Monday, October 19, 2009

Hakikat Salafiah itu bagaimana?



"Syeikh, apa pendapat anta tentang Salafi?", tanya akh Shahir kepada saya.

".. atau macam mana pandangan anta antara Salafi dengan Wahabi, sama ke dua-dua ni", beliau cuba mengolah soalan dengan lebih tersusun.

Shahir, seorang peniaga alat-alat ketenteraan, merupakan seorang anak muda yang begitu "asyik" dengan Islam. Keinginan beliau yang begitu tinggi terhadap Islam membuatkan beliau sering bertanya persoalan-persoalan agama. Tambahan pula, gerai beliau pula berjiran dengan seorang peniaga yang menjual risalah, buku, majalah dan CD ceramah Rasul Dahri, seorang pendakwah Salafi yang begitu sekali keras terhadap amalan-amalan masyarakat Melayu Muslim di Malaysia yang rata-ratanya bermazhabkan mazhab Syafi'i, yang beliau saksikan terdapat banyak amalan yang dibid'ahkan oleh Rasul Dahri sehingga menimbulkan pelbagai pertanyaan beliau tentang manhaj Salaf yang sebenarnya.

Saya tahu ia hal yang cukup membosankan. Tak habis-habis perbincangan ini juga yang sering diketengahkan. Sebenarnya, kalau anda bosan, saya juga bosan untuk berbicara soal ini. Cukup bosan dan kadang-kadang saya terasa muak untuk mendengar dan menjawab pertanyaan yang berkait dengan hal ini. Tetapi cuba kita perhatikan, persoalan ini sebenarnya merupakan antara topik terhangat yang sering menjadi perbualan hangat sebahagian generasi muda hari ini terutamanya dari kalangan mereka yang cintakan Islam dan terpelajar. Seolah-olahnya ia sebahagian dari inti perbincangan yang tidak boleh dipisahkan bilamana kita membincangkan tentang masalah umat Islam sejagat.

Berbalik kepada pertanyaan Akh Shahir itu, sebagai jawapannya, saya telah memberikan kepada beliau risalah kecil Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkenaan dengan persoalan "Hakikat sebenar manhaj Salafiah" untuk beliau baca dan fahami dengan baik. Bagi saya, ia merupakan risalah lama yang sangat baik untuk diteliti dengan sebaiknya. Bahkan saya rasakan inilah penjelasan yang terbaik dan adil terhadap manhaj Salafiah yang sebenar, juga kepada tokoh-tokoh agung yang membawanya selepas itu. Saya faham manhaj ini dan saya cuba peganginya sebagai manhaj "moderat" yang perlu dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat terutamanya para da'i, penggerak dan pembawa obor-obor pembaharu Islam masa kini. Semoga apa yang ditulis oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ini dapat memberi pencerahan yang jelas kepada kita akan hakikat manhaj Salafiah yang sebenarnya. Beliau menyebut:

Yang dimaksud dengan “Permikiran Salafi” ialah kerangka berfikir yang tercermin dalam pemahaman generasi terbaik dari ummat ini, iaitu para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan setia, dengan meneladani hidayah Al-Qur’an dan tuntunan Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Kriteria Manhaj Salafi yang Benar adalah suatu manhaj yang secara global berpijak pada prinsip berikut :

  1. Berpegang pada nash-nash yang ma’shum (suci), bukan kepada pendapat para ahli atau tokoh.
  2. Mengembalikan masalah-masalah “mutasyabihat” (yang kurang jelas) kepada masalah “muhkamat” (yang pasti dan tegas). Dan mengembalikan masalah yang “zhanni” kepada yang “qath’I”.
  3. Memahami kes-kes furu’ (kecil) dan juz’i (tidak prinsipil) dalam kerangka prinsip dan masalah fundamental.
  4. Menyerukan “Ijtihad” dan pembaharuan. Memerangi “Taqlid” dan kejumudan.
  5. Mengajak untuk ber-iltizam (memegang teguh) akhlak Islamiah, bukan meniru suasana.
  6. Dalam masalah fiqh, berorientasi pada “kemudahan” bukan “mempersulitkan”.
  7. Dalam hal bimbingan dan penyuluhan, lebih memberikan motivasi, bukan menakut-nakutkan.
  8. Dalam bidang aqidah, lebih menekankan penanaman keyakinan, bukan dengan perdebatan.
  9. Dalam masalah Ibadah, lebih mementingkan jiwa ibadah, bukan formalitinya.
  10. Menekankan sikap “ittiba’” (mengikuti) dalam masalah agama. Dan menanamkan semangat “ikhtira’” (kreativiti dan daya cipta) dalam masalah kehidupan duniawi.

