Wednesday, October 28, 2009

Biarlah Maknanya seIndah Namanya



“Ting .. tong”, telefon bimbit saya berbunyi menandakan ada mesej. Saya mengeluarkannya dari dalam kocet seluar untuk membacanya.

“Assalamualaikum. Ana nak minta tolong, one of my friend’s examiner tanya maksud his name. He asked me but ana tak tahu”, sahabat saya bertanyakan sesuatu melalui Mesej Pesanan Ringkas, SMS ketika saya dalam perjalanan menuju ke pejabat.

“Boleh tak anta tolong? Nama dia Ahmad Rizal”, pintanya

“Waalaikumsalam ...”

“Setahu ana, Rizal tak ada dalam tasrif sorof. Yang ada hanya Razlan, maksudnya keji dan hina ”, balas saya meneka-neka jawapannya kerana tergesa-gesa untuk hadir ke Mahkamah pagi itu.

Mengikut tasrif Sorof, masdar (kata nama) Razlan berasal dari root word atau kata dasar Rozala, iaitu Rozala Yarzulu Razlan yang merupakan wazan fi’il thulasi.

“About your friend’s name tu, dalam kamus hanya ada Ruzal je, Rizal tak ada. Sebutan tu diperolehi secara sama’ie .. maknanya, sebutan tu terkeluar dari kaedah sorof sebab ia sebutan yang disebut oleh orang arab”, saya menyambung kembali penjelasan setelah selesai segala urusan di Mahkamah, tetapi dengan jawapan yang lebih detail selepas membuat beberapa penilaian.

Di dalam bahasa Arab, terdapat sesetengah isim (nama) yang dipanggil sebagai Isim Sama’ie atau Sima’ie. Ia disebut demikian kerana sebutannya diambil mengikut cara sebutan yang biasa disebut oleh orang-orang Arab, tanpa terikat kepada kaedah Sorof yang ditetapkan oleh para ulama Bahasa. Alasannya, di samping kajian yang dibuat ke atas al-Quran, kaedah-kaedah nahu dan sorof juga diambil dari kaedah percakapan yang digunakan oleh orang-orang Arab terutamanya di dalam Syair-syair mereka. Maka dengan sebab itu, jika kita perhatikan di dalam kitab-kitab nahu dan sorof, tidak kurang banyaknya para ulama menggunakan syair-syair untuk dijadikan sebagai contoh dan hujjah.

“Pelik, kenapa la parent dia bagi nama tu?”, saya menimbulkan pertanyaan.

SALAH MEMILIH NAMA

Beberapa tahun yang dulu, ayah saya mempunyai seorang pekerja perempuan bernama Nor Zina. Bunyinya memang sedap didengar, tetapi kalau diperhatikan dari sudut maksudnya memang sangat tidak elok sekali, iaitu Cahaya Zina.

Kita semua tahu bahawa perkataan “Cahaya” sering sekali digambarkan sebagai sesuatu yang memberikan kebaikan, rahmat dan kelapangan, bahkan ia juga disebut di dalam al-Quran bagi menunjukkan makna “Islam”.

Allah menyebut, “ … untuk mengeluarkan orang-orang yang beriman dan yang beramal solih dari kegelapan kepada cahaya” (At-Tholaq: 10)

“Mereka ingin sekali memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, tetapi Allah akan tetap menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir membenci” (As-Saff: 7)

Sedangkan perkataan “Zina” pula ditujukan kepada perbuatan keji dan fahishah yang amat dibenci sekali oleh Allah SWT.

Oleh itu, apakah sesuai disandarkan perkataan sekeji itu dengan “Cahaya” dan kemudiannya dijadikan sebagai nama pula?

Namun, inilah keadaan yang sedang terjadi di dalam sesetengah masyarakat kita hari ini. Segelintir ibu bapa tidak mengambil berat tentang hal ini sehingga sesetengahnya memilih nama yang tidak sesuai untuk anak-anak mereka samada dari segi maknanya atau sebutannya seperti Saiful dan Khairul. Sedangkan nama tersebut tidak memberikan apa-apa maksud di dalam Bahasa Arab kecuali sekiranya ia disandarkan (mudhof ilaih) selepasnya dengan perkataan lain seperti Saifullah iaitu pedang Allah, atau Khairul Anwar iaitu sebaik-baik bulan. Apa yang lebih teruk lagi, kerana semata-mata mahu sedap didengar dan glamor, maka mereka memilih nama yang langsung tidak memberikan sebarang maksud di dalamnya seperti Qiqi, Danish, Pierre dan sebagainya.

Ini lebih malang lagi.

Padahal Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam sangat menggalakkan agar diberikan nama yang baik-baik kepada anak-anak kita kerana di akhirat kelak, kita semua akan dipanggil dengan nama-nama yang ada pada diri kita.

“Sesungguhnya pada hari kiamat nanti, kamu akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka percantikkanlah nama-nama kamu”, seru Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan dengan sanad yang baik (Jayyid) di dalam Sunan Abi Daud.

“Oleh itu, namakanlah dengan nama-nama para nabi. Dan nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Sebaik-baiknya ialah Harith dan Hammam manakala yang sejelik-jelik nama pula ialah Harbun dan Murratun”, saran Baginda Sallahu ‘alaihi wasallam. [1]

Selain itu, kita juga dibenarkan mengambil nama-nama surah dari al-Quran bagi memperoleh keberkatan daripadanya. Ia juga termasuk diantara saranan nabi Sallahu ‘alaihi wasallam agar memperindahkan nama-nama kita dan anak-anak kita seperti Fatihah, Luqman, Ibrahim, Imran, Kawtsar, Nur dan Anfal. Begitu juga dengan nama para ulama, auliyaullah serta orang-orang yang terkenal dengan kesolehannya berdasarkan kepada dalil-dalil sahih yang membenarkan kita bertabarruk dengan mereka. (Mahfum At-Tabarruk oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki di dalam Rasail Hammah, Syeikh Nuruddin al-Banjari, m.s 318)

Semoga dengan kemuliaan nama-nama tersebut dapat memberikan kebaikan dan juga kemuliaan buat anak-anak kita pula yang akan memakainya kelak.

