Tuesday, September 8, 2009

Iktikaf ; Hukum & Syaratnya



Salam Ramadhan

Di dalam banyak-banyak amalan yang dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam bulan Ramadhan, beriktikaf merupakan salah satu amalan rutin yang sering baginda lakukan di dalam bulan tersebut. Hal ini dapat kita saksikan menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Siti Aisyah radiallahu 'anha katanya, "Bahawasanya nabi Sallallahu 'alaihi wasallam sentiasa beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah baginda diwafatkan oleh Allah Azza Wajalla, kemudian amalan itu masih tetap diteruskan oleh isteri-isteri baginda selepasnya"[1]

Oleh yang demikian, beriktikaf boleh juga dikatakan sebagai sunnah yang dituntut di dalam Islam kerana ia merupakan amalan yang sentiasa dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Sunnahnya kekal sampai bila-bila walaupun setelah kewafatan nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Namun begitu, masyarakat kita sangat asing dengan amalan sunnah ini. Di masjid tempat saya sendiri, seingat saya tidak pernah dianjurkan program sebegini dan masjid pula dikunci setelah selesainya solat isyak. Berbeza bagi orang arab dan negara-negara arab, amalan beriktikaf merupakan sunnah yang biasa dilakukan oleh mereka dan pengalaman ini dapat saya rasai ketika berada di UIA di mana ramai di kalangan mereka yang berkampung di masjid UIA selama beberapa hari di akhir bulan Ramadhan. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai peranan di masjid tempat mereka tinggal, cuba hidupkan amalan beriktikaf ini di kalangan masyarakat sebagai amalan sunnah yang dilakukan oleh nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.

Baik, sebelum kita membahaskan tajuk ini dengan lebih panjang, elok kita tanyakan dahulu satu soalan penting, mengapa amalan beriktikaf ini disunnahkan?

Para ulama menyatakan bahawa, objektif utama amalan ini disyariatkan adalah untuk memberi peluang khusus kepada hamba-hamba Allah memutuskan hubungannya dengan dunia dan isinya, agar kita dapat menumpukan waktu tersebut bersama Allah SWT. Ia adalah masa di mana seorang hamba memusatkan perhatiannya diantara dirinya dengan Allah SWT, diantara seorang hamba dengan Tuhannya. Kalau di masa-masa lain kita asyik dengan kesibukan dunia sehingga lupa kewajipannya terhadap Allah, maka beriktikaf adalah masa yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap hambanya untuk berbicara dengan Allah SWT secara lebih dekat dan khusuk. Maka dengan sebab itu, di sana terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti oleh seorang mu’takif (org yg hendak beriktikaf) untuk memastikan amalan iktikaf yang dilakukannya sah di sisi syariat dan diterima oleh Allah SWT.

Asal pensyariatan iktikaf ini dapat kita lihat menerusi firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 187: “… dan janganlah kamu mencampurinya (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu sedang beriktikaf di dalam masjid”.

Daripada ayat ini, banyak isu yang telah dibincangkan oleh para ulama yang seterusnya dijadikan sebagai pre-liminary condition kepada setiap mu’takif untuk mengikutinya sebelum memulakan amalan beriktikaf. Namun disebabkan oleh himpitan masa, saya akan membincangkannya secara berperingkat-peringkat.

1) Tempat beriktikaf :

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa iktikaf itu hanya sah dilakukan di dalam masjid sahaja[2], tidak seperti qiamullail yang boleh dilakukan di mana-mana tempat. Namun yang menjadi perselisihan diantara mereka ialah berkenaan dengan pengertian “masjid” yang dimaksudkan di dalam ayat 187 surah al-Baqarah di atas.

Sebelum itu, perlu kita ketahui bahawa pengertian masjid terbahagi kepada 3; Masjid Jami’, masjid, musolla. Yang dimaksudkan dengan masjid Jami’ ialah masjid yang didirikan di dalamnya solat Jum’ah, sedangkan masjid pula didirikan di dalamnya solat fardu 5 waktu tanpa solat Jum’ah, manakala musolla pula seperti yang tercatat di dalam hadis diertikan sebagai tanah lapang yang luas yang digunakan untuk solat-solat besar seperti solat 2 hari raya, solat istisqa’, solat kusuf dan sebagainya.

