Saturday, July 25, 2009

UMNO ! Jangan lupa diri sendiri (kemaskini)



Bak kata Puan Ainon dengan nada perli di dalam Facebook beliau, "Najib bukan menyalakan lilinlah".

"Ehh .. najib nyalakan arang ..hehe. Mana zambry, mana mufti ...cepat2", saya memberikan komen.

Saya bukan nak bermain politik dalam hal ini, tetapi UMNO jangan terlalu beria-ria untuk bercakap soal halal dan haram sedangkan tindakan mereka sendiri bercampur baur dengan perbuatan Haram.

Kalau UMNO memang benar-benar mengambil berat tentang isu halal dan haram ni, mereka perlu terlebih dahulu mengambil tindakan terhadap fatwa Haram yang dikeluarkan oleh para mufti dalam beberapa isu terdahulu seperti Tugu Negara, JomHeboh dan sebagainya. Namun sampai saat ini, fatwa-fatwa tersebut langsung tidak pernah diendahkan bahkan Perdana Menteri masih tetap meletakkan kalungan bunga pada setiap kali diraikan hari Kemerdekaan. Begitu juga dengan program JomHeboh, bukankah Mufti Perak pernah mengeluarkan fatwa haram program tersebut, mengapa tidak diendahkan juga? Fatwa-fatwa ini pula bukannya dikeluarkan oleh PAS, tetapi oleh para mufti. Jadi, apakah alasan UMNO untuk tidak mengendahkan fatwa-fatwa ini?

Dato' Zambry baru-baru ini mempersoalkan penglibatan YAB Nizar Jamaluddin memegang lilin di dalam majlis memperingati kematian Teoh yang merupakan Setiusaha Politik salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, dan meminta Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk mengeluarkan fatwa mengenainya. Sebagai respon terhadap persoalan tersebut, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah mengeluarkan fatwa Haram terhadap perbuatan Nizar tersebut kerana ia merupakan upacara keagamaan agama Budha.

Namun begitu, menurut ADUN Titi Serong, YB Drs. Idham Lim Abdullah yang merupakan bekas penganut agama Budha, tindakan menyalakan lilin bagi penganut agama Budha bukanlah termasuk di dalam perkara keagamaan, sebaliknya ia merupakan satu budaya bangsa tersebut sahaja.

"Saya ingin jelaskan bahawa menyalakan lilin adalah budaya yang diamalkan oleh bangsa kami turun temurun malah ia menjadi amalan kepada penganut Islam di negara China", jelas beliau ketika ditemubual oleh wakil Harakahdaily.

"Sebab itulah jika kita berkunjung di mana-mana masjid di China, kita pasti akan dapat membeli colok yang dijual di masjid", katanya lagi.

Beliau yang memeluk Islam ketika berusia 23 tahun berkata, di negeri China, para imam, ahli jawatankuasa masjid dan umat Islam akan berbaris masuk ke dalam masjid dengan memegang colok yang dinyalakan sambil mengalunkan takbir raya.

"Sebelum melangkah masuk ke dewan sembahyang, colok itu ditinggalkan di luar. Saya ada koleksi gambar mengenai upacara ini sebagai bukti", ujarnya.

Islam bukanlah agama yang begitu mudah untuk mengatakan 'Haram' dalam semua perkara. Para ulama silam, apabila ditanya mengenai sesuatu perkara yang tidak berkait dengan persoalan qot'iyyah (thabit atau jelas di dalam al-Quran & sunnah), atau sesuatu perkara yang samar-samar mengenai kedudukannya, mereka tidak terlalu mudah memfatwakannya dengan "haram". Imam Malik rahimahullahu 'alaih apabila ditanya mengenai sesuatu hukum, beliau lebih cenderung untuk mengatakan "aku tidak tahu" berbanding mengeluarkan perkataan 'Haram'. Bahkan, beliau juga lebih gemar menggunakan perkataan "makruh" untuk menjustifikasikan sesuatu perkara itu sebagai haram sehingga istilah tersebut mashyur digunapakai di dalam mazhabnya dalam menyatakan keharaman sesuatu perkara.

Akan tetapi, penggunaan istilah 'haram' begitu mudah sekali dikeluarkan oleh umat Islam hari ini, seolah-olah tiada perkataan lain yang wujud di dalam agama kita kecuali "haram". Saya melihat tindakan sebegini sebagai suatu kemunduran umat Islam kerana ia secara tidak langsung akan memberikan kesan yang negatif terhadap masyarakat sehingga akhirnya Islam dilihat begitu jumud dan keras.

Sepatutnya, sebelum sesuatu pandangan itu dikeluarkan, institusi-institusi yang bertanggungjawab itu perlu meneliti perkara tersebut terlebih dahulu sebelum bermudah-mudah mengharamkannya. Tambahan pula apabila ia melibatkan upacara bukan Islam, ia perlu dikaji terlebih dahulu dengan meminta penjelasan daripada ahlinya mengenai kedudukan sebenar upacara tersebut. Tindakan sebegini perlu dilakukan agar institusi tersebut jelas dengan kedudukannya sebelum ianya difatwakan agar ia tiada kesilapan berlaku. Kalau di dalam prosiding penghakiman sivil, hakim perlu meminta pandangan pakar (expert evidence) untuk memberikan keterangan terhadap sesuatu bahan bukti yang diluar kemampuan hakim untuk menilainya, begitu juga dengan para mufti. Bahkan al-Quran sendiri telah memerintahkan agar kita bertanya kepada mereka yang ahli dalam sesuatu perkara yang tidak kita ketahui, maka perkara tersebut sepatutnya sudah terlebih awal maklum di sisi mereka. "Ahlal Zikri" dalam ayat tersebut bukan saja ditujukan kepada para ulama dalam bidang agama, bahkan ditujukan juga kepada para ulama yang arif dalam bidang mereka masing-masing seperti kedoktoran, forensik, geologi dan sebagainya, kerana seseorang tidak akan mengetahui semua perkara melainkan perlu meminta pertolongan kepada orang lain yang pakar. Allah SWT telah berfirman: "Dan tidaklah diberikan ilmu kepada mereka kecuali sedikit"

Dalam memahami perkara ini, ulama usul telah menetapkan bahawa, selama mana sesuatu perbuatan itu tidak termasuk di dalam aktiviti keagamaan, maka ia dianggap sebagai "uruf" atau budaya yang dibenarkan oleh Islam selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam.

Menurut YB Idham Lim lagi, beliau dan YAB Nizar bersama Pakatan Rakyat yang lain memegang lilin tersebut sebagai menunjukan rasa penghormatan terhadap mendiang Teoh. Justeru itu, apakah ia bertentangan dengan syara' untuk memberikan penghormatan kepada orang lain atas semangat kemanusiaan sedangkan ia sendiri dituntut oleh Islam. Tidak kira kepada siapapun, walaupun di kalangan orang bukan Islam sekalipun, Islam menuntut agar kita melakukan kebaikkan kepada orang bukan Islam selagi mana mereka tidak memusuhi kita.

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negeri-negeri kamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil" (Al-Mumtahanah: 8)

Bahkan menurut satu riwayat yang sahih daripada Imam Bukhari, Nabi SAW juga pernah berdiri memberikan penghormatan kepada mayat seorang Yahudi yang melalui di hadapannya. Seorang lelaki yang merasa pelik dengan tindakan baginda SAW itu lalu bertanya mengapakah baginda melakukan sedemikian sedangkan Yahudi tersebut telahpun mati. Maka nabi SAW pun menjawab, "apakah ia juga bukan manusia?" (1). Imam Bukhari dan Muslim juga telah meriwayatkan daripada Abi Sa'id radiallahu 'anhu bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah. Manakala yang mengikutinya (ke perkuburan), maka janganlah duduk sehingga ia diletakkan(2)" (3)

Jadi, janganlah politikkan isu lilin ini untuk mengaburi mata rakyat terhadap isu kematian Teoh. Kematian beliau bukan hanya berkait dengan isu sesetengah pihak, tetapi ia merupakan isu kemanusiaan yang perlu diberikan keutamaan. Sebelum UMNO nak persoalkan halal dan haram dalam satu-satu perkara, UMNO dulu kene semak benda-benda Haram yang bermain di sekeliling mereka.

Wallahu a'lam

............................................................

(1) Al-Hakim pula meriwayatkan, "Sesungguhnya kami berdiri untuk para malaikat", manakala riwayat daripada Ahmad, Hakim dan Ibn Hibban pula meriwayatkan, "Sesungguhnya kami berdiri untuk memberi penghormatan kepada yang mencabutkan nyawa (malaikat)".

(2) Sesetengah para ulama mengatakan, yang dimaksudkan dengan "meletakkan" ialah meletakkannya di atas tanah, manakala sebahagiannya pula memaksudkannya sebagai dikebumikan. WA

(3) As-Son'ani mengatakan bahawa sebahagian ulama mengatakan bahawa hadis ini menunjukkan perintah wajib, manakal jumhur ulama mengatakan ia sebagai sunat.
________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

No comments:

Post a Comment