MENUKAR NAMA KEPADA YANG LEBIH BAIK

Seperti halnya pekerja ayah saya, setelah diminta oleh ayah agar beliau menukarkan namanya di Jabatan Pendaftaran, Alhamdulillah, akhirnya nama beliau telah ditukar daripada Nor Zina kepada Nor Zaini.

Sebenarnya hal seumpama ini pernah beberapa kali dilakukan oleh Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam kepada para sahabat, diantaranya, Ibn Umar Radiallahu ‘anhu menceritakan bahawa nabi Sallahu ‘alaihi wasallam pernah menukar nama seorang perempuan dari ‘Asiyah kepada “Jameelah”[2] kerana tidak sesuainya nama ‘Asiyah tersebut yang membawa erti “pelaku maksiat”. Begitu juga yang pernah berlaku kepada seorang lelaki yang bernama Asram yang kemudiannya ditukar namanya oleh Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam dengan nama Zur’ah.[3]

Di dalam satu peristiwa, nabi Sallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada seorang lelaki, “Apakah nama kamu?”

“Abul Hajar”, jawab lelaki tersebut

“Bukan. Nama kamu sekarang ialah Abdullah”[4], cadang baginda kepada lelaki tersebut.

Bahkan di dalam peristiwa yang lain pula, seorang sahabat yang bernama Hani bin Yazid menceritakan bahawa, ketika beliau dan beberapa orang delegasinya datang bertemu dengan nabi Sallahu ‘alaihi wasallam di Madinah, lalu baginda terdengar sahabat-sahabatnya memanggil beliau dengan gelaran Abul Hakam. Kemudian nabi Sallahu ‘alaihi wasallam memanggilnya dan berkata, “Sesungguhnya Allah itu Al-Hakam dan ke atasnya Al-Hukm. Lalu mengapa kamu dipanggil dengan gelaran Abul Hakam?”.

Hani bin Yazid membalas, “Sesungguhnya sahabat-sahabatku sering datang kepadaku apabila mereka berhadapan dengan sesuatu masalah. Setelah itu, aku menyelesaikannya sampai masalah kedua-dua pihak tersebut selesai ”.

“Apakah kamu mempunyai anak?”, tanya nabi lagi kepada beliau.

“Aku mempunyai beberapa orang anak bernama Shuraih, Abdullah dan Muslim”, jawab Hani

Setelah itu nabi bertanya lagi, “Di kalangan mereka bertiga itu, siapakah yang paling tua (anak sulung) sekali?”

“Shuraih”

“Oleh itu, saat ini aku panggil kamu dengan Abu Shuraih”[5], saran nabi Sallallahu ‘alahi wasallam kepada Hani.

Oleh itu kepada pembaca sekalian, samada yang sudah berkahwin ataupun yang belum, atau yang sudah mempunyai cahaya mata dan yang bakal mempunyai cahaya mata ... pilihlah nama-nama yang baik untuk anak-anak kalian dan janganlah terikut-ikut dengan budaya segelintir dari kalangan masyarakat yang sekadar mahukan nama yang sedap didengar dan glamor saja, tetapi ia langsung tidak memberikan apa-apa makna, doa serta keberkatan buat si pemakainya.

Agar ianya indah dipanggil di akhirat kelak bersama-sama dengan indahnya budi pekerti si pemakainya .... maka pilihlah nama yang baik-baik diantara yang terbaik.

Sekalipun ia pendek



[1] Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasaie dan selainnya. Rujuk Al-Azkar (no. 889). Akan tetapi, ia telah dinilai Dhoif oleh Syeikh Albani sepertimana yang disebut di dalam Adab al-Mufrad oleh Imam al-Bukhari, m.s 277. Namun begitu, terdapat riwayat-riwayat lain yang mendokong hadis ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Bukhari (3114) dan Muslim (2132).

[2] Hadis riwatat Tarmizi, Abu Daud di dalam Adab al-Mufrad, no 831 dan Al-Azkar, no. 903

[3] Riwayat Abu Daud (4954) dengan sanad Hasan. Rujuk Al-Azkar, no. 904

[4] Hadis Sahih riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban dan Hakim. Rujuk Adab al-Musfrad, no. 822

[5] Riwayat Abu Daud, An-Nasa’ie dan selainnya di dalam Al-Azkar, no. 905

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Monday, October 26, 2009

Bersabarlah wahai pejuang PAS

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.


Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Dato Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

----------------------------

Salam Kamunting,

Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.

Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.

Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.

Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya, 1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero.

Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!

Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.

Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.

Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.

Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.

Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.

“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.” al Hadid:22,23

Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.

Oleh: Ustaz Nik Abduh

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Thursday, October 22, 2009

Kempen Jauhi Pergaulan Bebas dan Zina



Salam perjuangan ...

Di bawah merupakan rantaian pesanan daripada Pemuda PAS Pusat yang saya ambil daripada blog sahabat seperjuangan, akh Muthanna Saari berkenaan dengan "Kempen Jauhi Pergaulan Bebas dan Zina" untuk disampaikan kepada anda semua. Bagi memastikan hasrat ini tercapai, kami mengalu-alukan sebarang idea dan pandangan yang bernas daripada semua pihak. Baca di bawah untuk meklumat lebih lanjut:

[1_673483822l.jpg]

Memanjangkan posting Ustaz Tantawi pada Isnin lalu berkenaanKempen Jauhi Pergaulan Bebas dan Zina. Ia mungkin bertitik tolak daripada keputusan dan suasana di Bagan Pinang yg menyaksikan penghayatan terhadap Islam yg rendah di kalangan masyarakat di sana khususnya anak-anak muda.

2. Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Pusat yang dipengerusikan oleh al Fadhil Ustaz Riduan Mohd Noor akan mengambil tanggungjawab ini untuk menyediakan " plan tindakan berkesan " bagi menjayakan kempen tersebut
Mesyuarat akan diadakan minggu hadapan selepas pengerusi ini selesai segala urusannya minggu ini. Jadi sesiapa yg punyai idea dan cadangan tentang bagaimana kreatif dan secara out-of-the-box kempen ini harus berjalan, bolehlah panjangkan kepada saya. Boleh saya utarakan di dalam mesyuarat nanti.
5. Kerjasama erat dan sistematik juga akan diadakan dengan beberapa NGO yang aktif membenteras perlakuan sosial melampau malah mengundang kecelakaan moral dan kebejadan akhlak dikalangan masyarakat negara kita
Juga diketahui umum tentang JIM / Wanita JIM yg sudah lama menjalankan kempan "Anda Bijak Jauhi Zina". Bukan untuk bersaing tapi untuk tambah merancakkan lagi usaha murni ini. Sebab saya dimaklumkan pengerusi, kempen ini juga akan ditambah lagi dengan kempen terhadap arak dan mungkin beberapa gejala sosial yg tidak sihat.

Jadi siapa yg ada idea bolehlah dikongsikan dengan saya(Penulis asal atau kepada saya sendiri yg kemudiannya akan dipanjangkan kepada AJK yg terbabit) . Biar kita usahakan sesuatu, pasti akan ada hasilnya. Bukankah bantahan kita terhadap konsert Beyonce itu ada hasilnya? Walaupun hanya ditangguh, tidak mustahil ia akan dibatalkan terus. Biar penganjur2 ini tahu bahawa perkara2 yg tiada faedah dan manfaatnya ini ada yg membantahnya....

p/s: Takziah buat sahabat saya Ustaz Ramadhan Fitri (yg juga pernah bersama satu lajnah dengan saya sebelum ini) dan isteri yg kehilangan anak tersayang, Nur Fatima pagi ini. Moga Allah memberi kesabaran dan ketabahan buat mereka. Al-Fatihah

..............................................

Mohon kerjasama
________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Wednesday, October 21, 2009

Ingat ALLAH sekalipun dengan jalan berFIKIR



Imam Ibnu 'Athaillah rahimahullah berkata, "Berfikir itu adalah jalan hati pada semua makhluk Allah".

Ungkapannya pendek sahaja, tetapi maksudnya cukup mendalam.

Sesiapa yang ingin mengenal Allah, fahamilah ungkapan yang diucapkan oleh Imam Ibnu Athaillah ini sebaiknya. Ternyata saya masih jauh lagi dengan Allah, walaupun saya amat yakin Allah sentiasa ingin dekat dengan saya.

Ketahuilah bahawa segala yang Maujud itu untuk yang Wujud. Alam ini maujud, manakala Allah itu wujud. Segala yang ada di langit dan di bumi ini sebenarnya diciptakan untuk kita sampai kepada Zat yang wujud, iaitu Allah SWT. Manusia dikenal pada zatnya, manakala Allah pula dikenal pada sifatnya. Kerana itu, berfikir tentang kejadian langit dan bumi serta seisinya pasti akan tergambarkan kesempurnaan Sifat-sifat, Keagungan, Kebesaran, Ketinggian dan Keesaan Allah SWT yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana. Di saat itu, akan terserlahlah kelemahan kita dan jelaslah kehebatan Allah SWT. Seorang penyair pernah mengungkapkan:
"Hati nurani manusia itu,
pasti tidak akan mampu,
memperolehi sesuatu.
Jika dia tetap menuntut bukti,
carilah mengapa waktu siang itu terang benderang"
Pasangan kekasih, walaupun mereka dipisahkan beribu batu, tetapi ia sangat dekat dengan hadirnya dia di dalam dirinya. Begitu juga hubungan kita dengan Allah .. Allah itu batin manakala kita itu zahir. Kita tidak mampu melihat-Nya, walaupun Dia mampu melihat kita. Diantara zahirnya kita dan batinnya Allah, berfikir tentangnya adalah jalannya yang menghubungkan diantara kita dengan Allah. Maka di saat itu, hati pasti akan terasa dekat dengan-Nya. Sebaliknya, walaupun Allah itu tersangat dekat dengan kita, tetapi akan terasa jauhnya Allah jika hati dan fikiran kosong dari mengingatinya.

Saat ia datang, saya dapat rasakan kekhusukan dan kemanisan dalam beribadah dan beramal. Namun cahaya Allah itu letaknya di hati. Ia sangat suci dan tidak menerima sebarang kekotoran. Maka saat hati lalai darinya, pergilah nur cahaya itu dan hilanglah kekhusukan. Sebagaimana jasad memerlukan makanan, hati juga memerlukan makanan. Makanan hati adalah iman dan cahaya Allah. Saat hati kenyang dengan iman, fikiran pun menjadi sihat dan tenang. Namun jika hati lapar dan tidak mendapat makanan, ketika itu, hidup menjadi tidak keruan, fikiran pun menjadi tidak tenang.

Beruntunglah sesiapa yang dihatinya sentiasa ada Allah. Semoga kita dapat mengingati Allah sekalipun dengan jalan berFIKIR.

Agar ia menjadi makanan buat anda, dan pengubat buat hati ini yang sentiasa mengharapkan pemeliharaan-Nya.

Saya sangat mengharapkan.

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadamu dari kelemahan, kemalasan, pengecut, bakhil dan azab kubur. Ya Allah, berikanlah ketaqwaan pada diriku dan sucikanlah ia, kerana Engkau-lah sebaik-baik Rabb yang mensucikannya, Engkau Pelindung dan Pemeliharanya. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusu', dari nafsu yang tidak pernah puas dan dari doa yang tidak dikabulkan" ... ameen Ya Rabbal 'Alameen.

