Saya bersedia mendengar apa sahaja masalah yang ingin diluahkan walaupun ia boleh menambahkan kesedihan saya sendiri asalkan orang yang datang berjumpa saya berasa lega.
Dalam keadaan susah, sulit dan putus asa, kita memerlukan sesuatu yang boleh membuatkan kita kembali bersemangat. Dalam keadaan terjatuh, atau dihimpit kesulitan, kita semua memerlukan sesuatu yang boleh membuatkan hidup kita kembali bermotivasi dan bangkit semula.
Banyak sekali luahan dan suka duka yang saya dengar di kiri dan kanan saya, samada ia daripada lelaki mahupun perempuan, atau yang dekat mahupun jauh. Ada yang merasa terseksa kerana terpaksa melalui masa-masa pengajian yang bukan menjadi pilihannya, sehingga banyak masa yang terbuang dan tersisa dengan angan-angan yang ingin sekali dicapainya. Ada juga yang meluahkan rasa duka kerana tawaran perasaannya ditolak oleh lelaki pilihannya, yang tanpa disedari beliau telah tersumpah dengan nama Allah untuk tidak akan menegur lelaki tersebut sehinggalah beliau ditegur. Ada juga yang terpaksa mengorbankan masa rehat dan tidurnya dalam usaha beliau untuk mencapai cita-citanya serta cita kedua ibu bapanya. Ada yang menceritakan kekecewaannya akibat dibuang kerja dalam keadaan beliau sendiri tidak tahu di manakah silap dan puncanya. Bahkan ada juga yang secara tulus menceritakan penjalanan hidupnya yang panjang dari seorang penagih dan pengedar dadah, sampai ditangkap dan dipenjara sehinggalah ke saat beliau bertemu jalan tuhan. Banyak lagi luahan, suka duka serta perkongsian kepayahan yang pernah saya dengar yang kadangkala sangat menyentuh jiwa dan perasaan saya. Namun seperti yang telah saya katakan, saya akan tetap bersedia untuk mendengar apa saja masalah yang ingin diluahkan walaupun ia boleh menambahkan kesedihan saya sendiri, asalkan orang yang datang berjumpa saya berasa lega.
Pembaca sekalian, saya juga seperti kalian. Saya pernah, dan mungkin separuh kehidupan saya yang sedang saya jalani masih mengalami apa yang dinamakan kepayahan, hina kerana perbuatan sendiri, terjatuh, terpukul dan tersembam. Adakalanya cabaran itu mudah untuk diatasi, namun kadangkala ia menguji kesabaran dan kemampuan saya.
Pernah satu ketika saya ditengking di khalayak ramai oleh seorang pegawai mahkamah yang tidak berpuas hati dengan permintaan saya untuk disegerakan penyerahan fail. "Kamu bawa balik je la fail tu !!!", tengking encik Nazri, kerani mahkamah 3 Mahkamah Tinggi Ipoh.
Saya terkedu, dan terkebil-kebil. Apa salah saya? Saya dapat rasakan yang semua orang sedang menghalakan wajah mereka ke arah saya pada ketika itu.
Di kalangan staf mahkamah yang ada...sesetengahnya ada yang ketawa kecil, ada yang melihat secara sinis dan tidak ketinggalan juga ada yang kelihatan turut terkejut. Kerani-kerani mahkamah juga memang terkenal dengan sikap mereka yang bengis terhadap Peguam Pelatih Dalam Kamar (Chambering Lawyer) seperti saya.
"Bawa balik ?", saya buntu. Tak tahu nak buat apa. Saya melihat-lihat ke arah encik Nazri untuk mendapatkan kepastian, tetapi beliau langsung tidak melihat ke arah saya.
"Udah la. Kamu letak je fail tu di situ. Nanti dia susun", arah puan Noraini, kerani mahkamah 2 yang duduk di sebelah encik Nazri.
"Haa, buat search fail ape?", tiba-tiba terdengar suara encik Danial menyapa di sebelah saya. Beliau merupakan salah seorang peguam di pejabat tempat saya bekerja. Saya sendiri pun tak sedar bila masa dia muncul.
"Buat fail ni", nak tak nak saja saya menjawabnya. Kemudian saya terus beredar keluar daripada pejabat kerani tersebut.
Menyirap darah saya dibuatnya. Perasaan marah, malu dan ego .. semuanya bercampur baur. "Kau tu kerani je Nazri. Kalau bukan sebab cik Danial ada di situ tadi, memang lebam dah mata kau aku tumbuk !!", dalam melangkah pulang itu hati pedih saya berbisik keras.
Hendak berpatah balik pun ada. Kalau diikutkan, mahu saja dia saya tumbuk dan maki di depan orang. Mengamuk di khalayak ramai juga bukanlah benda yang tidak pernah saya lakukan. Beberapa tahun yang dulu, saya pernah "mengamuk" dengan seorang India kerana menghalang kereta saya keluar parkir sehingga saya terpaksa menunggu sekian lama, yang kemudiannya terpaksa dileraikan oleh pegawai keselamatan Majlis Bandaraya Ipoh yang berada di situ. Saya juga pernah hampir hendak bertumbuk dengan seorang Cina yang cuba melanggar emak dan adik saya di Tesco kerana masalah parkir juga yang akhirnya dileraikan juga oleh seorang Pengawal Keselamatan dan beberapa orang awam yang berada di situ.
Ertinya, kalau diturutkan hati, pagi itu boleh saja terjadi satu lagi episod "amuk" saya di depan khalayak ramai dengan encik Nazri. Tapi tanpa saya sedari, dalam marah itu, tiba-tiba datang satu bisikan yang kuat menyentap emosi saya, "Fitri, sabar !! ... bukan ke kau dah berjanji untuk belajar lebih bersabar .. !!! ??"
Kita memang manusia yang sering kehilangan sifat sabar. Bukan saja terhadap keinginan menggapai sesuatu, tetapi keinginan untuk bebas dari sesuatu yang menghimpit. Dalam segala hal kita selalu terburu-buru. Kita marah ketika keinginan kita tidak tercapai, sampai kita terlupa ada perasaan yang telah kita lukakan dan terzahirnya kelemahan kita. Benar, bersabar ketika marah memang merupakan perkara yang sangat sukar untuk dilakukan terutamanya di saat kemarahan itu sedang memuncak. Oleh kerana itulah nabi Sallallahu 'alaihi wasallam mengatakan orang yang kuat itu bukanlah kuat pada susuk tubuh badannya, tetapi kuatnya seseorang ialah pada kekuatan dia saat menahan marahnya. Ya, marah itu boleh saja berlaku. Kerana selagi kita bergelar manusia, sifat marah itu pasti menjadi sebahagian sifat kita. Tapi marah tidak bertempat itu yang jangan patut kita undang. Namun, kesabaran bukan bererti kita berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa. Kesabaran bukan bererti kita menjadi manusia dayus, lemah akal dan jiwa. Tidak ada keajaiban satupun dengan berdiam diri sebegini.
Saya terus melangkah cepat ke pejabat. Mahu cepat-cepat duduk mencari ketenangan. Belajar untuk terus bersabar, dan tidak lekas marah.
Memang kesabaran itu membuahkan ketenangan dan rasa bahagia. Saya dapat merasainya di kala itu, walaupun sakitnya terasa saat terpaksa menahan amarah itu dari terus membuak-buak, saya tetap bersabar. Seminggu selepas itu, saya bertemu lagi dengan encik Nazri, tetapi alhamdulillah, tiada satupun tersimpan perasaan benci dan dendam terhadap beliau. Malah saya dapat saksikan di wajah beliau kelihatan seperti rasa malu di atas perbuatannya dulu. Saya yakin semua itu adalah kerja Allah. Allah pasti mengurniakan ketenangan, keredhaan dan kedamaian serta mencampakan kemanisannya dalam hati sebagai balasan dari kegigihan kita menahan kemarahan. Saya bersyukur kepada Allah dan mahu terus belajar untuk lebih bersabar.
KESUSAHAN & KESENANGAN MILIK KITA SEMUA
Kalau kita perhatikan sekeliling kita, ternyata penderitaan tidak selalu menjadi hak orang yang memang rendah status sosial dan ekonominya. Kesusahan dan kesedihan tidak harus dimonopoli oleh mereka yang miskin harta. Sebab kenyataannya, sebahagian masyarakat yang kita anggap berharta, mereka juga mengalami hal yang sama. Allah SWT jadikan manusia ini berbeza-beza darjatnya. Ya, tidak semua orang di muka bumi ini berpeluang menjadi kaya, dan tidak semua juga bernasib malang menjadi miskin. Namun di antara yang kaya dan miskin, mereka berkongsi hak yang sama iaitu hati. Perasaan menderita dan susah ada di hati. Sama juga dengan perasaan senang, bahagia dan tenang. Ia juga ada di hati. Maka oleh kerana itu, penderitaan dan kesusahan tidak mengenal rupa, status, darjat dan kedudukan. Semua orang memilikinya sebab semua manusia punya hati dan perasaan. Ia boleh datang menghampiri sesiapa saja yang ia kehendaki. Demikian pula dengan kebahagiaan dan kesenangan, ia tidak harus menjadi milik orang kaya saja. Ia tidak harus menjadi milik para penguasa saja. Ia hak sesiapa saja yang boleh merasakannya.
