Tuesday, July 21, 2009

Demontrasi menurut Islam



"Ana bukannya apa ..shbt ana yg timbulkan persoalan tu..sblm ni, ana boleh terima demo2 tu..tp bila dipertikaikan, ana ragu2..", cerita seorang muslimat.

"Dia ckp zaman Nabi tak ada demo2 ni..lepas tu, bila berdemo, xde hasil pun..bersesak ramai2..ikhtilat x terjaga, menyebabkan jalan raya huru hara", jelas beliau lagi.

"Anti rasa mcm ne?Btul ke pndgn dia tu?Ape alasan yg kate semua yg tak ada zaman Nabi, kite tak boleh buat?", saya mencelah.

"Ye la...spt yg sedia maklum..perkara yg tak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w dikira bid'ah", terang muslimat tersebut.

Sebenarnya saya berhasrat ingin menjelaskan perkara ini dengan lebih detail, tetapi disebabkan tidak cukup masa, cukuplah sekiranya saya membawakan beberapa kesimpulan yang telah digariskan oleh para ulama dalam menentukan sesuatu hukum baru atau dengan erti kata lain, perkara baru ciptaan manusia.

Para ulama menjelaskan, yang pertama harus dilakukan adalah dengan meneliti kepada nash-nash al-Quran atau as-Sunnah yang berkaitan dengan perkara tersebut. Apakah wujud dalil-dalil tertentu yang menerangkannya samada yang mengharuskan atau mengharamkannya?

Yang kedua, jika tiada dalil yang berkaitan, maka kita harus meneliti hal-hal yang menyerupai apa yang dijelaskan oleh nash-nash tersebut, kemudian diqiyaskan kepadanya mengikut syarat-syarat qiyas.

Yang ketiga, jika tidak memungkin untuk diqiyaskan perkara itu dengan nash-nash tersebut, maka ketika itu para ulama perlu melakukan ijtihad untuk menyimpulkan hukumnya dengan melihat kepada asas syari'at, roh, tujuan dan kaidahnya secara umum, serta meneliti manfaat dan mudharat yang berkemungkinan terhasil dari perkara baru tersebut dengan mentarjih (memilih yang kuat) sebahagian atas sebahagian yang lain.

Soalnya, mengapa para ulama menetapkan kaidah-kaidah sedemikian?

Untuk menjawab persoalan ini, Islam telah membezakan diantara perkara ta'abbudiyyah dan perkara ad-dunyawiyyah yang melibatkan hal mu'amalah (hubungan sesama manusia) dan sebagainya. Sesungguh Imam Hassan al-Banna telah menetapkan satu kaidah penting dalam membezakan antara kedua-dua perkara ini. Beliau menyebutkan bahawa asal bagi setiap perkara ibadah ialah at-ta'abbud (penyerahan) serta terikat dengan nash-nash tanpa meneliti jauh terhadap maqasid dan 'illah (sebab-sebab). Manakala asal bagi setiap perkara mu'amalah pula bergantung kepada sebab-sebab, rahsia dan objektifnya.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan bahawa bukanlah menjadi tanggungjawab kita untuk mengkaji apakah rahsia dan hikmah kewajipan terhadap sesuatu ibadah, bahkan cukup sekadar kita mengetahui asasnya sahaja. Kita tidak pernah dituntut untuk mencari jawapan mengapa Allah SWT mewajibkan kita solat asar 4 rakaat, manakala solat subuh 2 rakaat, atau mengapa diwajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadhan saja dan tidak di dalam bulan yang lain, atau mengapa diwajibkan tawaf di sekeliling ka'bah sebanyak 7 kali dan sebagainya. Kita hanya dituntut untuk menyerahkan diri dan tunduk ke atas setiap ibadah yang diperintahkan melalui nash-nash al-Quran dan as-Sunnah. Berbeza sedikit dengan zakat, para ulama tidak menganggap ia sebagai ibadah semata-mata melainkan ia juga meliputi hak-hak ke atas sesama manusia. Oleh itu, diharuskan penggunaan qiyas dan 'illah di dalamnya.

