“Ting .. tong”, telefon bimbit saya berbunyi menandakan ada mesej. Saya mengeluarkannya dari dalam kocet seluar untuk membacanya.
“Assalamualaikum. Ana nak minta tolong, one of my friend’s examiner tanya maksud his name. He asked me but ana tak tahu”, sahabat saya bertanyakan sesuatu melalui Mesej Pesanan Ringkas, SMS ketika saya dalam perjalanan menuju ke pejabat.
“Boleh tak anta tolong? Nama dia Ahmad Rizal”, pintanya
“Waalaikumsalam ...”
“Setahu ana, Rizal tak ada dalam tasrif sorof. Yang ada hanya Razlan, maksudnya keji dan hina ”, balas saya meneka-neka jawapannya kerana tergesa-gesa untuk hadir ke Mahkamah pagi itu.
Mengikut tasrif Sorof, masdar (kata nama) Razlan berasal dari root word atau kata dasar Rozala, iaitu Rozala Yarzulu Razlan yang merupakan wazan fi’il thulasi.
“About your friend’s name tu, dalam kamus hanya ada Ruzal je, Rizal tak ada. Sebutan tu diperolehi secara sama’ie .. maknanya, sebutan tu terkeluar dari kaedah sorof sebab ia sebutan yang disebut oleh orang arab”, saya menyambung kembali penjelasan setelah selesai segala urusan di Mahkamah, tetapi dengan jawapan yang lebih detail selepas membuat beberapa penilaian.
Di dalam bahasa Arab, terdapat sesetengah isim (nama) yang dipanggil sebagai Isim Sama’ie atau Sima’ie. Ia disebut demikian kerana sebutannya diambil mengikut cara sebutan yang biasa disebut oleh orang-orang Arab, tanpa terikat kepada kaedah Sorof yang ditetapkan oleh para ulama Bahasa. Alasannya, di samping kajian yang dibuat ke atas al-Quran, kaedah-kaedah nahu dan sorof juga diambil dari kaedah percakapan yang digunakan oleh orang-orang Arab terutamanya di dalam Syair-syair mereka. Maka dengan sebab itu, jika kita perhatikan di dalam kitab-kitab nahu dan sorof, tidak kurang banyaknya para ulama menggunakan syair-syair untuk dijadikan sebagai contoh dan hujjah.
“Pelik, kenapa la parent dia bagi nama tu?”, saya menimbulkan pertanyaan.
SALAH MEMILIH NAMA
Beberapa tahun yang dulu, ayah saya mempunyai seorang pekerja perempuan bernama Nor Zina. Bunyinya memang sedap didengar, tetapi kalau diperhatikan dari sudut maksudnya memang sangat tidak elok sekali, iaitu Cahaya Zina.
Kita semua tahu bahawa perkataan “Cahaya” sering sekali digambarkan sebagai sesuatu yang memberikan kebaikan, rahmat dan kelapangan, bahkan ia juga disebut di dalam al-Quran bagi menunjukkan makna “Islam”.
Allah menyebut, “ … untuk mengeluarkan orang-orang yang beriman dan yang beramal solih dari kegelapan kepada cahaya” (At-Tholaq: 10)
“Mereka ingin sekali memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, tetapi Allah akan tetap menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir membenci” (As-Saff: 7)
Sedangkan perkataan “Zina” pula ditujukan kepada perbuatan keji dan fahishah yang amat dibenci sekali oleh Allah SWT.
Oleh itu, apakah sesuai disandarkan perkataan sekeji itu dengan “Cahaya” dan kemudiannya dijadikan sebagai nama pula?
Namun, inilah keadaan yang sedang terjadi di dalam sesetengah masyarakat kita hari ini. Segelintir ibu bapa tidak mengambil berat tentang hal ini sehingga sesetengahnya memilih nama yang tidak sesuai untuk anak-anak mereka samada dari segi maknanya atau sebutannya seperti Saiful dan Khairul. Sedangkan nama tersebut tidak memberikan apa-apa maksud di dalam Bahasa Arab kecuali sekiranya ia disandarkan (mudhof ilaih) selepasnya dengan perkataan lain seperti Saifullah iaitu pedang Allah, atau Khairul Anwar iaitu sebaik-baik bulan. Apa yang lebih teruk lagi, kerana semata-mata mahu sedap didengar dan glamor, maka mereka memilih nama yang langsung tidak memberikan sebarang maksud di dalamnya seperti Qiqi, Danish, Pierre dan sebagainya.
Ini lebih malang lagi.
Padahal Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam sangat menggalakkan agar diberikan nama yang baik-baik kepada anak-anak kita kerana di akhirat kelak, kita semua akan dipanggil dengan nama-nama yang ada pada diri kita.
“Sesungguhnya pada hari kiamat nanti, kamu akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka percantikkanlah nama-nama kamu”, seru Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan dengan sanad yang baik (Jayyid) di dalam Sunan Abi Daud.
