Showing posts with label Hukum dan Fatwa Ulama. Show all posts
Showing posts with label Hukum dan Fatwa Ulama. Show all posts

Sunday, September 27, 2009

Qadha' Puasa Selepas Berlalunya Ramadhan Seterusnya


Salam perjuangan ...

Walaupun bulan Ramadhan telahpun berakhir, namun bagi sesetengah orang dari kalangan kita yang meninggalkan puasa khususnya bagi golongan wanita yang kedatangan haid, maka persoalan qadha' puasa perlu segera difahami bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kesilapan dalam menyempurnakannya.

Saya kira antara persoalan penting yang perlu difahami berkenaan dengan puasa qadha' ini adalah berkaitan dengan penangguhan untuk mengqadha'nya sehingga melepasi bulan Ramadhan untuk tahun yang berikutnya.

Dalam hal seumpama ini, para ulama telah terbahagi kepada dua pendapat. Sebahagiannya berpendapat bahawa, mereka perlu tetap mengqadha'kan puasa tersebut bersama dengan pembayaran fidyah, iaitu menghulurkan makanan kepada orang-orang miskin berupa makanan asasi bagi sesuatu negara pada setiap hari dengan timbangan satu "mud". Negara kita sebagai contoh, yang wajib diberikan adalah berupa "beras" tidak kira apa jenisnya kerana ia merupakan makanan asasi bagi masyarakat negara kita. Satu "mud" pula nilainya menyamai dengan setengah kilogram yang ditambah sedikit.

Pendapat pertama ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Malikiah, Syafi'iyyah, Hanabilah dan Ishak kerana mengikut amalan yang dilakukan oleh sesetengah para sahabat Rasulillah Sallallahu 'alaihi wasallam.


Menurut pendapat pertama lagi, pembayaran fidyah menjadi wajib sekiranya kita menangguhkan qadha' puasa tanpa sebarang keuzuran. Uzur yang dimaksudkan di sini tidaklah terbatas kepada uzur syar'ie semata-mata, tetapi ia meliputi segala bentuk keuzuran seperti sakit teruk, kesibukan yang berpanjangan dan sebagainya yang dapat diterima secara uruf atau kebiasaan sebagai uzur ataupun halangan. Akan tetapi, ia tidak dianggap sebagai wajib (melainkan hanya merupakan satu galakan saja) sekiranya penangguhan itu disebabkan oleh keuzuran yang datang menimpa.

Pendapat kedua pula dikeluarkan oleh Hasan al-Basri dari at-Tabi'in serta mazhab Hanafi, di mana mereka berpendapat bahawa yang perlu dilakukan oleh mereka yang mengqadha'nya selepas bertemu dengan bulan Ramadhan berikutnya hanyalah berpuasa sahaja tanpa disertai dengan fidyah, samada penangguhan itu disebabkan oleh keuzuran mahupun tidak.

Daripada apa yang dikemukakan, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa kedua-dua pendapat telah bersepakat mewajibkan qadha' puasa dan berbeza pula pada pembayaran fidyahnya. Oleh itu, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh sesetengah para ulama, barangsiapa yang cenderung untuk memilih pandangan pertama, perbuatan itu dikira baik dan diterima sebagai amalan soleh. Namun bagi sesetengah orang yang meninggalkannya (fidyah) pula, ia tidak memberikan apa-apa masalah dan kemudaratan kepada puasa qadha' yang dilakukannya insya-Allah, memandangkan perkara ini tidak thabit (sahih atau wujud) dari nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.

Adapun sekiranya kita syak akan bilangan puasa qadha' yang telah kita sempurnakan, kiralah mengikut bilangan yang kita yakini dan tambahlah bilangan puasa kita sepertimana yang biasa kita laksanakan ketika syak di dalam solat. Sekirnya bilangan puasa qadha' itu memang melebihi dari asalnya (yang wajib kita qadha'kan), insya-Allah ia akan menambahkan pahala dan ganjaran kita di sisi Allah SWT.

Wallahu a'lam



Rujukan:

1) Nailur Authar, Al-Allamah Ash-Shaukani
2) Sahih Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
3) Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq
4) Fatawa Mu'sarah, Syeikh Yusuf al-Qaradawi.
________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Tuesday, September 8, 2009

Iktikaf ; Hukum & Syaratnya



Salam Ramadhan

Di dalam banyak-banyak amalan yang dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam bulan Ramadhan, beriktikaf merupakan salah satu amalan rutin yang sering baginda lakukan di dalam bulan tersebut. Hal ini dapat kita saksikan menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Siti Aisyah radiallahu 'anha katanya, "Bahawasanya nabi Sallallahu 'alaihi wasallam sentiasa beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah baginda diwafatkan oleh Allah Azza Wajalla, kemudian amalan itu masih tetap diteruskan oleh isteri-isteri baginda selepasnya"[1]

Oleh yang demikian, beriktikaf boleh juga dikatakan sebagai sunnah yang dituntut di dalam Islam kerana ia merupakan amalan yang sentiasa dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Sunnahnya kekal sampai bila-bila walaupun setelah kewafatan nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Namun begitu, masyarakat kita sangat asing dengan amalan sunnah ini. Di masjid tempat saya sendiri, seingat saya tidak pernah dianjurkan program sebegini dan masjid pula dikunci setelah selesainya solat isyak. Berbeza bagi orang arab dan negara-negara arab, amalan beriktikaf merupakan sunnah yang biasa dilakukan oleh mereka dan pengalaman ini dapat saya rasai ketika berada di UIA di mana ramai di kalangan mereka yang berkampung di masjid UIA selama beberapa hari di akhir bulan Ramadhan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai peranan di masjid tempat mereka tinggal, cuba hidupkan amalan beriktikaf ini di kalangan masyarakat sebagai amalan sunnah yang dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.

Baik, sebelum kita membahaskan tajuk ini dengan lebih panjang, elok kita tanyakan dahulu satu soalan penting, mengapa amalan beriktikaf ini disunnahkan?