Berbeza pula dengan perkara mu'amalah atau dunyawiyyah di mana umat Islam amat dituntut untuk mengkaji objektif, sebab-sebab dan rahsia keharusan syara' ke atasnya, tanpa terhenti atau jumud ke atas zahir-zahir nash semata-mata. Inilah kefahaman para sahabat radiallahu 'anhum terhadap perkara ini sehingga mereka benar-benar meneliti dengan mendalam terhadap keharusannya. (As-Siyasah As-Syar'iyyah, m.s 121)

Wallahu a'lam, tidak diragukan lagi bahawa "demontrasi" adalah perkara baru yang tidak disebutkan di dalam nash syariat, dan tidak pernah juga berlaku di zaman nabi SAW. Ia merupakan istilah moden yang digunakan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dan protes sesetengah kelompok masyarakat yang dilakukan di khalayak ramai untuk perhatian pihak-pihak tertentu. Dalam hal keadaan sebegini, yang biasa dilakukan oleh para ulama ialah dengan melihat kepada maksud syariat, tujuan dan kaidahnya secara umum, manfaat serta mudharat yang mungkin terhasil daripadanya. Dalam erti kata lain, ia melibatkan penilitian ke atas maslahah atau "equity".

Justeru itu, untuk sampai kepada kesimpulan hukum mengenai demontrasi ini, saya akan membahaskannya dalam 2 bahagian:
  • Penjelasan tentang manfaat yang terhasil dari penganjuran demontrasi jalanan ini secara umum.
  • Penjelasan mengenai kemudharatan yang mungkin berlaku di dalamnya
BAHAGIAN PERTAMA:

Di dalam setiap tindak tanduk yang kita lakukan, pasti di sana terdapat kesan baik dan kesan buruknya. Atau dalam erti kata lain, manfaat dan mudharat pasti akan mengiringi setiap keputusan dan tindakan yang diambil. Tidak ketinggalan dalam membincangkan persoalan demontrasi ini, di sana turut terdapat sisi positif dan negatifnya. Jika kita meneliti tindakan ini dari segi pengaruhnya, dengan mempertimbangkan adat dan kebiasaan yang berlaku, kita akan dapati beberapa manfaat yang sesuai dengan syariat:

1) Menyeru kebaikkan dan mencegah keburukan:

Untuk menjelaskan perkara ini, saya tidak berhasrat untuk mendatangkan dalil-dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menyatakan mengenai kewajipan kita melaksanakan amar ma'ruf dan nahy munkar. Saya kira anda semua telah mengetahuinya. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah, perintah melaksanakan kewajipan ini pada asasnya diturunkan dalam bentuk umum. Tiada sebarang ketetapan yang ditunjukkan di dalam al-Quran bagaimana ia harus dilaksanakan. Oleh yang demikian, ia terletak kepada kebijaksanaan kita bagaimana perlaksanaan ini harus dilaksanakan agar matlamat dan objektif asalnya sampai kepada pihak-pihak tertentu mengikut kedudukan kita, situasi keadaan dan marhalah-marhalah yang dianggap bersesuaian dengan tuntutan semasa. Penganjuran demontrasi juga boleh dianggap sebagai salah satu tindakan menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan separti yang diperintahkan Islam. Roh dan tujuannya ada di situ. Masyarakat akan berkumpul di jalanan secara beramai-ramai sehingga boleh mencecah beribu malah ratusan ribu orang menyatakan hasrat dan ketidakpuasan hati mereka terhadap golongan dan pihak-pihak tertentu. Dengan kemudahan media dan sistem telekomunikasi yang ada, ia akan lebih mudah sampai kepada pengetahuan pihak yang ditujukan dan mereka dapat memahami apakah sebenarnya tuntutan dan objektif demontrasi tersebut dianjurkan.

2) Hak bersuara, mengkritik dan memberikan pandangan:

Islam sebagai agama sejagat sangat menghormati dan mengalu-alukan sebarang pandangan yang baik demi pembangunan manusia. Islam juga tidak pernah memaksa mana-mana penganut untuk memeluk Islam sebelum ia benar-benar faham dan puas hati dengan Islam. Islam menerima permikiran yang berkembang dengan permikiran, sedangkan kekaburan dibalas dengan hujjah. Namun begitu, semua itu tidak akan tercapai sekiranya hak bersuara, mengkritik dan memberikan pandangan tidak diberikan kepada mereka.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Datangkanlah bukti-bukti kamu sekiranya kamu orang-orang yang benar" (al-Baqarah: )

"..Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik .." (An-Nahl: 126)

"Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik .." (Al-Ankabut: 46)

Dalam masa yang sama, peruntukan undang-undang juga telah memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat untuk menyatakan sebarang hasrat dan ketidakpuasan hati kepada pemimpin. Justeru itu, demontrasi adalah sebahagian dari hak bersuara yang diiktiraf oleh undang-undang dan dunia dalam menyampaikan satu-satu pandangan dan hasrat masyarakat dan rakyat kepada kerajaan. Ia bukan saja satu perarakan jalanan, bahkan di celah-celahnya turut diisi dengan dengan ucapan serta ceramah daripada tokoh-tokoh yang disegani sebagai wakil yang berucap. Orang ramai boleh melihat dan mendengar tokoh dan ucapan yang ia ucapkan dan melaluinya juga, ia sangat berguna sebagai wasilah untuk menyampaikan maklumat, berita dan memahamkan orang ramai yang berkumpul akan hasrat sebenar yang ingin disampaikan.

3) Menakutkan pihak tertentu melalui penyertaan ramai orang:

Untuk memastikan agar pandangan, hasrat dan idea kita didengari, kita memerlukan sokongan dan kuasa. Apatah lagi sekiranya ianya ingin ditujukan kepada pihak yang lebih tinggi, maka lebih-lebih lagi. Demontrasi merupakan satu kaidah yang biasa digunakan oleh rakyat di mana-mana negara untuk menyatakan hasrat mereka kepada pemimpin. Sekiranya pelbagai kaidah awal telah dilakukan seperti penyerahan memorandum, pertemuan, dan sebagainya tidak mendapat respon yang baik daripada mereka, maka demontrasi jalanan merupakan langkah terakhir yang dipilih rakyat untuk menyatakan hasrat mereka kepada pemimpin. Dalam kelemahan mereka sebagai rakyat yang tidak mempunyai sebarang kuasa, cara yang terbaik adalah melalui demontrasi. Dengan jumlah penyertaan yang ramai, ia sudah pasti dapat menggambarkan kepada para pemimpin atau pihak tertentu akan hasrat sebenar rakyat. Jumlah bilangan yang menyertai demontrasi dapat menjadi kayu ukur penting sejauh manakah bantahan rakyat terhadap sesuatu masalah dan krisis yang dilakukan oleh para pemimpin.

BAHAGIAN KEDUA:

Sudut Negatif atau mudharat:

1) Berlaku kerosakkan di muka bumi:

Demontrasi biasanya dilaksanakan di jalanan di tengah-tengah kesibukan bandar. Tujuannya supaya orang ramai mampu melihat perarakan mereka dan tahu apakah objektif demontrasi itu dijalankan. Kesannya, akan berlakulah masalah lalu lintas akibat perarakan dan demontrasi yang berlangsung sehingga menyebabkan pengguna-pengguna jalan raya menjadi marah kerana terhalang oleh gerak geri mereka. Selain dari itu, demontrasi juga boleh menyebabkan berlakunya kerosakka di atas muka bumi. Kemarahan rakyat kadang-kadang boleh membuatkan mereka merosakkan harta benda awam seperti telefon awam, lampu isyarat, penanda jalan dan sebagainya. Ia juga boleh menimbulkan pergaduhan dan pergelutan diantara pihak berkuasa dan orang ramai disebabkan oleh beberapa tindakan orang awam yang melakukan kerosakkan. Oleh itu, ia akan menyebabkan berlakunya kucar-kacir dan perkara ini amat ditegah oleh Islam.

2) Berlaku ikhtilat dan percampuran lelaki perempuan:

Demontrasi yang berjalan tidak mampu mengawal percampuran lelaki dan perempuan. Cara itu dapat menimbulkan fitnah dan memberikan kesan buruk kepada penganjurannya. Justeru itu, Islam sangat menegah sebarang bentuk perhimpunan yang berlaku di sana percampuran antara lelaki dan perempuan yang berleluasa.

PENGIMBANGAN ANTARA MANFAAT DAN MUDHARAT:

Untuk sampai kepada kesimpulan hukum, kita harus melakukan pengimbangan ke atas kedua-dua manfaat dan mudharat yang ditimbulkan. Apakah ia lebih banyak memberikan maslahah atau sebaliknya, iaitu kerosakkan atau kemudharatan? Para ulama seperti Imam al-Ghazali dan As-Syatibi telah membincangkan dengan detail mengenai peranan maslahah di dalam penentuan sesuatu masalah hukum.

Di dalam meneliti sesuatu maslahah, Islam tidak pernah menuntut agar ianya berupa maslahah yang total kerana ia merupakan suatu perkara yang mustahil. Kaidah Islam menetapkan, sesuatu hukum itu akan terpakai sekiranya maslahah yang terhasil itu lebih banyak, lebih besar dan lebih panjang jangka waktunya berbanding dengan mafsadah. Maka dengan sebab itu, dengan kecekapan teknologi dan syarat efisyensi yang ketat, ulama telah mengharuskan kita untuk menggunakan kapal terbang sebagai kemudahan perjalanan kerana maslahah yang terhasil daripadanya adalah lebih besar jika hendak dibandingkan dengan kemudharatannya.

Selain itu, maslahah juga mempertimbangkan diantara kepentingan individu dengan kepentingan umum. Sekiranya pertembungan berlaku diantara keduanya, maka kepentingan umum akan lebih diberikan keutamaan berbandingan dengan kepentingan individu mengikut syarat-syarat yang digariskan oleh para ulama.

Sepertimana yang telah saya sebutkan, selain daripada pekara ibadah, para ulama meneliti sesuatu perkara berlandaskan kepada penilaian maslahah dengan melihat kepada objektif, roh dan maqasid di samping merujuk kepada nash-nash syariat. Ini adalah penting agar ketentuan hukum yang dikeluarkan tidak jumud, keras dan beku dari sifat keanjalannya dengan masa dan zaman yang sentiasa berubah-ubah.

Baik, mari kita teliti kemudharatan yang kemungkinan akan terhasil daripada demontrasi jalanan ini.

Kemudharatan pertama yang dinyatakan adalah, berlakunya kerosakkan di muka bumi. Alasan mereka ialah, kemungkinan akan berlakunya kemusnahan harta benda awam, pergaduhan diantara peserta demontrasi dan pihak berkuasa, berlaku kesesakkan lalu lintas dan keadaan negara menjadi tidak stabil. Begitu juga dengan andaian kedua iaitu, berlakunya ikhtilat dan percampuran diantara lelaki dan perempuan.

Namun begitu, saya melihat 2 contoh kemudharatan yang dinyatakan masih tidak boleh dijadikan alasan yang kukuh untuk menafikan keharusan berdemontrasi kerana ia hanya merupakan andaian-andaian yang masih boleh dipertikaikan. Ya benar, apa yang dinyatakan berkemungkinan akan berlaku, namun ia merupakan andaian yang negatif sekiranya demontrasi yang dijalankan berada di dalam kawalan yang rapi dan baik. Kemusnahan harta benda awam mungkin tidak akan berlaku sekiranya para peserta telah diberikan makluman awal supaya tidak merosakkan harta benda dan selama pengalaman saya mengikuti beberapa demontrasi yang dijalankan, tidak pernah lagi harta awam dimusnahkan oleh peserta demontrasi. Begitu juga dengan demontrasi-demontrasi yang kita lihat di negara-negara lain, kebanyakkannya dijalankan dengan damai tanpa sebarang kemusnahan berlaku. Rakyat berarak membawa sepanduk dan melaungkan slogan Anti-Israel, Anti-War dan sebagainya. Bahkan ada dikalangan peserta yang datang bersama-sama dengan keluarga dan anak-anak bagi menyatakan bantahan mereka terhadap sesuatu perkara.

Begitu juga dengan kesesakkan lalu lintas dan percampuran lelaki dan perempuan. Perkara ini dapat dikurangkan serta masih mampu dikawal sekiranya ia dikawal oleh pihak-pihak yang ditugaskan. Saya mengambil contoh demontrasi BERSIH dan PPSMI terdahulu, ia berada di dalam kawalan Unita Amal PAS yang ditugaskan untuk memastikan tiada kemusnahan harta benda awam berlaku serta mengawal keadaan demontrasi agar ia berada dalam keadaan yang damai, teratur dan tersusun supaya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Peserta juga sering diingatkan oleh anggota keselamatan agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan demontrasi. Justeru itu, kewujudan anggota pengawal yang ditugaskan ini sudah memadai untuk menunjukkan betapa demontrasi yang dijalankan adalah dengan tujuan yang baik dan teratur. Namun, keadaan kucar kacir yang pernah kita saksikan sebenarnya berpunca daripada provokasi oleh pihak berkuasa yang ingin menghalang kebebasan peserta demontrasi untuk menyatakan bantahan mereka. Mereka dipancut dengan gas pemedih mata, dipukul, ditangkap dan dikurung di dalam masjid untuk mengganggu ketenteraman demontrasi. Hakikatnya, keadaan tersebut bukanlah ditimbulkan oleh para peserta, tetapi oleh pihak berkuasa sendiri.

Oleh yang demikian, saya tidak melihat kedua-dua andaian yang dinyatakan seharusnya menjadi punca pengharaman demontrasi. Tidak sesuai untuk melihat kemudharatan ini berdasarkan kepada contoh-contoh kes yang jarang-jarang berlaku sedangkan kebanyakkan daripada demontrasi yang dianjurkan, semuanya berjalan dengan aman dan tenteram. Tambahan pula, kaidah Islam telah menyebutkan bahawa, "An-Nadir kal 'Adam" (Sesuatu yg jarang berlaku dianggap sebagai tiada) tidak boleh dijadikan hujjah dalam mengharamkan sesuatu yang jelas kemaslahatannya daripada kemudharatannya.

Namun begitu, perlu diingatkan juga bahawa keharusan "Demontrasi" masih tertakluk kepada syarat-syarat tertentu:
  • Ia sah di sisi undang-undang negara. Ertinya, tiada sebarang akta dan peraturan negara yang mengharamkan penganjuran Demontrasi.
  • Dijalankan dengan tujuan dan motif yang baik, bukan dengan matlamat yang jahat seperti menyatakan bantahan terhadap pengharaman penjualan arak kepada orang Islam, pengharaman lumba haram dan sebagainya.
  • Tiada kebarangkalian yang besar akan berlakunya sebarang kemusnahan harta benda awam dan kucar kacir. Sekiranya matlamat asal penganjuran demontrasi ini telah menetapkan agar harta benda awam akan dimusnahkan dan menimbulkan kucar-kacir, maka ia adalah haram kerana tidak menghormati harta awam serta merosakkan harta yang bukan milik kita.
  • Tiada kebarangkalian yang besar akan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan yang jelas-jelas akan menimbulkan fitnah.
  • Tiada unsur-unsur maksiat seperti perarakan bogel, tarian bogel, berarak sambil mabuk dan minum arak dan sebagainya.
Kesimpulannya, saya berpendapat, berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang dinyatakan, terdapat beberapa kebaikan, manfaat dan maslahah daripada penganjuran Demontrasi berbanding dengan kemudharatannya. Namun, keharusannya tertakluk kepada syarat-syarat yang telah saya gariskan.

Wallahu 'alam.

Di bawah ini saya lampirkan sekali fatwa Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam bahasa Indonesia berkenaan dengan hukum Demontrasi dan respon beliau dan ulama-ulama lain terhadap fatwa haram Demontrasi yang dikeluarkan oleh Syeikh Shalih Al-Luhaidin dari Saudi sebagai sokongan:


Pernyataan Syeikh Wahbah ini keluar menanggapi pernyataan fatwa haramnya demonstrasi dalam rangka membela Palestina yang dikeluarkan ulama salafi asal Saudi, Syeikh Shalih Al Luhaidan.

Sebelumnya, Syeikh Shalih Al Luhaidan yang juga Ketua Majelis Al A’la li Al Qadha’ Arab Saudi ini mengatakan, bahwa demonstrasi yang terjadi di jalanan Arab untuk membela warga Gaza termasuk membuat “fasad fi Al Ardhi“ alias kerusakan di muka bumi. Tak sekedar itu, ia juga menilai, demonstrasi sebagai hal yang tidak baik dan tidak mendatangkan kebaikan.

Pernyataan Shalih Al Luhaidan ini langsung banyak disambut kritik beberapa ulama lain di dunia.

Beberapa ulama menyatakan bahwa Fatwa Luhaidan yang telah dilansir oleh koran al Hayat, hari Sabtu (3/2) itu sebagai “perkataan yang amat memalukan“ bagi dunia Islam. Sedangkan yang lain mengatakan bahwa hal itu merupakan “kriminal besar“ karena memerintahkan orang lain untuk tidak mengungkapkan sikap lewat demontrasi.

Beberapa ulama yang melakukan pertemuan di Kairo sepakat bahwa demontrasi mendukung warga Gaza yang sedang dibantai Israel saat ini adalah wajib, secara syar’i dan aqli.

Salah satu dari ulama yang hadir adalah Syeikh Dr Wahbah Az Zuhaili, Wakil Ketua Majma’ Fuqaha As Syari’ah Amerika dan profesor bidang fikih di Universitas Damaskus.

Syeikh Wahbah merasa heran dan sangat mempertanyakan fatwa Al Luhaidan. “Di mana letak kerusakan di bumi, ketika kita melakukan demontrasi menentang kekejaman Israel atas Gaza? Mengatakan hal itu (pelarangan demonstrasi) sama dengan mengakui penjajahan. Jika demontrasi untuk menghancurkan kemungkaran maka hal itu bukan menciptakan kerusakan di bumi,“ ujar Syeikh Wahbah.

“Tidak tepat jika fatwa ini berlaku di dunia Islam secara umum, karena ditujukan kepada umat Islam, minimal fatwa ini adalah fatwa lokal, akan tetapi ini juga tidak tepat, karena pentingnya peran demontrasi dan wajibnya untuk situasi seperti ini,“ tambah Wahbah.

Ulama yang baru mendapatkan penghargaan dari pemerintah Malaysia ini juga menyatakan,“Fatwa ini tidak benar, dan ini dipengaruhi oleh situasi yang ada di Saudi, dan mereka selalu menjaga adat, karena raja-rajanya menolak munculnya demontrasi,“ ujarnya.

Ia menjelaskan bahwa tidak setiap demonstrasi adalah perusakan di atas bumi, dihukumi merusak jika melakukan perusakan, mencemooh tanpa sebab, maka hal ini termasuk menimbulkan kerusakan.

“Demontrasi adalah pengungkapan pendapat, dan itu termasuk hak setiap orang menurut pandangan Islam. Dan pentingnya demonstrasi serta perannya sudah terbukti oleh sejarah, dimana ia memiliki pengaruh besar dalam mengusir penjajahan atas bumi Islam“, beliau menutup perkataan.

Dr Abdul Mu’thi Al Bayumi, anggota Majma’ Al Buhuts Al Islami Al Azhar, Mesir juga menyatakan bahwa fatwa itu tidak dibenarkan.

“Demontrasi merupakan cara untuk mengungkapan pendapat, karena sebagai “umat lemah“, mereka tidak mendapatkan cara agar pendapat mereka didengar oleh para pengambil keputusan. Kalau hal ini dilarang, bagaimana cara mereka mengungkapkan pendapat dan didengar?“

Bayumi menegaskan bahwa demontrasi harus tetap memiliki etika dan tidak melakukan perusakan.

Sedangan Dr Abdul Lathif Mahmud Al Mahmud, anggota Majelis Al A’la li Syu’un Al Islamiyah (Majelis Tinggi untuk Urusan Keislaman), Mesir mengatakan, . “Apa yang marusak bumi yang dikatakan Luhaidan?! Saya yakin bahwa fatwa ini menyelisihi syariat Allah. Allah berfirman,“Dan persiapkanlah kekuatan segalah apa yang kalian mampui“ [Al Anfal: 60]. Dan demontrasi termasuk bagian kekuatan publikasi, yang mencerminkan dukungan mayoritas umat Islam terhadap mujahidin di Gaza,“ katanya.

Di juga menegaskan tidak ada bentuk kerusakan, ketika sekelompok orang mengungkapkan pendapatnya untuk merespon serangan Israel atas Gaza yang membuat jatuh ratusan korban, dengan cara yang baik.

Dr Hasan As Syafi’i mantan rektor Al Jami’ah Al Islamiyah Pakistan juga menegaskan bahwa yang mengeluarkan fatwa demikian harus bertanggung jawab dan siap meralat. Ungkapan seluruh umat Islam yang terjadi di suluruh dunia saat ini untuk mendukung Gaza, tidak mungkin bisa dikatakan sebagai perbuatan menciptakan kerusakan di atas bumi.

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

1 comment:

  1. Salam alaik...
    Alhamdulillah, sedikit sebanyak pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada ana dan shbt2 lain tentang kepentingan demonstrasi itu sendiri.Kdg2 ana nampak demonstrasi tidak mendatangkan masalah, cuma mungkii=n daripada pihak mad'u yg masih tidak faham tentang kaedah demonstrasi itu sendiri.mereka menganggap dan menetapkan dlm 'mind set ' mereka yg demonstrasi jalanan tdk mendtgkan faedah bahkan tak berkesan.memang ana tidak nafikan kekuatan dan kesepaduan akan wujud bila mana semua umat islam yang sefikrah berkumpul pada satu2 masa hanya semata2 untuk menegakkan kebenaran. Jadi bagi yg merasai dan memahami perjuangan Islam tidak menghadapi masalah dalam ber'demonstrasi' malah sgt berkobar2 dn semangat utk mnyertai nya...walaubagaimanapun, bg pihak masyarakat yg masih tdk nampak kepentingan demonstrasi mcm mn pula?mereka akan terus menganggap demonstrasi hnya membuang masa dan sebagainya (yg negatif)...sehingga bagi mereka yg menyertai demo dilabel sebagai 'extreme' dan mcm2 lagi..ana sgt berharap perkara seperti ini tdk berlaku lagi..Wallahu'alam...

    ReplyDelete