(Riwayat Muslim, no. 2722)

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Berbanggalah menjadi Wanita Muslimah


“Tak balik lagi cik Ain. Tunggu siapa?”, sapa makcik Khadijah, seorang pencuci pejabat tempat Ain bekerja.

“Ermm .. belum lagi”, jawab Ain ringkas

Petang itu cuaca nyaman sekali. Tidak panas dan tidak mendung. Sedang-sedang saja. Kumpulan merpati yang terbang di awan turut sama menghiburkan suasana petang itu. Suasana bandar pula bising dengan bunyi teriakan kereta yang sedang bersesak-sesak di jalanan. Pejalan kaki pula ramai yang berkejar-kejar dan kelam kabut menuju stesyen LRT yang berdekatan.

“Maaf cik Ain, boleh saya cakap sesuatu dengan cik Ain?”, makcik Khadijah memberanikan diri setelah beberapa lama teragak-agak.

“Ya, kenapa?”, jawab Ain yang sedang berdiri di luar pejabat menunggu sahabatnya Linda mengambilnya dari kerja.

“Sebenarnya dah lama saya nak cakap dengan cik Ain, tapi saya takut dan selalu tak berkesempatan”, jelas makcik Khadijah. Lembut percakapannya.

“Ermm, kenapa makcik .. cakap je lah sebelum kawan saya datang ni !”, jawab Ain yang mahu tak mahu saja melayan makcik Khadijah. Malah beliau memandangnya dengan sebelah mata saja seperti orang bawahan.

“Sss .. sss .. ssaya harap cik Ain tak marah kalau saya cakap”, gugup percakapan makcik Khadijah, takut-takut dimarahi oleh Ain. Maklumlah beliau hanya bekerja sebagai pencuci saja di situ sedangkan Ain merupakan seorang Peguam di pejabatnya. Beliau pula merupakan antara peguam yang terkenal mengendalikan kes-kes berprofil tinggi di Kuala Lumpur. Walaupun sudah hampir dua tahun bekerja di situ, itulah kali pertama makcik Khadijah bercakap secara berdepan dengan Ain.

“Ermm ..”, jeling Ain tanpa memalingkan wajahnya ke arah makcik Khadijah.

“Sss .. sss .. ssaya dah lama perhati cik Ain dari jauh. Mmminta maaf cik Ain. Tapi sss..sssaya rasa kita sebagai perempuan Melayu yang amalkan budaya ketimuran tak manis rasanya berpakaian begini. Saya tengok hari tu cik Ain kelihatan lebih cantik jika cik Ain memakai baju kurang ke pejabat”, pucat muka makcik Khadijah mengatakan hal tersebut di hadapan Ain yang sering memakai “skirt” pendek dan berseluar ketat ke pejabat. Perlahan dia meminta Ain berubah. Beliau tidak terus memintanya bertudung kerana dia tahu tentu ia akan mengundang kemarahan Ain.

Ain bukanlah dari calang-calang keluarga. Ayahnya merupakan bekas Duta Besar Malaysia di beberapa buah negara maju seperti England, Sweden dan New York. Dengan sebab itu, sebahagian dari masa mudanya dilalui dalam suasana kebaratan. Bahasa Inggerisnya juga sangat fasih,‘slang’ percakapannya tidak kalah seperti orang putih, dan gaya hidupnya pula banyak terbawa-bawa dari Barat termasuklah cara pemakaiannya. Hampir 20 tahun beliau dibesarkan di negara orang. Oleh itu, tidak pelik jika dia berpakaian sebegitu tambahan pula suasana pejabatnya juga dikelilingi oleh suasana non-Islami kerana ramainya staf-staf pejabatnya dari kalangan bukan Islam.

“Ooo … itu je ke yang makcik nak cakap !?”, tegas Ain dengan suaranya yang agak tinggi. Makcik Khadijah tidak menjawab apa-apa. Beliau hanya menundukkan kepalanya saja seperti menanggung beban batu yang dihempapkan di kepalanya.

“Sudah la makcik. Makcik buat je kerja makcik sebagai cleaner di sini. Jangan nak sibuk-sibuk hal orang lain. Udah la makcik, kawan saya dah datang dah ni. Saya nak balik !”, tengking Ain kepada makcik Khadijah.

Terkebil-kebil mata beliau mendengar jawapan yang diberikan Ain. Nasihatnya ditolak mentah-mentah seolah-olah ia langsung tidak memberi erti kepadanya.

SALAH MEMAHAMI KEBEBASAN

Pembaca sekalian,

Ramai yang mendakwa kebebasan peribadi adalah hak mutlak setiap individu dan siapapun tidak berhak untuk mempertikaikannya. Kalau di negara barat, ibu bapa hanya punya hak terhadap anak-anak mereka sebelum mereka mancapai “Majority age” di sisi undang-undang. Namun setelah itu, anak-anak mereka berhak untuk melakukan apa saja mengikut kemahuan mereka. Oleh kerana itulah, ramai muda mudi di sana sudah terlibat dalam aktiviti sex di penghujung atau awal umur 20-an mereka kerana undang-undang telah memberikan kebebasan tersebut kepada mereka.

Lalu di atas kebebasan mutlak itulah kita dapati ramai wanita merasa bebas untuk berpakaian mengikut selera mereka, bahkan untuk telanjang bulat sekalipun di depan orang, tiada siapa berhak untuk mempertikaikannya.

"Puan, pantai ada di belakang sana ye. Tapi kawal sikit la ye pergerakan anak puan dari pergi ke sana sebab di pantai tuuu ....", jelas receptionis sambil tersenyum dari salah sebuah hotel terkemuka di Langkawi suatu ketika dulu dalam percutian kami bersama ayah untuk menyaksikan "Lima 97".

"Ok ... ok", emak memintas percakapannya sambil tersenyum. Emak seolah-olah faham benar dengan apa yang ingin disampaikan lelaki itu.

