Friday, October 16, 2009

Jangan Menyerah ....



Saudara,

Dalam keadaan susah, sulit dan putus asa, kita memerlukan sesuatu yang boleh membuatkan kita kembali bersemangat. Dalam keadaan terjatuh, atau dihimpit kesulitan, kita semua memerlukan sesuatu yang boleh membuatkan hidup kita kembali bermotivasi dan bangkit semula.

Banyak sekali luahan dan suka duka yang saya dengar di kiri dan kanan saya, samada ia daripada lelaki mahupun perempuan, atau yang dekat mahupun jauh. Ada yang merasa terseksa kerana terpaksa melalui masa-masa pengajian yang bukan menjadi pilihannya, sehingga banyak masa yang terbuang dan tersisa dengan angan-angan yang ingin sekali dicapainya. Ada juga yang meluahkan rasa duka kerana tawaran perasaannya ditolak oleh lelaki pilihannya, yang tanpa disedari beliau telah tersumpah dengan nama Allah untuk tidak akan menegur lelaki tersebut sehinggalah beliau ditegur. Ada juga yang terpaksa mengorbankan masa rehat dan tidurnya dalam usaha beliau untuk mencapai cita-citanya serta cita kedua ibu bapanya. Ada yang menceritakan kekecewaannya akibat dibuang kerja dalam keadaan beliau sendiri tidak tahu di manakah silap dan puncanya. Bahkan ada juga yang secara tulus menceritakan penjalanan hidupnya yang panjang dari seorang penagih dan pengedar dadah, sampai ditangkap dan dipenjara sehinggalah ke saat beliau bertemu jalan tuhan. Banyak lagi luahan, suka duka serta perkongsian kepayahan yang pernah saya dengar yang kadangkala sangat menyentuh jiwa dan perasaan saya. Namun seperti yang telah saya katakan, saya akan tetap bersedia untuk mendengar apa saja masalah yang ingin diluahkan walaupun ia boleh menambahkan kesedihan saya sendiri, asalkan orang yang datang berjumpa saya berasa lega.

Pembaca sekalian, saya juga seperti kalian. Saya pernah, dan mungkin separuh kehidupan saya yang sedang saya jalani masih mengalami apa yang dinamakan kepayahan, hina kerana perbuatan sendiri, terjatuh, terpukul dan tersembam. Adakalanya cabaran itu mudah untuk diatasi, namun kadangkala ia menguji kesabaran dan kemampuan saya.

Pernah satu ketika saya ditengking di khalayak ramai oleh seorang pegawai mahkamah yang tidak berpuas hati dengan permintaan saya untuk disegerakan penyerahan fail. "Kamu bawa balik je la fail tu !!!", tengking encik Nazri, kerani mahkamah 3 Mahkamah Tinggi Ipoh.

Saya terkedu, dan terkebil-kebil. Apa salah saya? Saya dapat rasakan yang semua orang sedang menghalakan wajah mereka ke arah saya pada ketika itu.

Di kalangan staf mahkamah yang ada...sesetengahnya ada yang ketawa kecil, ada yang melihat secara sinis dan tidak ketinggalan juga ada yang kelihatan turut terkejut. Kerani-kerani mahkamah juga memang terkenal dengan sikap mereka yang bengis terhadap Peguam Pelatih Dalam Kamar (Chambering Lawyer) seperti saya.

"Bawa balik ?", saya buntu. Tak tahu nak buat apa. Saya melihat-lihat ke arah encik Nazri untuk mendapatkan kepastian, tetapi beliau langsung tidak melihat ke arah saya.

"Udah la. Kamu letak je fail tu di situ. Nanti dia susun", arah puan Noraini, kerani mahkamah 2 yang duduk di sebelah encik Nazri.

"Haa, buat search fail ape?", tiba-tiba terdengar suara encik Danial menyapa di sebelah saya. Beliau merupakan salah seorang peguam di pejabat tempat saya bekerja. Saya sendiri pun tak sedar bila masa dia muncul.

"Buat fail ni", nak tak nak saja saya menjawabnya. Kemudian saya terus beredar keluar daripada pejabat kerani tersebut.

Menyirap darah saya dibuatnya. Perasaan marah, malu dan ego .. semuanya bercampur baur. "Kau tu kerani je Nazri. Kalau bukan sebab cik Danial ada di situ tadi, memang lebam dah mata kau aku tumbuk !!", dalam melangkah pulang itu hati pedih saya berbisik keras.

Hendak berpatah balik pun ada. Kalau diikutkan, mahu saja dia saya tumbuk dan maki di depan orang. Mengamuk di khalayak ramai juga bukanlah benda yang tidak pernah saya lakukan. Beberapa tahun yang dulu, saya pernah "mengamuk" dengan seorang India kerana menghalang kereta saya keluar parkir sehingga saya terpaksa menunggu sekian lama, yang kemudiannya terpaksa dileraikan oleh pegawai keselamatan Majlis Bandaraya Ipoh yang berada di situ. Saya juga pernah hampir hendak bertumbuk dengan seorang Cina yang cuba melanggar emak dan adik saya di Tesco kerana masalah parkir juga yang akhirnya dileraikan juga oleh seorang Pengawal Keselamatan dan beberapa orang awam yang berada di situ.

Ertinya, kalau diturutkan hati, pagi itu boleh saja terjadi satu lagi episod "amuk" saya di depan khalayak ramai dengan encik Nazri. Tapi tanpa saya sedari, dalam marah itu, tiba-tiba datang satu bisikan yang kuat menyentap emosi saya, "Fitri, sabar !! ... bukan ke kau dah berjanji untuk belajar lebih bersabar .. !!! ??"

Kita memang manusia yang sering kehilangan sifat sabar. Bukan saja terhadap keinginan menggapai sesuatu, tetapi keinginan untuk bebas dari sesuatu yang menghimpit. Dalam segala hal kita selalu terburu-buru. Kita marah ketika keinginan kita tidak tercapai, sampai kita terlupa ada perasaan yang telah kita lukakan dan terzahirnya kelemahan kita. Benar, bersabar ketika marah memang merupakan perkara yang sangat sukar untuk dilakukan terutamanya di saat kemarahan itu sedang memuncak. Oleh kerana itulah nabi Sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan orang yang kuat itu bukanlah kuat pada susuk tubuh badannya, tetapi kuatnya seseorang ialah pada kekuatan dia saat menahan marahnya. Ya, marah itu boleh saja berlaku. Kerana selagi kita bergelar manusia, sifat marah itu pasti menjadi sebahagian sifat kita. Tapi marah tidak bertempat itu yang jangan patut kita undang. Namun, kesabaran bukan bererti kita berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa. Kesabaran bukan bererti kita menjadi manusia dayus, lemah akal dan jiwa. Tidak ada keajaiban satupun dengan berdiam diri sebegini.

Saya terus melangkah cepat ke pejabat. Mahu cepat-cepat duduk mencari ketenangan. Belajar untuk terus bersabar, dan tidak lekas marah.

Memang kesabaran itu membuahkan ketenangan dan rasa bahagia. Saya dapat merasainya di kala itu, walaupun sakitnya terasa saat terpaksa menahan amarah itu dari terus membuak-buak, saya tetap bersabar. Seminggu selepas itu, saya bertemu lagi dengan encik Nazri, tetapi alhamdulillah, tiada satupun tersimpan perasaan benci dan dendam terhadap beliau. Malah saya dapat saksikan di wajah beliau kelihatan seperti rasa malu di atas perbuatannya dulu. Saya yakin semua itu adalah kerja Allah. Allah pasti mengurniakan ketenangan, keredhaan dan kedamaian serta mencampakan kemanisannya dalam hati sebagai balasan dari kegigihan kita menahan kemarahan. Saya bersyukur kepada Allah dan mahu terus belajar untuk lebih bersabar.

KESUSAHAN & KESENANGAN MILIK KITA SEMUA

Kalau kita perhatikan sekeliling kita, ternyata penderitaan tidak selalu menjadi hak orang yang memang rendah status sosial dan ekonominya. Kesusahan dan kesedihan tidak harus dimonopoli oleh mereka yang miskin harta. Sebab kenyataannya, sebahagian masyarakat yang kita anggap berharta, mereka juga mengalami hal yang sama. Allah SWT jadikan manusia ini berbeza-beza darjatnya. Ya, tidak semua orang di muka bumi ini berpeluang menjadi kaya, dan tidak semua juga bernasib malang menjadi miskin. Namun di antara yang kaya dan miskin, mereka berkongsi hak yang sama iaitu hati. Perasaan menderita dan susah ada di hati. Sama juga dengan perasaan senang, bahagia dan tenang. Ia juga ada di hati. Maka oleh kerana itu, penderitaan dan kesusahan tidak mengenal rupa, status, darjat dan kedudukan. Semua orang memilikinya sebab semua manusia punya hati dan perasaan. Ia boleh datang menghampiri sesiapa saja yang ia kehendaki. Demikian pula dengan kebahagiaan dan kesenangan, ia tidak harus menjadi milik orang kaya saja. Ia tidak harus menjadi milik para penguasa saja. Ia hak sesiapa saja yang boleh merasakannya.

