Salam perjuangan ...
Walaupun bulan Ramadhan telahpun berakhir, namun bagi sesetengah orang dari kalangan kita yang meninggalkan puasa khususnya bagi golongan wanita yang kedatangan haid, maka persoalan qadha' puasa perlu segera difahami bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kesilapan dalam menyempurnakannya.
Saya kira antara persoalan penting yang perlu difahami berkenaan dengan puasa qadha' ini adalah berkaitan dengan penangguhan untuk mengqadha'nya sehingga melepasi bulan Ramadhan untuk tahun yang berikutnya.
Dalam hal seumpama ini, para ulama telah terbahagi kepada dua pendapat. Sebahagiannya berpendapat bahawa, mereka perlu tetap mengqadha'kan puasa tersebut bersama dengan pembayaran fidyah, iaitu menghulurkan makanan kepada orang-orang miskin berupa makanan asasi bagi sesuatu negara pada setiap hari dengan timbangan satu "mud". Negara kita sebagai contoh, yang wajib diberikan adalah berupa "beras" tidak kira apa jenisnya kerana ia merupakan makanan asasi bagi masyarakat negara kita. Satu "mud" pula nilainya menyamai dengan setengah kilogram yang ditambah sedikit.
Pendapat pertama ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Malikiah, Syafi'iyyah, Hanabilah dan Ishak kerana mengikut amalan yang dilakukan oleh sesetengah para sahabat Rasulillah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Menurut pendapat pertama lagi, pembayaran fidyah menjadi wajib sekiranya kita menangguhkan qadha' puasa tanpa sebarang keuzuran. Uzur yang dimaksudkan di sini tidaklah terbatas kepada uzur syar'ie semata-mata, tetapi ia meliputi segala bentuk keuzuran seperti sakit teruk, kesibukan yang berpanjangan dan sebagainya yang dapat diterima secara uruf atau kebiasaan sebagai uzur ataupun halangan. Akan tetapi, ia tidak dianggap sebagai wajib (melainkan hanya merupakan satu galakan saja) sekiranya penangguhan itu disebabkan oleh keuzuran yang datang menimpa.
Pendapat kedua pula dikeluarkan oleh Hasan al-Basri dari at-Tabi'in serta mazhab Hanafi, di mana mereka berpendapat bahawa yang perlu dilakukan oleh mereka yang mengqadha'nya selepas bertemu dengan bulan Ramadhan berikutnya hanyalah berpuasa sahaja tanpa disertai dengan fidyah, samada penangguhan itu disebabkan oleh keuzuran mahupun tidak.
Daripada apa yang dikemukakan, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa kedua-dua pendapat telah bersepakat mewajibkan qadha' puasa dan berbeza pula pada pembayaran fidyahnya. Oleh itu, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh sesetengah para ulama, barangsiapa yang cenderung untuk memilih pandangan pertama, perbuatan itu dikira baik dan diterima sebagai amalan soleh. Namun bagi sesetengah orang yang meninggalkannya (fidyah) pula, ia tidak memberikan apa-apa masalah dan kemudaratan kepada puasa qadha' yang dilakukannya insya-Allah, memandangkan perkara ini tidak thabit (sahih atau wujud) dari nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.
Adapun sekiranya kita syak akan bilangan puasa qadha' yang telah kita sempurnakan, kiralah mengikut bilangan yang kita yakini dan tambahlah bilangan puasa kita sepertimana yang biasa kita laksanakan ketika syak di dalam solat. Sekirnya bilangan puasa qadha' itu memang melebihi dari asalnya (yang wajib kita qadha'kan), insya-Allah ia akan menambahkan pahala dan ganjaran kita di sisi Allah SWT.
Wallahu a'lam
Rujukan:
1) Nailur Authar, Al-Allamah Ash-Shaukani
2) Sahih Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
3) Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq
4) Fatawa Mu'sarah, Syeikh Yusuf al-Qaradawi.
________________________________________________________Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.
"Islam Memimpin Perubahan"
IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak
No comments:
Post a Comment