"Mak ..mak, orang tu cakap apa? Kenapa dia cakap kene kawal anak kalau nak ke pantai?", saya cepat-cepat bertanya. Umur saya yang pada ketika itu baru 12 tahun masih terlalu awal untuk memahami maksud yang cuba disampaikan receptionis tersebut.

"Alaa.. ada laa", mak saya enggan memberitahu.

"Mak ni ! Cakap la kenapa !!", saya tidak puas hati sebab masih belum dapat jawapannya.

"Sebab di pantai tu banyak orang mandi telanjanggg ...", emak jawab juga sebab tak lalu nak melayan karenah saya.

"Oooooo ...."

"Haaa ... lepas ni jangan nak menggatal pergi sana. Tak boleh pergi sana !!", sambil membuka pintu bilik, emak lekas-lekas memberi amaran kepada saya. Tetapi kami tinggal di situ semalam saja kerana kedudukannya jauh dari lokasi berlangsungnya "Lima 97".

Saya masih ingat lagi sewaktu saya berada di Australia beberapa tahun yang dulu. Ketika saya dan pakcik keluar makan di sebuah kedai milik orang Melayu, sebuah rancangan televisyen di sana memaparkan kelibat masyarakatnya (lelaki & perempuan) yang telanjang bogel di tengah-tengah bandar dalam satu pesta kuiz yang disertai oleh ramai orang.

“Alaa … ini biasa di sini”, cerita pemilik kedai tersebut kepada pakcik saya yang gembira melihat wajah-wajah orang Melayu bertandang ke kedainya.

Nasib baiklah bahagian sulit mereka dikaburkan. Kalau tidak, tiada lagi yang dapat menghijab di antara penonton dengan bahagian sulit tersebut. Sungguh mengejutkan !!

“Ha’ah, sini biasa”, sampuk kakak sepupu saya yang merupakan pelajar perubatan di University of Melbourne.

“Pelajar-pelajar baru di sini, selalunya kami akan ada kuiz dalam sesi orientasi. Dalam kuiz tu, siapa yang salah jawab, mereka mesti menanggalkan baju sampailah tinggal baju dalam dan seluar dalam saja.”, sambung beliau lagi.

“Biar betul ! Habis korang macam mana?”, saya bertanya.

“Kami tak kena sebab dorang tahu kita muslim. Tapi kami kena denda lain la”, jelas beliau.

Alhamdulillah, di tempat kita tidak lah sampai begitu sekali keadaannya. Masih belum lagi terdengar apatah lagi keluar dalam rancangan TV orang kita berkelakuan sebegitu. Tetapi saya dapat merasakan tanda kecilnya sudah ada di mana hari ini sudah menjadi “trend” masyarakat Cina memakai seluar pendek ketat sehingga ke paras peha. Kalau sebelum ini kita sering dapati ia sering dipakai oleh “apek” jual sayur di pasar-pasar, tetapi sekarang, ia telah bertukar menjadi trend baru gadis-gadis Cina tempatan.

Malah trend ini sudah mula menular di kalangan perempuan Melayu pula. Saya pernah terserempak dengannya beberapa kali. Pernah suatu hari ketika saya dan emak singgah di sebuah gerai makan, tiba-tiba berlalu seorang perempuan Melayu Islam dari arah belakang kami dengan membawa anak kecilnya bersama. Namun Masya-Allah, penampilannya langsung tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang wanita muslimah. Bukan saya saja yang terkejut, malah ibu saya juga turut sama terkejut. Bahkan mungkin orang di sekeliling kami juga turut sama terkejut tatkala melihat gaya penampilannya begitu. Semuanya tidak terlepas memandang ke arahnya. Bajunya ketat sehingga jelas menampakkan bentuk buah dadanya dan warna baju dalamnya, dan dia pula memakai seluar pendek nipis lagi ketat sehingga ke paras punggungnya. Sengaja saya ceritakan supaya saudara tahu bagaimana keadaannya pada ketika itu. Percaya atau tidak, tetapi inilah realitinya.

Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri, apakah perasaan mereka ketika berpakaian sebegitu di khalayak ramai? Apakah mereka tidak ada perasaan malu membiarkan orang lain melihat bentuk tubuh badannya? Atau, apakah mereka ini merasa bangga kerana ramai orang melihat penampilannya? Saya tidak tahu jawapannya secara pasti kecuali ANDA sendiri wahai kaum hawa.

Soalnya, apakah benar dakwaan mereka bahawa kebebasan itu hak mutlak setiap individu yang tidak boleh dipertikaikan?

Bagi saya, mereka yang mendakwa demikian sebenarnya merupakan orang yang sombong dan tidak memperhatikan keadaan orang yang berada di sekelilingnya.

Bagi golongan wanita yang merasa bangga menonjolkan auratnya di khalayak ramai, sesungguhnya anda merupakan wanita zalim dan tidak punya belas kasihan kepada golongan lelaki. Penampilan anda sebenarnya menyiksa golongan lelaki. Anda hanya mahu memuaskan kehendak anda, tetapi anda tidak pernah memikirkan perasaan golongan lelaki yang menjadi sebahagian dari komuniti masyarakat yang berada di tengah-tengah anda. Anda mempamerkan kecantikanmu, kononnya untuk dilihat cantik di hadapan orang. Tetapi apakah anda tidak sedar betapa anda sedang mencampakkan diri anda dalam bahana yang merbahaya? Ceteknya permikiran anda. Anda membiarkan diri anda dilihat orang. Tetapi anda sangsi bila anda menyedari ada orang sedang memperhatikan anda. Anda marah kepada lelaki yang berperangai buaya. Anda marah kepada serigala yang membaham. Tetapi mengapa anda tidak mahu menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu kalau bukan anda sendiri yang “bermain-main aci” dengan mereka??

MALANG TIDAK BERBAU

“Rasanya dah seminggu saya tak nampak cik Ain”, tanya makcik Khadijah kepada kawan sekerjanya ketika sedang berehat-rehat di bilik rehat.

