Sunday, July 19, 2009

Marwa Al-Sherbini tokoh wanita Islam ..


Salam perjuangan ...

Alhamdulillah, hari ini saya sekali lagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk mengupdate blog ini yang boleh dianggap tidak begitu aktif dari blog terdahulu saya. Kekangan masa, hambatan kerja serta aktiviti luaran merupakan jawapan utama mengapa blog ini jarang dikemaskinikan. Hanya dalam kesempatan yang terluang sebegini sajalah yang mampu saya gunakan untuk mengemaskini blog ini.

Sebenarnya tiada isu baru yang ingin saya sentuh. Ia hanya berkenaan dengan kisah pembunuhan Marwa Al-Sherbini yang berlaku baru-baru ini di Jerman. Namun, alasan mengapa saya ingin sangat menulis sesuatu mengenainya kerana saya merasa amat kagum dan bangga dengan beliau sebagai seorang Muslimah berjilbab yang berani berdepan dengan seorang pemuda rasis Jerman yang sangat biadap dan tidak berperikemanusiaan itu. Apabila saya melihat dalam Youtube, banyak “tribute” yang diberikan terhadap Micheal Jackson (semoga beliau mati di dalam Islam), jauh bilangannya dari “tribute” yang diberikan kepada Marwa Al-Sherbini ini. Saya juga amat yakin, ramai diantara kita yang tidak ambil peduli bahkan tidak tahu mengenai tragedi kematiannya kerana media perdana dan surat khabar juga tidak memberikan liputan yang meluas dan serius terhadap kezaliman pemuda tersebut serta diskriminasi pihak berkuasa Jerman terhadap tragedi yang berlaku.

Menurut sumber yang dimuatkan oleh Islamonline, Marwa Al-Sherbini merupakan korban Islamophobia yang sangat menyakitkan kaum Muslim di seluruh dunia. Kalangan tokoh Muslim mengatakan, pembunuhan terhadap Sherbini merupakan peringatan tentang kuatnya Islamophobia di dunia Barat. "Apa yang terjadi pada Sherbini sangat berbahaya," kata Sami Dabbah, jurubicara "Coalition Against Islamophobia". "Kami sudah mengingatkan bahawa suatu hari kita akan melihat seorang wanita Muslimah akan dibunuh kerana jilbabnya".

Justeru itu, satu usul cadangan telah dikemukakan agar hari kematian beliau, iaitu pada 1 Julai dijadikan sebagai "Hari Jilbab Sedunia" (World Hijab Day). Alhamdulillah, usul itu kemudiannya mendapat banyak reaksi positif dari pelbagai pihak antaranya dari Organisasi Perlindingan Jilbab, pejabat Federation of Islamic Organizations di Eropah dan sebagainya. Dekan Fakulti Usuluddin dan Falsafah Universiti Al-Azhar, Amina Nusser juga turut mendokong cadangan tersebut di mana beliau mengatakan, “"Itu akan menjadi respon terhadap mereka yang memusuhi jilbab". Mohamed Al-Bazzawi, ketua Persatuan Muslim Denmark juga turut sama mendokong cadangan tersebut. Menurutnya, Hari Jilbab Sedunia akan mengingatkan dunia Barat tentang hak wanita Islam untuk mengenakan jilbab seperti halnya wanita bukan Islam bebas mengenakan apa yang mereka sukai. "Mereka yang hanya berbicara mengenai soal hak-hak kaum wanita di Barat seharusnya sedar bahawa mereka tidak semestinya menolak hak wanita Islam untuk mengenakan jilbab".

SUNNATULLAH YANG BERULANG

Firman Allah SWT: “Kamu tidak akan dapati pada sunnah Allah sebarang perubahan dan kamu tidak akan dapati pada sunnah Allah itu sebarang pertukaran” (Al-Fatir: 43)

As-Syahid Syed Qutb mengatakan, “Tiada perkara yang berlalu di sekeliling kita tidak kita ketahui puncanya. Kehidupan manusia pula tidak pernah berjalan dengan sia-sia. Di sana terdapat ketetapan-ketetapan alam yang telah ditetapkan pasti akan berlaku .. tidak berubah dan tidak pula bertukar. Al-Quran sentiasa mengulang-ulang hakikat ini dan seterusnya memberikan peringatan kepada manusia supaya mereka tidak hanya memperhatikan kejadian itu berlaku, dan tidak juga untuk melalui hari-hari hidup mereka dengan kelekaan dan kelalaian. Semua itu bertujuan untuk memberikan gambaran jelas terhadap perjalanan kehidupan yang mana di sana wujudnya sunnatullah dan ketetapan alam yang berulang-ulang yang pernah berlaku kepada generasi-generasi sebelum mereka agar ia menjadi bukti bahawa wujudnya kejadian-kejadian itu”. (Tafsir Fi Zilal Al-Qur’an, m.s 2949)

Sunnatullah yang dimaksudkan di sini ialah ketetapan alam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT agar ianya akan tetap berlaku sehinggalah berakhirnya umur dunia ini. Antara sunnatullah di muka bumi ini ialah sifat benci golongan kafir dan kuncu-kuncunya terhadap umat Islam. Apabila anda membaca sejarah, nescaya anda akan melihat terdapat kejadian-kejadian yang telah dicatatkan di dalam sejarah mengulangi peristiwanya pada hari ini. Sewaktu kita melihat kejadian Tsunami yang menimpa rakyat Acheh dulu, kita akan teringat kembali kisah yang sama pernah berlaku kepada bangsa nabi Nuh. Para khatib yang berkhutbah di atas mimbar ketika membicarakan mengenai tragedi Tsunami ini cuba mengembalikan ingatan para jemaah akan kisah bangsa nabi Nuh yang disebutkan di dalam al-Quran. Itulah hukum alam terhadap tamadun manusia. Namun, seperti yang dikatakan oleh Syed Qutb, sejarah-sejarah yang berulang dan berlaku di depan mata kita ini bukanlah sekadar untuk diperhatikan semata-mata, malah lebih dari itu supaya kita mengambil pelajaran daripadanya.

PENGANIYAAN GOLONGAN KAFIR TERHADAP SAHABAT RASULULLAH SAW

Apa yang berlaku kepada Marwa Al-Sherbini sebenarnya merupakan episod pengulangan kekejaman golongan kafir kepada generasi awal Islam di zaman permulaan risalah Muhammad SAW dulu. Ia adalah kisah lama yang berulang kembali.

Syeikh Al-Mubarakfuri ada menceritakan beberapa bentuk penganiyaan golongan kafir Quraish terhadap golongan wanita dari sahabat Rasulullah SAW diantaranya adalah Zinnirah, iaitu seorang hamba perempuan berbangsa Rom. Keislamannya telah membuatkan beliau disiksa pada matanya sehingga buta. Dalam peristiwa itu, telah dikatakan kepadanya, “Kamu telah ditimpa kecelakaan oleh Latta dan ‘Uzza”. Dengan berani beliau kemudiannya menjawab, “Tidak, Demi Allah ! mereka tidak akan mampu mencelakai aku. Ini semua merupakan ujian daripada Allah, dan jika Dia mengkehendaki, Dia akan menyembuhkan aku”.

Begitu juga dengan apa yang pernah berlaku kepada Ummu Ubais, iaitu seorang hamba wanita milik Bani Zuhrah. Beliau diseksa oleh tuannya, Al-Aswad Bin ‘Abdu Yaghuts. Al-Aswad ini termasuk diantara lelaki yang benar-benar memusuhi Rasulullah SAW dan termasuk orang-orang yang suka mengolok-olokkan baginda SAW. Selain dari itu, hamba kepada Amar bin Mu’mal juga adalah diantara perempuan yang mendapat seksaan daripada tuannya. Umar al-Khattab yang ketika itu masih musyrik, adalah salah seorang yang suka menyeksanya di mana beliau pernah memukulnya sehingga lumpuh. Dalam kisah tersebut, Umar telah memperkatakan sesuatu kepadanya, “Demi Allah ! Tidak akan aku tinggalkan kamu kecuali kematian”. Lalu perempuan itu pun berkata, “Tuhan kamu juga akan melakukannya kepada kamu sepertimana yang kamu lakukan kepadaku”.

Syeikh al-Mubarakfuri menambah lagi, “Dikalangan hamba-hamba perempuan lain yang mendapat seksaan juga akibat mempertahankan keislaman mereka ialah An-Nahdiyyah dan anak perempuannya. Keduanya merupakan wanita dari Bani Abdud Dar. Namun akhirnya mereka dibeli oleh Abu Bakar dan kemudiannya dibebaskan”. (Seerah An-Nabawiyyah, m.s 75)

Seksaan-seksaan yang dikenakan ke atas mereka sebenarnya tiada tujuan lain melainkan disebabkan oleh hasad dengki dan benci yang mendalam mereka terhadap Muhammad SAW dan risalah yang dibawa oleh baginda. Selain itu, ia juga dilakukan dengan harapan agar mereka keluar dari agama Allah dan kembali kepada kesesatan agama yang mereka anuti sebelumnya. Namun ia tidak pernah sesekali memadamkan kekuatan iman mereka, bahkan iman mereka tetap kukuh dan semakin kental. Tragedi yang menimpa Marwa al-Sherbini juga hakikatnya berlaku di atas sebab yang sama, iaitu di atas dasar kebencian lelaki tersebut terhadap Islam.

Kejadian ngeri yang berlaku kepada beliau bukanlah disebabkan oleh kebodohan beliau bertindak tegas terhadap lelaki tersebut. Beliau berhak mempertahankan dirinya dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki tersebut. Bahkan Islam juga membenarkan kita memilih 'Azeemah walaupun di dalam masa yang sama kita diberikan rukhsah, dan sekiranya kita ditimpa musibah disebabkan oleh jalan 'Azeemah yang diambil, kita akan diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Syeikh Munir al-Ghatban mengatakan, “Apabila musuh ingin menyakiti muslimin, maka mereka dibenarkan untuk mempertahankan dirinya dari musuh terutamanya ketika gangguan itu tertumpu kepada jasad. Kebenaran ini diperkuatkan oleh kisah Uthman bin Ma’zun yang terjadi pada hari beliau pulang dari Habsyah. Beliau membalas bait syair yang menghinanya yang menyebabkan beliau dipukul oleh orang ramai. Untuk mempertahankan diri, beliau membalas pukulan mereka sehingga lebam matanya”

Beliau seterusnya mengatakan, “Tetapi perkara ini sepatutnya tidak akan berlaku. Ia hanya mampu dilakukan oleh sesiapa yang mempunyai keazaman yang kuat serta pertolongan dari kaumnya. Membalas serangan musuh merupakan suatu perkara yang perlu dalam mengangkat maksud umum bagi mereka-mereka yang mempunyai kekuatan dan boleh menakutkan musuh terhadap mereka” (Manhaj Haraki Lis Seerah An-Nabawiyyah, m.s 44)

Dari fakta kes yang saya baca, sebelum Marwa al-Sherbini membawakan kes ini ke Mahkamah, beliau telah beberapa kali cuba diganggu oleh lelaki sial tersebut. Selain difitnah sebagai “terrorist”, lelaki itu dalam beberapa percubaan pernah beberapa kali cuba mencabut jilbabnya, namun tidak berhasil kerana Marwa melawannya. Oleh kerana itulah, akhirnya Marwa membawa tindakan itu ke Mahkamah agar lelaki ini dibicarakan. Akhirnya, beliau ditikam sebanyak 18 kali oleh pemuda itu di dalam mahkamah dan mati sebagai syahid di tempat kejadian.

Peristiwa ini telah menggambarkan kepada kita betapa beliau merupakan seorang wanita Islam sebenar yang mempunyai prinsip dan maruah diri yang tinggi yang tidak akan sesekali meredhai kekejaman dilakukan ke atas dirinya walaupun hanya kerana jilbabnya. Kejadian ini juga menjadi petanda kepada orang-orang Barat bahawa umat Islam yang sebenar bukanlah golongan yang mudah diperkotak-katikkan. Mereka sanggup mati dan menggadaikan nyawa demi untuk mempertahankan sebuah harga diri anugerah Allah serta membela Islam yang mereka cintai. Marwa al-Sherbini adalah diantara tokoh kecil Islam yang telah membuktikan kesetiaannya terhadap agamanya walaupun beliau berada di tengah-tengah masyarakat bukan Islam di dalam negara bukan Islam. Oleh kerana itulah, beliau sangat layak untuk diberikan penghormatan atau “tribute” di atas keberanian yang telah beliau tonjolkan.

Di dalam masa yang sama, bagi yang masih hidup, ia juga sepatutnya memberikan pengajaran kepada seluruh wanita Muslimah khususnya dan lelaki Muslim umumnya akan erti maruah diri yang perlu dipertahankan serta keazaman yang kuat dalam mempertahankan agama. Tidak ada sebab mengapa wanita Islam hari ini perlu merasa rendah diri dan janggal dengan mengenakan jilbab di kepala di hadapan masyarakat umum, bahkan mereka perlu berbangga kerana tidak termasuk di kalangan wanita Muslimah yang tidak sedar bahawa mereka tidak bertudung.

Semoga beliau ditempatkan bersama-sama dengan Sumayyan dan para syuhada' yang terkorban demi mempertahankan maruah diri dan agama Islam yang mereka cintai.

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

1 comment: