Showing posts with label Shabab Dan Pemuda. Show all posts
Showing posts with label Shabab Dan Pemuda. Show all posts

Friday, August 14, 2009

Berhikmah Mendepani Khilaf


Quran___Al_Bakarah_by_t4m3r.jpg quran image by hamizanhazwan

"Malam Jumaat ni anta free tak?", saya bertanya kepada Shahir.

"Erm, setakat ni tak ada apa-apa lagi la. Kenapa?", beliau menjawab

"Kalau anta tak ada apa-apa hal malam tu, ana nak ajak anta ikut pergi usrah", jelas saya

"Usrah Wahabi ke!?", tanya beliau. Wajahnya berkerut semacam je, seoalah-olah ada perkara pelik akan berlaku.

Waktu itu, kami baru saja selesai menjamu nasi ayam di rumah ibu abang Zairol selepas selesai menganjurkan program Munajat H1N1 dan memberikan "face mask" kepada penduduk kampung Manjoi yang datang ke pasar malam, malam itu. Sepatutnya yang menjadi tetamu utama abang Zairol malam itu adalah Dr Ahmad (bukan nama sebenar), Pakar Pesakit Am yang dijemput khas daripada Jabatan Kesihatan Perak untuk memberikan taklimat berkenaan dengan wabak H1N1. Namun setelah selesai memberikan taklimat kepada hampir 300 penduduk kampung, beliau terpaksa pulang awal untuk mengambil anaknya. Jadi, kami la yang menjadi tetamu utama beliau bersama ramai lagi sahabat-sahabat yang lain.

"Ish, kenapa anta cakap macam tu pula?", terbeliak mata saya dengan soalan peluru beliau. Ketika sedang santai duduk bersila bersandarkan dua tapak tangan di atas karpet, terduduk tegak saya dibuatnya dek terkejut dengan soalan "pelik" si Shahir.

"Dulu ana pernah ikut usrah Wahabi sebulan sekali di Tambun, tapi ana macam tak boleh ikut sebab pengisiannya berat sangat", ujar Shahir yang baru berjinak-jinak dengan PAS

"Berat yang macam mana tu Shahir?", saya mohon penjelasan

"Entah la, tapi pengisiannya memang berat la. Ini tak boleh, itu tak boleh. Sampai-sampai doa makan pun mereka kata bid'ah", kata beliau dalam nada serius

Saya tersenyum saja saat mendengar ceritanya.

Beginilah keadaannya. Tatkala ummah sedang berhadapan dengan pelbagai tribulasi dan kekeliruan mengenal identiti, masih ada lagi segolongan umat Islam yang masih mahu terus mengheret ummah ke dalam kepeningan. Sudah lah masih ramai lagi yang merangkak-rangkak membaca Fatihah, keliru akan tertib berwudhuk serta jahil pula tentang cara nak bermandi hadas, mereka disumbat-sumbat pula lagi dengan isu-isu "berat" seumpama itu.

Saya tidak berhasrat untuk mengheret anda agar membenci mereka, kerana saya tahu, saya juga akan turut sama terperangkap di dalam peperangan salaf dan khalaf sekiranya saya memasuki medannya. Namun, persoalan yang ditanyakan oleh sahabat saya itu benar-benar membuatkan saya tersentak, lalu terfikir akan kesudahannya jika ia sampai kepada orang awam yang baru hendak mengenal kesyumulan dan keindahan Islam yang sebenar. Saya bimbang ia akan melahirkan satu "pandemik" baru yang menular di dalam kelompok masyarakat yang hanya tahu membid'ahkan orang tetapi tidak tahu bagaimana membaca kalimah "Bid'ah". Ia bahaya.

Saya sangat menyokong sebarang usaha ke arah pemurnian sunnah yang sahih, juga bersama dengan sesiapa saja yang menyeru ke arah manhaj Salaf as-Soleh. Namun begitu, satu persoalan penting yang ingin saya tanyakan kepada mereka, apakah golongan yang mendakwa memperjuangkan sunnah nabi Sallallahu 'alaihi wasallam serta menyeru ke arahnya ini BENAR dalam mempersembahkan manhaj dakwah sebenar baginda Sallallahu 'alaihi wasallam kepada masyarakat sehingga ummah mampu tenang menerimanya di atas nama baginda Sallallahu 'alaihi wasallam?

Saya khuatir suatu hari nanti, kegopohan mereka itu bukan saja akan merugikan dakwah mereka, malah yang lebih membimbangkan lagi, ia akan membuatkan masyarakat tersilap justifikasi terhadap corak dakwah Rasulillah Sallallahu 'alaihi wasallam yang sebenar disebabkan oleh wajah-wajah negatif yang mereka tonjolkan di hadapan masyarakat serta sandaran-sandaran yang sering mereka paculkan di atas ketidakwujudan perbuatan tersebut di zaman nabi Sallallahu 'alaihi wasallam sebagai cukup untuk mereka mengatakannya sebagai bid'ah.

Alangkah malangnya sekiranya masyarakat sudah terfikir sampai ke tahap itu, dan fitnahnya sudah tentu buruk untuk Islam.

Saya masih percaya bahawa perkara ini masih berada di dalam perkara khilafiyyah yang diizinkan selagimana ia masih tercakup di dalam lingkungan nash-nash yang benar dan sahih. Saya juga tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan yang begitu keras terhadap mereka kerana ia secara tidak langsung menampakkan ketidakmatangan kita terhadap erti kebebasan berfikir dan memberi pandangan.

Saya melihat, kelemahannya cuma pada soal SIKAP.

Alasannya, kalau kita perhatikan dengan teliti, sebenarnya pandangan yang mereka pertahankan kebanyakkannya telahpun termuat di dalam pandangan para imam-imam mazhab. Ertinya, ia bukanlah perkara baru. Cuma, perbezaannya adalah dari segi sikap dan penerimaan mereka terhadap sesetengah pandangan yang menyelisihi mereka. Sebagai contoh, mereka membid'ahkan pengamalan tahlil bagi si mati dengan alasan ia tidak pernah dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, sedangkan pandangan ini juga selari dengan pendirian beberapa mazhab fiqh Islam selain daripada mazhab as-Syafi'i dan sebahagian Hanbali. Perbezaannya cuma, pengikut mazhab lain menganggap perselisihan ini sebagai sebahagian daripada perkara furu' yang perlu dihormati, manakala mereka pula beranggapan bahawa ianya sebagai perkara bid'ah yang wajib diperangi. Begitu juga dengan amalan zikr berjemaah, ia bukanlah perkara baru yang mereka perjuangkan tetapi ia sebenarnya menjadi pegangan bagi sebahagian pengikut mazhab Hanafi contohnya di benua India, dan beberapa mazhab yang lain lagi, bahkan sebahagian umat Islam di Syria, Yaman dan Jordan lebih banyak mengamalkan zikir secara menyendiri dan senyap(Sirriyyah). Begitulah juga halnya dengan pengamalan Qunut di dalam solat subuh, bacaan basmalah dengan nyaring di awal surah al-Fatihah di dalam solat jahar, lafaz niat solat, masalah pembahagian air, pahala bacaan al-Quran kepada si mati dan banyak lagi masalah-masalah furu' yang lain, semua ini telahpun dibincangkan oleh para fuqaha terdahulu dan pegangan mereka pula sebenarnya tidak lari dari salah satu pandangan hukum yang telah dikeluarkan oleh mereka. Cuma beberapa masalah saja yang berbeza yang boleh kita senaraikan di samping beberapa isu aqidah yang jelas ketara perbezaannya.