“Ha’ah la … dia pergi mana ye”, kak Farhan pun perasan perkara yang sama.

“Akak dengar katanya cik Ain tengah sakit sekarang ni”, sampuk makcik Mardiah yang sedang memicit-micit tumit kakinya kerana terlalu lama berdiri.

“Yekeee … dia sakit apa?”, tanya makcik Khadijah serius.

“Akak pun tak tahu dia sakit apa. Akak pun curi-curi dengar je masa Katrine bersembang dengan Paul tiga hari lepas”, jelas makcik Mardiah.

“Habis sekarang ni dia di mana?”, tanya makcik Khadijah lagi. Dia ingin tahu benar keadaan cik Ain.

“Tak tahu la. Dengar kata ada di rumah dia di Damansara Utama”, jelas makcik Mardiah lagi.

Selidik punya selidik, beberapa hari selepas itu barulah makcik Khadijah mendapat tahu bahawa Ain telah dirogol oleh teman lelakinya. Ia terjadi ketika mereka menyambut hari jadinya di “The Zouq”, sebuah kelab malam terkenal yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ketika Ain sedang mabuk tak sedarkan diri, dia dibawa ke hotel Renaissance yang terletak tidak jauh dari kelab malam tersebut sebelum dia diperkosa oleh teman lelakinya sendiri.

Tidak sangka sekejam itu teman lelakinya. Namun segalanya telah berakhir. Nasi telah menjadi bubur. Malang datang menerpa tanpa pernah diduga. Ketika itu, tiada guna lagi tangisan dan penyesalan kerana semua itu tidak akan pernah dapat mengembalikan ‘kesuciannya’ yang telah musnah. Ia tidak boleh dikembalikan lagi. Hanya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah sajalah jalan yang terbaik baginya. Mungkin ia merupakan pengajaran buat dirinya yang selama ini lalai akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah di atas muka bumi.




Saudari,

Allah telah menjadikan kecantikan anda sebagai perhiasan. Diletakkan juga rasa keinginan pada diri anda untuk sentiasa dilihat cantik dan menawan, sehingga anda suka mempamerkannya kepada orang agar anda sentiasa mendapat pujian manusia. Namun hakikatnya, semua itu adalah ujian bagi anda. Cantiknya diri anda di sisi Allah ialah pada kesungguhan anda menjaga aurat dan maruah anda di depan orang, kerana kecantikan itu milik Allah dan ia datang dari lubuk hati. Oleh itu, barangsiapa yang di hatinya punya rasa malu, pasti Allah akan mencantikkan wajahnya dengan cahaya iman dan ketaatan.

Bagi perempuan yang telah bertudung, tutuplah aurat anda dengan sempurna. Teruskan beristiqamah dalam memeliharanya. Jangan terkalahkan oleh keadaan sehingga membuatkan anda malu untuk terus memeliharanya dengan baik. Janganlah saat anda bertudung, anda memakai pakaian yang ketat, ataupun kain dan tudung yang nipis kerana ia tidak membawa erti menutup aurat yang sebenarnya. Fahamilah bahawa menutup aurat itu bukan hanya dengan memakai tudung sahaja, tetapi ia datang dari rasa ketaatan kepada Allah yang meliputi seluruh tubuh badanmu kecuali apa yang nampak pada muka dan tapak tangan sahaja.

Berbanggalah menjadi wanita Muslimah !

Itulah kecantikan anda ....

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Monday, October 19, 2009

Hakikat Salafiah itu bagaimana?



"Syeikh, apa pendapat anta tentang Salafi?", tanya akh Shahir kepada saya.

".. atau macam mana pandangan anta antara Salafi dengan Wahabi, sama ke dua-dua ni", beliau cuba mengolah soalan dengan lebih tersusun.

Shahir, seorang peniaga alat-alat ketenteraan, merupakan seorang anak muda yang begitu "asyik" dengan Islam. Keinginan beliau yang begitu tinggi terhadap Islam membuatkan beliau sering bertanya persoalan-persoalan agama. Tambahan pula, gerai beliau pula berjiran dengan seorang peniaga yang menjual risalah, buku, majalah dan CD ceramah Rasul Dahri, seorang pendakwah Salafi yang begitu sekali keras terhadap amalan-amalan masyarakat Melayu Muslim di Malaysia yang rata-ratanya bermazhabkan mazhab Syafi'i, yang beliau saksikan terdapat banyak amalan yang dibid'ahkan oleh Rasul Dahri sehingga menimbulkan pelbagai pertanyaan beliau tentang manhaj Salaf yang sebenarnya.

Saya tahu ia hal yang cukup membosankan. Tak habis-habis perbincangan ini juga yang sering diketengahkan. Sebenarnya, kalau anda bosan, saya juga bosan untuk berbicara soal ini. Cukup bosan dan kadang-kadang saya terasa muak untuk mendengar dan menjawab pertanyaan yang berkait dengan hal ini. Tetapi cuba kita perhatikan, persoalan ini sebenarnya merupakan antara topik terhangat yang sering menjadi perbualan hangat sebahagian generasi muda hari ini terutamanya dari kalangan mereka yang cintakan Islam dan terpelajar. Seolah-olahnya ia sebahagian dari inti perbincangan yang tidak boleh dipisahkan bilamana kita membincangkan tentang masalah umat Islam sejagat.

