Untuk itu, saya rasa sangat sesuai untuk saya bawakan satu contoh sikap Salaf as-Soleh yang patut kita semua contohi sebagai pedoman kita bersama. Ia merupakan sepucuk surat ilmiah yang mengkagumkan yang pernah dikirimkan oleh seorang Imam dan Faqih dari Mesir iaitu Al-Laiths bin Sa'ad, kepada Imam Malik. Dalam surat tersebut Al-Laiths mengemukakan pandangannya dengan bahasa yang sopan dan halus tentang berbagai masalah yang diperselisihkannya dengan Imam Malik. Al-Laiths berkata:
"Semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada anda. Segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Dia.
Amma ba'du
Semoga Allah memaafkan kami dan anda serta memberikan balasan yang baik di dunia dan akhirat. Saya gembira setelah menerima surat anda yang menceritakan bahawa anda dalam keadaan baik. Semoga Allah sentiasa mengurniakan kesejahteraan tersebut kepada anda dan menyempurnakannya dengan memberikan pertolongan untuk mensyukurinya. Sesungguhnya telah sampai berita kepada anda bahawa saya telah berfatwa kepada masyarakat dengan beberapa fatwa yang bertentangan dengan apa yang dianut oleh masyarakat di tempat anda. Saya merasa takut pada diri saya sendiri dengan adanya orang-orang yang berpegang kepada apa yang saya fatwakan, kerana masyarakat telah mengikuti para penduduk Madinah yang sama-sama kita ketahui bahawa di sanalah tempat hijrah dan turunnya al-Quran. Apa yang telah anda tulis tentang hal tersebut insyallah benar dan saya sangat menghargainya. Tidak ada seorang ulama yang lebih membenci fatwa yang ganjil. Tidak ada orang yang lebih mengutamakan para ulama Madinah. Tidak ada orang yang lebih mendukung fatwa-fatwa mereka apabila mereka telah bersepakat, selain daripadaku. Segala puji bagi Allah, Penguasa Alam semesta, tiada sekutu bagi-Nya" (Adabul Ikhtilaf fil Islam, Dr Thaha Jabir, m.s 120-122)
Kemudian Al-Laiths menyebutkan beberapa contoh perbezaan pendapat yang terjadi di antara mereka seperti masalah menjama' solat pada waktu turun hujan di waktu malam, pengadilan dengan seorang saksi dan sumpah, mendahulukan solat sebelum khutbah dalam istisqa' dan masalah khilafiyyah yang lain. Di akhir suratnya, beliau berkata, "Saya telah meninggalkan banyak hal seperti ini. Saya berharap semoga taufiq Allah tetap menyertai anda. Semoga anda dipanjangkan umur dengan memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. Saya tidak takut kehilangan anda, meskipun saya ingin selalu bersama anda sampai mati. Demikianlah kedudukan anda di mata saya dan pendapat saya tentang anda. Percayalah. Janganlah diputuskan surat menyurat dengan saya. Saya ingin selalu mendapatkan khabar tentang anda, anak-anak anda dan keluarga anda. Tidak perlulah segan bila anda memerlukan bantuan, dengan senang hati saya akan membantu. Saya menulis surat ini dalam keadaan lapang dada. Marilah kita memohon kepada Allah, semoga kita mendapat pahala dan kesempurnaan nikmat-Nya. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"
Oleh itu, diantara sikap yang perlu dipilih demi untuk meminimumkan sebarang perselisihan yang besar berlaku, maka manhaj yang terbaik yang perlu kita ikuti adalah "Wasatiyyah" ataupun "Kesederhanaan", yang jauh dari sikap berlebihan atau mengurangi ajaran. Inilah ciri-ciri ummat yang terbaik yang telah ditonjolkan oleh generasi agung Salaf as-Soleh dan inilah juga ciri-ciri yang dituntut oleh agama kita. Allah SWT telah berfirman, "Dan inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya" (Al-An'am: 153). Imam Ahmad di dalam Musnadnya meriwayatkan dari Ibn Mas'ud, dengan berkata, "Rasulullah membuat satu garis lurus dengan tangannya kemudian bersabda: Ini adalah jalan Allah yang lurus. Kemudian baginda membuat jalan di sebelah kanan dan kirinya, lalu berkata: Setiap jalan-jalan ini terdapat syaitan yang mengajak kepadanya. Lalu baginda membacakan ayat: Inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah mengikuti jalan-jalan lain itu"
Sekarang terpulanglah kepada anda untuk menilainya.
________________________________________________________
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
No comments:
Post a Comment