Para fuqaha tidak sekadar menyandarkan pendirian mereka kepada literasi al-Quran dan al-Hadis begitu saja. Sesungguhnya Siyasah Syar'iyyah memainkan peranan yang sangat penting kepada mereka sebagai alat dan neraca sebelum menyimpulkan sesuatu permasalahan hukum daripada sumber al-Quran dan as-Sunnah. Lapangannya sangat luas, sehingga mengakibatkan berlakunya perbezaan pendapat dan pandangan, antara yang berwawasan sempit dan berwawasan luas. Bahkan dalam menentukan sesuatu "maslahah" juga kadang-kala boleh menimbulkan perbezaan yang ketara kerana sesetengahnya melihat maslahah dari sudut pandang yang dekat, manakala yang lainnya pula memadangnya dari sudut pandang yang jauh. Sebagai contoh, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya "al-Mustasfa" sangat memperketat penggunaannya tertentu kepada beberapa keadaan saja, sedangkan As-Syatibi di dalam "al-Muwafaqat", dari satu sudut memperingankannya pula. Walaupun kedua-duanya menggunakan neraca dan timbangan yang sama, tetapi perbezaannya tetap ketara. Kita lihat juga para ulama berbeza pendapat dengan para imamnya disebabkan oleh perbezaan zaman. Ini dapat kita ketahui dengan jelas dalam sejarah fiqh seperti yang berlaku di antara Abu Hanifah dengan kedua muridnya, Abu Yusuf dan Muhammad. Begitu juga dengan penyusun kitab al-Risalah, Ibnu Abi Zaid al-Qairawani yang terkenal dalam mazhab al-Maliki, di mana beliau berani memelihara seekor anjing untuk keperluan penjagaan keselamatan. Perbuatan tersebut tentu sekali bertentangan dengan Imam Malik yang memfatwakan makruh memelihara anjing. Tetapi ketika ditanya dan dikecam oleh orang-orang kerana menyalahi pendapat Imam mazhab, beliau dengan tegas menjawab, "Seandainya Malik masih hidup di zaman ini, tentu beliau akan memelihara singa yang buas !"

Kembali kepada persoalan SIKAP, saya suka mengambil satu contoh popular yang berlaku di zaman sahabat di antara Saidina Abu Bakr As-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab radhiallahu 'anhu. Kedua tokoh besar sahabat ini seringkali berbeza pendapat dalam memandang dan menyelesaikan masalah. Abu Bakr sentiasa menampakkan kelembutan dan kasih sayang, sementara Umar pula senantiasa mencerminkan kekuatan dan ketegasan. Hal ini mempengaruhi pendapat masing-masing dari keduanya dalam menentukan sikap dan menyelesaikan masalah. Contoh yang paling menonjol dalam hal ini ialah ketika dua tokoh sahabat ini diminta pendapat berkenaan dengan tawanan Badr.

Ketika mentafsirkan surah al-Anfal ayat 67-69, al-Hafiz Ibn Kathir berkata, "Imam Ahmad berkata: Telah menceritakan kepada kami Ali bin Hisyam dari Ahmad dari Anas RA, ia berkata: Pada peristiwa Badr, nabi Sallallahu 'alaihi wasallam meminta pendapat para sahabat tentang tawanan Badr. Baginda bersabda,"Sesungguhnya Allah telah memberikan kemenangan kepada kamu atas mereka!". Serentak dengan itu, Umar berkata, "Wahai Rasulallah, bunuh saja mereka !". Kemudian Rasulullah berpaling darinya, lalu kembali berkata, "Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah memberikan kemenangan kepada kamu atas mereka. Mereka itu adalah saudara-saudara kamu". Umar berdiri lagi dengan berkata, "Wahai Rasulallah, bunuh saja mereka!". Untuk kedua kalinya Rasulullah berpaling darinya, kemudian baginda mengulangi sabdanya buat kali ketiga. Setelah itu barulah Abu Bakr berkata, "Wahai Rasulallah, kami berpendapat sebaiknya Engkau memaafkan saja mereka dan menerima tebusan dari mereka". Anas radhiallahu 'anhu melanjutkan: Kemudian keengganan yang tadi nampak di wajah baginda itu hilang, lalu baginda mengampuni mereka dan menerima tebusan dari mereka. Anas berkata lagi: Kemudian Allah menurunkan ayat, "Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa siksa yang besar kerana tebusan yang kamu ambil" (al-Anfal: 68)

Walaupun kelihatan perbezaan yang ketara berlaku di antara keduanya, tetapi mereka tidak pernah saling bercakaran dan bermusuhan, malah masing-masing mengasihi sahabatnya dan memujinya kerana iman. Saidina Jabir radhiallahu 'anhu berkata bahawa Umar berkata kepada Abu Bakr, "Wahai sebaik-baik insan selepas Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam!". Setelah mendengarnya, Saidina Abu Bakr pula berkata, "Sekiranya engkau mengatakan sedemikian, sesungguhnya aku pula pernah mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidaklah terbitnya kepada lelaki sebaik-baik mentari melainkan kepada Umar" (Riwayat at-Tirmizi, beliau berkata: Hadis ini Gharib, no. 4684)

Di dalam hadis yang lain, Saidina Umar juga pernah memuji Abu Bakr dengan berkata, "Abu Bakr adalah ketua kami, sebaik-baik insan di kalangan kami dan sekasih-kasih orang di kalangan kami ke atas Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam". (Riwayat Tarmizi, no. 3656)