Berkenaan dengan perselisihan pendapat tentang pengertian masjid di dalam ayat al-Baqarah ini, telah diriwayatkan daripada Huzaifah bin Yaman dan Sa’id bin Musayyab, mereka beranggapan bahawa iktikaf hanya sah dilakukan di 3 buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram di Mekah, masjid an-Nabawi di Madinah dan masjid al-Aqsa di Palestin. Sebahagiannya pula beranggapan bahawa ia hanya sah dilakukan di masjid Jami’ sahaja, dan pendapat ini merupakan ijtihad yang dipegang oleh Ali bin Abi Talib dan Ibn Mas’ud dari kalangan sahabat radiallahu ‘anhu, dan dipersetujui pula oleh ‘Urwah, Hikam, Hammad, Az-Zuhri, Abu Ja’far Muhammad bin Ali, as-Syafi’i di dalam Qaul Qadeemnya(pendapat yg lama)[3] dan satu pendapat daripada Imam Malik. Manakala pendapat yang ketiga pula iaitu daripada Sa’id bin Jubair, Abu Qilabah dan selainnya dari kalangan para sahabat radiallahu ‘anhu, juga pendapat yang disokong oleh As-Syafi’i, Abu Hanifah dan sahabat-sahabat mereka berpandangan bahawa amalan beriktikaf sah dilaksanakan di kesemua masjid yang didirikan solat Jum’ah atau tidak. Ia juga merupakan pendapat yang dipersetujui oleh Ibn ‘Ulayyah, Daud bin Ali, At-Tabari, Ibn Munzir serta satu pendapat daripada Imam Malik. Asasnya, selagi mana adanya imam dan makmum, maka mereka beranggapan sah untuk dilakukan iktikaf di dalamnya.[4]

Berkaitan dengan iktikaf perempuan pula, jumhur ulama sepakat bahawa tempatnya serupa seperti lelaki, iaitu di masjid juga. Cuma, mazhab Hanafi lebih longgar dalam hal ini dengan mengatakan bahawa perempuan boleh melakukan iktikaf di rumahnya. Az-Zamakhsyari di dalam ((Ru’usul Masaalik)) menyatakan bahawa, mereka mengqiaskan keharusan ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulillah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut, “Solat seorang perempuan di rumahnya lebih baik dari 70 di tempat lainnya”, dan daripada Ummu Salamah radiallahu ‘anha bahawasanya nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, “Sebaik-baik solat seorang perempuan adalah di rumahnya”.[5] Pentahqiq kepada kitab ((Ru’usul Masaalik)) kemudiannya menjelaskan alasan mazhab ini mengatakan, “Bahawa iktikaf perempuan di rumahnya adalah harus bahkan lebih utama kerana diqiaskan (dibandingkan) dengan keutamaan mereka untuk solat dirumah, dengan melihat bahawa kedua-duanya juga adalah ibadah”. Dapat difahami daripada pandangan ini bahawa objektif utama diharuskan bahkan diutamakan bagi kaum wanita untuk melaksanakannya di rumah adalah untuk menjauhkan mereka daripada fitnah, sebagaimana yang disebutkan oleh Az-Zamakhsyari, “..kerana melakukan iktikaf di rumah dapat menutupi mereka”. Akan tetapi, pandangan ini ditolak oleh sebahagian ulama diantaranya As-Syafi’i dan sebahagian ashabnya[6] dengan alasan bahawa perkara ibadah tidak boleh diambil secara qias, tetapi ia wajib berlandaskan kepada nas al-Quran dan As-Sunnah.[7]

Oleh itu, dalam konteks negara kita, surau juga sebenarnya sah untuk dilaksanakan iktikaf kerana hakikatnya, ia tercakup di dalam pengertian “masjid” yang telah saya nyatakan sebelum ini. Syaratnya, selagimana terdapatnya imam dan makmum serta didirikan pula solat 5 waktu secara tetap, dan pebinaannya pula diniatkan untuk didirikan solat 5 waktu, maka sah untuk kita laksanakan iktikaf di dalamnya berdasarkan kepada pendapat ke-3 yang telah saya sebutkan di atas, dan sah juga sebenarnya untuk kita melaksanakan solat tahiyyatul masjid. Berkaitan dengan iktikaf perempuan pula, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulama kerana ia lebih dekat dengan nas dan sunnah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi, sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk mereka melaksanakannya di masjid contohnya disebabkan oleh tiadanya perempuan lain yang mahu beriktikaf dengannya di masjid selain dirinya seorang, juga kepada ibu tunggal yang tiada suami untuk menemaninya sedangkan dia asing di tempat itu, atau seorang ibu yang mempunyai anak kecil yang tidak boleh ditinggalkan, maka harus baginya memilih untuk beriktikaf di rumah dengan mengambil keringanan dan keluasan syariat Allah SWT melalui pandangan para imam dan mazhab yang lain. Wallahu a’lam

Bersambung ....



[1] Muttafaq ‘Alaih

[2] Tafsir al-Qurtubi, 2/300

[3] As-Syafi’i meletakkan syarat ini sekiranya iktikaf dilaksanakan lebih dari seminggu. Sekiranya kurang dari seminggu, maka boleh dilakukan di kesemua masjid. Lihat: I’lam As-Saajid Fi Ahkamil Masaajid, Az-Zamakhsyari, m.s 386

[4] Tafsir al-Qurtubi, 2/300

[5] Ru’usul Masaalik, m.s 237

[6] Imam As-Syirazi, Al-Ghazali, An-Nawawi dan jumhur ulama Iraq

[7] Ru’usul Masaalik, m.s 237

________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang dipaparkan di mohdfit3.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan perkongsian dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat mohdfit3.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin saya terlebih dahulu.

"Islam Memimpin Perubahan"

IBNASMUNI @ www.mohdfit3.blogspot.com
30020 Ipoh, Perak

3 comments:

  1. Asm,

    Sy nak tanya dua soalan berkenaan ramadhan:

    1. Lailatul qadr - adakah ianya sepanjang malam atau beberapa ketika/detik/saat dari malam. Masa bilakah yang paling sesuai berlaku laliatul qadr ini.

    2. Wanita yang dlm haid, boleh tak membaca al Quran.

    Jzkk
    Pn Hamidah Grik

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam w.b.t

    Terima kasih di atas pertanyaan Puan.

    Soalan pertama:

    - Tentang Lailatul Qadr ini byk pndpt dari para ulama,sehingga mencecah 40 pendapat.Tp sebagaimana yg disebut di dalam hadis,ia berlaku di 10 akhir ramadhan.Dlm 10 akhir Ramadhan itu pula,ada ulama berpendpt ia mgkn berlaku pada hari2 ganjil spt 23,25,27.Walaubagaimanapun,itu semua merupakan ijtihad(kajian pendapat) para ulama.Mengenai hakikat sebenar waktu lailatul Qadr ni hanya Allah saja yg tahu.Oleh itu,bersedialah sepanjang 10 hari terakhir Ramadhan,itu yg sebaiknya.WA

    Soalan kedua:

    -Kebanyakan ulama kata tak boleh.Walaubagaimanapun,puan masih boleh lagi membacanya di dalam hati,atau membaca terjemahan al-Quran atau berzikir & berselawat sekalipun ianya daripada ayat al-Quran.Kecuali dlm keadaan dhorurat,dibenarkan membacanya sekadar keperluan saja,kerana mengambil keringan dari segelintir pendapat ulama yg membenarkannya.WA

    Untuk pendetailan,insyallah kalau diberikan kesempatan,nanti saya kupas dgn lebih panjang.

    Semoga bermanfaat.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Salam., ingin mohon pencerahan.. Kwn sy mengikuti satu pengajian dan mereka beri'tikaf di gunung ledang? Adakah perkara ini betul ataupun salah?

    ReplyDelete