Allah SWT menyebut, "Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan" (An-Nashr: 5-6)
Diulang-ulang ayat ini sebanyak 2 kali kerana Allah SWT ingin menyatakan bahawa inilah sebenarnya hakikat kehidupan. Kalau Allah kehendaki, Dia boleh saja membiarkan kita hidup senang lenang dan mudah. Tetapi apa ertinya kehidupan tanpa semua itu, sedangkan kehidupan ini telah Allah ciptakan sebagai tempat perlumbaan menuju negeri akhirat. Justeru itu fahami lah, betapa dalam hidup ini tiada seorangpun yang boleh terlepas dan lari dari suka dan duka. Sulit saja tidak ada. Mudah saja pun tidak ada. Semuanya, tidak kira kedudukan dan darjatnya, pasti akan bersilih ganti hidupnya diantara susah dan senang, tangis dan tawa, riang dan kecewa .. supaya yang sedang menikmati kesenangan beringat bahawa dia juga pasti akan melewati saat-saat kepayahan suatu saat nanti. Begitu juga yang sedang sengsara dalam kepayahan, agar ia tahu bahawa ia tidak melaluinya sendirian.
CERMIN KE BAWAH
Allah berfirman, "Dan janganlah engkau tujukan penglihatanmu kepada mereka yang Kami berikan kesenangan berupa perhiasan kehidupan dunia kerana sesungguhnya itulah ujian bagi mereka, sedang rezeki Tuhanmu lebih baik dan kekal" (Toha: 131)
Memang sulit saat menghadapi kepayahan. Terkadang sangat sulit. Tapi jangan menambah sulit dengan mencari kesulitan baru. Jangan menambah susah dengan mencari bermacam-macam jalan yang merumitkan. Ketika kita sedang berhutang dengan seseorang, jangan pula kita cuba mencuri, merompak, merogol dan membunuh orang lain. Bukankah ia merumitkan lagi keadaan? Marilah kita cari jalan penyelesaiannya. Ia ada, tp mungkin kita saja yang belum menemuinya. Cubalah cermin ke bawah. Lihatlah diri sendiri dan lihatlah orang di bawah kita. Pasti kita akan menemui lebih ramai lagi yang menderita dan hidup susah lebih dari kita. Ini juga sebenarnya sebahagian daripada cara melepaskan penderitaan.
"3 tahun juga lah ana sempat rasa jadi mat dadah ni. Tapi ana betul-betul bersyukur sebab lepas keluar penjara tu ana tak buat balik kerja bodoh ni", cerita abang Sham.
"Kawan-kawan ana dua orang mati. Ada juga yang jadi penagih balik. Tapi yang buat ana lagi kuat untuk tinggalkan benda ni bila mak ana meninggal. Memang rasa menyesal betul bila kenangkan masa jahat dulu", sambung beliau lagi menceritakan pengalamannya yang silam. Tak sedar sudah 3 jam kami berbual.
Jangan melawan kenyataan hidup, jangan melawan penderitaan, jangan bermusuhan dengan kesusahan. Fahamilah dulu semua kejadian yang kita alami. Fahami dulu pesanan yang ingin disampaikan kepada kita melalui kehadirannya dalam kehidupan kita. Yang lebih penting lagi, letakkanlah kesedaran bahawa ada Allah di sebalik semua itu. Rajin-rajinlah tengok ke bawah, maka selepas itu kita akan dapati kitalah yang paling beruntung di antara manusia-manusia lain.
Ya, saya menulis ini bukan untuk anda saja, tetapi lebih utama untuk diri saya sendiri. Saya merasa sangat takut sekali saat menulisnya, bimbang-bimbang saya sendiri gagal melepasinya saat ujian itu datang menerpa. Tetapi yang benar itu tetap benar, dan perlu dikongsi bersama. Mungkin hari ini saya kuat, anda lemah ... maka saya datang menemani anda. Mungkin suatu hari nanti saya pula yang lemah, anda kuat. Maka saat itu, datanglah membantu saya.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memotivasikan kita dan menghidupkan kembali hati yang pernah lesu, perasaan yang pernah hiba, jiwa yang pernah resah. Jalanilah hidup seadanya dan teruslah berjalan dan berusaha. Jangan berhenti di pertengahan jalan kerana masa akan terus berlalu, umur akan terus meningkat. Apakah kita ingin terus berdiri di sini bersama kekecewaan sedangkan di depan sana mungkin sudah terbentang sebuah kebahagiaan untuk kita. Tunggu kita saja untuk terus berjalan dan positif dengan ketentuan Tuhan.
Sebagai akhirnya, saya bawakan anda sebuah lagu dari kumpulan D'masiv - Jangan Menyerah
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
"Sayang, tengok nih. Cantiknya al-Quran nih. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran" pekik Jamilah kepada Nabil..
"Sini pun cantik juga. Warna unggu keemasan. Mana satu kita nak beli nih" balas Nabil.
Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu al-Quran yang bakal dijadikan hantaran.
"Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab" keluh Jamilah.
" Ala , awak bukan reti pun bahasa arab" jawab Nabil. Tergelak Jamilah. Berbahagia rasanya dapat calon suami seperti Nabil. Prihatin.
"Apa yang saudara cari tu. Nampak seronok saya lihat" tegur pakcik berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik dalam lingkungan 40-an.
"Oh, kami cari al-Quran. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid" sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ..
"Oh. Bagus lah. Adik selalu baca waktu bila?" pakcik menyoal sambil tersenyum.
"Aa... aa.. lama dah saya tak baca, pakcik" teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain.
"Kalau gitu, tak perlu lah beli al-Quran kalau sekadar hantaran. Kesian aL-Quran. Itu bukan kitab hiasan, dik" tegur pakcik berhemah.
"Alah, pakcik nih. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la" tiba-tiba Jamilah muncul dengan selamba jawapannya.
"Oh, baguslah. Kalau gitu beli lah tafsir Ar-Rahman. Ada tafsiran lagi" cadang pakcik. Mukanya nampak seperti orang-orang ahli masjid.
" Ala , besar lah pakcik. Kami nak pilih nih. Kiut lagi" senyum Jamilah mengangkat bungkusan al-Quran warna unggu keemasan. Saiznya kecil.
"Jangan lupa baca ya" pakcik dengan selamba sambil meninggalkan pasangan tersebut.
"Sibuk je la pakcik tu" Jamilah mengomel.
Nabil kelihatan serba salah. Mungkin 'terpukul' dengan kata-kata seorang pakcik yang muncul secara tiba-tiba.
Hari yang dinantikan sudah tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah..Terlalu indah buat pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan.. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan ucapan indah tersebut. Pak imam baru sahaja sampai.
"Assalamualaikum semua" ucapan salam Pak Imam bergema.
Nabil bagai hidup semula. Dirinya terkejut. Jantung bagai gugur serta merta. Mungkin tidak percaya apa yang dipandangnya dihadapan. Ahli-ahli keluarga berebut-rebut bersalaman dengan Pak Imam. Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih.
"Inikah pengantin hari ini?" tegur selamba Ustaz Saad.
"Pak.. Ustaz.. kabar baik, pak... usta.. ustazz.." jawab Nabil mengigil. Jamilah juga terkebil-kebil melihat kelibat orang yang dikenali di kedai buku 2 bulan lalu.
"Oh, sebelum tu, saya suka mendengar bacaan adik Nabil. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin" cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, ustaz Saad merupakan antara orang dikenali oleh ahli-ahli sebagai penceramah tetap setiap hari Khamis selepas maghrib.
Nabil menelan air liur. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya. Peluh membasahi baju melayu satin berwarna putih.
"Ss.. su.. surah apa ustaz?" Nabil cuba mengagahkan diri. Jamilah masih melihat dari tepi tirai. Memegang kepalanya. Seperti mengagak benda yang sebaliknya berlaku..
"Oh, ayat yang mudah ja. Baca 3 ayat Surah Ar-Ra'd" kata ustaz Saad sambil menunjukkan baris giginya yang putih hasil bersugi setiap solat mengikut sunnah nabi.
Kelihatan gemuruh satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Ibu bapa Jamilah merah padam wajahnya. Jamilah entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.
"Baru ustaz tahu ada kalimah almari di dalam aL-Quran. Adik Nabil, cara bacanya seperti begini : A'uzubillahiminnass yaitaanirrajim. .. Bismillahirrahmanir rahim.. ALIF.. LAMM.. MIMMM... RAA.." kedengar suara gemersik Ustaz Sa'ad. Orang ramai kelihatan ingin mendengar lebih banyak lagi alunan irama aL-Qurannya.
Nabil berasa seperti kilat menyambar kepalanya..
"Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu al-Quran. Ianya hendaklah dibaca bukan sekadar dijadikan hantaran. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina aL-Qura n. Beli aL-Quran kemudian menaruh di tempat-tempat tinggi seolah-olah ianya sudah cukup bagi seorang muslim" tazkirah sudah bermula. Orang ramai memang senang cara penyampaian ustaz Sa'ad.