Inilah sikap sebenar yang ditonjolkan oleh salaf as-Soleh ketika berdepan dengan perbezaan pendapat dikalangan mereka, kerana boleh jadi pendapat mereka salah dan pendapat orang lain pula betul, ataupun sebaliknya kerana kebenarannya yang hakiki hanya diketahui oleh Allah SWT saja. Bahkan boleh jadi juga kedua-dua pendapat yang diperselisihkan itu benar belaka di sisi Allah SWT seperti yang boleh kita perhatikan di dalam Qira'at al-Quran yang semuanya diriwayatkan secara sahih dari nabi Sallallahu 'alaihi wasallam melalui beberapa sanad yang mencapai darjat mutawatir. Perbezaan pendapat ini dapat kita lihat pengaruhnya pada Qira'at Sab'ah (Qira'at tujuh) atau Qira'at 'Asharah (Qira'at sepuluh) yang sudah sangat terkenal di kalangan umat Islam di setiap penjuru dunia seperti Qira'at Hafsh, Warsy dan sebagainya. Namun sebelum itu terdapat juga para sahabat yang menolaknya kerana berkemungkinan mereka tidak tahu bahawa perbezaan qira'at yang didengarnya itu juga berasal daripada nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Hal ini pernah berlaku kepada Ibn Mas'ud radhiallahu 'anhu ketika mana beliau mendengar seorang lelaki membaca sebuah ayat yang berbeza qira'atnya dengan yang pernah didengarnya daripada Rasulillah Sallallahu 'alaihi wasallam. Lalu beliau mengkhabarkannya kepada baginda mengenai hal itu. Menceritakan kejadian itu, Ibn Mas'ud berkata, "Maka aku melihat kebencian di wajah baginda Sallallahu 'alaihi wasallam". Cuba perhatikan jawapan baginda selepas itu kepada Ibn Mas'ud, "Kedua-dua bacaan itu baik. Janganlah kamu berselisih" (Diriwayatkan oleh Bukhari di dalam bab Tafsir dan keutamaan al-Qur'an)

Daripada contoh di atas, jika di kalangan para sahabat sendiri pun berlakunya perbezaan pendapat dalam melakukan sesuatu urusan yang diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, maka mengapa pula kita harus bertelingkah atau memusnahkan perbezaan pendapat yang tidak berkait mengenai masalah prinsip ini? Bukankah mereka generasi yang hidup bersama dengan baginda, dan mereka pula merupakan generasi yang paling faham tentang al-Quran dan hadis, begitu juga dengan imam-imam mazhab yang seterusnya yang lebih arif kefahamannya daripada kita hari ini, namun perselisihan tetap juga berlaku dan mereka mampu pula melalui perselisihan tersebut dengan sifat keterbukaan dan kasih sayang. Tetapi mengapa kita tidak mampu melakukannya? Sebab itu saya katakan, ia kembali kepada persoalan Sikap.

Daripada hadis Ibn Mas'ud di atas menunjukkan kepada kita betapa Islam meraikan perbezaan pendapat. Bagaimana kita boleh katakan yang semua perselisihan itu dianggap tercela sedangkan Allah SWT sendiri mengiktiraf akan kewujudannya, bahkan diciptakan kita dengan kepelbagaian akal fikiran, pemahaman, kepandaian, bahasa, masa dan tempat itupun sudah memadai untuk menjadi bukti betapa perbezaan itu suatu tabi'at kehidupan yang pasti wujud, bukan sekadar dalam persoalan hidup, persoalan agama juga tidak terlepas dari tabi'at semula jadi ini. Allah SWT berfirman: "Jikalau Tuhan-Mu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhan-Mu" (Hud: 118-119). Di dalam ayat yang lain, Allah SWT telah berfirman, mafhumnya, "Jika berlaku pertikaian diantara kamu tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul" (An-Nisa': 59). Memahami keharusannya, khalifah Islam kelima Umar Abdul Aziz diriwayatkan pernah berkata, "Aku tidak suka jika para sahabat Muhammad tidak berselisih pendapat kerana jika mereka hanya berada di dalam satu pendapat, nescaya manusia akan mengalami kesempitan". Di dalam kisah yang lain, tatkala Imam Malik diminta oleh Abu Ja'far Al-Manshur, Khalifah II Empayar Abbasiyyah agar fatwanya dijadikan sistem perundangan negara, beliau menjawab, "Sesungguhnya para sahabat Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah tersebar ke berbagai kota dan negeri, dan masing-masing pula mempunyai kepakaran tertentu. Jadi, bila engkau hendak memaksa umat manusia bersatu padu pada satu pendapat, maka yang akan terjadi adalah pertelingkahan dan fitnah yang berat".

Melalui penjelasan ini telah membawa kita kepada satu keyakinan bahawa mencapai suatu kesepakatan dalam satu persoalan furu' agama adalah suatu keinginan yang mustahil. Bahkan hal itu berlawanan dengan karekter agama itu sendiri. Sebenarnya Allah mengkehendaki keberkekalan agama ini dengan kemampuan pengaplikasiannya dengan pelbagai macam zaman. Kerana itu, ia bersifat mudah, anjal, luas dan tidak beku.

Sekiranya kita semua sudah memahami bahawa perselisihan pendapat itu merupakan sebahagian daripada tabi'at kehidupan, yang tinggal kepada kita sekarang hanyalah persoalan SIKAP. Di sinilah Sikap kita memainkan peranan tatkala berdepan dengan perselisihan pendapat dan pandangan, bukan menghapuskan dan mencelanya kerana ia sungguh suatu usaha yang amat mustahil. Untuk itu, saya rasa sangat sesuai untuk saya bawakan satu contoh sikap Salaf as-Soleh yang patut kita semua contohi sebagai pedoman kita bersama. Ia merupakan sepucuk surat ilmiah yang mengkagumkan yang pernah dikirimkan oleh seorang Imam dan Faqih dari Mesir iaitu Al-Laiths bin Sa'ad, kepada Imam Malik. Dalam surat tersebut Al-Laiths mengemukakan pandangannya dengan bahasa yang sopan dan halus tentang berbagai masalah yang diperselisihkannya dengan Imam Malik. Al-Laiths berkata:

"Semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada anda. Segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Dia.

Amma ba'du

Semoga Allah memaafkan kami dan anda serta memberikan balasan yang baik di dunia dan akhirat. Saya gembira setelah menerima surat anda yang menceritakan bahawa anda dalam keadaan baik. Semoga Allah sentiasa mengurniakan kesejahteraan tersebut kepada anda dan menyempurnakannya dengan memberikan pertolongan untuk mensyukurinya. Sesungguhnya telah sampai berita kepada anda bahawa saya telah berfatwa kepada masyarakat dengan beberapa fatwa yang bertentangan dengan apa yang dianut oleh masyarakat di tempat anda. Saya merasa takut pada diri saya sendiri dengan adanya orang-orang yang berpegang kepada apa yang saya fatwakan, kerana masyarakat telah mengikuti para penduduk Madinah yang sama-sama kita ketahui bahawa di sanalah tempat hijrah dan turunnya al-Quran. Apa yang telah anda tulis tentang hal tersebut insyallah benar dan saya sangat menghargainya. Tidak ada seorang ulama yang lebih membenci fatwa yang ganjil. Tidak ada orang yang lebih mengutamakan para ulama Madinah. Tidak ada orang yang lebih mendukung fatwa-fatwa mereka apabila mereka telah bersepakat, selain daripadaku. Segala puji bagi Allah, Penguasa Alam semesta, tiada sekutu bagi-Nya" (Adabul Ikhtilaf fil Islam, Dr Thaha Jabir, m.s 120-122)

Kemudian Al-Laiths menyebutkan beberapa contoh perbezaan pendapat yang terjadi di antara mereka seperti masalah menjama' solat pada waktu turun hujan di waktu malam, pengadilan dengan seorang saksi dan sumpah, mendahulukan solat sebelum khutbah dalam istisqa' dan masalah khilafiyyah yang lain. Di akhir suratnya, beliau berkata, "Saya telah meninggalkan banyak hal seperti ini. Saya berharap semoga taufiq Allah tetap menyertai anda. Semoga anda dipanjangkan umur dengan memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. Saya tidak takut kehilangan anda, meskipun saya ingin selalu bersama anda sampai mati. Demikianlah kedudukan anda di mata saya dan pendapat saya tentang anda. Percayalah. Janganlah diputuskan surat menyurat dengan saya. Saya ingin selalu mendapatkan khabar tentang anda, anak-anak anda dan keluarga anda. Tidak perlulah segan bila anda memerlukan bantuan, dengan senang hati saya akan membantu. Saya menulis surat ini dalam keadaan lapang dada. Marilah kita memohon kepada Allah, semoga kita mendapat pahala dan kesempurnaan nikmat-Nya. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"

Oleh itu, diantara sikap yang perlu dipilih demi untuk meminimumkan sebarang perselisihan yang besar berlaku, maka manhaj yang terbaik yang perlu kita ikuti adalah "Wasatiyyah" ataupun "Kesederhanaan", yang jauh dari sikap berlebihan atau mengurangi ajaran. Inilah ciri-ciri ummat yang terbaik yang telah ditonjolkan oleh generasi agung Salaf as-Soleh dan inilah juga ciri-ciri yang dituntut oleh agama kita. Allah SWT telah berfirman, "Dan inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya" (Al-An'am: 153). Imam Ahmad di dalam Musnadnya meriwayatkan dari Ibn Mas'ud, dengan berkata, "Rasulullah membuat satu garis lurus dengan tangannya kemudian bersabda: Ini adalah jalan Allah yang lurus. Kemudian baginda membuat jalan di sebelah kanan dan kirinya, lalu berkata: Setiap jalan-jalan ini terdapat syaitan yang mengajak kepadanya. Lalu baginda membacakan ayat: Inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah mengikuti jalan-jalan lain itu"

Sekarang terpulanglah kepada anda untuk menilainya.

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Wednesday, July 1, 2009

Di sana masih ada sinar cahaya ...



Generasi yang sentiasa dibimbangi oleh musuh-musuh Allah.

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Sunday, June 28, 2009

Rehlah hujung minggu di Chepor



Alhamdulillah, pagi tadi Alumni sekolah saya (Sek Men Al-Hidayah) telah berjaya mengadakan program mingguan menurut yang dirancang. Kalau sebelum ini, kebiasaannya kami akan bertemu dua kali sebulan di Extreme Park Sport Complex untuk permainan futsal, tetapi kali ini kami memilih untuk mengadakan rehlah di Chepor pula bagi mengelakkan kebosanan dengan satu aktiviti sahaja. Cumanya, jumlah yang hadir untuk rehlah ini tidaklah seramai jumlah yang datang semasa permainan futsal yang kadang-kadang boleh mencecah hampir 30 orang.

Walaubagaimanapun, program masih tetap berjalan seperti biasa walaupun dalam lingkungan yang agak kecil.

Seperti yang dijanjikan, kami berkumpul jam 9 pagi di Chepor sebelum menuju ke tempat yang dirancang. Tempatnya agak jauh ke dalam. Untuk menuju ke sana, kami perlu berjalan kaki kerana ia tidak boleh dilalui oleh kereta dan motosikal. Jalannya kecil, tidak berturab, berbukit dan berbatu. Semasa merancang program ini, ada idea-idea yang mencadangkan agar ia dibuat di tempat yang lebih jauh seperti di Ulu Kenas, Kampar dan Simpang Pulai. Tetapi disebabkan oleh beberapa masalah, maka kami terpaksa memilih destinasi biasa iaitu di Chepor saja.

Setelah semuanya tiba, kami berjalan beramai-ramai menuju ke atas. Masing-masing membawa bekalan makanan yang telah ditetapkan seperti sardin, roti, hotdog, telur, air minuman serta peralatan memasak.

Sesampai saja di situ, kami dapati tempat tersebut masih belum diambil orang.

Alhamdulillah.

Ia memang menjadi pilihan orang ramai terutamanya anak-anak muda untuk bermandi manda kerana tempatnya luas, jauh dari hiruk pikuk serta airnya lebih dalam berbanding dengan tempat-tempat yang lain. Setelah turun ke sungai, kami mengumpulkan barang-barang di satu tempat merentasi sungai untuk mengelak dari sebarang kecurian yang tidak disedari.

Setelah itu, barulah masing-masing terjun ke dalam sungai dengan gaya renang yang pelbagai. Yang tahu berenang, berenang dengan cara yang tahu. Yang tak tahu pula, berenang dengan caranya sendiri.

Selain dari mandi, program kami juga diisi dengan permainan bola baling air dan aci monyet. Walaupun tidak ada agenda tertentu yang dirancang, tetapi pengisian dengan bentuk permainan sebegini secara tidak langsung dapat menjalinkan ukhuwwah dan semangat kebersamaan diantara kami. Setidaknya ia tidak hanya kosong dengan bermandi-manda sahaja. Setelah penat bermain bola baling air, maka kami berhenti sekejap untuk makan. Setelah itu, barulah kami menyambung semula dengan permainan aci monyet.

Aiman sedang tuangkah sos untuk makan dengan Hotdog. Tgk muka Alif (kiri) yg dah
tak sabar-sabar nak makan

Saya pula sedang masak Sardin Special, resepi ciptaan tersendiri.
Dorang kate sodap juga la. Jadi, sesiapa yang nak tau resepinya, boleh la hubungi saya ye .. hehe

Aksi Aiman yg sedang mengejar bola semasa permainan aci monyet.
Dia jadi monyet masa tu.

"Aduh, beratnya ko ni Aiman"

Wajah-wajah anak-anak perantauan dari bumi Somalia ... hehe

Bergambar sebelum pulang.
Dari kiri (berdiri): Fariz, Fadhil, Aiman, Alif, Hanan, Faiz, Ismail
Dari kiri (duduk): Saya, Nabil, Farhan, Aiman

Selepas solat zohor berjemaah di sungai, kami kembali ke tempat kereta beramai-ramai dan berpisah di situ. Semua nampak penat. Walaubagaimanapun, kami bersyukur kerana dapat mengisi masa hujung minggu dengan program yang bermanfaat.

Anda pula bagaimana?

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Thursday, June 25, 2009

TAHNIAH anak-anak PASTI !!


Kejo semua ... !!

Urut sikit, lutut saya rasa macam nak tercabut ni ..

Itu dia .. Perak v. Sarawak .. hehe

Hebat keeper kita ni, bola belum ditendang dia dah melompat ..



Ketua Pemuda ketika sedang memberikan pingat kepada pemenang

Canggih betul budak-budak sekarang ni. Kecil-kecil dah mewakili negeri masing-masing ke sukan peringkat Kebangsaan. Zaman saya kecil-kecil dulu, mana ada harapan sebegini. Kalau ada kemahiran semulajadi pun, jadi jagoh kampung je la.

Apapun, Tahniah diucapkan kepada Jabatan PASTI Pusat kerana berjaya menganjurkan sukan PASTI peringkat kebangsaan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga usaha ke arah pembentukan generasi Rabbani dan Insani akan terus digiatkan lagi untuk anak-anak generasi harapan ini.

Bagi negeri Perak, anak-anak PASTI yang berjaya mewakili sukan PASTI ke peringkat Kebangsaan adalah PASTI dari Lumut. Kejayaan itu dicapai setelah mereka berjaya menumpaskan anak-anak PASTI dari kawasan saya, Taman Meru.

Kecewa betul .. Kalau tidak, dapat jadi wakil kejo yop kejo
________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Sunday, June 21, 2009

Bai'ah itu jangan diputuskan (edit)



BELAJAR DARI GENERASI PARA SAHABAT

Bersambung ...

Telah saya nyatakan di dalam artikel sebelumnya bahawa kita sedang memegang janji dan bai'ah yang pernah dibawa oleh bapa-bapa kita di era Muhammad SAW iaitu untuk sentiasa memberikan infaq, perlindungan dan taat setia kepada baginda SAW dalam apa jua keadaan sekalipun, samada di ketika susah atau senang, semangat atau malas, kuat ataupun lemah.

Para sahabat radhiallahu 'anhum, walaupun ada diantara mereka yang dikategorikan termasuk di kalangan orang-orang yang diberikan keuzuran oleh Allah SWT untuk tidak berjihad, akan tetapi keuzuran itu tidak menjadikan ia sebagai suatu alasan untuk mereka melarikan diri dari tanggungjawab memikul beban dakwah dan perjuangan bersama Rasulullah SAW. Allah SWT menyatakan di dalam ayat 91-92 surah At-Taubah:

"Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, atas orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

"Dan tiada (dosa pula) atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata, "Aku tidak mempunyai kenderaan untuk membawamu", lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memiliki apa yang akan mereka nafkahkan".

Ayat ini mengikut Syeikh Rasyid Redha di dalam tafsirnya ((al-Manar)) menceritakan mengenai peristiwa persiapan angkatan tentera Rom untuk memerangi kerajaan Islam Madinah pada tahun ke 9 Hijrah. Setelah mendengar berita itu, Ibn Abbas radhiallahu 'anhu menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan para sahabat agar bersiap sedia untuk menghadapi peperangan itu di Tabuk, iaitu sebuah tempat yang terletak jauh dari persempadan kota Madinah. Lalu datang beberapa orang sahabat baginda antaranya Abdullah bin Maghfal al-Mazani radhiallahu anhu dan berkata kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, bawalah kami bersama dalam peperangan ini". Kemudian baginda menjawab, "Demi Allah ! Aku tidak mempunyai kenderaan untuk membawa kamu bersama". Mendengar jawapan daripada Rasulullah itu, merekapun pulang ke tempat masing-masing dalam keadaan menangis sehingga bercucuran air mata ke bumi kerana sedih tidak dapat bersama-sama menyertai jihad di medan Tabuk. Lalu turunlah ayat 92 surah At-Taubah ini mematri kisah kesedihan mereka di dalam al-Quran. (Ruj: Tafsir Al-Manar, m.s 507)

Saya merasa sebak tatkala membaca sebab turunnya ayat ini (Asbab An-Nuzul), dan mendapati bahawa diri ini terlalu-terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan semangat yang telah mereka tonjolkan. Dalam keadaan tidak memiliki harta, upaya dan kenderaan, mereka masih lagi berlumba-lumba serta berkobar-kobar untuk bersama-sama dengan Rasulullah SAW memberikan sumbangan untuk Islam.

Namun harapan mereka tidak berkesampaian dek ketidakcukupan kenderaan yang boleh membawa mereka bersama menuju ke medan Tabuk. Akhirnya mereka pulang dengan berlinangan air mata dan perasaan sedih kerana tidak berpeluang untuk berjihad bersama dengan Rasulullah SAW dan para sahabat yang lain, apatah lagi untuk membau wangian syurga yang terbentang luas bagi mereka yang syahid di medang perang.

Hadis yang saya paparkan dalam artikel pertama semalam merupakan salah satu gambaran sifat sebenar generasi awal yang telah dipimpin oleh Rasulillah SAW. Semuanya berlumba-lumba ke arah kebaikan dan ingin menyumbangkan sesuatu untuk Islam walaupun sedikit.

Oleh kerana itulah, Allah SWT memuliakan mereka dan mereka pula mulia dengan Islam. Disebabkan oleh kesungguhan dan kerjasama yang mereka gerakkan bersama, tanpa mengira umur, warna kulit, kedudukan dan asal keturunan, Islam berjaya dibangunkan serta dimuliakan di tangan-tangan mereka. Dengan hasil pengorbanan dan titik peluh merekalah hari ini kita mampu mengecapi sedikit nikmat Iman dan Islam serta keindahan Islam yang berbaki di celah-celah kecelaruan budaya, masyarakat dan negara yang kita diami hari ini.

ISLAM HARI INI ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA

Sepertimana yang telah ditonjolkan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum, saya menyeru diri saya sendiri serta para sahabat sekalian agar bersedia mewaqafkan diri kita demi Islam. Tidak selayaknya kita menjadikan kekangan kerja dan masa sebagai alasan untuk kita terkecuali dari tanggungjawab dakwah ini.

Malam semalam dan pagi tadi saya dan beberapa rakan-rakan telah dijemput oleh alumni Sekolah Izuddin Shah, Ipoh untuk berkongsi idea dan pandangan bersama dengan adik-adik di tingkatan 4. Mereka mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuklah dari kelas Sains, Akaunting, Thanawi dan Sastera. Apabila ditanyakan kepada mereka, semuanya mempunyai harapan yang tinggi di masa hadapan termasuklah ada yang bercita-cita untuk menjadi usahawan yang terkaya di Malaysia.


Saya katakan bahawa saya sangat berbangga dengan harapan mereka yang tinggi. Dalam masa yang sama, saya menyatakan harapan saya kepada mereka.

"Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan orang-orang yang berilmu di dalam al-Quran dengan memberikan mereka beberapa darjat. Dalam masa yang sama, mereka juga diberikan kepercayaan untuk membuat penyaksian ke atas keTunggalan dan keEsaan Allah SWT bersama-sama dengan para malaikat. Ini menunjukkan kemuliaan ke atas orang-orang yang berilmu berbanding dengan orang-orang yang tidak berilmu"

"Akan tetapi, kemuliaan ini hanya akan diberikan bagi mereka yang menggunakan ilmu-ilmu itu untuk kebaikkan Islam. Yang menjadi doktor menyampaikan dakwah Islam dengan cara yang sesuai dengan karier doktornya. Yang menjadi Akauntan harus memastikan tidak ada penyelewengan yang berlaku. Yang menjadi usahawan pastikan tidak akan terlibat dengan rasuah dan menjadi contoh kepada sahabat-sahabat yang lain. Yang menjadi ustaz apatah lagi", saya menyambung.

"Namun sekiranya kelebihan yang diberikan itu adik-adik gunakan untuk menghancurkan Islam, menentang dan merosakkan Islam ... kita akan menjadi manusia yang paling hina di sisi Allah SWT kerana gagal memanfaatkan kelebihan yang telah Allah hidangkan buat kita"

Alhamdulillah, walaupun ada yang kurang memberikan perhatian, namun kebanyakkannya memberikan respon yang baik kepada kami terutamanya semasa sesi soal jawab.

Begitu juga bagi mereka yang telah terjun ke dalam medan siayah dan gerakan islah, teruskan perjuangan antum dengan cara antum. Perbanyakkan usaha menarik masyarakat kepada Islam melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Adakan ceramah-ceramah, tazkirah, sarana dan kuliah umum agar masyarakat tahu apakah matlamat perjuangan kita sebenarnya. Berhikmahlah di dalam menyeru masyarakat kepada Islam, gunakan pendekatan yang lebih harmoni dan manfaatkan segala kemudahan moden seperti blog, webtv, radio, media, majalah, surat khabar dan sebagainya untuk melebarluaskan lagi risalah Islam kepada masyarakat.

Tidak ketinggalan kepada yang lain, antum juga selayaknya menggunakan kemudahan teknologi yang ada pada hari ini untuk masa depan Islam. Sesiapa yang berkemahiran di dalam bidang penulisan, hasilkan artikel dan novel-novel Islami. Kemudian terbitkan di majalah-majalah atau kepada penerbit-penerbit yang sudi menerbitkan novel antum seperti PTS dan sebagainya. Saya tertarik dengan satu pendekatan yang digunakan oleh sebuah mini-market kepunyaan orang Islam di taman perumahan saya. Kedai tersebut akan menyiarkan ceramah agama secara langsung dari radio Perak.fm (kalau tidak silap saya) pada setiap petang sehingga boleh didengar sampai ke luar. Jadi, sesiapa yang membeli barang di situ atau melalui kawasan kedai tersebut pasti akan terdengar siaran ceramah yang disiarkan. Apa yang dilakukan oleh mereka itu merupakan salah satu bentuk pendekatan kreatif yang amat berguna dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Walaupun orang yang datang ke situ tidak akan mendengar ceramah tersebut dari awal sampai habis, setidak-tidaknya ia sedikit sebanyak akan memaksa orang yang datang ke situ untuk mendengarnya walaupun sedikit. Kalaupun tidak habis di situ, mungkin mereka akan mendengarnya saat pulang ke rumah.

Apa yang penting, Islam amat meraikan apa saja bentuk pendekatan dakwah yang digunakan walau oleh sesiapapun, asalkan ia selari dengan batasan syara' serta memberi keuntungan yang positif kepada Islam. Semua orang berhak untuk memanfaatkan kelebihan, kemahiran dan kretiviti yang dimilikinya untuk disumbangkan kepada Islam ... samada dia dari golongan ulama', professional, orang berpendidikan, orang awam, remaja, dewasa, lelaki mahupun perempuan.

Tidak ada Islam professional, Islam Ulama dan sebagainya.

Jangan sesekali kita membiarkan tanggungjawab dakwah ini dipikul oleh kelompok tertentu sahaja sementara kita hanya berlepas tangan. Apa yang lebih malang lagi kalau sekiranya kita menyokong pula golongan yang merancang untuk menjatuhkan Islam. Sudahlah tidak mahu memikul beban dakwah, duduk pula bersama-sama dengan kelompok yang mahu menjatuhkan Islam. Ini merupakan satu kecelakaan besar sekiranya berlaku sedemikian.

Sekiranya majoriti umat Islam menjadikan Islam sebagai matlamat perjuangannya dalam apa jua bidang dan tempat yang ia duduki, insyallah Islam akan kembali bangkit di posisinya yang tinggi. Tetapi saya amat menyedari, untuk mencapai matlamat ini, ia bukanlah semudah yang disangkakan dan memerlukan kepada masa yang panjang.


Saya menyedari akan kedhaifan dan ketidak layakan saya untuk menyeru antum semua. Tetapi saya juga tidak sanggup membiarkan agama ini sepi dari pejuang dan pembelanya. Oleh yang demikian, saya merasakan bertanggungjawab untuk memanggil anda wahai Syabab & Fatayatul Muslimin yang sudah menyedarinya untuk sama-sama membela Islam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh bapa-bapa kita dari generasi para sahabat radhiallahu 'anhum yang menghulurkan tangan-tangan mereka membai'ah Rasulillah SAW dengan taat setia untuk:

~berinfaq dalam apa jua keadaan sekalipun,
~menyeru yang baik dan mencegah yang mungkar,
~mempertahankan Islam tanpa rasa malu dicela orang, dan
~membela nama Muhammad SAW sepertimana kita membela diri kita dan anak isteri kita sendiri.

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

Saturday, June 20, 2009

Belajar dari Generasi Para Sahabat (1)



"Wahai Rasulullah, saudara kami dari kalangan orang kaya telah mendapat pahala yang lebih banyak daripada kami. Mereka solat seperti solat kami, berpuasa seperti puasa kami dan bersedekah dengan harta-harta mereka ...", bertemu sekumpulan sahabat Rasulullah SAW dengan baginda bertanyakan apakah yang layak mereka lakukan dengan keterbatasan yang mereka miliki untuk membantu dan memberi sumbangan kepada Islam.

"Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu yang boleh kamu sedekahkan?", soal Rasulullah SAW mencuri perhatian mereka.

"Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan tiap-tiap tahmid itu sedekah, dan tiap-tiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh melakukan kebaikan itu sedekah dan melarang melakukan kejahatan itu sedekah, dan pada kemaluan kamu itu pun juga sedekah", jelas Rasulullah SAW lagi.

"Rasulullah, adakah sekiranya salah seorang daripada kami yang menggunakan syahwatnya akan turut juga diberikan pahala terhadap perbuatannya itu?", soal mereka sekali lagi untuk mendapatkan kepastian.

"Apakah pendapat kamu kalau ia digunakan pada yang haram, adakah ia akan berdosa? Maka begitu lah juga keadaannya sekiranya ia digunakan pada tempat yang halal, maka baginya pahala"

Perbualan diantara sahabat Rasulullah dengan Baginda SAW di atas adalah intisari perbualan sekumpulan fuqara' dari kalangan Muhajirin yang telah berhijrah bersama-sama dengan Rasulullah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah disebabkan oleh tekanan yang maha hebat daripada golongan kafir Quraish kepada mereka. Mereka datang mengadukan masalah yang sedang mereka hadapi. Tetapi yang peliknya, pengaduan itu bukanlah pengaduan untuk menyatakan ketidakcukupan makanan atau bekalan sehari-hari mereka, tetapi untuk menyatakan kekhuatiran mereka terhadap sumbangan yang boleh mereka berikan untuk Islam lantaran kemiskinan serta kedhaifan mereka.

Kisah ini telah dirakamkan oleh Muslim di dalam Sahihnya melalui jalur periwayatan yang telah diriwayatkan oleh Abu Zar radhiallahu 'anhu. Ia juga merupakan salah satu hadis yang telah diletakkan oleh Imam An-Nawawi di dalam himpunan Arba'in Nawawiyyah beliau di dalam bilangan hadis yang ke-25.

Di dalam riwayat lain yang telah direkodkan di dalam Shahihain (Bukhari & Muslim) melalui jalur periwayatan yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, setelah mendengar Rasulullah SAW mengatakan bahawa tidak ada yang lebih baik daripada saranan tersebut melainkan dengan amalan yang menyamai dengan amalan itu, maka orang-orang kaya dari kalangan Ansar juga tidak mahu melepaskan peluang emas tersebut. Lalu mereka mengambil peluang tersebut untuk menambahkan lagi kelebihan-kelebihan yang sudah mereka miliki dengan memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir kepada Allah SWT. Namun setelah golongan fuqara' dari kalangan Muhajirin mendengar berita bahawa golongan Ansar juga turut melakukannya, maka mereka bersegera bertemu dengan Rasulullah SAW sekali lagi dan menceritakannya kepada baginda.

"Itulah kelebihan yang Allah SWT berikan kepada sesiapa yang Ia kehendaki", jawab Rasulullah SAW kepada mereka.

KELEBIHAN PARA SAHABAT & BERLUMBA-LUMBA KE ARAH KEBAIKAN:

~ Sahabat Rasulullah SAW adalah sebaik-baik generasi umat Islam yang pernah dilahirkan di dalam sejarah tamadun manusia. Mereka adalah ikon generasi Rabbani & Insani yang luhur dengan akhlak dan kepimpinan. Keimanan mereka juga merupakan keimanan yang terbaik di kalangan generasi-generasi umat Muhammad. Tamadun yang dibina oleh mereka juga merupakan semurni-murni tamadun yang pernah dibina oleh manusia sejagat.

Mereka adalah generasi madrasah Muhammad SAW yang mendapat bimbingan langsung daripada batang tubuh baginda SAW. Mereka adalah murabbi serta qudwah bagi generasi tabi'in, tabi' tabi'in dan generasi-generasi selepasnya. Mereka juga adalah guru bagi para ulama dan fuqaha yang kita kenali hebat dengan ilmuan dan sumbangan mereka kepada dunia Islam.

Sebarang kesilapan yang mereka lakukan, mereka akan terus diperbetulkan serta-merta oleh sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT dengan pakaian maksum yang dipakaikan kepadanya. Perkara ini tidak menjatuhkan kedudukan mereka selaku sebaik-baik generasi umat Muhammad, tetapi untuk menggambarkan bahawa mereka adalah manusia biasa yang dipilih oleh Allah SWT untuk dibentuk oleh rasulullah SAW sebagai As-Sofwah al-Mukhtarah (generasi yg terpilih). Pernah suatu ketika di dalam perang Hunaian, sekumpulan kaum Ansar memperkatakan sesuatu tentang Rasulullah SAW yang tidak mengagihkan harta rampasan perang secara adil kepada semua sahabat dan pejuang yang berperang di jalan Allah.

"Hairan sungguh. Nabi memberikan semua harta rampasan kepada orang-orang Quraish sedangkan kita tidak mendapat apa-apa. Padahal pedang-pedang kita telah bercucuran dengan darah-darah mereka", kata Sa'ad bin Ubadah yang merupakan pemimpin Ansar.

Mereka merasa pelik kerana baginda SAW memberikan kepada para muallaf (orang yang berjinak-jinak hatinya dengan Islam) dengan pemberian yang begitu banyak, sementara mereka tidak mendapat sedikit bahagianpun daripada ghanimah tersebut.

Berita itu kemudiannya sampai kepada Rasulullah SAW, lalu mereka dikumpulkan secara khusus oleh baginda rasul dalam satu pertemuan.

"Apakah tidak boleh kamu menikmati harta yang sedikit yang dengannya aku boleh memaut hati-hati orang untuk memeluk Islam, sementara aku lebih menyandarkan kamu dengan keislamanmu? Apakah kamu tidak redha wahai kaum Ansar untuk orang-orang itu membawa unta dan kambing-kambing mereka sementara kamu akan membawa Rasulullah kembali ke negerimu? Maka demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya tidak ada perintah hijrah, sungguh aku akan dilahirkan sebagai golongan Ansar, dan seandainya orang-orang berjalan di sebuah jalan bukit dan kaum Ansar pula berjalan di sebuah jalan bukit yang lain, nescaya aku akan berjalan di jalan bukit yang dilalui oleh orang-orang Ansar"

Kemudian nabi pun berdoa, "Ya Allah, berikanlah rahmat bagi kaum Ansar, anak-anak kaum Ansar, dan cucu-cucu kaum Ansar".

Setelah mendengar hal tersebut, mereka pun menangis sehingga air mata yang mengalir membahasi janggut-janggut mereka. Lalu mereka berkata, "Kami redha dengan pemberian dan pembahagian itu wahai Rasulullah". (Ruj: Mubarakfuri, Ar-Rahiq Al-Makhtum, m.s 383-384)

Setelah itu Rasulullah SAW beredar bersama-sama dengan mereka.

Kita adalah anak-anak generasi para sahabat yang telah mengikat janji (bai'ah) untuk terus berada di bawah naungan panji risalah Muhammad SAW. Kita mesti melaksanakan janji-janji itu sepertimana bapa-bapa kita telah melaksanakannya bersama-sama dengan Muhammad SAW. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Jabir radhiallahu 'anhu berkata, "Wahai Rasulullah ! Apakah yang perlu kami nyatakan kepadamu dalam perjanjian ini?".

Jawab Rasulullah SAW, "Bahawasanya kamu berjanji taat setia denganku samada dalam keadaan semangat ataupun malas ataupun dalam keadaan sibuk mahupun lapang untuk berinfaq samada dalam keadaan susah ataupun senang, untuk menunaikan amar makruf dan nahi mungkar, untuk beristiqamah membela agama Allah tanpa rasa takut dicela orang, tetap membantuku dan akan tetap membelaku apabila aku berada di tengah-tengah kamu sebagaimana kamu membela diri kamu sendiri dan anak isteri kamu. Dengan demikian, kamu akan beroleh syurga" (Muhammad Munir al-Ghatban, Al-Manhaj Al-Haraki Lis Sirah An-Nabawiyyah, m.s 172)

Tidak lama setelah itu, Al-Abbas bin Ubadah bangun dan berkata, "Apakah kamu semua tahu untuk apa kamu semua membai'ah dengan lelaki ini?", soal beliau kepada mereka yang berada di situ.

"Kamu berbai'ah dengannya untuk berjihad dengan manusia, baik yang berkulit merah atau hitam. Maka jika kamu menganggap bahawa musnahnya harta-harta kamu merupakan musibah dan matinya orang-orang mulia di antara kamu merupakan pembunuhan, maka mulai sekarang hal ini merupakan kehinaan di dunia dan akhirat. Namun jika kamu berpendapat bahawa kamu menanggung lelaki ini dengan risiko habisnya harta dan terbunuhnya orang-orang mulia di antara kamu, maka lakukanlah. Demi Allah, itulah perkara yang terbaik di dunia dan akhirat", jelas beliau lagi.

Sejurus selepas mendengar ucapan Al-Abbas itu, mereka pun berkata, "Kami benar-benar akan melakukannya dengan risiko musnahnya harta dan terbunuhnya orang-orang mulia kami ! Tetapi, apakah balasannya wahai Rasulullah?"

Jawab nabi dengan tegas, "Syurga !".

Selepas itu, bergegaslah mereka semua menghulurkan tangan-tangan mereka untuk berbai'ah dengan Rasulullah SAW. (Ruj: Ar-Rahiq Al-Makhtum, m.s 167-168)

Inilah contoh kesungguhan generasi sahabat yang saya nyatakan.

Sejarah telah mencatatkan bahawa mereka terbukti merupakan pengikut yang taat setia kepada baginda SAW. Mereka tidak seperti pengikut nabi Musa 'alaihis salam yang mengkhianati bai'ah dengan baginda Musa 'alaihis salam di dalam senang dan susah. Di dalam satu peristiwa, Miqdad bin Amru radhiallahu 'anhu pernah berkata kepada nabi Muhammad SAW:

يا رسول الله : إمض لما أمرك الله فنحن معك
والله لا نقول لك كما قالت بنوا اسرائيل لموسى إذهب أنت وربك فقاتلا إنا ها هنا قاعدون
ولكن إذهب أنت وربك فقاتلا إنا معاكما مقاتلون

"Wahai Rasulullah, pergilah kamu melaksanakan perintah Tuhanmu dan kami akan bersama-sama kamu. Demi Allah ! Kami tidak akan sesekali mengatakan sepertimana yang pernah dikatakan oleh Bani Israil kepada Musa, "Pergilah kamu berperang bersama Tuhan kamu sementara kami hanya akan duduk di sini", tetapi kami akan katakan wahai Rasulullah, "Pergilah kamu berperang bersama Tuhan kamu dan kami akan ikut bersama-sama dengan kamu !"

Maka dengan kesungguhan itulah, Allah SWT memuji dan meredhai mereka sepertimana yang telah disebutkan di dalam beberapa ayat di dalam Al-Quran.

Pengaduan yang dibuat oleh golongan Muhajirin ke atas golongan Ansar itu bukanlah disebabkan oleh perasaan buruk sangka dan hasad dengki mereka dengan kelebihan yang dimiliki oleh saudaranya dari kaum Ansar. Ia juga bukan atas dasar perkauman antara dua puak tersebut. Bahkan mereka saling punya rasa cinta dan mahabbah diantara satu dengan yang lain di atas dasar iman dan Islam. Golongan Ansar begitu senang menyambut kedatangan kaum Muhajirin yang berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bahkan ada di kalangan kaum Ansar yang sanggup untuk membantu kaum Muhajirin yang berhijrah dalam keadaan papa dan faqir. Suatu ketika saat Sa'ad bin Rabi' (Ansar) bertemu dengan Abdul Rahman bin 'Auf (Muhajirin), beliau mengatakan kepada Abdul Rahman, "Wahai Abrul Rahman, apa kata sekiranya aku membahagikan hartaku kepada dua iaitu sebahagiannya untuk kau. Aku juga mempunyai dua isteri, maka pilihlah diantara duanya yang memikat hatimu dan katakanlah kepadaku. Aku akan menceraikannya. Jika ia telah tamat tempoh iddahnya, maka kahwinilah ia". Namun Abdul Rahman menolak tawaran tersebut dengan cara yang baik, lantas bertanya kepada Sa'ad, "Di manakah letaknya pasar? Tunjukkan padaku". (Ruj: Mubarakfuri, m.s 196)

Namun pengaduan itu tidak lebih sekadar perasaan ingin mendapatkan kelebihan di sisi Allah SWT dengan anugerah yang diberikan kepada mereka, dan perkara seperti ini merupakan suatu tuntutan yang sihat di dalam agama supaya kita sentiasa berlumba-lumba untuk memperbaiki diri demi mendapat keredhaan Allah SWT. Daripada Ibn Mas'ud radhiallahu 'anhu bahawasanya nabi SAW pernah bersabda:

لا حسد إلا في اثنتين : رجل اتاه الله مالا فسلطله على هلكته في الحق , ورجل اتاه الله الحكمة فهو يقضي بها ويعلمها

"Tidak ada kecemburuan kecuali pada dua perkara: Seseorang yang diberikan harta oleh Allah kemudian dia membelanjakannya ke jalan yang benar, dan seseorang yang diberikan kebijaksanaan kemudian dia mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain" (Muttafaqun 'Alaih)

Allah SWT telah berfirman:

"Dan yang demikian itu supaya orang berlumba-lumba" (al-Mutaffifin: 26)

Maka sebab itulah ada di kalangan mereka yang bersegera bertemu dengan baginda Rasul sekiranya ada sebahagian daripada mereka yang memiliki kelebihan daripada sebahagian yang lain.

Bukan atas dasar untuk kepentingan peribadi, tetapi demi untuk meraih kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT serta masa depan Islam yang terus gemilang.

Bersambung ...




________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak