“Ermm .. belum lagi”, jawab Ain ringkas
Petang itu cuaca nyaman sekali. Tidak panas dan tidak mendung. Sedang-sedang saja. Kumpulan merpati yang terbang di awan turut sama menghiburkan suasana petang itu. Suasana bandar pula bising dengan bunyi teriakan kereta yang sedang bersesak-sesak di jalanan. Pejalan kaki pula ramai yang berkejar-kejar dan kelam kabut menuju stesyen LRT yang berdekatan.
“Maaf cik Ain, boleh saya cakap sesuatu dengan cik Ain?”, makcik Khadijah memberanikan diri setelah beberapa lama teragak-agak.
“Ya, kenapa?”, jawab Ain yang sedang berdiri di luar pejabat menunggu sahabatnya Linda mengambilnya dari kerja.
“Sebenarnya dah lama saya nak cakap dengan cik Ain, tapi saya takut dan selalu tak berkesempatan”, jelas makcik Khadijah. Lembut percakapannya.
“Ermm, kenapa makcik .. cakap je lah sebelum kawan saya datang ni !”, jawab Ain yang mahu tak mahu saja melayan makcik Khadijah. Malah beliau memandangnya dengan sebelah mata saja seperti orang bawahan.
“Sss .. sss .. ssaya harap cik Ain tak marah kalau saya cakap”, gugup percakapan makcik Khadijah, takut-takut dimarahi oleh Ain. Maklumlah beliau hanya bekerja sebagai pencuci saja di situ sedangkan Ain merupakan seorang Peguam di pejabatnya. Beliau pula merupakan antara peguam yang terkenal mengendalikan kes-kes berprofil tinggi di Kuala Lumpur. Walaupun sudah hampir dua tahun bekerja di situ, itulah kali pertama makcik Khadijah bercakap secara berdepan dengan Ain.
“Ermm ..”, jeling Ain tanpa memalingkan wajahnya ke arah makcik Khadijah.
“Sss .. sss .. ssaya dah lama perhati cik Ain dari jauh. Mmminta maaf cik Ain. Tapi sss..sssaya rasa kita sebagai perempuan Melayu yang amalkan budaya ketimuran tak manis rasanya berpakaian begini. Saya tengok hari tu cik Ain kelihatan lebih cantik jika cik Ain memakai baju kurang ke pejabat”, pucat muka makcik Khadijah mengatakan hal tersebut di hadapan Ain yang sering memakai “skirt” pendek dan berseluar ketat ke pejabat. Perlahan dia meminta Ain berubah. Beliau tidak terus memintanya bertudung kerana dia tahu tentu ia akan mengundang kemarahan Ain.
Ain bukanlah dari calang-calang keluarga. Ayahnya merupakan bekas Duta Besar Malaysia di beberapa buah negara maju seperti England, Sweden dan New York. Dengan sebab itu, sebahagian dari masa mudanya dilalui dalam suasana kebaratan. Bahasa Inggerisnya juga sangat fasih,‘slang’ percakapannya tidak kalah seperti orang putih, dan gaya hidupnya pula banyak terbawa-bawa dari Barat termasuklah cara pemakaiannya. Hampir 20 tahun beliau dibesarkan di negara orang. Oleh itu, tidak pelik jika dia berpakaian sebegitu tambahan pula suasana pejabatnya juga dikelilingi oleh suasana non-Islami kerana ramainya staf-staf pejabatnya dari kalangan bukan Islam.
“Ooo … itu je ke yang makcik nak cakap !?”, tegas Ain dengan suaranya yang agak tinggi. Makcik Khadijah tidak menjawab apa-apa. Beliau hanya menundukkan kepalanya saja seperti menanggung beban batu yang dihempapkan di kepalanya.
“Sudah la makcik. Makcik buat je kerja makcik sebagai cleaner di sini. Jangan nak sibuk-sibuk hal orang lain. Udah la makcik, kawan saya dah datang dah ni. Saya nak balik !”, tengking Ain kepada makcik Khadijah.
Terkebil-kebil mata beliau mendengar jawapan yang diberikan Ain. Nasihatnya ditolak mentah-mentah seolah-olah ia langsung tidak memberi erti kepadanya.
SALAH MEMAHAMI KEBEBASAN
Pembaca sekalian,
Ramai yang mendakwa kebebasan peribadi adalah hak mutlak setiap individu dan siapapun tidak berhak untuk mempertikaikannya. Kalau di negara barat, ibu bapa hanya punya hak terhadap anak-anak mereka sebelum mereka mancapai “Majority age” di sisi undang-undang. Namun setelah itu, anak-anak mereka berhak untuk melakukan apa saja mengikut kemahuan mereka. Oleh kerana itulah, ramai muda mudi di sana sudah terlibat dalam aktiviti sex di penghujung atau awal umur 20-an mereka kerana undang-undang telah memberikan kebebasan tersebut kepada mereka.
Lalu di atas kebebasan mutlak itulah kita dapati ramai wanita merasa bebas untuk berpakaian mengikut selera mereka, bahkan untuk telanjang bulat sekalipun di depan orang, tiada siapa berhak untuk mempertikaikannya.