"Tinggi mana pun kamu belajar, tiada gunanya kitab yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti begini rupanya, ayatnya tetap sama, kedudukannya tidak sama. Malah, ketahuilah Allah akan menjaganya sehingga hari kiamat. Nabil, kalau kamu tahu orang-orang yang mengaku kitab al-Quran sebagai kitab petunjuk kemudian diabaikan dia pasti dilaknat oleh al-Quran itu sendiri. Tetapi beruntungnya orang-orangnya memanfaatkan al-Quran setiap hari, membacanya, menghafalnya, mengamalkan menjadikan hati terlalu tenang walapun dia bukannya seorang yang tinggi pelajarannya, kaya hidupnya dan sebagainya.. " penutup Ustaz Sa'ad sudah dikagumi orang terutama yang mengikuti ceramahnya.
Hari semakin cepat berlalu.
Nabil sudah melalui hari-hari yang indah. Kitab aL-Quran yang menjadi hantaran pertunangan sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari.
Pit.. Pit! Jangan lupa datang rumah ustaz malam nih. Kita belajar sama-sama. Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil. SMS dari ustaz Sa'ad tiba. Jamilah senyum disisi suaminya, Nabil.. ________________________________________________________
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
"Ana tak sangka kita boleh kalah di sini ..", keluh sorang petugas semasa mendapat berita kekalahan di UPU Seliua tempat beliau bertugas. Beliau merupakan orang tempatan yang ditugaskan untuk bersama-sama petugas Perak membantu saluran UPU tersebut.
Masing-masing mengerumi komputer untuk melihat jumlah kiraan sebenar yang diperolehi oleh kedua-dua calon. Ternyata calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar kalah dengan majoriti 246 dengan Tan Sri Isa Samad di saluran UPU yang dijaga oleh negeri Perak.
Suasana riuh di tengah-tengah Estet itu tiba-tiba bertukar menjadi suram tatkala mendapat tahu keputusan rasmi tersebut.
"Kalah tu biasa. Setidaknya kita kalah bergaya. Apa yang penting, (PAS) negeri sembilan perlu ambil PRK Bagan Pinang ni sebagai pelajaran dan cuba memperbaiki diri untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang", jelas ayah saya lagi yang diamanahkan untuk mengawal selia gerak kerja dan petugas-petugas Perak di Seliau.
Apapun keputusan yang diperoleh, kami tetap menghormati kehendak rakyat yang memilih. Walaubagaimanapun, PAS akan terus komited dalam perjuangan mereka biarpun kita terpaksa menghadapi kekalahan. Dalam sesi media semalam pun, pimpinan kita telah menyatakan bahawa pos mortem secara komprehensif akan dilakukan dengan segera bagi mengenal pasti sebarang kesilalapan yang kita lakukan di dalam PRK kali ini. Selain dari faktor-faktor internal, faktor luar yang menjadi punca kekalahan kita di Bagan Pinang adalah disebabkan oleh kecelaruan Undi POS yang dipertikaikan ketelusannya serta budaya Gengsterisma yang digunakan oleh UMNO / BN sehingga rakyat merasa takut untuk mendekati kita akibat diancam oleh berbagai-bagai ancaman.
Oleh itu, selain daripada isu Rasuah, Undi POS akan menjadi isu utama yang akan diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dalam memastikan pilihanraya selepas ini berjalan dengan telus dan demokratik.
-------------------------------
Alhamdulillah,
Allah masih sayangkan kita.
Diberikan-Nya peringatan.
Diberikan-Nya kekalahan.
Supaya kita tidak terbuai lalai dibawa angin yang berderu;
merasa kuat !
merasa angkuh dengan kelebihan diri sendiri !
"Dan Allah melakukan demikian untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu. Allah Maha Mengetahui isi hati" (Ali-'Imran: 154)
Buat yg beriman,
kekalahan itu satu muhasabah ..
satu pengajaran ..
satu teguran ..
Satu tarbiah dan satu pendidikan daripada Tuhan !
"Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta org-orang yang berbakti" (Ali-'Imran: 193)
Kita redha,
Kita akur,
Kita harus belajar dari kesilapan.
Biar berapa kali daun-daun berguguran,
Biar berapa jauh burung-burung beterbangan,
Biar berapa kali ombak air menerjah ke pantai,
Biar berapa banyak terkuburnya jasad-jasad,
Perjuangan Islam tidak akan pernah mati,
Cahaya Islam tidak akan pernah terpadam,
Walaupun mulut-mulut mereka cuba menutupinya ...
Islam pasti akan tetap berada di singgahsana
"Mereka ingin hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membenci" (Ash-Shaff: 8)
Bersedihlah,
Tapi jangan kecewa.
Jangan merasa hina !
Jangan pernah berputusa asa !
Kerna kamu tiggi di sisi Allah
Jika kamu adalah orang-orang yang Benar !!
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman" (Ali-'Imran: 139)
"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana kekalahan yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai orang yang sabar" (Ali-'Imran: 146)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
TETAMU JEMPUTAN AF DRs IDHAM LIM ABDULLAH KETUA PENERANGAN PAS NEGERI PERAK YM SHARIFAH KHASIF FADZILAH SYED MOHD BADIUZZAMAN JUARA AKADEMI AL-QURAN JUARA TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA
PENGHIBUR JEMPUTAN BALI & SILENT MIGRATON (ALTERNATIF BAND)
HIDANGAN ISTIMEWA 7000 CUCUK SATE 150 BATANG LEMANG 30 KILO RENDANG AYAM 10 KILO NASI HIMPIT 500 MANGKUK AIS KACANG & CENDOL KUIH MUIH & MACAM-MACAM LAGI.. PERLU DIHABISKAN KESEMUANYA
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
Walaupun bulan Ramadhan telahpun berakhir, namun bagi sesetengah orang dari kalangan kita yang meninggalkan puasa khususnya bagi golongan wanita yang kedatangan haid, maka persoalan qadha' puasa perlu segera difahami bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kesilapan dalam menyempurnakannya.
Saya kira antara persoalan penting yang perlu difahami berkenaan dengan puasa qadha' ini adalah berkaitan dengan penangguhan untuk mengqadha'nya sehingga melepasi bulan Ramadhan untuk tahun yang berikutnya.
Dalam hal seumpama ini, para ulama telah terbahagi kepada dua pendapat. Sebahagiannya berpendapat bahawa, mereka perlu tetap mengqadha'kan puasa tersebut bersama dengan pembayaran fidyah, iaitu menghulurkan makanan kepada orang-orang miskin berupa makanan asasi bagi sesuatu negara pada setiap hari dengan timbangan satu "mud". Negara kita sebagai contoh, yang wajib diberikan adalah berupa "beras" tidak kira apa jenisnya kerana ia merupakan makanan asasi bagi masyarakat negara kita. Satu "mud" pula nilainya menyamai dengan setengah kilogram yang ditambah sedikit.
Pendapat pertama ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Malikiah, Syafi'iyyah, Hanabilah dan Ishak kerana mengikut amalan yang dilakukan oleh sesetengah para sahabat Rasulillah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Menurut pendapat pertama lagi, pembayaran fidyah menjadi wajib sekiranya kita menangguhkan qadha' puasa tanpa sebarang keuzuran. Uzur yang dimaksudkan di sini tidaklah terbatas kepada uzur syar'ie semata-mata, tetapi ia meliputi segala bentuk keuzuran seperti sakit teruk, kesibukan yang berpanjangan dan sebagainya yang dapat diterima secara uruf atau kebiasaan sebagai uzur ataupun halangan. Akan tetapi, ia tidak dianggap sebagai wajib (melainkan hanya merupakan satu galakan saja) sekiranya penangguhan itu disebabkan oleh keuzuran yang datang menimpa.
Pendapat kedua pula dikeluarkan oleh Hasan al-Basri dari at-Tabi'in serta mazhab Hanafi, di mana mereka berpendapat bahawa yang perlu dilakukan oleh mereka yang mengqadha'nya selepas bertemu dengan bulan Ramadhan berikutnya hanyalah berpuasa sahaja tanpa disertai dengan fidyah, samada penangguhan itu disebabkan oleh keuzuran mahupun tidak.
Daripada apa yang dikemukakan, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa kedua-dua pendapat telah bersepakat mewajibkan qadha' puasa dan berbeza pula pada pembayaran fidyahnya. Oleh itu, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh sesetengah para ulama, barangsiapa yang cenderung untuk memilih pandangan pertama, perbuatan itu dikira baik dan diterima sebagai amalan soleh. Namun bagi sesetengah orang yang meninggalkannya (fidyah) pula, ia tidak memberikan apa-apa masalah dan kemudaratan kepada puasa qadha' yang dilakukannya insya-Allah, memandangkan perkara ini tidak thabit (sahih atau wujud) dari nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.
Adapun sekiranya kita syak akan bilangan puasa qadha' yang telah kita sempurnakan, kiralah mengikut bilangan yang kita yakini dan tambahlah bilangan puasa kita sepertimana yang biasa kita laksanakan ketika syak di dalam solat. Sekirnya bilangan puasa qadha' itu memang melebihi dari asalnya (yang wajib kita qadha'kan), insya-Allah ia akan menambahkan pahala dan ganjaran kita di sisi Allah SWT.
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
Pertamanya, saya hamba yang faqir mengucapkan Salam Eidulfitri, minal a'idin wal faizin, kullu 'am waantum bikhair kepada semua sahabat-sahabat serta para pengunjung blog ini. Maaf zahir dan batin saya harapkan dari semua di atas segala salah dan silap yang saya lakukan selama ini.