Allah SWT menyebut, "Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan" (An-Nashr: 5-6)

Diulang-ulang ayat ini sebanyak 2 kali kerana Allah SWT ingin menyatakan bahawa inilah sebenarnya hakikat kehidupan. Kalau Allah kehendaki, Dia boleh saja membiarkan kita hidup senang lenang dan mudah. Tetapi apa ertinya kehidupan tanpa semua itu, sedangkan kehidupan ini telah Allah ciptakan sebagai tempat perlumbaan menuju negeri akhirat. Justeru itu fahami lah, betapa dalam hidup ini tiada seorangpun yang boleh terlepas dan lari dari suka dan duka. Sulit saja tidak ada. Mudah saja pun tidak ada. Semuanya, tidak kira kedudukan dan darjatnya, pasti akan bersilih ganti hidupnya diantara susah dan senang, tangis dan tawa, riang dan kecewa .. supaya yang sedang menikmati kesenangan beringat bahawa dia juga pasti akan melewati saat-saat kepayahan suatu saat nanti. Begitu juga yang sedang sengsara dalam kepayahan, agar ia tahu bahawa ia tidak melaluinya sendirian.

CERMIN KE BAWAH

Allah berfirman, "Dan janganlah engkau tujukan penglihatanmu kepada mereka yang Kami berikan kesenangan berupa perhiasan kehidupan dunia kerana sesungguhnya itulah ujian bagi mereka, sedang rezeki Tuhanmu lebih baik dan kekal" (Toha: 131)

Memang sulit saat menghadapi kepayahan. Terkadang sangat sulit. Tapi jangan menambah sulit dengan mencari kesulitan baru. Jangan menambah susah dengan mencari bermacam-macam jalan yang merumitkan. Ketika kita sedang berhutang dengan seseorang, jangan pula kita cuba mencuri, merompak, merogol dan membunuh orang lain. Bukankah ia merumitkan lagi keadaan? Marilah kita cari jalan penyelesaiannya. Ia ada, tp mungkin kita saja yang belum menemuinya. Cubalah cermin ke bawah. Lihatlah diri sendiri dan lihatlah orang di bawah kita. Pasti kita akan menemui lebih ramai lagi yang menderita dan hidup susah lebih dari kita. Ini juga sebenarnya sebahagian daripada cara melepaskan penderitaan.

"3 tahun juga lah ana sempat rasa jadi mat dadah ni. Tapi ana betul-betul bersyukur sebab lepas keluar penjara tu ana tak buat balik kerja bodoh ni", cerita abang Sham.

"Kawan-kawan ana dua orang mati. Ada juga yang jadi penagih balik. Tapi yang buat ana lagi kuat untuk tinggalkan benda ni bila mak ana meninggal. Memang rasa menyesal betul bila kenangkan masa jahat dulu", sambung beliau lagi menceritakan pengalamannya yang silam. Tak sedar sudah 3 jam kami berbual.

Jangan melawan kenyataan hidup, jangan melawan penderitaan, jangan bermusuhan dengan kesusahan. Fahamilah dulu semua kejadian yang kita alami. Fahami dulu pesanan yang ingin disampaikan kepada kita melalui kehadirannya dalam kehidupan kita. Yang lebih penting lagi, letakkanlah kesedaran bahawa ada Allah di sebalik semua itu. Rajin-rajinlah tengok ke bawah, maka selepas itu kita akan dapati kitalah yang paling beruntung di antara manusia-manusia lain.

Ya, saya menulis ini bukan untuk anda saja, tetapi lebih utama untuk diri saya sendiri. Saya merasa sangat takut sekali saat menulisnya, bimbang-bimbang saya sendiri gagal melepasinya saat ujian itu datang menerpa. Tetapi yang benar itu tetap benar, dan perlu dikongsi bersama. Mungkin hari ini saya kuat, anda lemah ... maka saya datang menemani anda. Mungkin suatu hari nanti saya pula yang lemah, anda kuat. Maka saat itu, datanglah membantu saya.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memotivasikan kita dan menghidupkan kembali hati yang pernah lesu, perasaan yang pernah hiba, jiwa yang pernah resah. Jalanilah hidup seadanya dan teruslah berjalan dan berusaha. Jangan berhenti di pertengahan jalan kerana masa akan terus berlalu, umur akan terus meningkat. Apakah kita ingin terus berdiri di sini bersama kekecewaan sedangkan di depan sana mungkin sudah terbentang sebuah kebahagiaan untuk kita. Tunggu kita saja untuk terus berjalan dan positif dengan ketentuan Tuhan.

Sebagai akhirnya, saya bawakan anda sebuah lagu dari kumpulan D'masiv - Jangan Menyerah




________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

No comments:

Post a Comment