Inilah inti “manhaj salafi” yang merupakan ciri khas mereka. Dengan manhaj inilah dibinanya generasi Islam terbaik, dari segi teori dan praktikal. Sehingga mereka mendapat pujian langsung dari Allah di dalam Al-Qur’an dan Hadis-Hadis Nabi serta dibuktikan kebenarannya oleh sejarah. Merekalah yang telah berhasil menterjemahkan Al-Qur’an kepada generasi sesudah mereka. Menghafal Sunnah. Mempelopori berbagai kemenangan (futuh). Menyebarluaskan keadilan dan keluhuran (ihsan). Mendirikan “negara ilmu dan Iman”. Membangun peradaban rabbani yang manusiawi, bermoral dan mendunia. Sampai sekarang masih tercatat dalam sejarah.

Citra “Salafiah” Dirosak oleh Pihak yang Pro dan Kontra

Istilah “Salafiah” telah dirosak citranya oleh kalangan yang pro dan kontra terhadap “salafiah”. Orang-orang yang pro-salafiah - samada yang sekarang ini dianggap orang dan menamakan dirinya demikian, atau yang sebagian besar mereka benar-benar salafiyah - telah membatasinya dalam skop formaliti dan kontroversi saja, seperti masalah-masalah tertentu dalam Ilmu Kalam, Ilmu Fiqh atau Ilmu Tasawuf. Mereka sangat keras dan garang terhadap orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah-masalah kecil dan tidak fundamental ini. Sehingga memberi kesan kepada sebahagian masyarakat bahawa manhaj Salaf adalah manhaj “debat” dan “polemik”, bukan manhaj yang membangun, membina dan praktikal, serta mempersoalkan yang kecil-kecil dengan mengorbankan hal-hal yang fundamental, memperbesarkan khilafiah dengan mengabaikan masalah-masalah yang disepakati dan mementingkan formaliti dan kulit dengan melupakan inti dan jiwa.

Sedangkan pihak yang anti-salafiah menuduh faham ini “mundur”, senantiasa menoleh ke belakang, tidak pernah memandang ke depan. Fahaman Salafiah, menurut mereka, tidak menaruh perhatian terhadap masa kini dan masa depan, sangat fanatik terhadap pendapat sendiri, tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Salafiah sinonim dengan anti pembaharuan, mematikan kreativiti dan tidak mengenal kesederhanaan dan pertengahan.

Sebenarnya tuduhan-tuduhan ini merosakkan citra salafiah yang hakiki dan penyeru-penyerunya yang asli. Barangkali tokoh yang paling menonjol dalam mendakwahkan “salafiah” dan membelanya mati-matian pada masa lampau ialah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah beserta muridnya Imam Ibnul Qayyim. Mereka inilah orang yang paling patut mewakili gerakan “pembaruan Islam” pada masa mereka. Kerana pembaharuan yang mereka lakukan benar-benar mencakup seluruh disiplin ilmu Islam.

Mereka telah menumpaskan fahaman “taqlid”, “fanatik madzhab” fiqh dan ilmu kalam yang sempat mendominasi dan mengekang pemikiran Islam selama beberapa abad. Namun, di samping kegarangan mereka dalam membasmi “asobiyah madzhabiyah” ini, mereka tetap menghargai para Imam Madzhab dan memberikan hak-hak mereka untuk dihormati. Hal itu jelas terlihat dalam risalah “Raf’ul Malaam ‘anil A’immatil A’lam” karya Ibnu Taimiyah.

Demikian kuatnya serangan mereka terhadap “tasawuf” kerana penyimpangan-penyimpangan pemikiran dan aqidah yang tersebar di dalamnya. Khususnya di tangan pengasas madzhab “Al-Hulul Wal-Ittihad” (penyatuan). Dan penyelewengan perilaku yang dilakukan para oleh orang jahil dan yang menyalahgunakan “tasawuf” untuk kepentingan pribadinya. Namun, mereka menyedari tasawuf yang benar. Mereka memuji para pembawa tasawuf yang ikhlas dan rabbani. Bahkan dalam bidang ini, mereka meninggalkan warisan yang sangat berharga, yang tertuang dalam dua jilid di dalam “Majmu’ Fatawa” karya besar Imam Ibnu Taimiyah. Demikian pula dalam beberapa karangan Ibnu Qayyim, yang termasyhur ialah “Madaarijus Salikin syarah Manazil As-Sairin ila Maqomaat Iyyaka Na’budu wa Iyyaka Nasta’in”, dalam tiga jilid.

Mengikut Manhaj Salaf Bukan Sekadar Ucapan Mereka

Yang perlu saya tekankan di sini, mengikut manhaj salaf, tidaklah bererti sekadar ucapan-ucapan mereka dalam masalah-masalah kecil tertentu. Adalah suatu hal yang mungkin terjadi, anda mengambil pendapat-pendapat salaf dalam masalah yang juz’i (kecil), namun pada hakikatnya anda meninggalkan manhaj mereka yang universal, integral dan seimbang. Sebagaimana juga mungkin, anda memegang teguh manhaj mereka yang kulli (universal), jiwa dan tujuan-tujuannya, walaupun anda menyalahi sebahagian pendapat dan ijtihad mereka.

Inilah sikap saya secara pribadi terhadap kedua Imam tersebut, iaitu Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim. Saya sangat menghargai manhaj mereka secara global dan memahaminya. Namun, ini tidak bererti bahawa saya harus mengambil kesemua pendapat mereka. Jika saya melakukan hal itu bererti saya telah terperangkap dalam “taqlid” yang baru. Dan bererti saya telah melanggar manhaj yang mereka pegang dan perjuangkan sehingga mereka disiksa kerananya iaitu manhaj al-Ittiba’ (mengikuti dalil). Melihat setiap pendapat secara objektif, bukan memandang orangnya. Apa ertinya anda protes orang lain mengikut (taqlid) Imam Abu Hanifah atau Imam Malik, jika anda sendiri taqlid kepada Ibnu Taimiyah atau Ibnul Qayyim

Juga termasuk menzalimi kedua Imam tersebut, iaitu dengan hanya menyebut padangan ilmiah dan pemikiran dari hidup mereka dan mengabaikan sudut-sudut lain yang tidak kurang penting dengan sudut pertama. Sering dilupakan dari sudur Rabbani dalam kehidupan Ibnu Taimiyah yang pernah menuturkan kata-kata: “Aku melalui hari-hari dalam hidupku dimana suara hatiku berkata, kalaulah yang dinikmati ahli syurga itu seperti apa yang kurasakan, pastilah mereka dalam kehidupan yang bahagia”.

Di dalam sel penjara dan penyiksaannya, beliau pernah mengatakan: “Apa yang hendak dilakukan musuh terhadapku? Kehidupan di dalam penjara bagiku merupakan khalwat (mengasingkan diri dari kebisingan dunia), pengasingan bagiku merupakan rekreasi, dan jika aku dibunuh adalah mati syahid”.

Beliau adalah seorang laki-laki rabbani yang amat berperasaan. Demikian pula muridnya Ibnul Qayyim. Ini dapat dirasakan oleh semua orang yang membaca kitab-kitabnya dengan hati yang terbuka.

Namun, orang seringkali melupakan sudut “dakwah” dan “jihad” dalam kehidupan dua Imam tersebut. Imam Ibnu Taimiyah terlibat langsung dalam beberapa medan pertempuran dan berperanan sebagai penggeraknya. Kehidupan dua tokoh ini penuh diwarnai perjuangan dalam memperbarui Islam. Dicampak ke dalam penjara beberapa kali. Akhirnya Syaikhul Islam mengakhiri hidupnya di dalam penjara, pada tahun 728 H. Inilah makna “Salafiah” yang sesungguhnya.

Bila kita mengalihkan pandangan ke zaman sekarang, kita akan bertemu dengan tokoh yang paling menonjol mendakwahkan “salafiah”, dan paling gigih mempertahankannya melalui artikel, kitab karangan dan majalah pembawa misi “salafiah”. Beliau ialah Imam Muhammad Rasyid Ridha. Penulis majalah “Al-Manar’ yang telah membawa bendera Salafiah ini selama tiga puluh tahun dengan menulis Tafsir “Al-Manar” dan dimuat dalam majalah yang sama, yang telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Rasyid Ridha adalah seorang “pembaharu” (mujaddid) Islam pada masanya. Barangsiapa membaca “tafsir”nya, seperti : “Al-Wahyu Al-Muhammadi”, “Yusrul-Islam”, “Nida’ Lil-Jins Al-Lathief”, “Al-Khilafah”, “Muhawarat Al-Mushlih wal-Muqollid” dan sejumlah kitab dan makalah-makalahnya, pasti akan melihat bahawa pemikiran tokoh yang satu ini benar-benar merupakan “Manar” (menara) yang memberi petunjuk dalam perjalanan Islam di masa moden. Kehidupan amalinya merupakan bukti bagi pemikiran “salafiah”nya.

Beliaulah yang merumuskan sebuah kaidah “emas” yang terkenal dan setelah itu dibawa oleh Imam Hasan Al-Banna, iaitu:

“Marilah kita saling bekerjasama dalam hal-hal yang kita sepakati, dan marilah kita saling memaafkan dalam masalah-masalah yang kita perselisihkan.”

Betapa indahnya kaidah ini jika difahami dan diterapkan oleh mereka yang menganggap dirinya sebagai “pengikut Salaf”.

.............................................................

Semoga bermanfaat

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

No comments:

Post a Comment