Bercakap mengenai falsafah hari raya, sebenarnya bolehlah dikatakan hari tersebut sebagai hari istirehat di dalam siri-siri perjalanan kehidupan kita sebagai manusia. Perayaan bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah hidup manusia, bahkan ia juga bukan sesuatu yang diasaskan oleh Islam. Sebelum kedatangan Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam lagi, manusia telah berabad-abad lamanya mempunyai perayaan mereka yang tersendiri dalam meraikan sesuatu peristiwa penting di dalam kehidupan mereka. Setelah Islam diwahyukan kepada Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam, Islam menerimanya dan mengiktiraf kewujudannya. Oleh yang demikian, kita dapati Islam juga mempunyai perayaannya yang tersendiri, yang kita kenali dengan Eidul Fitri dan Eidul Adha. Namun begitu, perayaan yang disyariatkan Allah SWT kepada umat Muhammad bukanlah seperti perayaan agama-agama lain.
Sesungguhnya Allah SWT mengikat perayaan kita dengan kewajipan yang besar dan ibadah yang agung. Eidul Fitri, sebagai contoh, merupakan perayaan yang diikat dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Ertinya, ia merupakan perayaan bagi meraikan pengorbanan kita di bulan Ramadhan dengan pelbagai pantang larang dan tuntutan yang terpaksa kita tempuhi. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis, "Bagi orang Islam itu terdapat 2 keseronokan; Apabila mereka beriftar, mereka rasa seronok dengan iftarnya. Dan apabila mereka bertemu dengan Tuhannya, mereka seronok dengan puasanya". Manakala Eidul Adha pula diikat dengan kewajipan menunaikan haji di Baitullah al-Haram dengan ganjaran pahala yang berganda-ganda.
Begitulah keterikatan perayaan Islam dengan ibadah yang dipertanggungjawabkan kepada kita ... ia bukan perayaan mutlak tanpa sebarang sebab dan tujuan. Oleh kerana tujuan perayaan itu adalah bagi meraikan kewajipan ibadah yang telah kita sempurnakan di dalam bulan Ramadhan, maka hari raya juga merupakan perayaan ibadah. Maka dengan sebab itu, tidak selayaknya perayaan Eidul Fitri atau Eidul Adha dicemari dengan hiburan yang melampau dan kebebasan yang tidak terkawal .. luar dari kotak keterbatasan yang telah Islam gariskan.
Selain itu, perayaan umat Islam juga diikat dengan 2 perkara penting; iaitu "ikatan rabbani" dan "ikatan insani".
Irtibath Ar-Rabbani
Makna dari ikatan rabbani adalah, bahawa kita tidak melupai Allah SWT di dalam perayaan tersebut dengan melepaskan segala kepuasan hawa nafsu yang dibenamkan selama hampir sebulan di bulan Ramadhan. Tetapi hari raya yang kita raikan harus diisi dan dihiasi dengan takbir membesarkan Allah SWT, solat hari raya, mau'izah para khatib dan taqarrub kepada Allah SWT melalui puasa enam yang disunatkan. Seperti yang saya nyatakan, Eid bukanlah bererti melepaskan diri dari ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT sehingga kita bebas untuk melakukan apa saja yang kita sukai, tetapi ia merupakan hari perayaan agama, hari kesyukuran di atas nikmat iman, amal dan peluang yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita untuk sekali lagi bertemu dengan bulan mulia dan hari mulia ar-Ramadhan. Silapnya kita, kita terlalu memperhatikan gerak geri kita di dalam bulan Ramadhan dan memandang enteng di saat Syawal sedangkan kedua-duanya adalah bulan Allah dan hari yang tidak terlepas dari keterikatan kita daripada syariat Allah. Namun apa yang kita saksikan, hari raya seolah-olahnya berbeza dengan Ramadhan sebelumnya seperti hitam dan putih. Di hari tersebut, sebahagian kita tidak menjaga auratnya. Pakaian baru yang diperagakan tidak mengikut etika Islam yang sebenar. Bukan saja kepada yang tidak bertudung, yang bertudung juga begitu. Tidak cukup sekadar bertudung sekiranya tudungnya pendek menampakan bentuk dan belahan dada, pakaiannya ketat mengikat pinggang dan kainnya pula terbelah sehingga menampakkan betis. Pakaian yang berlebih-lebihan juga tidak dikawal dan diperhatikan, sehingga terlalu menarik perhatian ramai. Selain itu, percakapan dan perbualan juga kadang-kala tidak diperhatikan sehingga jelas menampakan berlebih-lebihan dan terkeluarnya ucapan yang tidak senonoh serta memalukan. Pembaziran juga sering berlaku pada hari tersebut, bukan saja pada pakaian, tetapi juga pada makanan dan perhiasan rumah.
Irtibath al-Insani
Adapun ikatan insani, ia berkait dengan keseronokan hubungan sesama manusia seperti keseronokan pulang ke kampung bertemu ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara. Begitu juga keseronokan menziarahi sahabat handai dan jiran tetangga, keseronokan melalui pakaian-pakaian baru, hiburan, bunga api dan sebagainya. Namun begitu, Islam tidak membiarkan keseronokan itu hanya dirasai oleh segolongan umat Islam sahaja sedangkan yang lain beraya dalam serba kedhaifan dan kesedihan. Oleh yang demikian, bagi mencapai maksud kedua ini, Islam telah mewajibkan zakat fitrah kepada seluruh umat Islam; samada yang besar, kecil, tua, muda, suami, isteri mahupun anak-anak. Di samping ia berperanan sebagai penutup bagi segala kesilapan dan kekurangan yang telah kita lakukan di dalam bulan Ramadhan, tujuannya juga adalah untuk memberikan kecukupan kepada orang-orang miskin supaya mereka juga dapat bergembira di hari raya. Maka dengan sebab itu, Rasulullah SAW telah bersabda, "Berikanlah kecukupan kepada mereka (orang miskin) supaya mereka tidak mencari-cari di hari tersebut(hari raya)". Maknanya, sebagai ganti daripada mereka keluar mencari sedekah, maka kita yang berkemampuan pula perlu mencari mereka untuk diberikan zakat fitrah.
Sedikit penambahan berkaitan dengan zakat fitrah, di zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, para sahabat Radiallahu 'anhum mengeluarkan zakat fitrah selepas solat subuh iaitu diantara waktu fajar dan solat al-Eid, sesuai dengan bilangan umat Islam ketika itu yang masih sedikit. Di era para sahabat pula, iaitu selepas berkembangnya Islam dan bertambahnya bilangan umat Islam, masyarakat Islam mula mengeluarkan zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum hari raya. Dalam period tabi'i dan tabi'in pula keadaannya juga berbeza dengan zaman generasi sebelumnya. Pertambahan umat Islam yang semakin ramai dan wilayah empayar Islam yang semakin berkembang membuatkan para ulama mengharuskan zakat fitrah mula dibayar di pertengahan bulan Ramadhan, bahkan sebahagiannya pula mengharuskannya di awal Ramadhan. Yang demikian itu, tidak ada sebab untuk kita terlepas daripada tanggungjawab berzakat ini memandangkan para ulama telah memberikan kelonggaran yang seluasnya kepada kita. Walaupun sebaik-baik waktu untuk membayarnya adalah sebelum solat al-Eid, namun sekiranya kita mempunyai kesempitan waktu, maka sebaiknya kita melangsaikannya dengan terlebih awal kerana dikhuatiri kita akan terlepas daripada menunaikannya. Sesiapa yang mengeluarkannya selepas daripada solat al-Eid, hukumnya adalah makruh dan haram hukumnya jika kita tidak melunaskannya sedangkan kita termasuk di kalangan orang-orang yang berkemampuan. Namun begitu, sekalipun kita telah terlepas peluang untuk membayarnya, kewajipan tersebut masih tidak gugur dan ia menjadi hutang yang perlu ditunaikan kepada yang berhak, iaitu untuk orang-orang miskin.
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
Di dalam banyak-banyak amalan yang dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam bulan Ramadhan, beriktikaf merupakan salah satu amalan rutin yang sering baginda lakukan di dalam bulan tersebut. Hal ini dapat kita saksikan menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Siti Aisyah radiallahu 'anha katanya, "Bahawasanya nabi Sallallahu 'alaihi wasallam sentiasa beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah baginda diwafatkan oleh Allah Azza Wajalla, kemudian amalan itu masih tetap diteruskan oleh isteri-isteri baginda selepasnya"[1]
Oleh yang demikian, beriktikaf boleh juga dikatakan sebagai sunnah yang dituntut di dalam Islam kerana ia merupakan amalan yang sentiasa dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Sunnahnya kekal sampai bila-bila walaupun setelah kewafatan nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Namun begitu, masyarakat kita sangat asing dengan amalan sunnah ini. Di masjid tempat saya sendiri, seingat saya tidak pernah dianjurkan program sebegini dan masjid pula dikunci setelah selesainya solat isyak. Berbeza bagi orang arab dan negara-negara arab, amalan beriktikaf merupakan sunnah yang biasa dilakukan oleh mereka dan pengalaman ini dapat saya rasai ketika berada di UIA di mana ramai di kalangan mereka yang berkampung di masjid UIA selama beberapa hari di akhir bulan Ramadhan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai peranan di masjid tempat mereka tinggal, cuba hidupkan amalan beriktikaf ini di kalangan masyarakat sebagai amalan sunnah yang dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.
Baik, sebelum kita membahaskan tajuk ini dengan lebih panjang, elok kita tanyakan dahulu satu soalan penting, mengapa amalan beriktikaf ini disunnahkan?
Para ulama menyatakan bahawa, objektif utama amalan ini disyariatkan adalah untuk memberi peluang khusus kepada hamba-hamba Allah memutuskan hubungannya dengan dunia dan isinya, agar kita dapat menumpukan waktu tersebut bersama Allah SWT. Ia adalah masa di mana seorang hamba memusatkan perhatiannya diantara dirinya dengan Allah SWT, diantara seorang hamba dengan Tuhannya. Kalau di masa-masa lain kita asyik dengan kesibukan dunia sehingga lupa kewajipannya terhadap Allah, maka beriktikaf adalah masa yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap hambanya untuk berbicara dengan Allah SWT secara lebih dekat dan khusuk. Maka dengan sebab itu, di sana terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti oleh seorang mu’takif (org yg hendak beriktikaf) untuk memastikan amalan iktikaf yang dilakukannya sah di sisi syariat dan diterima oleh Allah SWT.
Asal pensyariatan iktikaf ini dapat kita lihat menerusi firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 187: “… dan janganlah kamu mencampurinya (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu sedang beriktikaf di dalam masjid”.
Daripada ayat ini, banyak isu yang telah dibincangkan oleh para ulama yang seterusnya dijadikan sebagai pre-liminary condition kepada setiap mu’takif untuk mengikutinya sebelum memulakan amalan beriktikaf. Namun disebabkan oleh himpitan masa, saya akan membincangkannya secara berperingkat-peringkat.
1)Tempat beriktikaf :
Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa iktikaf itu hanya sah dilakukan di dalam masjid sahaja[2], tidak seperti qiamullail yang boleh dilakukan di mana-mana tempat. Namun yang menjadi perselisihan diantara mereka ialah berkenaan dengan pengertian “masjid” yang dimaksudkan di dalam ayat 187 surah al-Baqarah di atas.
Sebelum itu, perlu kita ketahui bahawa pengertian masjid terbahagi kepada 3; Masjid Jami’, masjid, musolla. Yang dimaksudkan dengan masjid Jami’ ialah masjid yang didirikan di dalamnya solat Jum’ah, sedangkan masjid pula didirikan di dalamnya solat fardu 5 waktu tanpa solat Jum’ah, manakala musolla pula seperti yang tercatat di dalam hadis diertikan sebagai tanah lapang yang luas yang digunakan untuk solat-solat besar seperti solat 2 hari raya, solat istisqa’, solat kusuf dan sebagainya.
Berkenaan dengan perselisihan pendapat tentang pengertian masjid di dalam ayat al-Baqarah ini, telah diriwayatkan daripada Huzaifah bin Yaman dan Sa’id bin Musayyab, mereka beranggapan bahawa iktikaf hanya sah dilakukan di 3 buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram di Mekah, masjid an-Nabawi di Madinah dan masjid al-Aqsa di Palestin. Sebahagiannya pula beranggapan bahawa ia hanya sah dilakukan di masjid Jami’ sahaja, dan pendapat ini merupakan ijtihad yang dipegang oleh Ali bin Abi Talib dan Ibn Mas’ud dari kalangan sahabat radiallahu ‘anhu, dan dipersetujui pula oleh ‘Urwah, Hikam, Hammad, Az-Zuhri, Abu Ja’far Muhammad bin Ali, as-Syafi’i di dalam Qaul Qadeemnya(pendapat yg lama)[3] dan satu pendapat daripada Imam Malik. Manakala pendapat yang ketiga pula iaitu daripada Sa’id bin Jubair, Abu Qilabah dan selainnya dari kalangan para sahabat radiallahu ‘anhu, juga pendapat yang disokong oleh As-Syafi’i, Abu Hanifah dan sahabat-sahabat mereka berpandangan bahawa amalan beriktikaf sah dilaksanakan di kesemua masjid yang didirikan solat Jum’ah atau tidak. Ia juga merupakan pendapat yang dipersetujui oleh Ibn ‘Ulayyah, Daud bin Ali, At-Tabari, Ibn Munzir serta satu pendapat daripada Imam Malik. Asasnya, selagi mana adanya imam dan makmum, maka mereka beranggapan sah untuk dilakukan iktikaf di dalamnya.[4]
Berkaitan dengan iktikaf perempuan pula, jumhur ulama sepakat bahawa tempatnya serupa seperti lelaki, iaitu di masjid juga. Cuma, mazhab Hanafi lebih longgar dalam hal ini dengan mengatakan bahawa perempuan boleh melakukan iktikaf di rumahnya. Az-Zamakhsyari di dalam ((Ru’usul Masaalik)) menyatakan bahawa, mereka mengqiaskan keharusan ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulillah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut, “Solat seorang perempuan di rumahnya lebih baik dari 70 di tempat lainnya”, dan daripada Ummu Salamah radiallahu ‘anha bahawasanya nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, “Sebaik-baik solat seorang perempuan adalah di rumahnya”.[5] Pentahqiq kepada kitab ((Ru’usul Masaalik)) kemudiannya menjelaskan alasan mazhab ini mengatakan, “Bahawa iktikaf perempuan di rumahnya adalah harus bahkan lebih utama kerana diqiaskan (dibandingkan) dengan keutamaan mereka untuk solat dirumah, dengan melihat bahawa kedua-duanya juga adalah ibadah”. Dapat difahami daripada pandangan ini bahawa objektif utama diharuskan bahkan diutamakan bagi kaum wanita untuk melaksanakannya di rumah adalah untuk menjauhkan mereka daripada fitnah, sebagaimana yang disebutkan oleh Az-Zamakhsyari, “..kerana melakukan iktikaf di rumah dapat menutupi mereka”. Akan tetapi, pandangan ini ditolak oleh sebahagian ulama diantaranya As-Syafi’i dan sebahagian ashabnya[6] dengan alasan bahawa perkara ibadah tidak boleh diambil secara qias, tetapi ia wajib berlandaskan kepada nas al-Quran dan As-Sunnah.[7]
Oleh itu, dalam konteks negara kita, surau juga sebenarnya sah untuk dilaksanakan iktikaf kerana hakikatnya, ia tercakup di dalam pengertian “masjid” yang telah saya nyatakan sebelum ini. Syaratnya, selagimana terdapatnya imam dan makmum serta didirikan pula solat 5 waktu secara tetap, dan pebinaannya pula diniatkan untuk didirikan solat 5 waktu, maka sah untuk kita laksanakan iktikaf di dalamnya berdasarkan kepada pendapat ke-3 yang telah saya sebutkan di atas, dan sah juga sebenarnya untuk kita melaksanakan solat tahiyyatul masjid. Berkaitan dengan iktikaf perempuan pula, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulama kerana ia lebih dekat dengan nas dan sunnah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi, sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk mereka melaksanakannya di masjid contohnya disebabkan oleh tiadanya perempuan lain yang mahu beriktikaf dengannya di masjid selain dirinya seorang, juga kepada ibu tunggal yang tiada suami untuk menemaninya sedangkan dia asing di tempat itu, atau seorang ibu yang mempunyai anak kecil yang tidak boleh ditinggalkan, maka harus baginya memilih untuk beriktikaf di rumah dengan mengambil keringanan dan keluasan syariat Allah SWT melalui pandangan para imam dan mazhab yang lain. Wallahu a’lam
[3] As-Syafi’i meletakkan syarat ini sekiranya iktikaf dilaksanakan lebih dari seminggu. Sekiranya kurang dari seminggu, maka boleh dilakukan di kesemua masjid. Lihat: I’lam As-Saajid Fi Ahkamil Masaajid, Az-Zamakhsyari, m.s 386
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
Allah berfirman: “Bulan Ramadhan ialah bulan yg diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai Petunjuk dan Pembeza diantara yang benar dan yang salah” (al-Baqarah: 185)
Apa yang patut kita pelajari dari Nuzul al-Quran?
1.Meyakini bahawa al-Quran adalah Kitab Allah, bukan buku biasa.
2.Meyakini setiap isi kandungan al-Quran itu Benar daripada Allah & relevan sampai bila-bila.
3.Memahami bahawa al-Quran memerintahkan kita melakukan kebaikan & menjauhi kejahatan.
4.Meyakini bahawa setiap perintah al-Quran itu Adil daripada Allah SWT.
5.Meyakini al-Quran sebagai Panduan & Petunjuk hidup yang sempurna.
6. Memahami bahawa al-Quran sebagai Pembeza antara yang Benar & yang Salah.
7. Meyakini bahawa mengikut al-Quran itu janjinya Syurga & menyalahinya adalah neraka.
8. Meyakini al-Quran sebagai penyelamat bagi kehidupan dunia & akhirat
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
Salam ramadhan. Saya nak tanya satu soalan. Kelmarin saya ada berbicara dengan seorang pakcik. Dia sudah lama menuntut di madrasah. Saja borak2..Pakcik ni cakap, solat tarawih 8 rakaat itu bukan dianggap sebagai solat tarawih, tapi solat sunat mutlak. Yang dibuat sebanyak 20 rakaat itu barulah dianggap sebagai solat sunat tarawih. Saya jadi keliru. Boleh saudara fitri jelaskan hal sebenarnya pada saya?
___________________________
Jawapan:
Salam Ramadhan …
Alhamdulillah, akhirnya sempurna juga artikel berkenaan dengan solat tarawih ini. Walaupun diuji dengan kesibukkan, namun kami cuba juga untuk memberikan secebis pandangan dan respon terhadap persoalan yang ditujukan. Segala puji dan syukur dikembalikan hanya kepada Allah di atas taufiq dan hidayah yang dianugerahkan-Nya. Moga Allah memberkati. Semoga saudari yang bertanya dan para pembaca sekalian beroleh manfaat dari artikel ini dan bacalah dengan sabar. Selamat membaca.
Tidak terdapat perbezaan atau perselisihan di kalangan kaum Muslimin mengenai kedudukan solat tarawih sebagai ibadah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Yang menjadi titik perbezaan ialah pada bilangan rakaatnya, apakah 8 atau 20. Namun, perselisihan ini hakikatnya termasuk di dalam masalah furu' (cabang) agama dan bukanlah termasuk dalam perkara aqidah. Tetapi apa yang menyedihkan, perselisihan sering saja dibangkitkan setiap kali tibanya bulan Ramadhan sehingga menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah kaum Muslimin samada di dalam masjid atau di luarnya dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan samada yang mendakwa itu, Salafi atau Khalaf.
Solat tarawih adalah solat sunat yang ditunaikan oleh kaum muslimin tiap malan di bulan Ramadhan, setelah Isyak dan sebelum solat witr. Rasulullah SAW sendiri menunaikannya dan menganjurkan ummatnya supaya menunaikannya juga. Demikian pula yang dikerjakan oleh sahabat-sahabat baginda dan generasi-generasi berikutnya.Di dalam riwayat yang sahih, Abu Hurairah RA telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".[1]
Hadis tersebut secara umumnya menegaskan mengenai pengampunan dosa-dosa kecil bagi sesiapa yang mendirikan bulan Ramadhan dengan penuh penghayatan iman dan ikhlas kerana Allah SWT. Dalam memahami keumuman kalimah ini, Imam Ash-Shaukani mengatakan di dalam ((Nailur Authar)) bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah "Sesiapa yang mendirikan Ramadhan" sebahagiannya termasuklah solat sunat Tarawih. Beliau memperkuatkan pendapatnya dengan menaqalkan beberapa fatwa para ulama seperti An-Nawawi dan Al-Karmani.[2]
Ibn Qudamah dalam kitabnya ((Al-Mughni)) mengatakan bahawa orang pertama yang menunaikan solat tarawih adalah Rasulullah SAW. Baginda tidak mewajibkannya kepada ummatnya, tetapi hanya menganjurkannya agar ia dikerjakan. Sebuah riwayat daripada Siti Aisyah RA mengatakan bahawa pada suatu malam di bulan Ramadhan, Rasulullah SAW bersolat di masjid. Kemudian banyak orang yang mengikutinya, dan bilangannya bertambah pada malam kedua dan semakin bertambah untuk malam ketiga dan keempat. Namun, pada malam berikutnya beliau tidak lagi keluar bersolat di masjid. Keesokkan harinya beliau memberitahu kepada para sahabat, “Aku melihat apa yang kamu semua lakukan. Tetapi aku tidak lagi keluar bersama kamu ke masjid kerana aku takut kalau nanti ia akan diwajibkan”[3].[4]
Berkait dengan hadis ini, telah berlaku perselisihan di kalangan para ulama mengenai keutamaan mengerjakannya samada ia lebih utama dilakukan secara sendirian ataupun berjamaah. Dalam hal ini, para ulama telah berselisih kepada dua pendapat. Ash-Syafi’ dan jumhur sahabat-sahabatnya, Abu Hanifah, Ahmad dan sebahagian daripada Malikiah berpendapat bahawa ia lebih utama didirikan secara berjamaah.[5] At-Tirmizi juga mengatakan bahawa ia adalah pendapat yang dipegang oleh Ibnul Mubarak dan Ishak.[6]Sedangkan pendapat kedua yang dipegang oleh Malik, Abu Yusuf dan sebahagian Syafi’iyyah pula berpandangan bahawa ia lebih utama didirikan secara sendirian sebagaimana solat-solat sunat yang lain.[7]
Kumpulan pertama bersandarkan pendapat mereka kepada amalan Saidina Umar dan para sahabat yang lain seperti saidina Jabir, Ali dan Abdullah bin Umar[8], serta amalan-amalan berterusan yang dilakukan oleh kaum muslimin di samping menganggapnya sebagai sebahagian daripada syi’ar agama seperti solat hari raya (solatul ‘Aid).
Pendapat ini juga disokong dengan kenyataan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah mendirikannya secara berjamaah sebelum baginda meninggalkannya. Imam an-Nawawi mengatakan, “Daripada perilaku nabi SAW itu menunjukkan keharusan mendirikan solat sunat secara berjemaah. Tetapi pandangan yang terpilih ialah, ia sebaiknya dilakukan secara sendirian kecuali bagi solat-solat sunat yang dikhususkan seperti solat sunat al-‘Aid, solat sunat Kusuf (gerhana matahari) dan Istisqa’(minta hujan), begitu juga dengan solat sunat tarawih”.[9] Ash-Shatibi juga telah berkata, “Sesungguhnya solat jemaah yang didirikan oleh Rasulullah SAW di masjid menjadi bukti ke atas kebenaran mendirikan solat sunat secara berjamaah di dalam bulan Ramadhan. Ini adalah kerana, tatkala Rasulullah SAW khuatir para sahabat akan menganggapnya sebagai wajib, lalu baginda menghentikannya(iaitu keluar tarawih berjamaah di masjid) dan ini menjadi bukti bahawa ianya adalah solat sunat. Tindakan yang diambil oleh baginda tersebut bukanlah menunjukkan tegahan secara mutlak (untuk melaksanakan solat sunat secara berjemaah), tetapi kerana waktu itu adalah waktu wahyu masih lagi diturunkan”.[10]
Imam At-Tohawi pula mengambil pendekatan yang lebih ketat dari yang lainnya dengan mengatakan bahawa mendirikannya secara berjamaah adalah wajib al-kifayah. Ertinya, perlu ada segelintir umat Islam yang keluar mendirikannya secara berjamaah agar semua orang tidak menanggung beban dosa jika meninggalkannya. Manakala kumpulan yang menyatakan keutamaan solat sunat dilaksanakan secara sendirian pula bersandarkan pandangan mereka melalui keumuman hadis nabi SAW yang mengatakan, “Sebaik-baik solat ialah solat seseorang di rumahnya melainkan solat fardhu”[11].[12]
Berkenaan dengan bilangan rakaat solat tarawih pula, sebenarnya tidak terdapat dalil yang qat'ie (putus) yang menunjukkan berapakah jumlah sebenar bilangan rakaat tarawih yang dikerjakan oleh baginda SAW, kerana terdapat pelbagai riwayat yang berbeza-beza mengenai bilangan rakaat tersebut. Akan tetapi, riwayat yang masyhur yang menyatakan mengenai bilangan rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah sebanyak sebelas rakaat ataupun tiga belas rakaat. Bilangan ini berdasarkan kepada sebuah hadis sahih yang diriwayatkan olehBukhari dan Muslim, daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman yang menyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Saidatina Aishah RA, "Bagaimanakah solat Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan?". Lalu Aishah menjawab, "Baginda tidak menambah pada bulan Ramadhan dan selainnya melebihi sebelas rakaat", dan di dalam riwayat yang lain, “Bahawasanya baginda mendirikan solat sebanyak 13 rakaat, kemudian melaksanakan solat sunat fajr apabila mendengar azan berkumandang”. Bahkan di sana juga terdapat berbagai lagi riwayat tambahan yang menceritakan mengenai bilangan rakaat yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW seperti 8 rakaat, 9 rakaat dan 10 rakaat. Imam At-Tirmizi berkata di dalam kitabnya ((Sunan At-Tirmizi)), “Dan bilangan rakaat yang paling banyak diriwayatkan daripada nabi SAW pada mendirikan solat malam adalah sebanyak 13 rakaat bersama witir dan yang paling sedikit pula adalah sebanyak 9 rakaat”[13].
Manakala riwayat-riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW mendirikannya melebihi daripada 11 dan 13 rakaat, ianya tidak terlepas daripada kritikan para ulama. As-Sobuni di dalam ((Subulus Salam)) menyatakan, “Adapun bilangan 20 rakaat yang dilakukan oleh baginda SAW, tiada satupun hadis marfu’ kecuali apa yang diriwayatkan oleh Abdun bin Hamid dan At-Tabrani dari jalan Abi Shaibah Ibrahim bin Uthman daripada Hikam daripada Maqsam daripada Ibn Abbas bahawa, “Sesungguhnya Rasulullah SAW mendirikan sebanyak 20 rakaat dan witir di dalam bulan Ramadhan”. Telah dinyatakan di dalam Subulur Rashad dan Al-Mizzi di dalam Tahzibnya: Abu Shaibah telah ditad’ifkan (dilemahkan) oleh Ahmad, Ibn Mu’in, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, An-Nasa’I, Abu Hatim Ar-Razi, Ibn ‘Adi, Al-Akhwas dan sebahagiannya pula mengatakan bahawa beliau adalah pendusta”.[14]
As-Sobuni berkata lagi, “Ibn Mu’in telah berkata: Abu Shaibah bukan seorang yang boleh dipercayai (thiqat) dan beliau menganggap hadis ini sebahagian dari kemungkarannya. Al-Azra’i juga telah berkata di dalam al-Mutawassid: Adapun riwayat-riwayat yang menyatakan bahawa baginda SAW mendirikan Tarawih sebanyak 20 rakaat pada 2 malam tersebut adalah mungkar. Az-Zarkashi di dalam Al-Khadim juga telah menyatakan perkara yang sama seperti yang dinyatakan oleh Al-Azra’i dan beliau menambah: Bahkan yang benar di dalam riwayat yang sahih adalah baginda melaksanakannya tanpa dinyatakan berapakah bilangannya, dan yang sahih adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban yang menyatakan bahawa baginda melaksanakannya sebanyak 8 rakaat dan witir. Al-Baihaqi dan As-Suyuti juga turut tidak ketinggalan mendha’ifkan hadis yang tersebut”.[15]
Adapun bilangan 20 rakaat yang dikerjakan oleh kebanyakkan kita hari ini sebenarnya merupakan bilangan yang dicadangkan oleh Saidina Umar al-Khattab RA semasa zaman pemerintahannya. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abdul Qari, beliau mengatakan, “Pada suatu malam di bulan Ramadhan, aku keluar bersama khalifah Umar. Di masjid kami lihat banyak orang solat berkelompok-kelompok dan terpisah-pisah. Ada yang solat sendirian dan ada pula yang mengimami sekelompok jemaah. Melihat keadaan tersebut, lalu Umar berkata, “Aku berpendapat kalau mereka semua dikumpulkan dalam satu jemaah dan diimami oleh seorang imam, tentu ia lebih baik”. Khalifah Umar pun kemudiannya mengumpulkan mereka di dalam satu jemaah, dan diimami oleh Ubai bin Ka’ab. Pada malam berikutnya, aku keluar lagi bersama Umar. Kami melihat mereka lihat mereka solat berjemaah diimami oleh seorang imam. Saat itu Umar pun berkata, “Alangkah besarnya nikmat bid’ah itu”.[16]
Dalam riwayat yang lain yang dikeluarkan oleh Al-Baihaqi yang berasal dari As-Sa’ib bin Yazid, beliau mengatakan, “Pada zaman Khalifah Umar, tiap bulan Ramadhan kaum Muslimin mengerjakan solat tarawih 20 rakaat”.[17] Imam Malik juga telah meriwayatkan daripada Yazid bin Ruman yang mana beliau telah berkata, “Pada zaman Umar bin Khattab, kaum Muslimin mendirikan solat tarawih sebanyak 23 rakaat pada tiap bulan Ramadhan”.[18]
Sebuah athar yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lain-lain dengan sanad yang sahih daripada Saib bin Yazid RA katanya, "Mereka mengerjakan pada zaman Umar bin al-Khattab RA pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat. Mereka mengerjakannya dengan kadar 200 ayat padanya". Athar ini diperakui oleh Al-Hafiz al-Iraqi dan As-Subki.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam Fath al-Bari satu riwayat daripada Abdul Razzaq daripada Muhammad bin Yusuf bahawa bilangan rakaatnya ialah 21 rakaat. Sanad riwayat ini adalah sahih. Walaupun sebahagiannya mempertikaikan Abdul Razzaq, pengarang kitab ((Al-Mushannif Abdul Razzaq)) ini, tetapi Ibn Hajar menegaskan di dalam ((Hadyu As-Sari)) mengenai Abdul Razzaq ini dengan katanya, "Dia adalah salah seorang imam yang dipercayai dan tidak seorangpun yang mempertikaikannya melainkan Abbas bin Abdul Azim Al-Anbari seorang saja".[19]
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan bahawa Ibn Abi Mulaikah mengerjakan solat pada bulan Ramadhan 20 rakaat. Sanadnya juga adalah sahih. Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan daripada al-Buhturi bahawa beliau pernah mengerjakan lima kali solat tarawih dengan bilangan 20 rakaat dan melakukan witir sebanyak 3 rakaat.
Terdapat banyak lagi riwayat yang mengatakan bahawa salafussoleh mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Riwayat-riwayat tersebut, walaupun pada sanadnya terdapat kelemahan, ia boleh dikuatkan dan dinaikkan tarafnya ke taraf 'hasan lighairihi' bersama riwayat-riwayat yang telah disebut di atas.[20]
Oleh itu, berdasarkan kepada hadis-hadis ini dan yang lainnya, jumhur ulama seperti Ath-Thauri, Ibnul Mubarak, Abu Hanifah, Imam As-Syafi’i dan Ahmad berpendapat bahawa solat sunat tarawih disunatkan dengan 20 rakaat. Ia juga adalah pendapat Daud Az-Zohiri dan yang lainnya.[21] Justeru itu, Syeikh Muhammad bin Ibrahim ‘Ali As-Syeikh dan Al-Hafiz Ibnul Iraqi telah menyatakan di dalam ((Tharhut Tastrib)) bahawa bilangan rakaat yang dilakukan Umar itu seolah-olah telah menjadi ijma’(consensus) para ulama.[22]
Namun menurut As-Suyuti, sesetengahnya pula tidak menghadkan rakaat tarawih kepada 20 rakaat sahaja. Diriwayatkan daripada Al-Aswad bin Yazid bahawa mereka mendirikan tarawih sebanyak 40 rakaat. Imam Malik pula memilih untuk mengerjakannya sebanyak 36 rakaat berdasarkan kebiasaan yang dilakukan oleh orang-orang di Madinah pada zamannya, kerana ingin menyamai orang-orang Mekah. Pada masa itu, pendudukan Mekah setelah dua kali beristirehat dalam solat tarawih, mereka bertawaf mengelilingi ka’bah sebanyak tujuh kali putaran. Penduduk Madinah pula ingin menggantikan tujuh kali putaran tawaf tersebut dengan empat rakaat solat tarawih.[23]
Akan tetapi, menurut Ibn Abdil Barr dan As-Syafi’i, walaupun penduduk Madinah melaksanakannya sebanyak 39 rakaat, tetapi mereka lebih menyukai 20 rakaat kerana ia berdasarkan riwayat daripada Umar bin Khattab. At-Tarmizi mengatakan di dalam ((Sunan At-Tirmizi)) bahawa As-Syafi’i telah berkata, “Demikianlah apa yang aku saksikan di negeri kami, Mekah di mana penduduknya mendirikan tarawih sebanyak 20 rakaat”[24]. Imam An-Nawawi dalam ((Al-Majmu’)) pula mengatakan, “Menurut mazhab kami, solat tarawih adalah 20 rakaat dengan 10 kali salam selain witr, diselangi lima kali rehat. Masing-masing setelah dua kali salam”.
Setelah dipaparkan pelbagai riwayat dan pandangan para ulama, kita dapati berlakunya kepelbagaian pendapat ini adalah disebabkan oleh tiadanya penetapan yang jelas daripada Rasulullah SAW berkenaan dengan jumlah sebenar rakaat yang dilakukan oleh baginda nabi SAW. Sepertimana yang dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnul Iraqi, hadis-hadis yang dikemukakan hanya menceritakan mengenai berapakah bilangan rakaat yang dikerjakan oleh baginda SAW. Oleh itu, Imam As-Suyuti berkata, “Sekiranya terdapat penetapan daripada nas (hadis) mengenai bilangannya, sudah tentu bilangan rakaat tidak boleh ditambah oleh penduduk Madinah”. Beliau kemudiannya mengungkapkan pula kenyataan an-Nawawi di dalam ((al-Majmu’)) yang mengatakan, “Sekiranya di sana terdapat hadis marfu’, pasti ia akan dijadikan sebagai hujjah(dalil yang dipegang)”.[25]
Dalam mengkomentari kepelbagaian riwayat berkenaan dengan bilangan rakaat solat yang dilaksanakan oleh nabi SAW, Al-‘Allamah Al-‘Aini telah berkata, “Telah berbeza hadis-hadis berkenaan dengan bilangan rakaat solat malam yang dilakukan oleh nabi SAW. Di dalam hadis Zaid bin Khalid, Ibn Abbas, Jabir dan Ummu Salamah menetapkan bahawa baginda mendirikannya sebanyak 13 rakaat. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Fadl, Safwan, Ibn Mu’attal, Muawiyah bin Hikam, Ibn Umar pula menyatakan sebanyak 11 rakaat. Riwayat Anas pula sebanyak 8 rakaat, Huzaifah sebanyak 7 rakaat, Ayyub sebanyak 4 rakaat dan rakaat yang paling banyak ialah daripada Ali iaitu sebanyak 16 rakaat”. Setelah menyatakan semua riwayat-riwayat tersebut, beliau menjawab, “Kesemua rakaat-rakaat yang diriwayatkan itu sebenarnya berdasarkan kepada apa yang disaksikan oleh perawi terhadap perbuatan nabi SAW”. Logiknya adalah, Siti Aisyah RA meriwayatkan hadis tersebut berdasarkan kesaksiannya sendiri mengenai solat malam yang dilakukan oleh nabi SAW. Akan tetapi, hadis tersebut tidak mengingkari kemungkinan baginda SAW melakukannya lebih dari 11 rakaat. Ini adalah kerana, Aisyah adalah salah seorang dari isteri-isteri nabi SAW yang berjumlah 9 orang. Maka, apa yang disaksikan oleh beliau bukanlah seluruh solat malam baginda melainkan pada malam-malam gilirannya bersama Rasulullah SAW sahaja.
Dalam masa yang sama, Imam Ahmad juga telah berkata, “Sesungguhnya mendirikan (solat) Ramadhan itu tidak tertakluk kepada rakaat-rakaat tertentu, kerana nabi SAW tidak pernah menentukan bilangannya, di mana banyak dan sikitnya rakaat tersebut adalah bergantung kepada lama dan pendeknya waktu mendirikannya”.[26] Imam Ibn Taimiyyah juga sependapat dengan imamnya dan berkata, “Rasulullah SAW bersolat di dalam Ramadhan dan selainnya sebanyak 11 atau 13 rakaat, tetapi baginda melaksanakannya dalam tempoh waktu yang lama. Maka apabila ia membebankan kaum Muslimin, Ubai bin Ka’ab meringankannya di zaman Umar al-Khattab dengan mendirikan sebanyak 20 rakaat bersama witir selepasnya. Pertambahan bilangan itu dilakukan sebagai ganti kepada lamanya berdiri. Sebahagian salaf mengerjakannya sebanyak 40 rakaat dan kuranglah tempoh lama berdirinya dan dilaksanakan witir selepasnya. Begitu juga sebahagiannya melaksanakannya sebanyak 36 rakaat bersama witir selepasnya”.[27]
Kesimpulannya, inilah sedikit sebanyak penjelasan para ulama yang sempat kami kemukakan. Seperti yang dikatakan oleh Syeikh Abdullah Al-Bassam, kedua-duanya, samada sebanyak 8 rakaat mahupun 20 rakaat adalah sunnah dan bersandarkan kepada dalil. Yang lebih utama di dalam bulan Ramadhan adalah tuntutan untuk menghidupkannya dengan amalan kebaikkan. Saya perhatikan, kebanyakkan masjid-masjid dan surau yang mengerjakan 8 rakaat tidak terus berakhir dengan solat witir tetapi tujuannya adalah bagi mengisi malamnya dengan tazkirah Ramadhan. Berbeza dengan masjid yang memilih 20 rakaat, selalunya tiada pengisian tazkirah diisi pada malamnya untuk para jemaah. Walaupun rakaat 8 itu lebih pendek, tetapi hakikatnya ia seperti solat 20 rakaat kerana ia padat dengan tazkirah ramadhan, tadarus dan sebagainya. Makna kata, tempoh masa yang digunakan untuk menghidupkan malam Ramadhan bagi 8 rakaat sama seperti masjid yang mengerjakan 20 rakaat. Maka dengan sebab itu, janganlah kita bertegang lidah sesama sendiri apatah lagi untuk menjadikannya sebagai punca kepada perpecahan ummat, kerana diantara berselisih dalam perkara furu’ dan menjaga perpaduan, kesatuan ummah adalah perkara usul yang lebih utama dan wajib untuk dipelihara. Saya suka mengambil tauladan daripada kisah Imam Hassan Al-Banna yang pernah ditanya mengenai persoalan ini oleh salah seorang jemaah masjidnya. Jawapan yang diberikan oleh beliau pada ketika itu adalah, “Solat tarawih hukumnya sunnah, manakala kesatuan dan perpaduan sesama kaum Muslimin hukumnya fardhu. Kerana itu, perkara fardhu tidak boleh dikorbankan hanya untuk melakukan perkara sunnah. Andainya mereka masing-masing solat di rumah tanpa bertengkar adalah lebih baik dan sesuai daripada hadir ke masjid untuk bergaduh”. Allah SWT telah berfirman, “Bukanlah kebaikkan itu bahawa kamu menghadapkan wajah-wajah kamu ke arah timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, para malaikat, kitab dan nabi-nabi ..” (al-Baqarah: 177)
Semoga Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah kepada kita semua. Ameen
Wallahu a'lam.
[1] Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasa’i dan Ahmad. Lihat: Nailur Authar, 2/308
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com 30020 Ipoh, Perak
Saya bersedia mendengar apa sahaja masalah yang ingin diluahkan walaupun ia boleh menambahkan kesedihan saya sendiri asalkan orang yang datang berjumpa saya berasa lega.
e-Magazine SinaLead 2
-
True Leadership “ IS GUIDED BY PURPOSE & PROVEN THROUGH SERVICE” Leadership
shapes our daily lives more than we often realise. In times of change and
uncer...
Mengapa Hanya Surah Yusuf
-
Salah satu kritikan yang saya terima daripada beberapa penulis fiksyen yang
skeptikal tentang kelebihan-kelebihan teori dan teknik surah Yusuf dan
aplikasi...
Selamat Tahun Baru 2019
-
Selamat Tahun Baru 2019 saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia. Sempena
Tahun Baru di bawah Malaysia Baru, ayuh kita tanamkan Azam Baru dalam diri
agar ...
Geopolitik kepimpinan dunia Sunni
-
Oleh *HARIS ZALKAPLI*
Persaingan merebut kuasa dan pengaruh dalam dunia Islam, terutama
melibatkan rantau Asia Barat antara Arab Saudi dan sekutu dengan ...
Jual Saham Proton : Bisnes atau Politik?
-
Saya agak terkejut apabila berita penjualan keseluruhan saham Proton kepada
pelabur luar diwar-warkan di media pada minggu lalu. Adakah ini sebahagian
s...
Why I love working in Emergency Department
-
Tonight, I am oncall again… Love being oncall because i do not just treat
my patients but i also treat myself. Being oncall in Emergency Department
(ED) ...
Jaringan Setiakawan & Approach Bijaksana Dlm Dakwah
-
“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah” As-Sarawaki, 2
Jamadits Tsani 1430H: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin atas
segala-galanya. Sudah lebih 2...
-
Kitab 37: Tamhid Ubaidullah Sindi Al-Tamhid li Tar`rif Al-A`immah
Al-Tajdid merupakan sebuah kitab yang nadir atau sukar ditemui hasil karya
Maulana Ubaid...
Peralatan Kantor Mesin Penghitung Uang
-
*Peralatan Kantor Mesin Penghitung Uang* - Dijaman sekarang semakin ketat
persaingan perusahaan yang membuat perusahaan harus pintar dalam mengatur
strateg...
Ajaran Sesat dan Cara Memeranginya
-
*Pendahuluan*
Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam
sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Di...
menawan puncak kinabalu 1 (politik)
-
(Ulasan terhadap komentar di FB saya) Menawan puncak Kinabalu 1 1) Terima
kasih. Tulisan saya, ‘Rebah di kaki gunung Kinabalu’ mengundang kritikan
yang beg...
Terima Kasih Guru
-
*Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
Allah, Malaikat dan Ahli (penduduk) langit dan bumi; hingga semut di dalam
lubang dan...
BR1M - MURSYIDUL AM PERTAHAN PENDIRIAN
-
13 Rabi'ul Akhir 1434 H | 24 February 2013
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan
kenyataan berkenaan pemberian wang B...
PAS PERAK kunjungi DUN Rungkup bertemu pengundi
-
Pengunjung Pasar Sehari Pekan Bagan Datoh dikejutkan dengan kedatangan
ramai pimpinan PAS dan PKR dari negeri Perak dan Kawasan Bg Datoh.
Kunjungan mereka ...
MASALAH KEPUTIHAN WANITA
-
*بسم الله الرحمن الرحيم*
*الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه
أجمعين , أما بعد*
Islam memberikan perhatian khusus berh...
RUKUN HAJI
-
Asalamualaikum kepada semua bakal haji dari Malaysia, dengan ini diucapkan
selamat melaksanakan ibadah haji. di doakan kepada yang dalam perjalanan
ketanah...
UMNO DI KEDUDKAN SALAH SEJARAH
-
oleh : Mohamed Hanipa Maidin Presiden Barrack Obama memberi ucapan yang
saya kira amat menarik semasa beliau berucap sempena pertabalan beliau
sebagai Pres...
Apakah Blog Masih Relevan?
-
Setelah lama meninggalkan blog ni, terdetik dalam fikiran, apakah perlu
untuk aku kembali aktif berblog?...apakah ia masih relevan dalam dunia
cyber ni?.....
Lama Betul Tidak Menulis
-
Sangat lama saya tak menulis di dada blog ni.. Macam-macam perkara yang
membuntuti saya sehingga tidak dapat mengaktifkan blog peribadi.. Harap
lepas ni sa...
INDIAN ULAMA REFUSE.......
-
Times of India
NEW DELHI, May 5: From incredulity to hostility towards the US - reactions
of Indian Muslim organisations changed rapidly as it became clea...