Para ulama menyatakan bahawa, objektif utama amalan ini disyariatkan adalah untuk memberi peluang khusus kepada hamba-hamba Allah memutuskan hubungannya dengan dunia dan isinya, agar kita dapat menumpukan waktu tersebut bersama Allah SWT. Ia adalah masa di mana seorang hamba memusatkan perhatiannya diantara dirinya dengan Allah SWT, diantara seorang hamba dengan Tuhannya. Kalau di masa-masa lain kita asyik dengan kesibukan dunia sehingga lupa kewajipannya terhadap Allah, maka beriktikaf adalah masa yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap hambanya untuk berbicara dengan Allah SWT secara lebih dekat dan khusuk. Maka dengan sebab itu, di sana terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti oleh seorang mu’takif (org yg hendak beriktikaf) untuk memastikan amalan iktikaf yang dilakukannya sah di sisi syariat dan diterima oleh Allah SWT.

Asal pensyariatan iktikaf ini dapat kita lihat menerusi firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 187: “… dan janganlah kamu mencampurinya (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu sedang beriktikaf di dalam masjid”.

Daripada ayat ini, banyak isu yang telah dibincangkan oleh para ulama yang seterusnya dijadikan sebagai pre-liminary condition kepada setiap mu’takif untuk mengikutinya sebelum memulakan amalan beriktikaf. Namun disebabkan oleh himpitan masa, saya akan membincangkannya secara berperingkat-peringkat.

1) Tempat beriktikaf :

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa iktikaf itu hanya sah dilakukan di dalam masjid sahaja[2], tidak seperti qiamullail yang boleh dilakukan di mana-mana tempat. Namun yang menjadi perselisihan diantara mereka ialah berkenaan dengan pengertian “masjid” yang dimaksudkan di dalam ayat 187 surah al-Baqarah di atas.

Sebelum itu, perlu kita ketahui bahawa pengertian masjid terbahagi kepada 3; Masjid Jami’, masjid, musolla. Yang dimaksudkan dengan masjid Jami’ ialah masjid yang didirikan di dalamnya solat Jum’ah, sedangkan masjid pula didirikan di dalamnya solat fardu 5 waktu tanpa solat Jum’ah, manakala musolla pula seperti yang tercatat di dalam hadis diertikan sebagai tanah lapang yang luas yang digunakan untuk solat-solat besar seperti solat 2 hari raya, solat istisqa’, solat kusuf dan sebagainya.

Berkenaan dengan perselisihan pendapat tentang pengertian masjid di dalam ayat al-Baqarah ini, telah diriwayatkan daripada Huzaifah bin Yaman dan Sa’id bin Musayyab, mereka beranggapan bahawa iktikaf hanya sah dilakukan di 3 buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram di Mekah, masjid an-Nabawi di Madinah dan masjid al-Aqsa di Palestin. Sebahagiannya pula beranggapan bahawa ia hanya sah dilakukan di masjid Jami’ sahaja, dan pendapat ini merupakan ijtihad yang dipegang oleh Ali bin Abi Talib dan Ibn Mas’ud dari kalangan sahabat radiallahu ‘anhu, dan dipersetujui pula oleh ‘Urwah, Hikam, Hammad, Az-Zuhri, Abu Ja’far Muhammad bin Ali, as-Syafi’i di dalam Qaul Qadeemnya(pendapat yg lama)[3] dan satu pendapat daripada Imam Malik. Manakala pendapat yang ketiga pula iaitu daripada Sa’id bin Jubair, Abu Qilabah dan selainnya dari kalangan para sahabat radiallahu ‘anhu, juga pendapat yang disokong oleh As-Syafi’i, Abu Hanifah dan sahabat-sahabat mereka berpandangan bahawa amalan beriktikaf sah dilaksanakan di kesemua masjid yang didirikan solat Jum’ah atau tidak. Ia juga merupakan pendapat yang dipersetujui oleh Ibn ‘Ulayyah, Daud bin Ali, At-Tabari, Ibn Munzir serta satu pendapat daripada Imam Malik. Asasnya, selagi mana adanya imam dan makmum, maka mereka beranggapan sah untuk dilakukan iktikaf di dalamnya.[4]

Berkaitan dengan iktikaf perempuan pula, jumhur ulama sepakat bahawa tempatnya serupa seperti lelaki, iaitu di masjid juga. Cuma, mazhab Hanafi lebih longgar dalam hal ini dengan mengatakan bahawa perempuan boleh melakukan iktikaf di rumahnya. Az-Zamakhsyari di dalam ((Ru’usul Masaalik)) menyatakan bahawa, mereka mengqiaskan keharusan ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulillah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut, “Solat seorang perempuan di rumahnya lebih baik dari 70 di tempat lainnya”, dan daripada Ummu Salamah radiallahu ‘anha bahawasanya nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, “Sebaik-baik solat seorang perempuan adalah di rumahnya”.[5] Pentahqiq kepada kitab ((Ru’usul Masaalik)) kemudiannya menjelaskan alasan mazhab ini mengatakan, “Bahawa iktikaf perempuan di rumahnya adalah harus bahkan lebih utama kerana diqiaskan (dibandingkan) dengan keutamaan mereka untuk solat dirumah, dengan melihat bahawa kedua-duanya juga adalah ibadah”. Dapat difahami daripada pandangan ini bahawa objektif utama diharuskan bahkan diutamakan bagi kaum wanita untuk melaksanakannya di rumah adalah untuk menjauhkan mereka daripada fitnah, sebagaimana yang disebutkan oleh Az-Zamakhsyari, “..kerana melakukan iktikaf di rumah dapat menutupi mereka”. Akan tetapi, pandangan ini ditolak oleh sebahagian ulama diantaranya As-Syafi’i dan sebahagian ashabnya[6] dengan alasan bahawa perkara ibadah tidak boleh diambil secara qias, tetapi ia wajib berlandaskan kepada nas al-Quran dan As-Sunnah.[7]