Berbalik kepada pertanyaan Akh Shahir itu, sebagai jawapannya, saya telah memberikan kepada beliau risalah kecil Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkenaan dengan persoalan "Hakikat sebenar manhaj Salafiah" untuk beliau baca dan fahami dengan baik. Bagi saya, ia merupakan risalah lama yang sangat baik untuk diteliti dengan sebaiknya. Bahkan saya rasakan inilah penjelasan yang terbaik dan adil terhadap manhaj Salafiah yang sebenar, juga kepada tokoh-tokoh agung yang membawanya selepas itu. Saya faham manhaj ini dan saya cuba peganginya sebagai manhaj "moderat" yang perlu dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat terutamanya para da'i, penggerak dan pembawa obor-obor pembaharu Islam masa kini. Semoga apa yang ditulis oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ini dapat memberi pencerahan yang jelas kepada kita akan hakikat manhaj Salafiah yang sebenarnya. Beliau menyebut:

Yang dimaksud dengan “Permikiran Salafi” ialah kerangka berfikir yang tercermin dalam pemahaman generasi terbaik dari ummat ini, iaitu para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan setia, dengan meneladani hidayah Al-Qur’an dan tuntunan Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Kriteria Manhaj Salafi yang Benar adalah suatu manhaj yang secara global berpijak pada prinsip berikut :

  1. Berpegang pada nash-nash yang ma’shum (suci), bukan kepada pendapat para ahli atau tokoh.
  2. Mengembalikan masalah-masalah “mutasyabihat” (yang kurang jelas) kepada masalah “muhkamat” (yang pasti dan tegas). Dan mengembalikan masalah yang “zhanni” kepada yang “qath’I”.
  3. Memahami kes-kes furu’ (kecil) dan juz’i (tidak prinsipil) dalam kerangka prinsip dan masalah fundamental.
  4. Menyerukan “Ijtihad” dan pembaharuan. Memerangi “Taqlid” dan kejumudan.
  5. Mengajak untuk ber-iltizam (memegang teguh) akhlak Islamiah, bukan meniru suasana.
  6. Dalam masalah fiqh, berorientasi pada “kemudahan” bukan “mempersulitkan”.
  7. Dalam hal bimbingan dan penyuluhan, lebih memberikan motivasi, bukan menakut-nakutkan.
  8. Dalam bidang aqidah, lebih menekankan penanaman keyakinan, bukan dengan perdebatan.
  9. Dalam masalah Ibadah, lebih mementingkan jiwa ibadah, bukan formalitinya.
  10. Menekankan sikap “ittiba’” (mengikuti) dalam masalah agama. Dan menanamkan semangat “ikhtira’” (kreativiti dan daya cipta) dalam masalah kehidupan duniawi.

Inilah inti “manhaj salafi” yang merupakan ciri khas mereka. Dengan manhaj inilah dibinanya generasi Islam terbaik, dari segi teori dan praktikal. Sehingga mereka mendapat pujian langsung dari Allah di dalam Al-Qur’an dan Hadis-Hadis Nabi serta dibuktikan kebenarannya oleh sejarah. Merekalah yang telah berhasil menterjemahkan Al-Qur’an kepada generasi sesudah mereka. Menghafal Sunnah. Mempelopori berbagai kemenangan (futuh). Menyebarluaskan keadilan dan keluhuran (ihsan). Mendirikan “negara ilmu dan Iman”. Membangun peradaban rabbani yang manusiawi, bermoral dan mendunia. Sampai sekarang masih tercatat dalam sejarah.

Citra “Salafiah” Dirosak oleh Pihak yang Pro dan Kontra

Istilah “Salafiah” telah dirosak citranya oleh kalangan yang pro dan kontra terhadap “salafiah”. Orang-orang yang pro-salafiah - samada yang sekarang ini dianggap orang dan menamakan dirinya demikian, atau yang sebagian besar mereka benar-benar salafiyah - telah membatasinya dalam skop formaliti dan kontroversi saja, seperti masalah-masalah tertentu dalam Ilmu Kalam, Ilmu Fiqh atau Ilmu Tasawuf. Mereka sangat keras dan garang terhadap orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah-masalah kecil dan tidak fundamental ini. Sehingga memberi kesan kepada sebahagian masyarakat bahawa manhaj Salaf adalah manhaj “debat” dan “polemik”, bukan manhaj yang membangun, membina dan praktikal, serta mempersoalkan yang kecil-kecil dengan mengorbankan hal-hal yang fundamental, memperbesarkan khilafiah dengan mengabaikan masalah-masalah yang disepakati dan mementingkan formaliti dan kulit dengan melupakan inti dan jiwa.

Sedangkan pihak yang anti-salafiah menuduh faham ini “mundur”, senantiasa menoleh ke belakang, tidak pernah memandang ke depan. Fahaman Salafiah, menurut mereka, tidak menaruh perhatian terhadap masa kini dan masa depan, sangat fanatik terhadap pendapat sendiri, tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Salafiah sinonim dengan anti pembaharuan, mematikan kreativiti dan tidak mengenal kesederhanaan dan pertengahan.

Sebenarnya tuduhan-tuduhan ini merosakkan citra salafiah yang hakiki dan penyeru-penyerunya yang asli. Barangkali tokoh yang paling menonjol dalam mendakwahkan “salafiah” dan membelanya mati-matian pada masa lampau ialah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah beserta muridnya Imam Ibnul Qayyim. Mereka inilah orang yang paling patut mewakili gerakan “pembaruan Islam” pada masa mereka. Kerana pembaharuan yang mereka lakukan benar-benar mencakup seluruh disiplin ilmu Islam.

Mereka telah menumpaskan fahaman “taqlid”, “fanatik madzhab” fiqh dan ilmu kalam yang sempat mendominasi dan mengekang pemikiran Islam selama beberapa abad. Namun, di samping kegarangan mereka dalam membasmi “asobiyah madzhabiyah” ini, mereka tetap menghargai para Imam Madzhab dan memberikan hak-hak mereka untuk dihormati. Hal itu jelas terlihat dalam risalah “Raf’ul Malaam ‘anil A’immatil A’lam” karya Ibnu Taimiyah.

