Soalan:
Salam ramadhan. Saya nak tanya satu soalan. Kelmarin saya ada berbicara dengan seorang pakcik. Dia sudah lama menuntut di madrasah. Saja borak2.. Pakcik ni cakap, solat tarawih 8 rakaat itu bukan dianggap sebagai solat tarawih, tapi solat sunat mutlak. Yang dibuat sebanyak 20 rakaat itu barulah dianggap sebagai solat sunat tarawih. Saya jadi keliru. Boleh saudara fitri jelaskan hal sebenarnya pada saya?
___________________________
Jawapan:
Salam Ramadhan …
Alhamdulillah, akhirnya sempurna juga artikel berkenaan dengan solat tarawih ini. Walaupun diuji dengan kesibukkan, namun kami cuba juga untuk memberikan secebis pandangan dan respon terhadap persoalan yang ditujukan. Segala puji dan syukur dikembalikan hanya kepada Allah di atas taufiq dan hidayah yang dianugerahkan-Nya. Moga Allah memberkati. Semoga saudari yang bertanya dan para pembaca sekalian beroleh manfaat dari artikel ini dan bacalah dengan sabar. Selamat membaca.
Tidak terdapat perbezaan atau perselisihan di kalangan kaum Muslimin mengenai kedudukan solat tarawih sebagai ibadah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Yang menjadi titik perbezaan ialah pada bilangan rakaatnya, apakah 8 atau 20. Namun, perselisihan ini hakikatnya termasuk di dalam masalah furu' (cabang) agama dan bukanlah termasuk dalam perkara aqidah. Tetapi apa yang menyedihkan, perselisihan sering saja dibangkitkan setiap kali tibanya bulan Ramadhan sehingga menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah kaum Muslimin samada di dalam masjid atau di luarnya dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan samada yang mendakwa itu, Salafi atau Khalaf.
Solat tarawih adalah solat sunat yang ditunaikan oleh kaum muslimin tiap malan di bulan Ramadhan, setelah Isyak dan sebelum solat witr. Rasulullah SAW sendiri menunaikannya dan menganjurkan ummatnya supaya menunaikannya juga. Demikian pula yang dikerjakan oleh sahabat-sahabat baginda dan generasi-generasi berikutnya. Di dalam riwayat yang sahih, Abu Hurairah RA telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".[1]
Hadis tersebut secara umumnya menegaskan mengenai pengampunan dosa-dosa kecil bagi sesiapa yang mendirikan bulan Ramadhan dengan penuh penghayatan iman dan ikhlas kerana Allah SWT. Dalam memahami keumuman kalimah ini, Imam Ash-Shaukani mengatakan di dalam ((Nailur Authar)) bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah "Sesiapa yang mendirikan Ramadhan" sebahagiannya termasuklah solat sunat Tarawih. Beliau memperkuatkan pendapatnya dengan menaqalkan beberapa fatwa para ulama seperti An-Nawawi dan Al-Karmani.[2]
Ibn Qudamah dalam kitabnya ((Al-Mughni)) mengatakan bahawa orang pertama yang menunaikan solat tarawih adalah Rasulullah SAW. Baginda tidak mewajibkannya kepada ummatnya, tetapi hanya menganjurkannya agar ia dikerjakan. Sebuah riwayat daripada Siti Aisyah RA mengatakan bahawa pada suatu malam di bulan Ramadhan, Rasulullah SAW bersolat di masjid. Kemudian banyak orang yang mengikutinya, dan bilangannya bertambah pada malam kedua dan semakin bertambah untuk malam ketiga dan keempat. Namun, pada malam berikutnya beliau tidak lagi keluar bersolat di masjid. Keesokkan harinya beliau memberitahu kepada para sahabat, “Aku melihat apa yang kamu semua lakukan. Tetapi aku tidak lagi keluar bersama kamu ke masjid kerana aku takut kalau nanti ia akan diwajibkan”[3].[4]
Berkait dengan hadis ini, telah berlaku perselisihan di kalangan para ulama mengenai keutamaan mengerjakannya samada ia lebih utama dilakukan secara sendirian ataupun berjamaah. Dalam hal ini, para ulama telah berselisih kepada dua pendapat. Ash-Syafi’ dan jumhur sahabat-sahabatnya, Abu Hanifah, Ahmad dan sebahagian daripada Malikiah berpendapat bahawa ia lebih utama didirikan secara berjamaah.[5] At-Tirmizi juga mengatakan bahawa ia adalah pendapat yang dipegang oleh Ibnul Mubarak dan Ishak.[6] Sedangkan pendapat kedua yang dipegang oleh Malik, Abu Yusuf dan sebahagian Syafi’iyyah pula berpandangan bahawa ia lebih utama didirikan secara sendirian sebagaimana solat-solat sunat yang lain.[7]
Kumpulan pertama bersandarkan pendapat mereka kepada amalan Saidina Umar dan para sahabat yang lain seperti saidina Jabir, Ali dan Abdullah bin Umar[8], serta amalan-amalan berterusan yang dilakukan oleh kaum muslimin di samping menganggapnya sebagai sebahagian daripada syi’ar agama seperti solat hari raya (solatul ‘Aid).
Pendapat ini juga disokong dengan kenyataan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah mendirikannya secara berjamaah sebelum baginda meninggalkannya. Imam an-Nawawi mengatakan, “Daripada perilaku nabi SAW itu menunjukkan keharusan mendirikan solat sunat secara berjemaah. Tetapi pandangan yang terpilih ialah, ia sebaiknya dilakukan secara sendirian kecuali bagi solat-solat sunat yang dikhususkan seperti solat sunat al-‘Aid, solat sunat Kusuf (gerhana matahari) dan Istisqa’(minta hujan), begitu juga dengan solat sunat tarawih”.[9] Ash-Shatibi juga telah berkata, “Sesungguhnya solat jemaah yang didirikan oleh Rasulullah SAW di masjid menjadi bukti ke atas kebenaran mendirikan solat sunat secara berjamaah di dalam bulan Ramadhan. Ini adalah kerana, tatkala Rasulullah SAW khuatir para sahabat akan menganggapnya sebagai wajib, lalu baginda menghentikannya(iaitu keluar tarawih berjamaah di masjid) dan ini menjadi bukti bahawa ianya adalah solat sunat. Tindakan yang diambil oleh baginda tersebut bukanlah menunjukkan tegahan secara mutlak (untuk melaksanakan solat sunat secara berjemaah), tetapi kerana waktu itu adalah waktu wahyu masih lagi diturunkan”.[10]
Imam At-Tohawi pula mengambil pendekatan yang lebih ketat dari yang lainnya dengan mengatakan bahawa mendirikannya secara berjamaah adalah wajib al-kifayah. Ertinya, perlu ada segelintir umat Islam yang keluar mendirikannya secara berjamaah agar semua orang tidak menanggung beban dosa jika meninggalkannya. Manakala kumpulan yang menyatakan keutamaan solat sunat dilaksanakan secara sendirian pula bersandarkan pandangan mereka melalui keumuman hadis nabi SAW yang mengatakan, “Sebaik-baik solat ialah solat seseorang di rumahnya melainkan solat fardhu”[11].[12]
Berkenaan dengan bilangan rakaat solat tarawih pula, sebenarnya tidak terdapat dalil yang qat'ie (putus) yang menunjukkan berapakah jumlah sebenar bilangan rakaat tarawih yang dikerjakan oleh baginda SAW, kerana terdapat pelbagai riwayat yang berbeza-beza mengenai bilangan rakaat tersebut. Akan tetapi, riwayat yang masyhur yang menyatakan mengenai bilangan rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah sebanyak sebelas rakaat ataupun tiga belas rakaat. Bilangan ini berdasarkan kepada sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman yang menyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Saidatina Aishah RA, "Bagaimanakah solat Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan?". Lalu Aishah menjawab, "Baginda tidak menambah pada bulan Ramadhan dan selainnya melebihi sebelas rakaat", dan di dalam riwayat yang lain, “Bahawasanya baginda mendirikan solat sebanyak 13 rakaat, kemudian melaksanakan solat sunat fajr apabila mendengar azan berkumandang”. Bahkan di sana juga terdapat berbagai lagi riwayat tambahan yang menceritakan mengenai bilangan rakaat yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW seperti 8 rakaat, 9 rakaat dan 10 rakaat. Imam At-Tirmizi berkata di dalam kitabnya ((Sunan At-Tirmizi)), “Dan bilangan rakaat yang paling banyak diriwayatkan daripada nabi SAW pada mendirikan solat malam adalah sebanyak 13 rakaat bersama witir dan yang paling sedikit pula adalah sebanyak 9 rakaat”[13].
Manakala riwayat-riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW mendirikannya melebihi daripada 11 dan 13 rakaat, ianya tidak terlepas daripada kritikan para ulama. As-Sobuni di dalam ((Subulus Salam)) menyatakan, “Adapun bilangan 20 rakaat yang dilakukan oleh baginda SAW, tiada satupun hadis marfu’ kecuali apa yang diriwayatkan oleh Abdun bin Hamid dan At-Tabrani dari jalan Abi Shaibah Ibrahim bin Uthman daripada Hikam daripada Maqsam daripada Ibn Abbas bahawa, “Sesungguhnya Rasulullah SAW mendirikan sebanyak 20 rakaat dan witir di dalam bulan Ramadhan”. Telah dinyatakan di dalam Subulur Rashad dan Al-Mizzi di dalam Tahzibnya: Abu Shaibah telah ditad’ifkan (dilemahkan) oleh Ahmad, Ibn Mu’in, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, An-Nasa’I, Abu Hatim Ar-Razi, Ibn ‘Adi, Al-Akhwas dan sebahagiannya pula mengatakan bahawa beliau adalah pendusta”.[14]
As-Sobuni berkata lagi, “Ibn Mu’in telah berkata: Abu Shaibah bukan seorang yang boleh dipercayai (thiqat) dan beliau menganggap hadis ini sebahagian dari kemungkarannya. Al-Azra’i juga telah berkata di dalam al-Mutawassid: Adapun riwayat-riwayat yang menyatakan bahawa baginda SAW mendirikan Tarawih sebanyak 20 rakaat pada 2 malam tersebut adalah mungkar. Az-Zarkashi di dalam Al-Khadim juga telah menyatakan perkara yang sama seperti yang dinyatakan oleh Al-Azra’i dan beliau menambah: Bahkan yang benar di dalam riwayat yang sahih adalah baginda melaksanakannya tanpa dinyatakan berapakah bilangannya, dan yang sahih adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban yang menyatakan bahawa baginda melaksanakannya sebanyak 8 rakaat dan witir. Al-Baihaqi dan As-Suyuti juga turut tidak ketinggalan mendha’ifkan hadis yang tersebut”.[15]
Adapun bilangan 20 rakaat yang dikerjakan oleh kebanyakkan kita hari ini sebenarnya merupakan bilangan yang dicadangkan oleh Saidina Umar al-Khattab RA semasa zaman pemerintahannya. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abdul Qari, beliau mengatakan, “Pada suatu malam di bulan Ramadhan, aku keluar bersama khalifah Umar. Di masjid kami lihat banyak orang solat berkelompok-kelompok dan terpisah-pisah. Ada yang solat sendirian dan ada pula yang mengimami sekelompok jemaah. Melihat keadaan tersebut, lalu Umar berkata, “Aku berpendapat kalau mereka semua dikumpulkan dalam satu jemaah dan diimami oleh seorang imam, tentu ia lebih baik”. Khalifah Umar pun kemudiannya mengumpulkan mereka di dalam satu jemaah, dan diimami oleh Ubai bin Ka’ab. Pada malam berikutnya, aku keluar lagi bersama Umar. Kami melihat mereka lihat mereka solat berjemaah diimami oleh seorang imam. Saat itu Umar pun berkata, “Alangkah besarnya nikmat bid’ah itu”.[16]
Dalam riwayat yang lain yang dikeluarkan oleh Al-Baihaqi yang berasal dari As-Sa’ib bin Yazid, beliau mengatakan, “Pada zaman Khalifah Umar, tiap bulan Ramadhan kaum Muslimin mengerjakan solat tarawih 20 rakaat”.[17] Imam Malik juga telah meriwayatkan daripada Yazid bin Ruman yang mana beliau telah berkata, “Pada zaman Umar bin Khattab, kaum Muslimin mendirikan solat tarawih sebanyak 23 rakaat pada tiap bulan Ramadhan”.[18]
Sebuah athar yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lain-lain dengan sanad yang sahih daripada Saib bin Yazid RA katanya, "Mereka mengerjakan pada zaman Umar bin al-Khattab RA pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat. Mereka mengerjakannya dengan kadar 200 ayat padanya". Athar ini diperakui oleh Al-Hafiz al-Iraqi dan As-Subki.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam Fath al-Bari satu riwayat daripada Abdul Razzaq daripada Muhammad bin Yusuf bahawa bilangan rakaatnya ialah 21 rakaat. Sanad riwayat ini adalah sahih. Walaupun sebahagiannya mempertikaikan Abdul Razzaq, pengarang kitab ((Al-Mushannif Abdul Razzaq)) ini, tetapi Ibn Hajar menegaskan di dalam ((Hadyu As-Sari)) mengenai Abdul Razzaq ini dengan katanya, "Dia adalah salah seorang imam yang dipercayai dan tidak seorangpun yang mempertikaikannya melainkan Abbas bin Abdul Azim Al-Anbari seorang saja".[19]
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan bahawa Ibn Abi Mulaikah mengerjakan solat pada bulan Ramadhan 20 rakaat. Sanadnya juga adalah sahih. Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan daripada al-Buhturi bahawa beliau pernah mengerjakan lima kali solat tarawih dengan bilangan 20 rakaat dan melakukan witir sebanyak 3 rakaat.
Terdapat banyak lagi riwayat yang mengatakan bahawa salafussoleh mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Riwayat-riwayat tersebut, walaupun pada sanadnya terdapat kelemahan, ia boleh dikuatkan dan dinaikkan tarafnya ke taraf 'hasan lighairihi' bersama riwayat-riwayat yang telah disebut di atas.[20]
Oleh itu, berdasarkan kepada hadis-hadis ini dan yang lainnya, jumhur ulama seperti Ath-Thauri, Ibnul Mubarak, Abu Hanifah, Imam As-Syafi’i dan Ahmad berpendapat bahawa solat sunat tarawih disunatkan dengan 20 rakaat. Ia juga adalah pendapat Daud Az-Zohiri dan yang lainnya.[21] Justeru itu, Syeikh Muhammad bin Ibrahim ‘Ali As-Syeikh dan Al-Hafiz Ibnul Iraqi telah menyatakan di dalam ((Tharhut Tastrib)) bahawa bilangan rakaat yang dilakukan Umar itu seolah-olah telah menjadi ijma’(consensus) para ulama.[22]
Namun menurut As-Suyuti, sesetengahnya pula tidak menghadkan rakaat tarawih kepada 20 rakaat sahaja. Diriwayatkan daripada Al-Aswad bin Yazid bahawa mereka mendirikan tarawih sebanyak 40 rakaat. Imam Malik pula memilih untuk mengerjakannya sebanyak 36 rakaat berdasarkan kebiasaan yang dilakukan oleh orang-orang di Madinah pada zamannya, kerana ingin menyamai orang-orang Mekah. Pada masa itu, pendudukan Mekah setelah dua kali beristirehat dalam solat tarawih, mereka bertawaf mengelilingi ka’bah sebanyak tujuh kali putaran. Penduduk Madinah pula ingin menggantikan tujuh kali putaran tawaf tersebut dengan empat rakaat solat tarawih.[23]
Akan tetapi, menurut Ibn Abdil Barr dan As-Syafi’i, walaupun penduduk Madinah melaksanakannya sebanyak 39 rakaat, tetapi mereka lebih menyukai 20 rakaat kerana ia berdasarkan riwayat daripada Umar bin Khattab. At-Tarmizi mengatakan di dalam ((Sunan At-Tirmizi)) bahawa As-Syafi’i telah berkata, “Demikianlah apa yang aku saksikan di negeri kami, Mekah di mana penduduknya mendirikan tarawih sebanyak 20 rakaat”[24]. Imam An-Nawawi dalam ((Al-Majmu’)) pula mengatakan, “Menurut mazhab kami, solat tarawih adalah 20 rakaat dengan 10 kali salam selain witr, diselangi lima kali rehat. Masing-masing setelah dua kali salam”.
Setelah dipaparkan pelbagai riwayat dan pandangan para ulama, kita dapati berlakunya kepelbagaian pendapat ini adalah disebabkan oleh tiadanya penetapan yang jelas daripada Rasulullah SAW berkenaan dengan jumlah sebenar rakaat yang dilakukan oleh baginda nabi SAW. Sepertimana yang dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnul Iraqi, hadis-hadis yang dikemukakan hanya menceritakan mengenai berapakah bilangan rakaat yang dikerjakan oleh baginda SAW. Oleh itu, Imam As-Suyuti berkata, “Sekiranya terdapat penetapan daripada nas (hadis) mengenai bilangannya, sudah tentu bilangan rakaat tidak boleh ditambah oleh penduduk Madinah”. Beliau kemudiannya mengungkapkan pula kenyataan an-Nawawi di dalam ((al-Majmu’)) yang mengatakan, “Sekiranya di sana terdapat hadis marfu’, pasti ia akan dijadikan sebagai hujjah(dalil yang dipegang)”.[25]
Dalam mengkomentari kepelbagaian riwayat berkenaan dengan bilangan rakaat solat yang dilaksanakan oleh nabi SAW, Al-‘Allamah Al-‘Aini telah berkata, “Telah berbeza hadis-hadis berkenaan dengan bilangan rakaat solat malam yang dilakukan oleh nabi SAW. Di dalam hadis Zaid bin Khalid, Ibn Abbas, Jabir dan Ummu Salamah menetapkan bahawa baginda mendirikannya sebanyak 13 rakaat. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Fadl, Safwan, Ibn Mu’attal, Muawiyah bin Hikam, Ibn Umar pula menyatakan sebanyak 11 rakaat. Riwayat Anas pula sebanyak 8 rakaat, Huzaifah sebanyak 7 rakaat, Ayyub sebanyak 4 rakaat dan rakaat yang paling banyak ialah daripada Ali iaitu sebanyak 16 rakaat”. Setelah menyatakan semua riwayat-riwayat tersebut, beliau menjawab, “Kesemua rakaat-rakaat yang diriwayatkan itu sebenarnya berdasarkan kepada apa yang disaksikan oleh perawi terhadap perbuatan nabi SAW”. Logiknya adalah, Siti Aisyah RA meriwayatkan hadis tersebut berdasarkan kesaksiannya sendiri mengenai solat malam yang dilakukan oleh nabi SAW. Akan tetapi, hadis tersebut tidak mengingkari kemungkinan baginda SAW melakukannya lebih dari 11 rakaat. Ini adalah kerana, Aisyah adalah salah seorang dari isteri-isteri nabi SAW yang berjumlah 9 orang. Maka, apa yang disaksikan oleh beliau bukanlah seluruh solat malam baginda melainkan pada malam-malam gilirannya bersama Rasulullah SAW sahaja.
Dalam masa yang sama, Imam Ahmad juga telah berkata, “Sesungguhnya mendirikan (solat) Ramadhan itu tidak tertakluk kepada rakaat-rakaat tertentu, kerana nabi SAW tidak pernah menentukan bilangannya, di mana banyak dan sikitnya rakaat tersebut adalah bergantung kepada lama dan pendeknya waktu mendirikannya”.[26] Imam Ibn Taimiyyah juga sependapat dengan imamnya dan berkata, “Rasulullah SAW bersolat di dalam Ramadhan dan selainnya sebanyak 11 atau 13 rakaat, tetapi baginda melaksanakannya dalam tempoh waktu yang lama. Maka apabila ia membebankan kaum Muslimin, Ubai bin Ka’ab meringankannya di zaman Umar al-Khattab dengan mendirikan sebanyak 20 rakaat bersama witir selepasnya. Pertambahan bilangan itu dilakukan sebagai ganti kepada lamanya berdiri. Sebahagian salaf mengerjakannya sebanyak 40 rakaat dan kuranglah tempoh lama berdirinya dan dilaksanakan witir selepasnya. Begitu juga sebahagiannya melaksanakannya sebanyak 36 rakaat bersama witir selepasnya”.[27]
Kesimpulannya, inilah sedikit sebanyak penjelasan para ulama yang sempat kami kemukakan. Seperti yang dikatakan oleh Syeikh Abdullah Al-Bassam, kedua-duanya, samada sebanyak 8 rakaat mahupun 20 rakaat adalah sunnah dan bersandarkan kepada dalil. Yang lebih utama di dalam bulan Ramadhan adalah tuntutan untuk menghidupkannya dengan amalan kebaikkan. Saya perhatikan, kebanyakkan masjid-masjid dan surau yang mengerjakan 8 rakaat tidak terus berakhir dengan solat witir tetapi tujuannya adalah bagi mengisi malamnya dengan tazkirah Ramadhan. Berbeza dengan masjid yang memilih 20 rakaat, selalunya tiada pengisian tazkirah diisi pada malamnya untuk para jemaah. Walaupun rakaat 8 itu lebih pendek, tetapi hakikatnya ia seperti solat 20 rakaat kerana ia padat dengan tazkirah ramadhan, tadarus dan sebagainya. Makna kata, tempoh masa yang digunakan untuk menghidupkan malam Ramadhan bagi 8 rakaat sama seperti masjid yang mengerjakan 20 rakaat. Maka dengan sebab itu, janganlah kita bertegang lidah sesama sendiri apatah lagi untuk menjadikannya sebagai punca kepada perpecahan ummat, kerana diantara berselisih dalam perkara furu’ dan menjaga perpaduan, kesatuan ummah adalah perkara usul yang lebih utama dan wajib untuk dipelihara. Saya suka mengambil tauladan daripada kisah Imam Hassan Al-Banna yang pernah ditanya mengenai persoalan ini oleh salah seorang jemaah masjidnya. Jawapan yang diberikan oleh beliau pada ketika itu adalah, “Solat tarawih hukumnya sunnah, manakala kesatuan dan perpaduan sesama kaum Muslimin hukumnya fardhu. Kerana itu, perkara fardhu tidak boleh dikorbankan hanya untuk melakukan perkara sunnah. Andainya mereka masing-masing solat di rumah tanpa bertengkar adalah lebih baik dan sesuai daripada hadir ke masjid untuk bergaduh”. Allah SWT telah berfirman, “Bukanlah kebaikkan itu bahawa kamu menghadapkan wajah-wajah kamu ke arah timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, para malaikat, kitab dan nabi-nabi ..” (al-Baqarah: 177)
Semoga Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah kepada kita semua. Ameen
[1] Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasa’i dan Ahmad. Lihat: Nailur Authar, 2/308
[2] Nailur Authar, 2/308
[3] Muttafaq ‘Alaih
[4] Mughni, 2/366
[5] Nailur Authar, 2/309
[6] Sunan At-Tirmizi, 122
[7] Nailur Authar, 2/309
[8] Mughni, 2/367
[9] Nailur Authar, 2/309
[10] Al-I’tisam, 1/256
[11] Muttafaq ‘Alaih
[12] Nailur Authar, 2/309
[13] Sunan At-Tirmizi, m.s 133
[14] Subulus Salam, m.s 223 & Al-Masobih fi Solatit Tarawih di dalam Hawi Lil Fataawa, As-Suyuti, m.s 356
[15] Subulus Salam, m.s 223 & Tanwirul Hawalik, m.s 162
[16] No.2010, Lihat: Nailur Authar, 2/312
[17] Mughni, 2/366
[18] Al-Muwattha’, no. 254
[21] Mughni, 2/366 & Bidayah al-Mujtahid, Ibn Rushd, 1/219
[22] Taudhehul Ahkam, Abdullah Al-Bassam, 2/298
[23] Al-Masobih, As-Suyuti, m.s 356
[24] Sunan At-Tirmizi, m.s 221
[25] Al-Masobih, m.s 356
[26] Taudhehul Ahkam, 2/298
[27] Majmu’ah Al-Fatawa, 12/70
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
No comments:
Post a Comment