Oleh itu, dalam konteks negara kita, surau juga sebenarnya sah untuk dilaksanakan iktikaf kerana hakikatnya, ia tercakup di dalam pengertian “masjid” yang telah saya nyatakan sebelum ini. Syaratnya, selagimana terdapatnya imam dan makmum serta didirikan pula solat 5 waktu secara tetap, dan pebinaannya pula diniatkan untuk didirikan solat 5 waktu, maka sah untuk kita laksanakan iktikaf di dalamnya berdasarkan kepada pendapat ke-3 yang telah saya sebutkan di atas, dan sah juga sebenarnya untuk kita melaksanakan solat tahiyyatul masjid. Berkaitan dengan iktikaf perempuan pula, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulama kerana ia lebih dekat dengan nas dan sunnah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi, sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk mereka melaksanakannya di masjid contohnya disebabkan oleh tiadanya perempuan lain yang mahu beriktikaf dengannya di masjid selain dirinya seorang, juga kepada ibu tunggal yang tiada suami untuk menemaninya sedangkan dia asing di tempat itu, atau seorang ibu yang mempunyai anak kecil yang tidak boleh ditinggalkan, maka harus baginya memilih untuk beriktikaf di rumah dengan mengambil keringanan dan keluasan syariat Allah SWT melalui pandangan para imam dan mazhab yang lain. Wallahu a’lam

Bersambung ....



[1] Muttafaq ‘Alaih

[2] Tafsir al-Qurtubi, 2/300

[3] As-Syafi’i meletakkan syarat ini sekiranya iktikaf dilaksanakan lebih dari seminggu. Sekiranya kurang dari seminggu, maka boleh dilakukan di kesemua masjid. Lihat: I’lam As-Saajid Fi Ahkamil Masaajid, Az-Zamakhsyari, m.s 386

[4] Tafsir al-Qurtubi, 2/300

[5] Ru’usul Masaalik, m.s 237

[6] Imam As-Syirazi, Al-Ghazali, An-Nawawi dan jumhur ulama Iraq

[7] Ru’usul Masaalik, m.s 237

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Monday, August 31, 2009

Solat Tarawih; Bilangan Rakaat Yang Diperselisihkan


Soalan:

Salam ramadhan. Saya nak tanya satu soalan. Kelmarin saya ada berbicara dengan seorang pakcik. Dia sudah lama menuntut di madrasah. Saja borak2.. Pakcik ni cakap, solat tarawih 8 rakaat itu bukan dianggap sebagai solat tarawih, tapi solat sunat mutlak. Yang dibuat sebanyak 20 rakaat itu barulah dianggap sebagai solat sunat tarawih. Saya jadi keliru. Boleh saudara fitri jelaskan hal sebenarnya pada saya?

___________________________

Jawapan:

Salam Ramadhan …

Alhamdulillah, akhirnya sempurna juga artikel berkenaan dengan solat tarawih ini. Walaupun diuji dengan kesibukkan, namun kami cuba juga untuk memberikan secebis pandangan dan respon terhadap persoalan yang ditujukan. Segala puji dan syukur dikembalikan hanya kepada Allah di atas taufiq dan hidayah yang dianugerahkan-Nya. Moga Allah memberkati. Semoga saudari yang bertanya dan para pembaca sekalian beroleh manfaat dari artikel ini dan bacalah dengan sabar. Selamat membaca.

Tidak terdapat perbezaan atau perselisihan di kalangan kaum Muslimin mengenai kedudukan solat tarawih sebagai ibadah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Yang menjadi titik perbezaan ialah pada bilangan rakaatnya, apakah 8 atau 20. Namun, perselisihan ini hakikatnya termasuk di dalam masalah furu' (cabang) agama dan bukanlah termasuk dalam perkara aqidah. Tetapi apa yang menyedihkan, perselisihan sering saja dibangkitkan setiap kali tibanya bulan Ramadhan sehingga menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah kaum Muslimin samada di dalam masjid atau di luarnya dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan samada yang mendakwa itu, Salafi atau Khalaf.

Solat tarawih adalah solat sunat yang ditunaikan oleh kaum muslimin tiap malan di bulan Ramadhan, setelah Isyak dan sebelum solat witr. Rasulullah SAW sendiri menunaikannya dan menganjurkan ummatnya supaya menunaikannya juga. Demikian pula yang dikerjakan oleh sahabat-sahabat baginda dan generasi-generasi berikutnya. Di dalam riwayat yang sahih, Abu Hurairah RA telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".[1]

Hadis tersebut secara umumnya menegaskan mengenai pengampunan dosa-dosa kecil bagi sesiapa yang mendirikan bulan Ramadhan dengan penuh penghayatan iman dan ikhlas kerana Allah SWT. Dalam memahami keumuman kalimah ini, Imam Ash-Shaukani mengatakan di dalam ((Nailur Authar)) bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah "Sesiapa yang mendirikan Ramadhan" sebahagiannya termasuklah solat sunat Tarawih. Beliau memperkuatkan pendapatnya dengan menaqalkan beberapa fatwa para ulama seperti An-Nawawi dan Al-Karmani.[2]

Ibn Qudamah dalam kitabnya ((Al-Mughni)) mengatakan bahawa orang pertama yang menunaikan solat tarawih adalah Rasulullah SAW. Baginda tidak mewajibkannya kepada ummatnya, tetapi hanya menganjurkannya agar ia dikerjakan. Sebuah riwayat daripada Siti Aisyah RA mengatakan bahawa pada suatu malam di bulan Ramadhan, Rasulullah SAW bersolat di masjid. Kemudian banyak orang yang mengikutinya, dan bilangannya bertambah pada malam kedua dan semakin bertambah untuk malam ketiga dan keempat. Namun, pada malam berikutnya beliau tidak lagi keluar bersolat di masjid. Keesokkan harinya beliau memberitahu kepada para sahabat, “Aku melihat apa yang kamu semua lakukan. Tetapi aku tidak lagi keluar bersama kamu ke masjid kerana aku takut kalau nanti ia akan diwajibkan”[3].[4]

Berkait dengan hadis ini, telah berlaku perselisihan di kalangan para ulama mengenai keutamaan mengerjakannya samada ia lebih utama dilakukan secara sendirian ataupun berjamaah. Dalam hal ini, para ulama telah berselisih kepada dua pendapat. Ash-Syafi’ dan jumhur sahabat-sahabatnya, Abu Hanifah, Ahmad dan sebahagian daripada Malikiah berpendapat bahawa ia lebih utama didirikan secara berjamaah.[5] At-Tirmizi juga mengatakan bahawa ia adalah pendapat yang dipegang oleh Ibnul Mubarak dan Ishak.[6] Sedangkan pendapat kedua yang dipegang oleh Malik, Abu Yusuf dan sebahagian Syafi’iyyah pula berpandangan bahawa ia lebih utama didirikan secara sendirian sebagaimana solat-solat sunat yang lain.[7]

Kumpulan pertama bersandarkan pendapat mereka kepada amalan Saidina Umar dan para sahabat yang lain seperti saidina Jabir, Ali dan Abdullah bin Umar[8], serta amalan-amalan berterusan yang dilakukan oleh kaum muslimin di samping menganggapnya sebagai sebahagian daripada syi’ar agama seperti solat hari raya (solatul ‘Aid).

Pendapat ini juga disokong dengan kenyataan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah mendirikannya secara berjamaah sebelum baginda meninggalkannya. Imam an-Nawawi mengatakan, “Daripada perilaku nabi SAW itu menunjukkan keharusan mendirikan solat sunat secara berjemaah. Tetapi pandangan yang terpilih ialah, ia sebaiknya dilakukan secara sendirian kecuali bagi solat-solat sunat yang dikhususkan seperti solat sunat al-‘Aid, solat sunat Kusuf (gerhana matahari) dan Istisqa’(minta hujan), begitu juga dengan solat sunat tarawih”.[9] Ash-Shatibi juga telah berkata, “Sesungguhnya solat jemaah yang didirikan oleh Rasulullah SAW di masjid menjadi bukti ke atas kebenaran mendirikan solat sunat secara berjamaah di dalam bulan Ramadhan. Ini adalah kerana, tatkala Rasulullah SAW khuatir para sahabat akan menganggapnya sebagai wajib, lalu baginda menghentikannya(iaitu keluar tarawih berjamaah di masjid) dan ini menjadi bukti bahawa ianya adalah solat sunat. Tindakan yang diambil oleh baginda tersebut bukanlah menunjukkan tegahan secara mutlak (untuk melaksanakan solat sunat secara berjemaah), tetapi kerana waktu itu adalah waktu wahyu masih lagi diturunkan”.[10]

Imam At-Tohawi pula mengambil pendekatan yang lebih ketat dari yang lainnya dengan mengatakan bahawa mendirikannya secara berjamaah adalah wajib al-kifayah. Ertinya, perlu ada segelintir umat Islam yang keluar mendirikannya secara berjamaah agar semua orang tidak menanggung beban dosa jika meninggalkannya. Manakala kumpulan yang menyatakan keutamaan solat sunat dilaksanakan secara sendirian pula bersandarkan pandangan mereka melalui keumuman hadis nabi SAW yang mengatakan, “Sebaik-baik solat ialah solat seseorang di rumahnya melainkan solat fardhu”[11].[12]

Berkenaan dengan bilangan rakaat solat tarawih pula, sebenarnya tidak terdapat dalil yang qat'ie (putus) yang menunjukkan berapakah jumlah sebenar bilangan rakaat tarawih yang dikerjakan oleh baginda SAW, kerana terdapat pelbagai riwayat yang berbeza-beza mengenai bilangan rakaat tersebut. Akan tetapi, riwayat yang masyhur yang menyatakan mengenai bilangan rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah sebanyak sebelas rakaat ataupun tiga belas rakaat. Bilangan ini berdasarkan kepada sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman yang menyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Saidatina Aishah RA, "Bagaimanakah solat Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan?". Lalu Aishah menjawab, "Baginda tidak menambah pada bulan Ramadhan dan selainnya melebihi sebelas rakaat", dan di dalam riwayat yang lain, “Bahawasanya baginda mendirikan solat sebanyak 13 rakaat, kemudian melaksanakan solat sunat fajr apabila mendengar azan berkumandang”. Bahkan di sana juga terdapat berbagai lagi riwayat tambahan yang menceritakan mengenai bilangan rakaat yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW seperti 8 rakaat, 9 rakaat dan 10 rakaat. Imam At-Tirmizi berkata di dalam kitabnya ((Sunan At-Tirmizi)), “Dan bilangan rakaat yang paling banyak diriwayatkan daripada nabi SAW pada mendirikan solat malam adalah sebanyak 13 rakaat bersama witir dan yang paling sedikit pula adalah sebanyak 9 rakaat”[13].

Manakala riwayat-riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW mendirikannya melebihi daripada 11 dan 13 rakaat, ianya tidak terlepas daripada kritikan para ulama. As-Sobuni di dalam ((Subulus Salam)) menyatakan, “Adapun bilangan 20 rakaat yang dilakukan oleh baginda SAW, tiada satupun hadis marfu’ kecuali apa yang diriwayatkan oleh Abdun bin Hamid dan At-Tabrani dari jalan Abi Shaibah Ibrahim bin Uthman daripada Hikam daripada Maqsam daripada Ibn Abbas bahawa, “Sesungguhnya Rasulullah SAW mendirikan sebanyak 20 rakaat dan witir di dalam bulan Ramadhan”. Telah dinyatakan di dalam Subulur Rashad dan Al-Mizzi di dalam Tahzibnya: Abu Shaibah telah ditad’ifkan (dilemahkan) oleh Ahmad, Ibn Mu’in, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, An-Nasa’I, Abu Hatim Ar-Razi, Ibn ‘Adi, Al-Akhwas dan sebahagiannya pula mengatakan bahawa beliau adalah pendusta”.[14]