Demikian kuatnya serangan mereka terhadap “tasawuf” kerana penyimpangan-penyimpangan pemikiran dan aqidah yang tersebar di dalamnya. Khususnya di tangan pengasas madzhab “Al-Hulul Wal-Ittihad” (penyatuan). Dan penyelewengan perilaku yang dilakukan para oleh orang jahil dan yang menyalahgunakan “tasawuf” untuk kepentingan pribadinya. Namun, mereka menyedari tasawuf yang benar. Mereka memuji para pembawa tasawuf yang ikhlas dan rabbani. Bahkan dalam bidang ini, mereka meninggalkan warisan yang sangat berharga, yang tertuang dalam dua jilid di dalam “Majmu’ Fatawa” karya besar Imam Ibnu Taimiyah. Demikian pula dalam beberapa karangan Ibnu Qayyim, yang termasyhur ialah “Madaarijus Salikin syarah Manazil As-Sairin ila Maqomaat Iyyaka Na’budu wa Iyyaka Nasta’in”, dalam tiga jilid.

Mengikut Manhaj Salaf Bukan Sekadar Ucapan Mereka

Yang perlu saya tekankan di sini, mengikut manhaj salaf, tidaklah bererti sekadar ucapan-ucapan mereka dalam masalah-masalah kecil tertentu. Adalah suatu hal yang mungkin terjadi, anda mengambil pendapat-pendapat salaf dalam masalah yang juz’i (kecil), namun pada hakikatnya anda meninggalkan manhaj mereka yang universal, integral dan seimbang. Sebagaimana juga mungkin, anda memegang teguh manhaj mereka yang kulli (universal), jiwa dan tujuan-tujuannya, walaupun anda menyalahi sebahagian pendapat dan ijtihad mereka.

Inilah sikap saya secara pribadi terhadap kedua Imam tersebut, iaitu Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim. Saya sangat menghargai manhaj mereka secara global dan memahaminya. Namun, ini tidak bererti bahawa saya harus mengambil kesemua pendapat mereka. Jika saya melakukan hal itu bererti saya telah terperangkap dalam “taqlid” yang baru. Dan bererti saya telah melanggar manhaj yang mereka pegang dan perjuangkan sehingga mereka disiksa kerananya iaitu manhaj al-Ittiba’ (mengikuti dalil). Melihat setiap pendapat secara objektif, bukan memandang orangnya. Apa ertinya anda protes orang lain mengikut (taqlid) Imam Abu Hanifah atau Imam Malik, jika anda sendiri taqlid kepada Ibnu Taimiyah atau Ibnul Qayyim

Juga termasuk menzalimi kedua Imam tersebut, iaitu dengan hanya menyebut padangan ilmiah dan pemikiran dari hidup mereka dan mengabaikan sudut-sudut lain yang tidak kurang penting dengan sudut pertama. Sering dilupakan dari sudur Rabbani dalam kehidupan Ibnu Taimiyah yang pernah menuturkan kata-kata: “Aku melalui hari-hari dalam hidupku dimana suara hatiku berkata, kalaulah yang dinikmati ahli syurga itu seperti apa yang kurasakan, pastilah mereka dalam kehidupan yang bahagia”.

Di dalam sel penjara dan penyiksaannya, beliau pernah mengatakan: “Apa yang hendak dilakukan musuh terhadapku? Kehidupan di dalam penjara bagiku merupakan khalwat (mengasingkan diri dari kebisingan dunia), pengasingan bagiku merupakan rekreasi, dan jika aku dibunuh adalah mati syahid”.

Beliau adalah seorang laki-laki rabbani yang amat berperasaan. Demikian pula muridnya Ibnul Qayyim. Ini dapat dirasakan oleh semua orang yang membaca kitab-kitabnya dengan hati yang terbuka.

Namun, orang seringkali melupakan sudut “dakwah” dan “jihad” dalam kehidupan dua Imam tersebut. Imam Ibnu Taimiyah terlibat langsung dalam beberapa medan pertempuran dan berperanan sebagai penggeraknya. Kehidupan dua tokoh ini penuh diwarnai perjuangan dalam memperbarui Islam. Dicampak ke dalam penjara beberapa kali. Akhirnya Syaikhul Islam mengakhiri hidupnya di dalam penjara, pada tahun 728 H. Inilah makna “Salafiah” yang sesungguhnya.

Bila kita mengalihkan pandangan ke zaman sekarang, kita akan bertemu dengan tokoh yang paling menonjol mendakwahkan “salafiah”, dan paling gigih mempertahankannya melalui artikel, kitab karangan dan majalah pembawa misi “salafiah”. Beliau ialah Imam Muhammad Rasyid Ridha. Penulis majalah “Al-Manar’ yang telah membawa bendera Salafiah ini selama tiga puluh tahun dengan menulis Tafsir “Al-Manar” dan dimuat dalam majalah yang sama, yang telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Rasyid Ridha adalah seorang “pembaharu” (mujaddid) Islam pada masanya. Barangsiapa membaca “tafsir”nya, seperti : “Al-Wahyu Al-Muhammadi”, “Yusrul-Islam”, “Nida’ Lil-Jins Al-Lathief”, “Al-Khilafah”, “Muhawarat Al-Mushlih wal-Muqollid” dan sejumlah kitab dan makalah-makalahnya, pasti akan melihat bahawa pemikiran tokoh yang satu ini benar-benar merupakan “Manar” (menara) yang memberi petunjuk dalam perjalanan Islam di masa moden. Kehidupan amalinya merupakan bukti bagi pemikiran “salafiah”nya.

Beliaulah yang merumuskan sebuah kaidah “emas” yang terkenal dan setelah itu dibawa oleh Imam Hasan Al-Banna, iaitu:

“Marilah kita saling bekerjasama dalam hal-hal yang kita sepakati, dan marilah kita saling memaafkan dalam masalah-masalah yang kita perselisihkan.”

Betapa indahnya kaidah ini jika difahami dan diterapkan oleh mereka yang menganggap dirinya sebagai “pengikut Salaf”.

.............................................................

Semoga bermanfaat

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak