Tuesday, July 28, 2009

Ganti puasa Ramadhan di dalam bulan Sya'ban



Puasa di bulan Ramadhan merupakan sebahagian daripada hak Allah yang perlu ditunaikan. Allah SWT telah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Semoga dengan berpuasa itu kamu beroleh ketaqwaan" (al-Baqarah: 183). Ia merupakan kewajipan yang dilaksanakan sekali dalam setahun di dalam bulan Ramadhan, bermula setelah terbitnya fajar dan berakhir setelah terbenamnya matahari.

Namun Islam memberi kelonggaran kepada sesetengah golongan yang tidak berkemampuan untuk tidak berpuasa seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT, "Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau bermusafir, maka wajiblah baginya menggantikan puasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain .." (al-Baqarah: 184)

Allah SWT menegaskan bahawa sesiapa yang tertinggal kewajipan puasa di dalam bulan Ramadhan samada disebabkan oleh sakit(Baca) atau bemusafir(Baca), maka dia perlu menggantikan hari-hari yang tertinggal itu pada hari-hari yang lain sebelum bertemu kembali bulan Ramadhan yang seterusnya. Dalam erti kata lain, mereka mempunyai 11 bulan berikutnya untuk menggantikan kembali puasa-puasa yang telah ditinggalkannya pada bulan Ramadhan tersebut. Walaubagaimanapun menurut An-Nawawi dan Ibn Hazm, menggantikannya dengan segera adalah amat dituntut oleh agama berdasarkan keumuman firman Allah SWT, "Maka berlumba-lumbalah melakukan kebaikan" (al-Baqarah: 148). Tambahan pula kita tidak dapat menjangkakan tempoh hayat kita di dunia ini. Oleh itu, melaksanakannya dengan segera adalah sebagai langkah berhati-hati sebelum ajal menjemput kita di dunia, dan juga sebagai jaminan keselamatan untuk kehidupan kita di akhirat kelak.

Namun sekiranya keadaan memaksa untuk seseorang itu menangguhkan puasa qadhanya mungkin disebabkan oleh kesibukkan aktiviti harian, sakit yang berpanjangan dan sebagainya, maka hal sedemikian tidak menjadi halangan buatnya untuk melewatkan puasa qadhanya walaupun setelah memasuki bulan Sya'ban. Bahkan menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Saidatina Aisyah radhiallahu 'anha pernah berkata, "Ada beberapa hari yang perlu aku gantikan daripada bulan Ramadhan tetapi aku tidak mampu melaksanakannya kecuali di dalam bulan Sya'ban". Berdasarkan hadis ini, Imam Ibn Hajar berkata di dalam kitabnya ((al-Fath)), "Hadis ini menunjukkan bahawa dibenarkan melewatkan puasa qadha samada dengan sebab ataupun tidak"(Sahih Fiqh Sunnah, 2/m.s 129)

Mungkin ada sesetengah golongan berpendapat haram melaksanakan puasa qadha di dalam bulan Sya'ban kerana berdasarkan kepada larangan nabi SAW di dalam sebuah hadis, "Apabila sampai pertengahan bulan Sya'ban, maka janganlah berpuasa" (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Timizi, An-Nasa'ie dan Ibn Majah. Akan tetapi Imam Ahmad mengkritiknya). Walaubagaimanapun, kebanyakkan ulama sepakat mengatakan bahawa hadis ini adalah dhaif sepertimana yang dinaqalkan daripada Al-'Allamah As-Syaukani. Ahmad dan Ibn Mu'in pula berkata, "Hadis ini mungkar. Al-Baihaqi dan At-Tohawi melemahkan hadis ini berdasarkan kepada sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim di mana Abu Hurairah radhiallahu 'anhu berkata: Janganlah sesekali salah seorang di kalangan kamu yang mendahulukan puasa Ramadhan dengan mengawalkan satu hari atau dua hari". Keduanya, larangan ini berkait dengan perlaksanaan puasa sunat (tathawwu'), bukan puasa qadha kerana tiada perbincangan mengenai puasa qadha di dalam bulan Sya'ban, akan tetapi perbincangan ulama berkisar mengenai tindakan yang harus dikenakan kepada sesiapa yang menggantikannya selepas berakhirnya Ramadhan yang berikutnya. Namun begitu, para ulama tetap memberikan komentar terhadap hadis ini berkenaan dengan puasa sunat di pertengahan Sya'ban. Sesetengahnya berpandangan bahawa larangan tersebut membawa maksud haram, dan inilah pendapat yang dipegang oleh kebanyakkan ulama Syafi'iyyah. Manakala yang lain pula menghukumkannya sebagai makruh kecuali dua hari dan sehari sebelum Ramadhan, ianya dihukumkan haram. Begitu juga ada yang berpendapat sebaliknya, iaitu tidak makruh. (Subulus Salam, m.s 386)

Syeikh Abdullah Al-Bassam pula cuba mengkomentar hadis ini dari segi objektifnya dengan berkata, "Diantara maksud syara' ialah membezakan diantara satu ibadah dengan ibadah yang lain. Oleh kerana itu, telah diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawasanya nabi SAW memerintahkan agar tidak disambungkan diantara satu solat dengan solat yang lain sehinggalah ia dipisahkan dengan beberapa percakapan, perbualan atau dengan berganjak. Oleh itu, ditegah berpuasa selepas pertengahan bulan Sya'ban supaya tiada bersambung diantara puasa sunat di bulan Sya'ban dan puasa wajib di bulan Ramadhan".

Beliau menyambung lagi, "Dan diantara hikmah ditegah berpuasa selepas pertengahan Sya'ban adalah untuk mengelakkan kita daripada merasa penat dan bosan setelah memasuki bulan Ramadhan nanti. Ia adalah untuk memastikan agar kita memasuki bulan Ramadhan dengan penuh kesungguhan dan kecergasan" (Taudheh al-Ahkam, 3/m.s 410)

Wallahu a'lam
________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

4 comments:

  1. assalamualaikum.. saya cuma ingin bertanya benarkah puasa ganti bagi bulan ramadhan sekiranya ingin ganti contohnya hari isnin dan khamis sekiranya tidak mampu berpuasa sebab keletihan, tidak boleh membatalkan puasa. mesti ganti dan habiskan puasa pada hari yang kita ganti itu juga.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum... maaf ye.. tumpang tye.. kawan A saya bru gnti puasa.. jd dlm bulan rejab die x gnti.. jd, kawan sy yg B ni kate, kalau x gnti dlm bulan rejab, hukum dia haram.. btl ke?

    ReplyDelete
  3. assalamualaikom....saya ingain btanya , bole kah saya mgantikan pose di bulan shaban 2mggu sblom ramadhan.........

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum... bolehkah kita menggantikan puasa ramadhan yang lalu di dalam bulan Sy'aban 2 minggu sebelum ramadhan baru..???? Jazakallah khair

    ReplyDelete