As-Sobuni berkata lagi, “Ibn Mu’in telah berkata: Abu Shaibah bukan seorang yang boleh dipercayai (thiqat) dan beliau menganggap hadis ini sebahagian dari kemungkarannya. Al-Azra’i juga telah berkata di dalam al-Mutawassid: Adapun riwayat-riwayat yang menyatakan bahawa baginda SAW mendirikan Tarawih sebanyak 20 rakaat pada 2 malam tersebut adalah mungkar. Az-Zarkashi di dalam Al-Khadim juga telah menyatakan perkara yang sama seperti yang dinyatakan oleh Al-Azra’i dan beliau menambah: Bahkan yang benar di dalam riwayat yang sahih adalah baginda melaksanakannya tanpa dinyatakan berapakah bilangannya, dan yang sahih adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban yang menyatakan bahawa baginda melaksanakannya sebanyak 8 rakaat dan witir. Al-Baihaqi dan As-Suyuti juga turut tidak ketinggalan mendha’ifkan hadis yang tersebut”.[15]

Adapun bilangan 20 rakaat yang dikerjakan oleh kebanyakkan kita hari ini sebenarnya merupakan bilangan yang dicadangkan oleh Saidina Umar al-Khattab RA semasa zaman pemerintahannya. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Abdul Qari, beliau mengatakan, “Pada suatu malam di bulan Ramadhan, aku keluar bersama khalifah Umar. Di masjid kami lihat banyak orang solat berkelompok-kelompok dan terpisah-pisah. Ada yang solat sendirian dan ada pula yang mengimami sekelompok jemaah. Melihat keadaan tersebut, lalu Umar berkata, “Aku berpendapat kalau mereka semua dikumpulkan dalam satu jemaah dan diimami oleh seorang imam, tentu ia lebih baik”. Khalifah Umar pun kemudiannya mengumpulkan mereka di dalam satu jemaah, dan diimami oleh Ubai bin Ka’ab. Pada malam berikutnya, aku keluar lagi bersama Umar. Kami melihat mereka lihat mereka solat berjemaah diimami oleh seorang imam. Saat itu Umar pun berkata, “Alangkah besarnya nikmat bid’ah itu”.[16]

Dalam riwayat yang lain yang dikeluarkan oleh Al-Baihaqi yang berasal dari As-Sa’ib bin Yazid, beliau mengatakan, “Pada zaman Khalifah Umar, tiap bulan Ramadhan kaum Muslimin mengerjakan solat tarawih 20 rakaat”.[17] Imam Malik juga telah meriwayatkan daripada Yazid bin Ruman yang mana beliau telah berkata, “Pada zaman Umar bin Khattab, kaum Muslimin mendirikan solat tarawih sebanyak 23 rakaat pada tiap bulan Ramadhan”.[18]

Sebuah athar yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lain-lain dengan sanad yang sahih daripada Saib bin Yazid RA katanya, "Mereka mengerjakan pada zaman Umar bin al-Khattab RA pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat. Mereka mengerjakannya dengan kadar 200 ayat padanya". Athar ini diperakui oleh Al-Hafiz al-Iraqi dan As-Subki.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam Fath al-Bari satu riwayat daripada Abdul Razzaq daripada Muhammad bin Yusuf bahawa bilangan rakaatnya ialah 21 rakaat. Sanad riwayat ini adalah sahih. Walaupun sebahagiannya mempertikaikan Abdul Razzaq, pengarang kitab ((Al-Mushannif Abdul Razzaq)) ini, tetapi Ibn Hajar menegaskan di dalam ((Hadyu As-Sari)) mengenai Abdul Razzaq ini dengan katanya, "Dia adalah salah seorang imam yang dipercayai dan tidak seorangpun yang mempertikaikannya melainkan Abbas bin Abdul Azim Al-Anbari seorang saja".[19]

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan bahawa Ibn Abi Mulaikah mengerjakan solat pada bulan Ramadhan 20 rakaat. Sanadnya juga adalah sahih. Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan daripada al-Buhturi bahawa beliau pernah mengerjakan lima kali solat tarawih dengan bilangan 20 rakaat dan melakukan witir sebanyak 3 rakaat.

Terdapat banyak lagi riwayat yang mengatakan bahawa salafussoleh mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Riwayat-riwayat tersebut, walaupun pada sanadnya terdapat kelemahan, ia boleh dikuatkan dan dinaikkan tarafnya ke taraf 'hasan lighairihi' bersama riwayat-riwayat yang telah disebut di atas.[20]

Oleh itu, berdasarkan kepada hadis-hadis ini dan yang lainnya, jumhur ulama seperti Ath-Thauri, Ibnul Mubarak, Abu Hanifah, Imam As-Syafi’i dan Ahmad berpendapat bahawa solat sunat tarawih disunatkan dengan 20 rakaat. Ia juga adalah pendapat Daud Az-Zohiri dan yang lainnya.[21] Justeru itu, Syeikh Muhammad bin Ibrahim ‘Ali As-Syeikh dan Al-Hafiz Ibnul Iraqi telah menyatakan di dalam ((Tharhut Tastrib)) bahawa bilangan rakaat yang dilakukan Umar itu seolah-olah telah menjadi ijma’(consensus) para ulama.[22]

Namun menurut As-Suyuti, sesetengahnya pula tidak menghadkan rakaat tarawih kepada 20 rakaat sahaja. Diriwayatkan daripada Al-Aswad bin Yazid bahawa mereka mendirikan tarawih sebanyak 40 rakaat. Imam Malik pula memilih untuk mengerjakannya sebanyak 36 rakaat berdasarkan kebiasaan yang dilakukan oleh orang-orang di Madinah pada zamannya, kerana ingin menyamai orang-orang Mekah. Pada masa itu, pendudukan Mekah setelah dua kali beristirehat dalam solat tarawih, mereka bertawaf mengelilingi ka’bah sebanyak tujuh kali putaran. Penduduk Madinah pula ingin menggantikan tujuh kali putaran tawaf tersebut dengan empat rakaat solat tarawih.[23]

Akan tetapi, menurut Ibn Abdil Barr dan As-Syafi’i, walaupun penduduk Madinah melaksanakannya sebanyak 39 rakaat, tetapi mereka lebih menyukai 20 rakaat kerana ia berdasarkan riwayat daripada Umar bin Khattab. At-Tarmizi mengatakan di dalam ((Sunan At-Tirmizi)) bahawa As-Syafi’i telah berkata, “Demikianlah apa yang aku saksikan di negeri kami, Mekah di mana penduduknya mendirikan tarawih sebanyak 20 rakaat”[24]. Imam An-Nawawi dalam ((Al-Majmu’)) pula mengatakan, “Menurut mazhab kami, solat tarawih adalah 20 rakaat dengan 10 kali salam selain witr, diselangi lima kali rehat. Masing-masing setelah dua kali salam”.