"Puan, pantai ada di belakang sana ye. Tapi kawal sikit la ye pergerakan anak puan dari pergi ke sana sebab di pantai tuuu ....", jelas receptionis sambil tersenyum dari salah sebuah hotel terkemuka di Langkawi suatu ketika dulu dalam percutian kami bersama ayah untuk menyaksikan "Lima 97".
"Ok ... ok", emak memintas percakapannya sambil tersenyum. Emak seolah-olah faham benar dengan apa yang ingin disampaikan lelaki itu.
"Mak ..mak, orang tu cakap apa? Kenapa dia cakap kene kawal anak kalau nak ke pantai?", saya cepat-cepat bertanya. Umur saya yang pada ketika itu baru 12 tahun masih terlalu awal untuk memahami maksud yang cuba disampaikan receptionis tersebut.
"Alaa.. ada laa", mak saya enggan memberitahu.
"Mak ni ! Cakap la kenapa !!", saya tidak puas hati sebab masih belum dapat jawapannya.
"Sebab di pantai tu banyak orang mandi telanjanggg ...", emak jawab juga sebab tak lalu nak melayan karenah saya.
"Oooooo ...."
"Haaa ... lepas ni jangan nak menggatal pergi sana. Tak boleh pergi sana !!", sambil membuka pintu bilik, emak lekas-lekas memberi amaran kepada saya. Tetapi kami tinggal di situ semalam saja kerana kedudukannya jauh dari lokasi berlangsungnya "Lima 97".
Saya masih ingat lagi sewaktu saya berada di Australia beberapa tahun yang dulu. Ketika saya dan pakcik keluar makan di sebuah kedai milik orang Melayu, sebuah rancangan televisyen di sana memaparkan kelibat masyarakatnya (lelaki & perempuan) yang telanjang bogel di tengah-tengah bandar dalam satu pesta kuiz yang disertai oleh ramai orang.
“Alaa … ini biasa di sini”, cerita pemilik kedai tersebut kepada pakcik saya yang gembira melihat wajah-wajah orang Melayu bertandang ke kedainya.
Nasib baiklah bahagian sulit mereka dikaburkan. Kalau tidak, tiada lagi yang dapat menghijab di antara penonton dengan bahagian sulit tersebut. Sungguh mengejutkan !!
“Ha’ah, sini biasa”, sampuk kakak sepupu saya yang merupakan pelajar perubatan di University of Melbourne.
“Pelajar-pelajar baru di sini, selalunya kami akan ada kuiz dalam sesi orientasi. Dalam kuiz tu, siapa yang salah jawab, mereka mesti menanggalkan baju sampailah tinggal baju dalam dan seluar dalam saja.”, sambung beliau lagi.
“Biar betul ! Habis korang macam mana?”, saya bertanya.
“Kami tak kena sebab dorang tahu kita muslim. Tapi kami kena denda lain la”, jelas beliau.
Alhamdulillah, di tempat kita tidak lah sampai begitu sekali keadaannya. Masih belum lagi terdengar apatah lagi keluar dalam rancangan TV orang kita berkelakuan sebegitu. Tetapi saya dapat merasakan tanda kecilnya sudah ada di mana hari ini sudah menjadi “trend” masyarakat Cina memakai seluar pendek ketat sehingga ke paras peha. Kalau sebelum ini kita sering dapati ia sering dipakai oleh “apek” jual sayur di pasar-pasar, tetapi sekarang, ia telah bertukar menjadi trend baru gadis-gadis Cina tempatan.
Malah trend ini sudah mula menular di kalangan perempuan Melayu pula. Saya pernah terserempak dengannya beberapa kali. Pernah suatu hari ketika saya dan emak singgah di sebuah gerai makan, tiba-tiba berlalu seorang perempuan Melayu Islam dari arah belakang kami dengan membawa anak kecilnya bersama. Namun Masya-Allah, penampilannya langsung tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang wanita muslimah. Bukan saya saja yang terkejut, malah ibu saya juga turut sama terkejut. Bahkan mungkin orang di sekeliling kami juga turut sama terkejut tatkala melihat gaya penampilannya begitu. Semuanya tidak terlepas memandang ke arahnya. Bajunya ketat sehingga jelas menampakkan bentuk buah dadanya dan warna baju dalamnya, dan dia pula memakai seluar pendek nipis lagi ketat sehingga ke paras punggungnya. Sengaja saya ceritakan supaya saudara tahu bagaimana keadaannya pada ketika itu. Percaya atau tidak, tetapi inilah realitinya.
Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri, apakah perasaan mereka ketika berpakaian sebegitu di khalayak ramai? Apakah mereka tidak ada perasaan malu membiarkan orang lain melihat bentuk tubuh badannya? Atau, apakah mereka ini merasa bangga kerana ramai orang melihat penampilannya? Saya tidak tahu jawapannya secara pasti kecuali ANDA sendiri wahai kaum hawa.
Soalnya, apakah benar dakwaan mereka bahawa kebebasan itu hak mutlak setiap individu yang tidak boleh dipertikaikan?
Bagi saya, mereka yang mendakwa demikian sebenarnya merupakan orang yang sombong dan tidak memperhatikan keadaan orang yang berada di sekelilingnya.
Bagi golongan wanita yang merasa bangga menonjolkan auratnya di khalayak ramai, sesungguhnya anda merupakan wanita zalim dan tidak punya belas kasihan kepada golongan lelaki. Penampilan anda sebenarnya menyiksa golongan lelaki. Anda hanya mahu memuaskan kehendak anda, tetapi anda tidak pernah memikirkan perasaan golongan lelaki yang menjadi sebahagian dari komuniti masyarakat yang berada di tengah-tengah anda. Anda mempamerkan kecantikanmu, kononnya untuk dilihat cantik di hadapan orang. Tetapi apakah anda tidak sedar betapa anda sedang mencampakkan diri anda dalam bahana yang merbahaya? Ceteknya permikiran anda. Anda membiarkan diri anda dilihat orang. Tetapi anda sangsi bila anda menyedari ada orang sedang memperhatikan anda. Anda marah kepada lelaki yang berperangai buaya. Anda marah kepada serigala yang membaham. Tetapi mengapa anda tidak mahu menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu kalau bukan anda sendiri yang “bermain-main aci” dengan mereka??
MALANG TIDAK BERBAU
“Rasanya dah seminggu saya tak nampak cik Ain”, tanya makcik Khadijah kepada kawan sekerjanya ketika sedang berehat-rehat di bilik rehat.
“Ha’ah la … dia pergi mana ye”, kak Farhan pun perasan perkara yang sama.
“Akak dengar katanya cik Ain tengah sakit sekarang ni”, sampuk makcik Mardiah yang sedang memicit-micit tumit kakinya kerana terlalu lama berdiri.
“Yekeee … dia sakit apa?”, tanya makcik Khadijah serius.
“Akak pun tak tahu dia sakit apa. Akak pun curi-curi dengar je masa Katrine bersembang dengan Paul tiga hari lepas”, jelas makcik Mardiah.
“Habis sekarang ni dia di mana?”, tanya makcik Khadijah lagi. Dia ingin tahu benar keadaan cik Ain.
“Tak tahu la. Dengar kata ada di rumah dia di Damansara Utama”, jelas makcik Mardiah lagi.
Selidik punya selidik, beberapa hari selepas itu barulah makcik Khadijah mendapat tahu bahawa Ain telah dirogol oleh teman lelakinya. Ia terjadi ketika mereka menyambut hari jadinya di “The Zouq”, sebuah kelab malam terkenal yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ketika Ain sedang mabuk tak sedarkan diri, dia dibawa ke hotel Renaissance yang terletak tidak jauh dari kelab malam tersebut sebelum dia diperkosa oleh teman lelakinya sendiri.
Tidak sangka sekejam itu teman lelakinya. Namun segalanya telah berakhir. Nasi telah menjadi bubur. Malang datang menerpa tanpa pernah diduga. Ketika itu, tiada guna lagi tangisan dan penyesalan kerana semua itu tidak akan pernah dapat mengembalikan ‘kesuciannya’ yang telah musnah. Ia tidak boleh dikembalikan lagi. Hanya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah sajalah jalan yang terbaik baginya. Mungkin ia merupakan pengajaran buat dirinya yang selama ini lalai akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah di atas muka bumi.
Saudari,
Allah telah menjadikan kecantikan anda sebagai perhiasan. Diletakkan juga rasa keinginan pada diri anda untuk sentiasa dilihat cantik dan menawan, sehingga anda suka mempamerkannya kepada orang agar anda sentiasa mendapat pujian manusia. Namun hakikatnya, semua itu adalah ujian bagi anda. Cantiknya diri anda di sisi Allah ialah pada kesungguhan anda menjaga aurat dan maruah anda di depan orang, kerana kecantikan itu milik Allah dan ia datang dari lubuk hati. Oleh itu, barangsiapa yang di hatinya punya rasa malu, pasti Allah akan mencantikkan wajahnya dengan cahaya iman dan ketaatan.
Bagi perempuan yang telah bertudung, tutuplah aurat anda dengan sempurna. Teruskan beristiqamah dalam memeliharanya. Jangan terkalahkan oleh keadaan sehingga membuatkan anda malu untuk terus memeliharanya dengan baik. Janganlah saat anda bertudung, anda memakai pakaian yang ketat, ataupun kain dan tudung yang nipis kerana ia tidak membawa erti menutup aurat yang sebenarnya. Fahamilah bahawa menutup aurat itu bukan hanya dengan memakai tudung sahaja, tetapi ia datang dari rasa ketaatan kepada Allah yang meliputi seluruh tubuh badanmu kecuali apa yang nampak pada muka dan tapak tangan sahaja.
Berbanggalah menjadi wanita Muslimah !
Itulah kecantikan anda ....
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
No comments:
Post a Comment