“Oleh itu, namakanlah dengan nama-nama para nabi. Dan nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Sebaik-baiknya ialah Harith dan Hammam manakala yang sejelik-jelik nama pula ialah Harbun dan Murratun”, saran Baginda Sallahu ‘alaihi wasallam. [1]
Selain itu, kita juga dibenarkan mengambil nama-nama surah dari al-Quran bagi memperoleh keberkatan daripadanya. Ia juga termasuk diantara saranan nabi Sallahu ‘alaihi wasallam agar memperindahkan nama-nama kita dan anak-anak kita seperti Fatihah, Luqman, Ibrahim, Imran, Kawtsar, Nur dan Anfal. Begitu juga dengan nama para ulama, auliyaullah serta orang-orang yang terkenal dengan kesolehannya berdasarkan kepada dalil-dalil sahih yang membenarkan kita bertabarruk dengan mereka. (Mahfum At-Tabarruk oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki di dalam Rasail Hammah, Syeikh Nuruddin al-Banjari, m.s 318)
Semoga dengan kemuliaan nama-nama tersebut dapat memberikan kebaikan dan juga kemuliaan buat anak-anak kita pula yang akan memakainya kelak.
MENUKAR NAMA KEPADA YANG LEBIH BAIK
Seperti halnya pekerja ayah saya, setelah diminta oleh ayah agar beliau menukarkan namanya di Jabatan Pendaftaran, Alhamdulillah, akhirnya nama beliau telah ditukar daripada Nor Zina kepada Nor Zaini.
Sebenarnya hal seumpama ini pernah beberapa kali dilakukan oleh Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam kepada para sahabat, diantaranya, Ibn Umar Radiallahu ‘anhu menceritakan bahawa nabi Sallahu ‘alaihi wasallam pernah menukar nama seorang perempuan dari ‘Asiyah kepada “Jameelah”[2] kerana tidak sesuainya nama ‘Asiyah tersebut yang membawa erti “pelaku maksiat”. Begitu juga yang pernah berlaku kepada seorang lelaki yang bernama Asram yang kemudiannya ditukar namanya oleh Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam dengan nama Zur’ah.[3]
Di dalam satu peristiwa, nabi Sallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada seorang lelaki, “Apakah nama kamu?”
“Abul Hajar”, jawab lelaki tersebut
“Bukan. Nama kamu sekarang ialah Abdullah”[4], cadang baginda kepada lelaki tersebut.
Bahkan di dalam peristiwa yang lain pula, seorang sahabat yang bernama Hani bin Yazid menceritakan bahawa, ketika beliau dan beberapa orang delegasinya datang bertemu dengan nabi Sallahu ‘alaihi wasallam di Madinah, lalu baginda terdengar sahabat-sahabatnya memanggil beliau dengan gelaran Abul Hakam. Kemudian nabi Sallahu ‘alaihi wasallam memanggilnya dan berkata, “Sesungguhnya Allah itu Al-Hakam dan ke atasnya Al-Hukm. Lalu mengapa kamu dipanggil dengan gelaran Abul Hakam?”.
Hani bin Yazid membalas, “Sesungguhnya sahabat-sahabatku sering datang kepadaku apabila mereka berhadapan dengan sesuatu masalah. Setelah itu, aku menyelesaikannya sampai masalah kedua-dua pihak tersebut selesai ”.
“Apakah kamu mempunyai anak?”, tanya nabi lagi kepada beliau.
“Aku mempunyai beberapa orang anak bernama Shuraih, Abdullah dan Muslim”, jawab Hani
Setelah itu nabi bertanya lagi, “Di kalangan mereka bertiga itu, siapakah yang paling tua (anak sulung) sekali?”
“Shuraih”
“Oleh itu, saat ini aku panggil kamu dengan Abu Shuraih”[5], saran nabi Sallallahu ‘alahi wasallam kepada Hani.
Oleh itu kepada pembaca sekalian, samada yang sudah berkahwin ataupun yang belum, atau yang sudah mempunyai cahaya mata dan yang bakal mempunyai cahaya mata ... pilihlah nama-nama yang baik untuk anak-anak kalian dan janganlah terikut-ikut dengan budaya segelintir dari kalangan masyarakat yang sekadar mahukan nama yang sedap didengar dan glamor saja, tetapi ia langsung tidak memberikan apa-apa makna, doa serta keberkatan buat si pemakainya.
Agar ianya indah dipanggil di akhirat kelak bersama-sama dengan indahnya budi pekerti si pemakainya .... maka pilihlah nama yang baik-baik diantara yang terbaik.
Sekalipun ia pendek
[1] Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasaie dan selainnya. Rujuk Al-Azkar (no. 889). Akan tetapi, ia telah dinilai Dhoif oleh Syeikh Albani sepertimana yang disebut di dalam Adab al-Mufrad oleh Imam al-Bukhari, m.s 277. Namun begitu, terdapat riwayat-riwayat lain yang mendokong hadis ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Bukhari (3114) dan Muslim (2132).
[2] Hadis riwatat Tarmizi, Abu Daud di dalam Adab al-Mufrad, no 831 dan Al-Azkar, no. 903
[3] Riwayat Abu Daud (4954) dengan sanad Hasan. Rujuk Al-Azkar, no. 904
[4] Hadis Sahih riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban dan Hakim. Rujuk Adab al-Musfrad, no. 822
[5] Riwayat Abu Daud, An-Nasa’ie dan selainnya di dalam Al-Azkar, no. 905
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
Mengapa khairul anwar diartikan sebagai sebaik baik bulan dan bukannya sebaik baik cahaya?
ReplyDelete