Setelah dipaparkan pelbagai riwayat dan pandangan para ulama, kita dapati berlakunya kepelbagaian pendapat ini adalah disebabkan oleh tiadanya penetapan yang jelas daripada Rasulullah SAW berkenaan dengan jumlah sebenar rakaat yang dilakukan oleh baginda nabi SAW. Sepertimana yang dikatakan oleh Al-Hafiz Ibnul Iraqi, hadis-hadis yang dikemukakan hanya menceritakan mengenai berapakah bilangan rakaat yang dikerjakan oleh baginda SAW. Oleh itu, Imam As-Suyuti berkata, “Sekiranya terdapat penetapan daripada nas (hadis) mengenai bilangannya, sudah tentu bilangan rakaat tidak boleh ditambah oleh penduduk Madinah”. Beliau kemudiannya mengungkapkan pula kenyataan an-Nawawi di dalam ((al-Majmu’)) yang mengatakan, “Sekiranya di sana terdapat hadis marfu’, pasti ia akan dijadikan sebagai hujjah(dalil yang dipegang)”.[25]

Dalam mengkomentari kepelbagaian riwayat berkenaan dengan bilangan rakaat solat yang dilaksanakan oleh nabi SAW, Al-‘Allamah Al-‘Aini telah berkata, “Telah berbeza hadis-hadis berkenaan dengan bilangan rakaat solat malam yang dilakukan oleh nabi SAW. Di dalam hadis Zaid bin Khalid, Ibn Abbas, Jabir dan Ummu Salamah menetapkan bahawa baginda mendirikannya sebanyak 13 rakaat. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Fadl, Safwan, Ibn Mu’attal, Muawiyah bin Hikam, Ibn Umar pula menyatakan sebanyak 11 rakaat. Riwayat Anas pula sebanyak 8 rakaat, Huzaifah sebanyak 7 rakaat, Ayyub sebanyak 4 rakaat dan rakaat yang paling banyak ialah daripada Ali iaitu sebanyak 16 rakaat”. Setelah menyatakan semua riwayat-riwayat tersebut, beliau menjawab, “Kesemua rakaat-rakaat yang diriwayatkan itu sebenarnya berdasarkan kepada apa yang disaksikan oleh perawi terhadap perbuatan nabi SAW”. Logiknya adalah, Siti Aisyah RA meriwayatkan hadis tersebut berdasarkan kesaksiannya sendiri mengenai solat malam yang dilakukan oleh nabi SAW. Akan tetapi, hadis tersebut tidak mengingkari kemungkinan baginda SAW melakukannya lebih dari 11 rakaat. Ini adalah kerana, Aisyah adalah salah seorang dari isteri-isteri nabi SAW yang berjumlah 9 orang. Maka, apa yang disaksikan oleh beliau bukanlah seluruh solat malam baginda melainkan pada malam-malam gilirannya bersama Rasulullah SAW sahaja.

Dalam masa yang sama, Imam Ahmad juga telah berkata, “Sesungguhnya mendirikan (solat) Ramadhan itu tidak tertakluk kepada rakaat-rakaat tertentu, kerana nabi SAW tidak pernah menentukan bilangannya, di mana banyak dan sikitnya rakaat tersebut adalah bergantung kepada lama dan pendeknya waktu mendirikannya”.[26] Imam Ibn Taimiyyah juga sependapat dengan imamnya dan berkata, “Rasulullah SAW bersolat di dalam Ramadhan dan selainnya sebanyak 11 atau 13 rakaat, tetapi baginda melaksanakannya dalam tempoh waktu yang lama. Maka apabila ia membebankan kaum Muslimin, Ubai bin Ka’ab meringankannya di zaman Umar al-Khattab dengan mendirikan sebanyak 20 rakaat bersama witir selepasnya. Pertambahan bilangan itu dilakukan sebagai ganti kepada lamanya berdiri. Sebahagian salaf mengerjakannya sebanyak 40 rakaat dan kuranglah tempoh lama berdirinya dan dilaksanakan witir selepasnya. Begitu juga sebahagiannya melaksanakannya sebanyak 36 rakaat bersama witir selepasnya”.[27]

Kesimpulannya, inilah sedikit sebanyak penjelasan para ulama yang sempat kami kemukakan. Seperti yang dikatakan oleh Syeikh Abdullah Al-Bassam, kedua-duanya, samada sebanyak 8 rakaat mahupun 20 rakaat adalah sunnah dan bersandarkan kepada dalil. Yang lebih utama di dalam bulan Ramadhan adalah tuntutan untuk menghidupkannya dengan amalan kebaikkan. Saya perhatikan, kebanyakkan masjid-masjid dan surau yang mengerjakan 8 rakaat tidak terus berakhir dengan solat witir tetapi tujuannya adalah bagi mengisi malamnya dengan tazkirah Ramadhan. Berbeza dengan masjid yang memilih 20 rakaat, selalunya tiada pengisian tazkirah diisi pada malamnya untuk para jemaah. Walaupun rakaat 8 itu lebih pendek, tetapi hakikatnya ia seperti solat 20 rakaat kerana ia padat dengan tazkirah ramadhan, tadarus dan sebagainya. Makna kata, tempoh masa yang digunakan untuk menghidupkan malam Ramadhan bagi 8 rakaat sama seperti masjid yang mengerjakan 20 rakaat. Maka dengan sebab itu, janganlah kita bertegang lidah sesama sendiri apatah lagi untuk menjadikannya sebagai punca kepada perpecahan ummat, kerana diantara berselisih dalam perkara furu’ dan menjaga perpaduan, kesatuan ummah adalah perkara usul yang lebih utama dan wajib untuk dipelihara. Saya suka mengambil tauladan daripada kisah Imam Hassan Al-Banna yang pernah ditanya mengenai persoalan ini oleh salah seorang jemaah masjidnya. Jawapan yang diberikan oleh beliau pada ketika itu adalah, “Solat tarawih hukumnya sunnah, manakala kesatuan dan perpaduan sesama kaum Muslimin hukumnya fardhu. Kerana itu, perkara fardhu tidak boleh dikorbankan hanya untuk melakukan perkara sunnah. Andainya mereka masing-masing solat di rumah tanpa bertengkar adalah lebih baik dan sesuai daripada hadir ke masjid untuk bergaduh”. Allah SWT telah berfirman, “Bukanlah kebaikkan itu bahawa kamu menghadapkan wajah-wajah kamu ke arah timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, para malaikat, kitab dan nabi-nabi ..” (al-Baqarah: 177)

Semoga Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah kepada kita semua. Ameen

Wallahu a'lam.



[1] Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasa’i dan Ahmad. Lihat: Nailur Authar, 2/308

[2] Nailur Authar, 2/308

[3] Muttafaq ‘Alaih

[4] Mughni, 2/366

[5] Nailur Authar, 2/309

[6] Sunan At-Tirmizi, 122

[7] Nailur Authar, 2/309

[8] Mughni, 2/367

[9] Nailur Authar, 2/309

[10] Al-I’tisam, 1/256

[11] Muttafaq ‘Alaih

[12] Nailur Authar, 2/309

[13] Sunan At-Tirmizi, m.s 133

[14] Subulus Salam, m.s 223 & Al-Masobih fi Solatit Tarawih di dalam Hawi Lil Fataawa, As-Suyuti, m.s 356

[15] Subulus Salam, m.s 223 & Tanwirul Hawalik, m.s 162

[16] No.2010, Lihat: Nailur Authar, 2/312

[17] Mughni, 2/366

[18] Al-Muwattha’, no. 254

[19] Al-Bid’atu Fil Mafhumil Islami Ad-Daqeeq, Dr Abdul Malik As-Sa’di, m.s 191

[20] Ibid, m.s 191

[21] Mughni, 2/366 & Bidayah al-Mujtahid, Ibn Rushd, 1/219

[22] Taudhehul Ahkam, Abdullah Al-Bassam, 2/298

[23] Al-Masobih, As-Suyuti, m.s 356

[24] Sunan At-Tirmizi, m.s 221

[25] Al-Masobih, m.s 356

[26] Taudhehul Ahkam, 2/298

[27] Majmu’ah Al-Fatawa, 12/70

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Sunday, August 23, 2009

Sempurnakan Solat dengan Saff yang sempurna


Salam perjuangan ...

Artikel ini merupakan siri ulangan artikel saya yang lalu. Namun saya kemukakannya sekali lagi di sini kerana ia sering sekali dilalaikan oleh para jemaah. Tambahan lagi di dalam bulan Mulia ini, maka kita sebaiknya perhatikan perkara kecil sebegini agar ia tidak menjadi punca kurangnya kesempurnaan ibadah kita sehari-hari. Wallahu a'lam.


أَقِيْمُوْا صُفُوفَكم وَتَرَاصُّوا فَإِنِّيْ أرَاكُم مِن وَرَاءِ ظَهْرِيْ

“Dirikanlah saf-saf kamu & rapatkan tumit-tumit di antara kamu. Sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku”[1], perintah nabi Sallallahu 'alaihi wasallam kepada para sahabat yang menjadi makmum di belakangnya.

“Allahu akbar”, dengan penuh rasa kehinaan, rendah diri, takut & harap kepada Allah SWT… nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bertakbir memulakan solatnya sebagai imam.

Dalam keadaan saf yg rapat, bahu membahu, tumit bertumit .. semuanya khusu’ menghadapkan wajah masing-masing di hadapan Allah Rabbul Jalil sambil mendengar nasihat, teguran, berita & kisah yang dibacakan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam al-Quran. Bergetar hati-hati mereka tatkala mendengar ayat al-Quran yang dibacakan kepada mereka.

Mengapa nabi Sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar makmum merapatkan saf?

… Kerana merapatkan saff di dalam solat merupakan salah satu dari kesempurnaan & kecantikan solat berjemaah. Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
.
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ

“Rapatkan saff-saff kamu. Sesungguhnya merapatkan saff merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat”[2]

Sebagaimana kita dituntut utk melakukan yg terbaik di dalam urusan pekerjaan, di dalam perkara ibadah .. kita juga dituntut untuk melakukan yg demikian. Kita bukan malaikat yg sentiasa istiqamah imannya, bukan juga para anbia' yg sentiasa meningkat darjat keimanannya ... tetapi kita adalah insan biasa yg imannya ada pasang dan surutnya serta turun dan naiknya. Paginya beriman .. petangnya kufur. Petangnya pula beriman .. siangnya menjadi kufur. Menyedari hakikat ini, sebab itu kita dituntut untuk memperbetulkan saff dengan merapat-rapatkannya bagi menyempurnakan ibadah solat yang kita dirikan, supaya dengannya ia dapat menutup kelopongan-kelopongan yang ada di dalam ibadah tersebut.

Marilah kita berusaha ke arah itu dgn sebaiknya.

Mengapa nabi Sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar makmum merapatkan saf?

… kerana merapatkan saff dapat menyatukan hati-hati manusia. Kasih sayang dan keprihatinan seseorang kepada orang lain boleh terhasil dari sentuhan-sentuhan mereka samada melalui bersalaman tangan, pelukan & ciuman mahabbah, juga saff di dalam solat. Ibu bapa menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak mereka melalui ciuman, dakapan dan belain kasih mereka. Begitu juga halnya berlaku di antara suami dan isteri.

Menunjukkan bahawa di sebalik sentuhan itu terdapat rahsia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam membina keharmonian hidup berkasih sayang. Perintah merapatkan saff juga merupakan suatu petanda bahawa agama Islam begitu sekali menuntut agar kehidupan mereka didirikan atas semangat berjamaah (persaudaraan), kesatuan (tidak berpecah belah) & mahabbah (kedamaian) … bukan kesombongan, bangga diri & bersendirian. Tidak kira siapapun dia, bagaimana kedudukan pangkatnya, warna kulitnya dan bangsanya, saff perlu tetap dirapatkan.
.
كان رسولُ اللهِ (ص) يَتَخَلَّلُ الصَفَّ مِن ناحيةٍ إلى ناحيةٍ ، يَمْسَحُ صُدورَنَا ومَنَاكِبَنا ويقول: لا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفُ قلوبُكم

“Rasulullah SAW berjalan di celah-celah (makmum) dari hujung ke hujung, (kemudian) baginda menyapu dada-dada & tumit-tumit kami, lalu berkata: Jangan kamu berpecah belah, akan berpecah belah hati-hati kamu”[3]

Mengapa nabi Sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar makmum merapatkan saf?

… kerana merapatkan saff dapat membantu memberi kekhusu'kan ketika solat dan menghalang dari dicelahi oleh syaitan. Ketika kita sedang ‘mendirikan’ solat, iblis akan menghantar syaitan-syaitan yg berpangkat 'captain' untuk mengganggu kita supaya kita leka dan lalai. Akibat kelalaian dan kelekaan kita ketika solat, titile dari ‘mendirikan’ solat mugkin akan turun kepada title ‘menunaikan’ solat.

Sebagai perumpamaan, bukankah berbatang-batang mancis yang diikat teguh sukar untuk dipatahkan jika hendak dibandingkan dengan hanya sebatang mancis yg berdiri sendirian? Begitulah keadaannya di dalam solat. Kedudukan saff yang rapat memperkuatkan hati-hati kita, mengkhusu'kan hati dan permikiran kita serta menyukarkan syaitan untuk menodai kita. Tetapi ia tidak berlaku jika kita solat berjauhan dan tidak mahu bahu membahu. Dengan kuli syaitan pun kita boleh tertewas.
.
فَوَالذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ إِنِّيْ لَأَرَى الشَيْطانَ يَدْخُلُ مِنْ خَلَلِ الصَّفِّ كأنها الحَذَفُ

“.. Demi yg diri aku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku benar-benar melihat syaitan masuk / mencelahi celah-celah saf seolah-seolah seperti al-hazafu”[4]

Inilah antara jawapan mengapa kita diperintahkan untuk merapatkan saff di dalam solat. Bukan sekadar makmum, imam juga dituntut agar memberikan peringatan tersebut kepada para jamaah sebelum solat dimulakan kerana ia merupakan sunnah qauliyyah yang ditunjukkan oleh nabi SAW pada setiap kali hendak memulakan solat .... WA

Kecuaian kita orang Melayu

Apa yg mendukacitakan, perkara ini tidak dititikberatkan oleh orang Melayu. Sepanjang penilitian saya berada bersama masyarakat Muslim Arab, seperti di UIA, Baitil Haram, Masjid an-Nabawi, Jami’ Umawiyyah(Syria), Jami’ al-Azhar(Mesir) & Jami’ah Yarmouk(Jordan), saya boleh membuat kesimpulan bahawa kelalaian ini jelas tampak berlaku di kalangan orang Melayu; orang yg sama warna kulit dengan saya, sama bahasa dan rupa. Sikap ini jarang dan tidak wujud pada bangsa saudara se-Islam saya yg lain.

Bahkan orang Arab, mereka sanggup menegur orang di sebelahnya jika tumitnya tidak selari dengan tumit orang pada saffnya. Malah kadang-kadang ketika solat didirikan .. kalau ada kelopongan atau celahan di antara saff, ia akan segera diisi oleh mereka atau mereka sendiri menarik orang di sebelahnya supaya kembali merapatkan saff.

Namun hal ini jarang sekali dilihat pada orang melayu. Sekiranya saff di sisinya atau di depannya tiba-tiba kosong, mereka tidak berganjak untuk cuba merapatkannya kerana takut akan mengakibatkan solat mereka terbatal kerana bergerak melebihi dari tiga pergerakkan. Bahkan saya kira, sebahagian kita lebih selesa solat berjauhan, tidak mahu bahu membahu dan tumit bertumit. Semakin kita ingin rapat, semakin dia cuba menjauhkan diri. Sehingga jaraknya kadang-kadang boleh diisi oleh seorang budak. Bukan sekadar itu, para imam pula kadang kala terlepas pandang akan kepentingannya, juga tidak mengendahkan perkara ini terhadap para jemaah. Mereka terus bertakbir tanpa terlebih dahulu memberikan peringatan kepada jemaah di belakangnya, ataupun kalau diperingatkan pun, ia hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Saya rasa kefahaman dan kecuaian ini perlu diperbetulkan kerana perkara ini sangat jelas berlaku di kalangan orang Melayu.

Maka, pada bulan Ramadhan yang mulia ini, janganlah kita merugikan peluang solat fardhu dan solat Tarawih yang dikhususkan di dalam bulan ini dengan kecuaian kecil yang boleh mencemarkan kesempurnaan ibadah kita. Sama-samalah kita jadikan peluang di dalam bulan mulia ini sebagai madrasah untuk kita menyempurnakan lagi ibadah solat kita ke arah yang lebih baik, agar dengannya kita dapat merasai kemanisannya ketika berada di dalam solat.

Justeru itu, rapatkanlah saff kerana kesempurnaannya ada di situ.

Wallahu a'lam.


................................................................

[1] Hadis riwayat Bukhari (2/174) & Muslim (434), juga disebut di dalam Riyadus Soliheen (2/1088).

[2] Hadis riwayat Bukhori (3/150) & Muslim (2/427). Guru kami, Syeikh Dr. Mustapha al-Bugho menyatakan bahawa hadis ini merupakan satu tuntutan untuk merapatkan saf kerana ia menunjukkan kepada kecantikan dan kesempurnaan solat serta mempersatukan hati-hati mereka yg mendirikan solat
.((Nuzhatul Muttaqin (2/51)))

[3] Riwayat Abu Daud (664) dengan sanad yg Hasan.

[4] Hadis Sahih riwayat Abu Daud (667) dengan sanad mengikut syarat Muslim. ‘Al-Hazafu’ adalah kambing hitam kecil yg berada di sebelah kanan.

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak