Tuesday, September 22, 2009

Falsafah Hari Raya dalam Islam (kemaskini)



الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر ... ولله الحمد

Pertamanya, saya hamba yang faqir mengucapkan Salam Eidulfitri, minal a'idin wal faizin, kullu 'am waantum bikhair kepada semua sahabat-sahabat serta para pengunjung blog ini. Maaf zahir dan batin saya harapkan dari semua di atas segala salah dan silap yang saya lakukan selama ini.

Bercakap mengenai falsafah hari raya, sebenarnya bolehlah dikatakan hari tersebut sebagai hari istirehat di dalam siri-siri perjalanan kehidupan kita sebagai manusia. Perayaan bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah hidup manusia, bahkan ia juga bukan sesuatu yang diasaskan oleh Islam. Sebelum kedatangan Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam lagi, manusia telah berabad-abad lamanya mempunyai perayaan mereka yang tersendiri dalam meraikan sesuatu peristiwa penting di dalam kehidupan mereka. Setelah Islam diwahyukan kepada Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam, Islam menerimanya dan mengiktiraf kewujudannya. Oleh yang demikian, kita dapati Islam juga mempunyai perayaannya yang tersendiri, yang kita kenali dengan Eidul Fitri dan Eidul Adha. Namun begitu, perayaan yang disyariatkan Allah SWT kepada umat Muhammad bukanlah seperti perayaan agama-agama lain.

Sesungguhnya Allah SWT mengikat perayaan kita dengan kewajipan yang besar dan ibadah yang agung. Eidul Fitri, sebagai contoh, merupakan perayaan yang diikat dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Ertinya, ia merupakan perayaan bagi meraikan pengorbanan kita di bulan Ramadhan dengan pelbagai pantang larang dan tuntutan yang terpaksa kita tempuhi. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis, "Bagi orang Islam itu terdapat 2 keseronokan; Apabila mereka beriftar, mereka rasa seronok dengan iftarnya. Dan apabila mereka bertemu dengan Tuhannya, mereka seronok dengan puasanya". Manakala Eidul Adha pula diikat dengan kewajipan menunaikan haji di Baitullah al-Haram dengan ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Begitulah keterikatan perayaan Islam dengan ibadah yang dipertanggungjawabkan kepada kita ... ia bukan perayaan mutlak tanpa sebarang sebab dan tujuan. Oleh kerana tujuan perayaan itu adalah bagi meraikan kewajipan ibadah yang telah kita sempurnakan di dalam bulan Ramadhan, maka hari raya juga merupakan perayaan ibadah. Maka dengan sebab itu, tidak selayaknya perayaan Eidul Fitri atau Eidul Adha dicemari dengan hiburan yang melampau dan kebebasan yang tidak terkawal .. luar dari kotak keterbatasan yang telah Islam gariskan.

Selain itu, perayaan umat Islam juga diikat dengan 2 perkara penting; iaitu "ikatan rabbani" dan "ikatan insani".

Irtibath Ar-Rabbani

Makna dari ikatan rabbani adalah, bahawa kita tidak melupai Allah SWT di dalam perayaan tersebut dengan melepaskan segala kepuasan hawa nafsu yang dibenamkan selama hampir sebulan di bulan Ramadhan. Tetapi hari raya yang kita raikan harus diisi dan dihiasi dengan takbir membesarkan Allah SWT, solat hari raya, mau'izah para khatib dan taqarrub kepada Allah SWT melalui puasa enam yang disunatkan. Seperti yang saya nyatakan, Eid bukanlah bererti melepaskan diri dari ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT sehingga kita bebas untuk melakukan apa saja yang kita sukai, tetapi ia merupakan hari perayaan agama, hari kesyukuran di atas nikmat iman, amal dan peluang yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita untuk sekali lagi bertemu dengan bulan mulia dan hari mulia ar-Ramadhan. Silapnya kita, kita terlalu memperhatikan gerak geri kita di dalam bulan Ramadhan dan memandang enteng di saat Syawal sedangkan kedua-duanya adalah bulan Allah dan hari yang tidak terlepas dari keterikatan kita daripada syariat Allah. Namun apa yang kita saksikan, hari raya seolah-olahnya berbeza dengan Ramadhan sebelumnya seperti hitam dan putih. Di hari tersebut, sebahagian kita tidak menjaga auratnya. Pakaian baru yang diperagakan tidak mengikut etika Islam yang sebenar. Bukan saja kepada yang tidak bertudung, yang bertudung juga begitu. Tidak cukup sekadar bertudung sekiranya tudungnya pendek menampakan bentuk dan belahan dada, pakaiannya ketat mengikat pinggang dan kainnya pula terbelah sehingga menampakkan betis. Pakaian yang berlebih-lebihan juga tidak dikawal dan diperhatikan, sehingga terlalu menarik perhatian ramai. Selain itu, percakapan dan perbualan juga kadang-kala tidak diperhatikan sehingga jelas menampakan berlebih-lebihan dan terkeluarnya ucapan yang tidak senonoh serta memalukan. Pembaziran juga sering berlaku pada hari tersebut, bukan saja pada pakaian, tetapi juga pada makanan dan perhiasan rumah.

Irtibath al-Insani

Adapun ikatan insani, ia berkait dengan keseronokan hubungan sesama manusia seperti keseronokan pulang ke kampung bertemu ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara. Begitu juga keseronokan menziarahi sahabat handai dan jiran tetangga, keseronokan melalui pakaian-pakaian baru, hiburan, bunga api dan sebagainya. Namun begitu, Islam tidak membiarkan keseronokan itu hanya dirasai oleh segolongan umat Islam sahaja sedangkan yang lain beraya dalam serba kedhaifan dan kesedihan. Oleh yang demikian, bagi mencapai maksud kedua ini, Islam telah mewajibkan zakat fitrah kepada seluruh umat Islam; samada yang besar, kecil, tua, muda, suami, isteri mahupun anak-anak. Di samping ia berperanan sebagai penutup bagi segala kesilapan dan kekurangan yang telah kita lakukan di dalam bulan Ramadhan, tujuannya juga adalah untuk memberikan kecukupan kepada orang-orang miskin supaya mereka juga dapat bergembira di hari raya. Maka dengan sebab itu, Rasulullah SAW telah bersabda, "Berikanlah kecukupan kepada mereka (orang miskin) supaya mereka tidak mencari-cari di hari tersebut(hari raya)". Maknanya, sebagai ganti daripada mereka keluar mencari sedekah, maka kita yang berkemampuan pula perlu mencari mereka untuk diberikan zakat fitrah.

Sedikit penambahan berkaitan dengan zakat fitrah, di zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, para sahabat Radiallahu 'anhum mengeluarkan zakat fitrah selepas solat subuh iaitu diantara waktu fajar dan solat al-Eid, sesuai dengan bilangan umat Islam ketika itu yang masih sedikit. Di era para sahabat pula, iaitu selepas berkembangnya Islam dan bertambahnya bilangan umat Islam, masyarakat Islam mula mengeluarkan zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum hari raya. Dalam period tabi'i dan tabi'in pula keadaannya juga berbeza dengan zaman generasi sebelumnya. Pertambahan umat Islam yang semakin ramai dan wilayah empayar Islam yang semakin berkembang membuatkan para ulama mengharuskan zakat fitrah mula dibayar di pertengahan bulan Ramadhan, bahkan sebahagiannya pula mengharuskannya di awal Ramadhan. Yang demikian itu, tidak ada sebab untuk kita terlepas daripada tanggungjawab berzakat ini memandangkan para ulama telah memberikan kelonggaran yang seluasnya kepada kita. Walaupun sebaik-baik waktu untuk membayarnya adalah sebelum solat al-Eid, namun sekiranya kita mempunyai kesempitan waktu, maka sebaiknya kita melangsaikannya dengan terlebih awal kerana dikhuatiri kita akan terlepas daripada menunaikannya. Sesiapa yang mengeluarkannya selepas daripada solat al-Eid, hukumnya adalah makruh dan haram hukumnya jika kita tidak melunaskannya sedangkan kita termasuk di kalangan orang-orang yang berkemampuan. Namun begitu, sekalipun kita telah terlepas peluang untuk membayarnya, kewajipan tersebut masih tidak gugur dan ia menjadi hutang yang perlu ditunaikan kepada yang berhak, iaitu untuk orang-orang miskin.

Wallahu a'lam
________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

2 comments:

  1. Assalamualaikum warahmatullah,

    Mabruk! Blog berubah wajah...

    Alhamdulillah... semakin meningkatnya usia, semakin berisi...seperti pepatah melayu..jadi seperti padi...semakin tunduk, semakin berisi..

    Mudah-mudahan dapat sama-sama memainkan peranan dalam mendidik masyarakat menerusi angkatan anak muda...

    Bagaimana dengan cadangan makcik mengenai pengumpulan tenaga bagi pembangunan Al Hidayah Ipoh?

    Wasalam...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam warahmatullah ..

    Terima kasih makcik sebab sudi ziarah blog saya yg tak seberapa ni. Malu pula rasanya bila ada tokoh besar lawati blog saya ni. Blog saya yg dulu ada masalah sikit, jadi terpaksalah beralih kepada blog baru ni.

    Tak berisi mana pun, sekadar perkongsian sedikit ilmu yang ada.

    Saya memang punya harapan yg besar agar seluruh bekas pelajar dpt dikumpulkan. Semalam semasa pergi walimah seorang bekas pelajar SMAH, alhamdulillah saya dan anas dapat berjumpa dengan beberapa bekas pelajar SMAH yang sudah hampir 10 tahun kami tidak berjumpa. Alhamdulillah, berkat walimah sahabat kami semalam, saya berkesempatan mencadangkan agar kami bertemu malam ni untuk permainan futsal, untuk cuba hidupkan semula ukhuwwah yg dulu, supaya pertemuan semalam tidak terhenti di situ sahaja. Alhamdulillah, Miqdad juga ada di sini,dan beliau juga tidak bercadang untuk berada di luar ipoh, jadi telah bertambahnya seorang lagi kekuatan alumni Hidayah kali ini. Tp untuk program yg lebih besar, macam yg saya cakap pd makcik hari tu, saya tidak boleh mendahului pengerusi kerana takut akan timbul isu "silent movement" di belakang alumni.

    ReplyDelete